Krisis kepimpinan MCA yang berlaku ketika ini bertambah rumit apabila berlaku pertembungan pemikiran di antara presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Kiat dan timbalan presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Sebaik sahaja EGM diadakan, seteru Ong Tee Kiat dilihat semakin bertambah.
Tun Dr Mahathir berpendapat perwakilan MCA telah matang dan mampu menyelesaikan krisis dalaman parti itu. Namun, situasi semasa yang berlaku telah membuka ruang kepada proses intervensi besar-besaran oleh parti komponen Barisan Nasional yang lain khususnya UMNO. Kenyataan timbalan presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin yang menyatakan MCA bukannya milik individu telah mengundang pelbagai tafsiran dari perspektif politik. UMNO harus bertindak segera membantu menyelamatkan kepimpinan MCA supaya peluang untuk menang dalam pilihan raya akan datang kembali cerah.
Selepas Liow Tiong Lai menjadi timbalan presiden, beliau digegarkan dengan tuduhan yang sedang dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu pemberian kenderaan MPV kepada isterinya kerana kelulusan projek tertentu di kementerian yang dipimpinnya ketika ini. Nampaknya budaya rasuah berlaku di semua peringkat tanpa mengira kedudukan, agama, bangsa atau status sosial seseorang.
Imej Liow Tiong Lai sebagai pemimpin bersih pasti tercemar jika tuduhan berkenaan didapati benar. Justeru beliau harus berani berhadapan dengan siasatan dan berani pula mengambil risiko kalah dalam pertarungan politik kepimpinan MCA.
Dalam politik, pihak yang menang adalah mereka yang memiliki kuasa. Di Malaysia, kuasa berada di tangan presiden parti sangat keramat kerana perjalanan dan hala tuju parti berada dalam genggamannya. Contoh, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Semangat 46 selepas tewas dalam persaingan untuk menjadi presiden UMNO. Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merengkok dalam penjara kerana kesalahan rasuah. Keadaan yang sama juga berlaku dalam MIC di mana nasib timbalan presiden bergantung kepada presidennya ketika ini.
Jika dilihat secara congakan, krisis kepimpinan dalam MCA ini turut melalui proses yang sama kerana asas ini sedang dipraktikkan dalam sistem politik Malaysia ketika ini. Sama ada Ong Tee Kiat, Liow Tiong Lai atau Chua Soi Lek, mereka lahir dalam sistem yang sama iaitu perebutan kuasa. Justeru, dijangkakan Ong Tee Kiat akan memenangi kemelut ini dengan membawa kemerosotan pengaruh dalam kalangan pengundi Cina di Malaysia.
Apakah yang sedang difikirkan oleh masyarakat Cina yang menyokong MCA hari ini? Sokongan perwakilan kepada Datuk Seri Chua Soi Lek juga mengelirukan kerana seorang pemimpin yang mengaku pernah berzina telah dipilih sebagai pemimpin nombor dua dalam parti. Bagi masyarakat Islam, perbuatan ini sangat jelek. Pemilihan pemimpin dalam MCA barangkali tidak lagi mengambil kira persoalan akhlak sebaliknya ada elemen lain yang lebih penting.
Rumusan mudah kepada perubahan nilai ini ialah masyarakat Cina sedang berada dalam krisis nilai yang sangat tenat. Biarpun masyarakat itu berjaya dalam ekonomi namun mereka gagal dalam membina kekuatan nilai yang menjadi teras dalam kekuatan diri individu.Tanpa akidah tauhid, masyarakat ini akan lemah. Tidak ada makna mereka punya harta yang banyak, rumah yang bernilai jutaan ringgit, kereta jenama mewah, bisnes yang gagah tetapi nilai dan akhlak yang punah.
Masyarakat begini tidak akan lama menjadi jaguh dalam bidang mereka. Lambat-laun akan merintih sendiri dan hilang begitu saja.
Krisis dalam MCA akan menguatkan parti itu jika dapat diurus dengan baik. Jika tidak, masyarakat Cina akan berasa bosan dan menolak kepimpinan MCA sebagai wakil utama dalam komponen MCA.
No comments:
Post a Comment