Tuesday, June 16, 2020

COVID-19: SOP solat Jumaat





Kebebasan solat Jumaat dalam tempoh pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP amat terbatas. Aktiviti Solat Jumaat yang hendak dilakukan kini perlukan beberapa langkah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak majlis agama negeri.

 

Antara peraturan berkenaan adalah seperti berikut.

 

1. Berwudhuk terlebih dahulu sebelum ke masjid.

2. Membawa sejadah sendiri.

3. Mendapat kelulusan awal dari pihak masjid. Tiada kebenaran untuk yang walk in.

4. Perlu mengenakan penutup hidung dan mulut ketika berada di masjid.

5. Tidak dibenarkan kontak fizikal seperti bersalam dalam semua keadaan.

6. Bersegera meninggalkan ruang solat selepas selesai solat.

7. Tidak menunjukkan gejala seperti demam, selesema, sesak nafas dan batuk. Manakala suhu badan melebihi 37.5 Celsius dilarang masuk ke masjid.

8. Penggunaan tandas dan tempat wudhuk tidak dibenarkan.

 

 

Pengenalan kepada pendaftaran untuk menunaikan solat Jumaat adalah norma baharu yang mungkin memberi sedikit kesusahan kepada jemaah. Ia tidak dapat dielakkan kerana setiap masjid menetapkan jumlah tertentu untuk setiap kali solat Jumaat memandangkan pelaksanaan penjarakan sosial yang ekstrem iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

 

Jarak ini telah mengambil ruang yang agak besar di dalam ruang solat, justeru jemaah perlu dikecilkan. Bagi memastikan bilangan ini menepati sasaran, proses pendaftaran dilakukan secara elektronik iaitu menggunakan kod QR atau laman sesawang yang disediakan. Pendaftaran secara manual dilakukan di pintu masuk ruang solat yang mana pen untuk menulis butiran diri perlu dibawa sendiri.

 

Ketika tidak ada penularan COVID-19, jemaah bebas datang sama ada awal atau akhir untuk melaksanakan kewajipan mereka. Sejadah juga tidak perlu dibawa kerana pihak masjid menyediakan sejadah yang banyak. Suhu badan tidak perlu dicatat malah gejala ringan seperti batuk atau selesema boleh hadir dan berada di saf pilihan masing-masing.

 

Kini, semua kebebasan yang ada telah disekat, dihalang dan diperkecilkan. Solat Jumaat yang dilaksanakan sekali dalam seminggu tidak lagi dapat sempurnakan secara tetap. Ia mungkin dilakukan secara berselang minggu mengikut kebenaran yang diberikan pihak masjid.

 

Namun begitu, kecintaan kepada solat berjemaah boleh lagi dilakukan melalui solat waktu. Biasanya solat jemaah lima waktu di masjid tidak penuh dan masih boleh disertai asalkan mematuhi peraturan yang diberikan.

 

Kegagalan mematuhi SOP ini bakal memberi musibah kepada semua jemaah.


No comments:

Post a Comment