Kemenangan calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang baru-baru ini menjadi kajian kes dan buah mulut banyak pihak yang berminat dengan perkembangan politik negara. Sama ada UMNO ataupun PAS, penerimaan pengundi di kawasan itu memberi implikasi besar ke atas prestasi mereka dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Pihak UMNO dan Barisan Nasional melihat sokongan rakyat telah kembali kukuh dengan meraih majoriti yang lebih besar. Senyum lebar Tan Sri Isa Samad sambil menunjukkan ‘satu’ melalui jari telunjuknya ketika pengumuman kemenangannya, Pakatan Rakyat menyambutnya dengan wajah yang muram kerana PAS tidak dapat meneruskan domino kemenangan dalam enam pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia. Kemenangan Isa Samad menjadi kenyataan selepas Bagan Pinang digempur oleh jentera pilihan raya Barisan Nasional yang mendapat bantuan sepenuhnya daripada radio, televisyen dan akhbar yang pro kepada mereka. Dalam keadaan itu, strategi pembangkang untuk menyekat pengaruh Isa Samad dilihat punah apabila tidak ada isu utama yang boleh menjadi ‘killer’ ketika berhadapan dengan ketokohan dan pengalaman Isa sebagai pemimpin tersohor dan bekas menteri besar yang berbekas.
Peranan media alternatif sebagai penangkis kempen UMNO nampaknya tidak banyak membantu pengundi untuk menerima PAS dan Pakatan Rakyat. Barangkali pengundi di Bagan Pinang ini kurang mahir dalam IT ataupun capaian kepada Internet masih belum meluas.
Presiden UMNO, Datuk Sri Najib ketika mengulas kemenangan Isa menyifatkan sokongan besar pengundi disebabkan oleh tiga kemungkinan iaitu keberkesanan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, jentera pilihan raya yang berkesan dan calon yang popular. Konsep ‘Satu Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ mungkin mula menjadi perhatian pengundi memandangkan ia membawa elemen kesatuan dan memenuhi kehendak rakyat Bagan Pinang.
Perbezaan besar undi yang diperoleh oleh Isa Samad telah menutup mulut pengkritik beliau dan pada masa yang sama membuktikan strategi kempen pembangkang jauh meleset sama sekali. Keyakinan Barisan Nasional untuk memilih beliau sebagai calon dilihat terletak pada popularitinya dalam kalangan pengundi tua dan muda di samping kekuatan tenaganya, justeru beliau dilihat berada di mana-mana pada masa yang betul ketika pengundi ingin melihat kehadirannya.
Berbanding calon PAS, Zulkefli, dia dilihat sedikit kekok dan susah diintai baik di akhbar atau di televisyen. Pengundi juga belum mengenali sepenuhnya watak beliau dan publisiti yang kurang meluas menyebabkan pengundi tua dan muda berasa sangsi dengan kebolehannya.
Melihat keputusan di Bagan Pinang, untuk menyatakan sokongan rakyat Malaysia kepada UMNO dan Barisan Nasional telah pulih sepenuhnya, ia mungkin keterlaluan. Masih banyak perkara yang membantu kemenangan Barisan Nasional seperti kawasan tradisi, peranan calon, isu utama, jentera pilihan raya dan persepsi pengundi.
Bagi jentera pilihan raya PAS, ia dilihat tidak bermaya untuk menerobos kawasan kubu kuat UMNO dan MIC. Isu undi pos dan aksi ganas ketika kempen tidak mengundang simpati pengundi kerana dalam keadaan hidup hari ini, pengundi berfikir apa yang akan mereka makan kalau pilih pembangkang.
Di sinilah kelebihan Isa Samad. Dengan pengalaman beliau, banyak projek telah dijanjikan sebagai modal kempen. Ia dibantu oleh kerajaan persekutuan yang memberi lampu hijau kepada pembinaan sebuah sekolah rendah jenis Tamil yang mendapat bantuan penuh kerajaan, khusus untuk pengundi India.
Tugas wakil rakyat yang dipilih selepas ini ialah melaksanakan janji mereka. Setelah pengundi India mendapat sekolah rendah, diharap pengundi Melayu dan Cina juga akan mendapat habuan mereka supaya Bagan Pinang dapat membangun dan makmur sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment