Penulis: Ali Abdul Halim Mahmud
Tahun: 1999
Penerbit: Era Intermedia, Solo, Indonesia.
Muka Surat: 376
Banyak pendapat menyatakan Ikhwanul Muslimin telah menjadi inspirasi kepada perkembangan berbagai-bagai gerakan kebangkitan Islam di abad ke-20. Konsep perjuangan, sistem pergerakan dan pola berfikir yang dibawakannya sangat sukar untuk disanggah dan memberi semangat untuk diikuti. Justeru, banyak organisasi yang mengambil inspirasi daripada gerakan ini.
Ali Abdul Halim Mahmud, penulis buku ini memaparkan anatomi gerakan Ikhwanul Muslimin mulai dari konsep penubuhan hinggalah ke gerakan teknikal untuk membina pemimpin-pemimpin pelapis.
Bercakap tentang Ikhwanul Muslimin bererti menyentuh soal tarbiyah. Pelaksanaan tarbiyah pada peringkat awal tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang pengasas pertubuhan itu sendiri iaitu Hasan Al Banna. Sejak kecil, beliau dididik dengan persekitaran hidup yang bersih, kehidupan berkeluarga yang dibayangi keindahan nilai-nilai Islam dan kefahaman Islam yang jelas, menjadikan peribadinya sangat mantap dengan tarbiyah.
Hasan Al Banna yakin seharusnya umat Islam boleh berjaya kerana mereka sebenarnya lahir untuk berjaya, lalu beliau memberi perhatian yang khusus kepada modal insan paling penting: pemuda. Bagi menggerakkan pemuda kepada tertegaknya kejayaan Islam, tarbiyah menjadi ‘trademark’ kepada Ikhwanul Muslimin. Mustafa Mahsyur berkata; ‘Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya takkan boleh dicapai kecuali melalui tarbiyah.’
Tarbiyah diberi fokus istimewa oleh Ikhwanul Muslimin. Sejarah jatuh dan bangun pertubuhan itu diwarnai oleh tarbiyah. Pemuda-pemuda yang kental dan cekal melalui proses-proses tarbiyah ini telah keluar ke dalam masyarakat dan menjadi bukti terhadap kualiti sistem pendidikan yang dilaksanakan .
Dalam buku yang hebat ini, penulis memperincikan pelaksanaan tarbiyah anggota Ikhwan bermula dari usrah, katibah, rehlah, mukhayam, daurah, nadwah dan muktamar.
Kejayaan Ikhwanul Muslimin dicemburui banyak pihak, justeru ada yang menyanjung, mencela, membangkitkan kemarahan dan membuat fitnah. Namun, hakikat yang harus diterima ialah Ikhwanul Muslimin tidak berhenti meninggalkan impak positif ke atas perjalanan sejarah umat Islam. Keikhlasan mereka untuk dakwah, kesungguhan, ketahanan, kekuatan, komitmen untuk sentiasa berpegang teguh kepada agama Allah SWT serta pengorbanan mereka adalah sangat mahal. Contohnya ialah bagaimana pemuda-pemuda didikan Ikhwan yang berjihad dan mempersembahkan ramai syuhada di bumi Palestin atau berjuang mempertahankan Mesir di medan perang Terusan Suez semasa menghadapi British.
Kehadiran Ikhwanul Muslimin dalam masyarakat moden bersama fikrah Islamiah telah memberi pengaruh yang positif kepada pemuda-pemuda Islam seluruh dunia. Menjadikan al-quran dan sunnah sebagai metodologi paling ideal untuk membangunkan umat, Insya Allah setiap rintangan akan dihadapi biarpun tekanan demi tekanan diberikan kepada pertubuhan itu.
No comments:
Post a Comment