Saturday, June 13, 2020

COVID-19: Norma baharu di pasar raya





Barisan panjang orang ramai beratur memasuki pasaraya Mydin, MITC Ayer Keroh, Melaka adalah pemandangan biasa sepanjang PKPB dan PKPP ini. Pihak pengurusan Mydin membuka satu laluan sahaja untuk masuk ke pasar raya ini bagi mengawal bilangan pelanggan yang boleh membeli-belah dalam satu-satu masa di samping mengambil suhu badan.

 

Garisan merah di lantai memberi panduan kepada pelanggan untuk menjarakkan diri mereka antara satu sama lain. Pelanggan yang tidak memakai penutup hidung dan mulut tidak dibenarkan masuk. Bilangan minimum untuk sekali masuk ke premis Mydin adalah 20 orang.

 

Norma baharu ketika wabak COVID-19 ini menjadikan urusan membeli-belah barang keperluan semakin lambat dan mengambil masa. Biasanya pembelian sekitar satu hingga dua jam, namun kini dilanjutkan kepada tiga jam.

 

Suasana di pasaraya Family Store, Bachang, Melaka juga hampir sama. Setiap pengunjung perlu beratur, memakai penutup muka dan hidung serta tapak tangan disembur dengan cecair pembasmi kuman. Pelanggan juga diberi nombor giliran yang perlu dibawa ketika membeli-belah di dalam Family Store.

 

Petugas kaunter turut mengambil langkah keselamatan. Mereka memakai pelindung muka dan penutup mulut dan hidung semasa mengira barang pelanggan. Mereka juga memakai sarung tangan sepanjang masa.

 

Cowboy, sebuah lagi pasar raya borong turut mengambil pendekatan yang sama. Pelanggan perlu beratur panjang, mengambil nombor dan menunggu giliran untuk masuk membeli barang. Suhu badan dicatat sebagai rekod dan tapak tangan disembur cecair pembasmi kuman. Pihak pasar raya menggalakkan pembelian dalam tempoh 20 minit tetapi ia agak sukar bagi pelanggan baru yang mahu membeli lebih banyak barang keperluan kerana perlu bergerak ke sana-sini mencari barang tersebut.

 

Semasa PKPB dilaksanakan, prosedur masuk ke pasar raya dilihat lebih fleksibel yang mana pelanggan hanya beratur dan menulis maklumat diri seperti nama, nombor telefon dan suhu badan. Aliran masuk lebih lancar dan terkawal. Namun terdapat pasar raya yang masih melaksanakan prosedur seperti PKP iaitu pengambilan nombor, beratur dan selepas mengambil suhu badan, pelanggan dibenarkan masuk.

 

Pasaraya NSK di Taman Merdeka mengambil pendekatan ini kerana mahu memastikan setiap pelanggan berada dalam keadaan sihat dan mematuhi semua prosedur. Ada juga kelibat pengunjung yang diminta memakai penutup mulut dan hidung jika mahu meneruskan pembelian.

 

Rata-ratanya pengunjung pasar raya menyedari norma baharu ketika mahu membeli barang keperluan di pasar raya kegemaran mereka. Beratur panjang, mendaftarkan diri dan memakai penutup hidung dan mulut adalah pemandangan biasa hari ini. Keakuran terhadap saranan kerajaan telah membantu mengurangkan penularan wabak COVID-19 ini. Pematuhan terhadap peraturan yang disediakan membolehkan urusan harian pengguna berjalan lancar dan memuaskan.

 

Tidak dinafikan pasar raya menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barng keperluan tetapi harus diperhatikan juga ia menjadi tempat paling mudah untuk virus berjangkit jika tidak ada langkah-langkah pengawalan dan pencegahan dari pihak pengurusan pasar raya sendiri.

 

Di AEON Mall Bandar Melaka, pelanggan yang membeli pakaian tidak dibenarkan mencuba pakaian sebaliknya mengambil pakaian tersebut dan terus membuat bayaran. Sekiranya saiz pakaian tidak menepati saiz badan, ia tidak dapat ditukar lagi. Pelanggan harus memahami peraturan ini dan memastikan pakaian yang dibeli telah dipilih dengan tepat dan sesuai.

 

Banyak perkara yang boleh dilakukan dengan bebas sebelum ini telah berubah sama sekali. Namun begitu, kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai peraturan dan prosedur ini memberi kebaikan kepada mereka kerana sekali disahkan positif COVID-19, ia mengambil masa yang lebih panjang untuk kembali pulih seperti sedia kala.


No comments:

Post a Comment