Saturday, July 22, 2017

Ideologi komunisme







oleh Danial Irfan Abd Halim

Negara komunis merupakan istilah digunakan oleh ahli-ahli sains politik bagi menggambarkan satu bentuk pemerintahan/kerajaan negara yang berada di bawah sistem satu parti dan mengisytiharkan taat setia kepada Marxisme-Leninisme, Maoisme dan terbitannya. Negeri-negeri komunis mungkin mempunyai beberapa majlis politik undang-undang, tetapi parti komunis adalah menurut perlembagaan dijamin mendapat peranan besar dalam kerajaan.

Fahaman komunisme sering dianggap kejam dan korup, manakala pemimpin Komunis berwatak antagonis (jahat) kerana bersifat diktator serta menafikan terus kebebasan dan hak memilih kerajaan. Fahaman komunis juga dianggap menyeleweng (dari ajaran Islam) seperti mana fahaman kapitalis dan sosialis.

Komunis berbeza dengan dengan Islam yang berpandukan al-quran, hadis dan ijmak ulamak. Dalam sistem politik Islam, tiada kebebasan mutlak dalam memilih kerajaan.

Pemimpin perlu dipilih dari kalangan orang yang beriman dan bertakwa, mursyid (pembimbing), berakhlak dan berketrampilan dalam mengurus hal dunia (worldly affair) serta berorientasikan akhirat (hereafter oriented).

Manakala komunis pula berpandukan falsafah/pemikiran yang dicipta manusia bernama Karl Marx (Marxime), Lenin(Leninisme) dan Mao Tse Tung (Maoisme).

Dari sudut yang positif, idea komunis yang digubal menjadi ideologi telah berjaya membentuk sistem hidup sehinggalah ianya diangkat menjadi sistem pemerintahan negara dan menyatukan rakyatnya buat beberapa ketika.

Antara contoh akan era kejayaan pemerintahan komunis adalah era pemerintahan Joseph Stalin iaitu pemerintah Soviet Union sebagai diktator pada tahun 1920-1953  yang mana beliau berjaya mengalahkan dan mengusir tentera Jerman yang menjajah bumi Russia dengan menyatukan rakyat Russia dan memaksa semua lelaki Russia untuk menyertai angkatan Red Soviet Union. Dalam “Order 227” , kebenaran diberi kepada pegawai atasan untuk membunuh askar lelaki yang berundur dari tentera. Keadaan ini memaksa tentera Russia tetap maju kehadapan dan akhirnya menjamin kemenangan ke atas Jerman.

Kelemahan ideologi ini pula dapat dikaitkan dengan kegagalan sistem pemerintahan yang mengamalkan sistem pemerintahan bercorak komunis tidak bertahan lama kerana rakyat di bawah pemerintahannya acap kali membuat revolusi bagi menjatuhkan kerajaan pada era itu kerana tidak tahan dengan corak pemerintahannya yang zalim.

Contohnya negara-negara yang dipengaruhi oleh Soviet Rusia dilabel sebagai negara “Blok Merah”. Negara-negara di bawah pengaruhnya semakin tertekan dari segi ekonomi. Penentangan timbul dalam bentuk kuasa rakyat seperti di Poland dan Jerman Timur.

Pada pendapat saya, khususnya sebagai orang Islam, saya menolak ideologi komunisme kerana bertentangan dengan etika kemanusiaan dan bertentangan dengan ajaran Islam yang mengangkat Allah sebagai Tuhan kita.

Konklusinya, meskipun fahaman ideologi komunis mempunyai kelebihannya tersendiri, namun keburukannya menutupi kebaikan yang ditawarkan di dalam fahaman ini menyebabkan fahaman ini harus ditolak oleh mana-mana manusia yang mempunyai etika kemanusiaan.


Friday, July 21, 2017

Tambah baik kempen anti-rasuah







oleh Chau Jing Bin

Menurut Wikipedia, definisi rasuah menurut Transparency International ialah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat, termasuklah para ahli politik dan pegawai, yang mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya secara tidak sah dengan menyalahgunakan kuasa yang ada.

Kebelakangan ini, terdapat banyak skandal rasyah berlaku dalam sektor awam dan swatsa seperti mana yang dilaporkan oleh media massa. Daripada peristiwa ini, kita dapat tahu bahawa amalan rasuah membawa kemunduran dan kemerosotan kepada masyarakat.

Antara kesan negatif amalan ini ialah harga diri kita akan direndah dan maruah kita akan tercemar. Selain itu, kita juga akan dipandang rendah dan dianggap tidak bermoral oleh masyarakat.

Seterusnya, amalan ini turut menyebabkan ketidakcekapan pentadbiran sesebuah negara sekiranya pegawai yang bertugas hanya mementingkan kemewahan. Sebagai contoh, pembinaan kilang yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan akan diluluskan dengan adanya rasuah yang diberi kepada pegawal bertugas. Justeru, keselamatan rakyat akan diancam dan pentadbiran negara turut diganggu.

Saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang amanah saya amat tidak bersetuju dengan perbuatan rasuah yang kian meruncing di negara kita kerana rasuah bukan sahaja akan menyebabkan ketidakcekapan pentadbiran negara malah turut akan memburukkan nama dan imej seseorang.

Rasuah memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara seperti kemasukan pelaburan asing dan juga melemahkan inovasi. Para pelabur akan hilang rasa yakin kepada negara kita sekiranya terdapatnya kes-kes rasuah yang menunjukkan kelemahan pentadbiran sesebuah negara.

Kesimpulannya, amalan rasuah membinasa dan memudaratkan. Banyak contoh kesan negatif kegiatan rasuah terhadap negara. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu berganding bahu membasmi gejala rasuah dan bekerjasama dengan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Sesungguhnya, integriti amalan kita.

Thursday, July 20, 2017

Perkembangan dan kemajuan teknologi







oleh Abdul Aziz Ahmad Saifpuddin

Perkembangan teknologi sekarang ini telah banyak menunjukkan kemajuan yang luar biasa. Kehadirannya telah memberikan impak yang besar pada generasi kini. Misalnya, kalau dahulu orang tidak dapat berbicara dengan orang lain yang berada di suatu tempat yang berjarak jauh, maka setelah adanya telefon orang dapat berbicara tanpa batas dan jarak waktu.

Perkembangan teknologi ini juga bagus kerana telah mewujudkan pembelajaran secara maya dalam pelbagai aplikasi seperti e-book, e-learning, e-laboratory, e-education, e-library dan sebagainya.

Hal ini sangat positif kerana teknologi komunikasi yang telah ada merupakan sebuah jawapan dari adanya perkembangan zaman. Hal ini berlaku kerana semakin berkembang maju sebuah peradaban manusia maka, teknologi pun akan terus mengalami perkembangan untuk menyelaraskan pola peradaban manusia itu sendiri.

Kemajuan penciptaan internet juga banyak memberikan manfaat kepada masyarakat global kerana mampu memberikan informasi terkini dengan sangat pantas.

Saya sangat bersetuju dengan perkembangan teknologi ini kerana setiap individu dapat menggunakan, mengakses dan memberikan segala hal informasi kepada orang lain secara universal.

Semua individu sangat memerlukan teknologi untuk mempercepatkan perkembangan atau meningkatkan pembangunan, baik pembangunan individu mahupun kelompok. Kini, kemajuan teknologi juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dengan adanya komunikasi yang baik dengan negara asing agar mampu menarik pemodal asing ke dalam negara.

Hal ini penting kerana pelabur asing akan menyalurkan modal yang banyak ke dalam negara ini.

Sebagai kesimpulan, perkembangan teknologi komunikasi sangat penting bagi memudahkan kehidupan yang semakin moden ini. Perkembangan pencapaian ini semakin berevolusi sejak dari zaman pra sejarah lagi.

Hal ini dapat dibuktikan kerana zaman tersebut sudah pun mula menggunakan sistem komunikasi tulisan dan berkembang dari semasa ke semasa menurut catatan sejarah.

Pengetahuan manusia semakin berkembang setelah James Watt berjaya mampu menghasilkan sebuah mesin semasa zaman revolusi industri. Oleh itu, masyarakat kini perlu memanfaatkan teknologi terutamanya dalam pembangunan negara agar dapat melahirkan persaingan yang sihat dalam ekonomi negara.


Wednesday, July 19, 2017

Kemajuan sektor jalan raya di Malaysia








oleh Ahmad Syairazi Ahmad Fadzil

Sistem pengangkutan di Malaysia memberi kesan positif kepada semua orang kerana ia dapat membantu semua rakyat Malaysia untuk bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain pada waktu yang singkat dan mudah.

Pada masa kini, Malaysia mempunyai lebih kurang 63,000 km jalan raya yang baik. Selain itu, untuk memastikan lebih lancar, Malaysia telah menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi meningkatkan lagi kualiti pengangkutan.

Pada pendapat saya, saya setuju dengan adanya sistem pengangkutan yang efektif terutamanya di Malaysia. Hal ini kerana dengan adanya sistem pengangkutan yang efektif, suasana di Malaysia lebih teratur.

Ia juga dapat melancarkan lagi kerja yang ingin dilakukan oleh seseorang tanpa ada masalah yang timbul. Tambahan pula populasi rakyat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Bagi memastikan suasana negara berada dalam keadaan yang baik pada masa hadapan, sistem pengangkutan perlu dititikberatkan. Hal ini disebabkan sistem pengangkutan merupakan salah satu punca berlaku kemalangan. Bagi memastikan angka kematian menurun, pihak kerajaan perlu melaburkan wang yang banyak dalam usaha untuk menjadikan sistem pengangkutan lebih efektif.

Sistem pengangkutan juga merupakan salah satu faktor yang amat penting dalam sektor pelancongan.

Kesimpulannya, bagi memastikan pengangkutan di Malaysia terus maju, pihak kerajaan perlulah sentiasa berusaha untuk memajukan lagi sistem pengangkutan di Malaysia bagi menjamin masa depan negara yang lebih teratur.

Hal ini kerana pengangkutan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menaikkan nama Malaysia di mata dunia. Jika para pelancong yang datang melancong ke negara kita melihat sistem pengangkutan tidak berada dalam keadaan yang tidak, mereka akan memberitahu perkara ini kepada rakan dan taulan di negara mereka. 

Tuesday, July 18, 2017

Bagaimana kita boleh menangani gejala buli di sekolah?








oleh Muhammad Ammar Zafri Mohd Don

Kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menangani gejala buli ini. Hal ini kerana, masalah buli akan menyebabkan pelajar-pelajar yang dibuli akan berasa tertekan, takut dan tidak mempunyai semangat untuk datang ke sekolah. Tidak hairanlah kenapa kadar pelajar ponteng sekolah dalam kalangan mangsa buli semakin meningkat setiap tahun.

Selain itu, gejala buli juga boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk membunuh diri sendiri bagi menamatkan kesengsaraan yang mereka lalui.

Terdapat pelbagai kes yang mana mangsa buli membunuh diri. Contohnya, mangsa yang bernama Vijah Singh. Mangsa ini mengambil keputusan untuk membunuh diri sendiri ketika dia berusia 13 tahun di rumahnya di Manchester, England. Beliau telah mencatatkan penderitaannya di dalam diari yang mencatatkan bahawa duitnya dirampas pada hari Isnin dan Selasa, baju uniformnya dikoyakkan pada hari Rabu, badannya disimbah dengan darah pada hari Khamis, semuanya berakhir pada hari Jumaat dan dia mendapat kebebasan pada hari Sabtu.

Antara cara untuk membanteras gejala buli yang lain ialah peranan pihak media massa. Mereka mestilah menyiarkan rancangan televisyen tentang keburukan dan kesan gejala buli terhadap seseorang. Dengan ini, pihak ibu bapa dan pelajar dapat sedar bahawa gejala buli ini bukan perkara yang remeh-temeh.

Di samping itu, mangsa-mangsa buli atau sesiapa yang ternampak ada pelajar yang dibuli perlulah melaporkan kejadian tersebut kepada guru kaunseling, pengetua, ibu bapa dan polis. Dengan ini, pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan untuk membasmi gejala buli ini.


Monday, July 17, 2017

Konflik perpaduan kaum masyarakat Melayu di Malaysia








oleh Tun Muhammad Syafiq Iman Tun Abdul Razak


Konflik perpaduan sering terjadi antara kaum-kaum yang ada di Malaysia terutama melibatkan etnik di Semenanjung Malaysia iaitu etnik Bumiputera(Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak), India dan Cina.

Pada pandangan saya, perkara seperti ini seharusnya tidak boleh berlaku kerana keharmonian dan persetujuan antara kaum sudah pun termeterai terutama selepas kemerdekaan pada tahun 1957.

Hal ini seperti tiada penghujungnya disebabkan perasaan takjub dan taksub dengan kaum masing-masing yang menyebabkan perbalahan terutama menyentuh hal-hal berkaitan budaya dan agama. Sensitiviti agama dan budaya yang tidak dijaga menyebabkan ketidakpuasan hati antara dua individu berlainan kaum.

Konflik perpaduan kaum yang berlaku dalam negara bukan sahaja datang dari pihak orang bukan Islam kepada agama Islam, malah ada juga konflik yang ditimbulkan oleh orang Islam kepada agama lain.

Usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dillihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 apabila Majllis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan.

Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui artikel 152 dan 153, sering kali kita rujuk sebagai ‘kontrak sosial’ antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik yang dominan di Malaysia.

Kesimpulannya, rentetan peristiwa dahulu rakyat Malaysia seharusnya dapat melihat dan menilai semua perkara yang pernah dialami oleh pejuang negara suatu ketika dahulu. Banyak perkara yang boleh kita teladani oleh para perjuang kemerdekaan negara. Oleh itu, rakyat Malaysia juga harus tidak lupa kejayaan kita pada hari ini adalah hasil perpaduan daripada masyarakat terdahulu dan tidak ada daripada mereka di negara ini yang menyokong perjuangan komunis.

Mustahil untuk kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara bersendirian, ini kerana dorongan oleh perbezaan lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing telah membuatkan kita mampu berjuang hingga ke peringkat global.

Oleh itu, kita haruslah mengingati jasa pejuang yang telah mewariskan kita sebuah negara merdeka dengan perkembangan ekonomi yang menakjubkan seperti hari ini. Semua ini terjadi disebabkan oleh semangat perpaduan yang tinggi sehingga telah menjadi simbol kejayaan kepada negara. Dengan adanya perpaduan, segalanya dapat dilaksanakan termasuklah menjadikan negara kita negara yang berpontensi tinggi dan terus gemilang pada masa akan datang.

Bak kata pepatah bersatu kita teguh bercerai kita roboh, itulah kata pepatah nenek moyang kita yang mengenal erti sebenar dalam perpaduan.


Friday, June 16, 2017

Gejala rasuah







oleh Mohamad Zul Hakim Bahru @ Mohd Zaidi
                                                

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang yang mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan.

Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah.

Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan kerana mempunyai iman dan takwa yang lemah atau pribadi yang lemah. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza.

Mereka mengatakan, “Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

Bagi pendapat saya, cara untuk menangani rasuah ialah dengan menguatkan iman dan peribadi. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi.

Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

Selain itu, cara untuk menangani kegiatan rasuah ialah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

Thursday, June 15, 2017

Pendidikan vernakular







oleh Mohamad Amirul Hafizi Rusli


Tajuk artikel yang saya pilih dan ingin ulaskan ialah berkenaan pendidikan vernakular di Malaysia. Berdasarkan sejarah, Tanah Melayu telah pun mempunyai sitem pendidikan yang tersendiri iaitu melalui pendidikan tidak formal. Namun begitu, setelah kedatangan British, mereka memperkenalkan sistem pendidikan vernakular iaitu sistem pendidikan yang berasaskan kaum dan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

Sistem pendidikan yang wujud pada masa pemerintahan British mempunyai empat sistem persekolahan utama iaitu sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris. Setelah merdeka, kerajaan telah memperkenalkan sekolah kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan seluruh bangsa ke dalam satu sekolah agar perpaduan kaum dapat dicapai. Namun begitu, sistem vernakular ini tetap diteruskan dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Sistem pendidikan vernakular mempunyai kelebihan dan keburukannya yang tersendiri. Antara kebaikannya ialah, pelajar mendapat peluang menguasai banyak bahasa. Sebagai contoh, pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Cina dapat menguasai sekurang-kurangnya dua Bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina. Ini akan memberikan kelebihan kepada pelajar tersebut di masa hadapan apabila memasuki alam pekerjaan. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan bahasa ibunda kepada penuturnya dan mengelakkan ianya daripada ditelan zaman.

Keburukan pendidikan vernakular pula ialah, ia akan mewujudkan jurang perkauman yang luas di antara kaum. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun, masih ada lagi segelintir kumpulan dari setiap kaum yang bersifat rasis disebabkan perpaduan kaum tidak dapat dicapai. Manakan tidak, dari mereka kecil lagi sudah dikelaskan mengikut kaum.

Malah ada juga segelintir individu yang masih tidak fasih berbahasa Kebangsaan walaupun telah mencapai umur dewasa. Hal ini disebabkan penggunaan bahasa ibunda yang berbeza-beza di sekolah pendidikan mengikut kaum masing-masing manakala bahasa kebangsaan disisihkan. Setiap kaum selesa bergaul dalam bahasa ibunda masing-masing menyebabkan timbulnya rasa kekok apabila bergaul dengan kaum lain kerana terpaksa bertutur dalam bahasa lain.

Bahasa yang berbeza ini jugalah kadang-kadang menimbulkan syak wasangka diantara kaum sehingga menyebabkan pergaduhan. Setiap kaum di Malaysia ini sepatutnya disatukan sejak dari kecil lagi agar persefahaman diantara kaum itu dapat dipupuk di awal usia. Apabila setiap kaum saling memahami antara satu sama lain, ianya akan menjadikan negara berada dalam suasana yang aman dan harmoni.

Pada pandangan saya, pendidikan vernakular ini mempunyai lebih keburukan berbanding kebaikan. Kerajaan perlu mengkaji semula sistem ini dan lebih baik untuk menutup sekolah jenis kebangsaan dan menyatukan semua kaum di dalam sekolah kebangsaan. Hak kesamarataan juga perlu diberikan kepada semua kaum agar keadilan dapat dirasai. Untuk mencapai perpaduan kaum, pendidikan merupakan salah satu cara yang terbaik. Bukankah pendidikan merupakan proses utama dalam membentuk kendiri untuk mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna?

Kesimpulannya, proses penyatuan dalam sistem pendidikan di Malaysia telah bermula semenjak zaman sebelum merdeka, namun agak sukar untuk direalisasikan. Penyatuan dalam bidang ini akan tercapai sekiranya setiap komuniti etnik memahami sejarah asal di Tanah Melayu dan perkembangan pendidikan di negara ini. Oleh yang demikian, setiap pelusuk masyarakat perlulah menjadi warganegara yang prihatin dalam menangani isu ini. Sebarang perbincangan perlulah diadakan bagi mengelakkan salah faham yang boleh membawa kepada isu perpaduan yang lebih besar.


Wednesday, June 14, 2017

Media massa dan alam sekitar







oleh Muhamad Shahreen Sabarani

Media merupakan perantara terpenting dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau mesej, manakala media massa pula adalah alat atau instrumen terpenting yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan dan membentuk sikap masyarakat tentang maklumat yang disampaikan.

Media bukdan sekadar menyampaikan maklumat dan mesej tetapi juga dapat membentuk tasawwur atau pandangan alam manusia.

Media boleh menyebabkan ‘orang yang baik menjadi jahat’ dan juga sebaliknya. Semua ini adalah pengaruh dari media dan rangkain maklumat yang mereka miliki.

Dalam usaha untuk membangun alam ini demi kelangsungan hidup, manusia berkecenderungan untuk menguasai dan mengeksploitasi alam tabii ini secara berlebihan setelah memahami tabii alam dengan menggunakan pemahaman sains dan teknologi yang mereka miliki.

Akibat daripada kerakusan mengeksploitasi alam ini secara berlebihan yang tidak dipandu oleh agama, keseimbangan alam tabii terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Peristiwa pemanasan global, pencemaran alam sekitar, perubahan cuaca, tanah runtuh, banjir kilat, gelombang besar tsunami, hujan asid, gempa bumi dan sebagainya, semua ini menyumbang kepada ketidakstabilan ekosistem yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

Media massa juga mesti berusaha untuk memperkenalkan tokoh ilmuwan (mungkin juga penyelidik), pembuat dasar dan mereka yang aktif dalam pertubuhan  bukan  kerajaan  yang  berwibawa  dan  berautoriti  dalam bidang alam sekitar, bukan golongan populis yang lebih mementingkan populariti.

Isu yang berhubung dengan alam sekitar biasanya lebih bersifat tempatan daripada antarabangsa. Dengan demikian media perlu membawa isu tempatan ini ke tengah masyarakat.

Apa yang berlaku di Barat dan di negara maju mungkin boleh dijadikan iktibar tetapi akhirnya nanti masyarakat tempatan seharusnya bertindak untuk menyelesaikan isu alam sekitar di tempat mereka.

Media seharusnya menggunakan bahasa yang mudah dan dapat difahami  oleh  masyarakat  awam. Istilah  saintifik yang  asing  mungkin lebih tepat tetapi sekiranya masyarakat tidak memahaminya, mesej yang ingin disampaikan mungkin tidak dapat difahami.

Dengan demikian media mesti memahami siapakah khalayak yang ditujukan mesej alam sekitar berkenaan. Media juga perlu menerangkan kepada masyarakat tentang polisi dan dasar kerajaan yang ada tentang alam sekitar, menerangkan dasar mekanisme dalam dasar tersebut yang membolehkan isu alam sekitar diketengahkan kepada khalayak ramai dan memberitahu bahawa ada penguatkuasaan yang bersungguh-sungguh daripada pihak yang berwajib.

Pada pandangan saya, pengguna secara personal perlu meningkatkan kesedaran terhadap isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Hal ini kerana, segala langkah pragmatik dan efisien yang telah dicorak oleh pihak berkenaan akan menjadi sia-sia. Oleh itu, kesedaran mental masyarakat dapat membantu dalam menjayakan motif pihak berkuasa selari dengan usaha yang telah dilakukan.


Tuesday, June 13, 2017

Kebaikan sukan kepada negara







oleh Wan Mohamad Tasnim Wan Ismail


Artikel yang saya ingin ulaskan adalah berkenaan tentang kebaikan sukan kepada negara yang disunting dari sumber Bernama. Berdasarkan artikel ini, penulis telah menyatakan bahawa sukan merupakan satu lapangan yang merangkumi semua aktiviti kecerdasan dan kemahiran dalam sesuatu permainan.

Kini, sukan boleh dijadikan sebagai hiasan di dada akhbar di samping mengharumkan nama negara apabila seseorang atlet itu berjaya menjuarai sesuatu kejohanan.

Namun, ada segelintir pihak yang kurang memberi perhatian terhadap sukan malahan menganggap ia merupakan sesuatu yang tidak berfaedah kerana banyak menghabiskan wang belanja.

Setelah membaca serta meneliti artikel ini, saya bersetuju dengan tajuk artikel ini. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui aktiviti sukan, negara kita boleh melahirkan para atlet yang menjadi tumpuan mata dunia.

Sebagai contoh, kita dapat melihat kejayaan ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David yang terkenal dengan kejayaannya yang berjaya mempertahankan beberapa kejohanan yang berprestij di samping mempertahankan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia dalam jangka masa yang panjang.

Di samping itu, kita juga boleh mencontohi usaha serta ketabahan para atlet yang sanggup mengharungi pelbagai ujian untuk mengecapi cita-cita mereka. Misalnya, pengorbanan permata dunia berbasikal iaitu Azizulhasni Awang yang sanggup mengorbankan masanya dengan ahli keluarga serta pengajiannya untuk menjalani latihan insentif di Melbourne, Australia sehingga berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam sukan yang begitu berprestij di dunia iaitu Sukan Olimpik di London.

Lebih manis, pengorbanan yang dilakukan oleh beliau juga telah menjadikannya sebagai juara dalam acara berbasikal keirin dunia yang diadakan pada baru-baru ini.

Selain itu, peningkatan ekonomi negara juga semakin bagus telah menyebabkan saya bersetuju dengan artikel ini. Hal ini ini kerana pengaliran wang dari seluruh negara- ke Malaysia menyebabkan pertukaran wang asing yang seterusnya memberi kelebihan kepada kita. Contohnya, negara mampu mengaut keuntungan yang lumayan melalui penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Konklusinya, sukan bukan sahaja boleh dijadikan sebagai medan untuk berperang dalam mempamerkan skil-skil permainan dan kebolehan individual dalam acara masing-masing tetapi ia juga boleh menjadi platform untuk menghasilkan pelbagai faedah serta manfaatnya. 

Oleh sebab itu, wajarlah semua masyarakat di Malaysia mengambil berat terhadap pembagunan sukan dan perkembangannya agar negara dapat melahirkan atlet yang lebih berkualiti serta menjadi tumpuan di dunia . Oleh itu, sahutlah cabaran dan seruan kerajaan bagi menjayakan dan meningkatkan taraf sukan negara ke tahap yang paling optimum.