Penulis: Abdul Rahman Mohamed
Tahun: 2008
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 160
Buku ini mempunyai empat bahagian dengan 16 bab yang ringkas dan mudah difahami. Kandungan buku yang menarik ini menyingkap masalah kegagalan pendidikan dan pentarbiahan yang melanda umat Islam masa kini. Kegagalan ini melahirkan generasi yang semakin liar. Adakah pendidikan melalui kaedah berlembut dan ‘memberi muka’ menjadi punca segala kegagalan ini? Atau sudah hilangkah amalan pendidikan yang tegas dalam masyarakat kini?
Hari ini ramai manusia yang berasa bangga dengan apa yang sedang mereka kecapi melalui kemajuan teknologi. Perkembangan sains yang saban hari semakin mengasyikkan telah dapat menembusi akal fikiran manusia hingga mampu mencipta jentera sebesar gunung dan mikrocip sebesar biji saga. Ianya kelihatan seolah-olah seperti semua masalah ada penyelesaiannya. Namun di sebalik semua kepintaran yang ada pada manusia, mereka tetap tidak dapat menyelesaikan masalah akhlak yang dihadapi sehingga sekarang.
Pelbagai teori yang diperkenalkan bagi menangani masalah akhlak ini dan akhirnya ia tidak memberi sebarang makna kepada perubahan sikap dan akhlak manusia. Walaupun ramai yang terdidik dan menjadi pakar dalam bidang sains dan teknologi namun masalah akhlak semakin merosakkan kehidupan manusia.
Melalui buku ini, penulis mengajak pembaca untuk bersama-sama memikirkan masalah yang sedang melanda manusia pada zaman serba moden dan canggih ini. Sebagai seorang muslim dan mukmin, sudah tentu Islam diyakini dapat menyelesaikan masalah akhlak manusia pada saat ini.
Sejarah telah membuktikan suatu ketika dulu manusia pernah hidup dalam kerosakan akhlak paling maksimum dan hingga sehingga para penjenayah diagungkan sebagai wira masyarakat. Mereka yang menjadi mangsa dikutuk dan dihina, yang lemah hidup dalam keadaan serba tertekan dan yang kuat semakin hari semakin berani.
Dalam keadaan demikian, Islam datang membawa obor harapan. Obor ini telah dinyalakan bermula dari benua Arab yang ketika itu adalah tempat paling hancur akhlak manusia. Rasulullah SAW muncul bersama laungan, ‘Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia.’ (Riwayat Ahmad)
Objektif utama Islam adalah untuk memperbaiki akhlak manusia. Oleh itu, manusia pada hari ini sedang meraba-raba mencari formula dan kaedah untuk menangani masalah akhlak manusia. Mengapakah tidak diberi tumpuan kepada ajaran Islam secara total?
Ajaran Islam datang dengan membawa dua kaedah penting yang perlu diamalkan serentak. Tidak boleh ditinggalkan salah satu daripadanya. Kedua-dua kaedah itu ialah kasih sayang dan tegas.
‘Muhammad adalah pesuruh Allah dan orang yang beriman yang bersamanya sentiasa berkasih sayang sesama mereka dan bersikap tegas terhadap orang kafir.’ (Al Fath: 29)
Orang beriman yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah orang yang mahukan kebaikan hakiki dan orang kafir pula ialah orang yang tidak mahukan kebaikan yang sebenar-benarnya. Setelah kedatangan Islam, orang yang tidak mahu menerima kebaikan digelar sebagai orang kafir dan kebanyakan mereka ingin meneruskan amalan kejahatan seperti menindas, menipu, mencuri, membunuh, merogol, rasuah, riba dan berbagai-bagai kejahatan lain. Atas dasar itu, ajaran Islam menekankan dua faktor itu iaitu sentiasa menghidupkan amalan berkasih sayang terhadap orang-orang muslim yang mahukan kebaikan dan bersikap tegas terhadap orang kafir yang ingin meneruskan amalan kejahatan.
Justeru, buku ini banyak menyingkap dengan jelas aspek ketegasan yang telah lama ditinggalkan oleh umat manusia termasuklah mereka yang mengaku sebagai orang Islam akibat daripada pengaruh konsep pendidikan Barat. Jika kita mendakwa diri kita sebagai orang beriman yang mahukan kebaikan, maka semestinya kita menerima hakikat bahawa segala ajaran Islam adalah benar dan akan membawa kepada kejayaan.
No comments:
Post a Comment