Saturday, June 06, 2020

COVID-19: Larangan keluar malam





Ketika saya membawa karung sampah untuk dibuang ke tempat pembuangan sampah di kawasan pangsapuri, saya melalui kawasan perumahan rumah berkembar dan pangsapuri 10 tingkat. Jam menunjukkan jam 8.15 malam.

Semua rumah bercahaya, pintu tertutup dan kawasan parkir penuh dengan kereta dan motosikal.

Suasana ini menunjukkan masyarakat sentiasa bersedia di rumah masing-masing pada sebelah malam bersama keluarga. Tidak ada yang berkumpul di luar rumah walaupun di kawasan luar rumah. Kelibat anak-anak juga tidak kelihatan.

Arahan tinggal di dalam rumah merupakan salah satu perintah yang mesti dipatuhi. Pasukan polis kerap kali membuat pemantauan dan akan menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan arahan dari semasa ke semasa.

Peringkat awal arahan ini dikeluarkan, orang ramai masih keliru dan mengambil masa untuk berada di rumah bagi tempoh yang lebih panjang.

Tidak semua rumah mempunyai ruang yang besar dan seimbang dengan bilangan isi rumah. Di kawasan taman perumahan, ada yang memiliki keluarga besar sehingga lapan atau sembilan orang dengan tiga bilik, sebuah dapur dan ruang tamu. Berada di dalam rumah pada masa yang sama sudah tentu merimaskan sesetengah orang kerana pelbagai ragam dan perangai.

Kanak-kanak tidak kisah dengan persekitaran sebegitu kerana mereka belum mempunyai tanggungjawab besar untuk keluarga berbanding anak-anak dewasa yang mula bekerja.

Anak-anak yang sedang bersekolah memiliki rutin harian yang lebih fleksibel kerana mempunyai tanggungjawab untuk belajar lebih-lebih lagi yang bakal menghadapi peperiksaan besar pada awal tahun hadapan.

Pencari nafkah keluarga juga runsing apabila tidak dapat keluar rumah untuk bekerja. Setiap hari perlu dimasak dan disediakan makanan untuk ahli keluarga. Tanpa ada pendapatan, stok makanan lebih cepat berkurangan.

Seorang ketua isi rumah berkata beliau menghabiskan RM4000 sebulan untuk kegunaan keluarga menggunakan wang simpanan tanpa ada pendapatan.


Di rumah pangsa, dari tingkat tiga hingga puluhan tingkat, suasananya lebih tertekan kerana tidak boleh keluar rumah untuk beriadah dan berbual-bual dengan rakan-rakan di taman perumahan. Mahu atau tidak mahu mereka perlu lebih kreatif dan mengguna pelbagai cara untuk memenuhi masa lapang sepanjang hari.

Antara pengisian terbaik ialah menyemak bacaan ayat-ayat al-quran, mula menghafal ayat-ayat pendek setiap kali lepas solat atau membantu anak-anak kecil melancarkan proses pembacaan mereka.

Bagi kaum wanita dan suri rumah, inilah masa terbaik mencuba pelbagai resepi masakan. Ada resepi yang betul-betul menjadi dan ada yang tersasar. Terdapat laman Facebook yang dibuat bagi berkongsi resepi yang tidak menjadi ini sehingga terkenal dan mendapat tambahan pengikut secara mendadak.

Saiz rumah tidak harus menjadi penghalang kepada perkembangan minda yang kreatif dan inovatif. Banyak cara boleh difikirkan untuk membina suasana yang lebih ceria dan menyeronokkan di samping meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang yang diminati.

No comments:

Post a Comment