Monday, October 29, 2018

Mati muda







orang muda
fikirnya cerdas
badannya cergas
langkahnya pantas
tingkahnya tangkas
niatnya ikhlas
malunya beralas
kasihnya dengan belas
jasanya berbalas


anehnya
orang muda
ajalnya tiba
bila sampai masanya
tidak disangka
namun dapat diduga


di pemakaman
isteri tersedu
anak-anak pilu
saudara sendu
rakan karib rindu
dunia sayu
alam buana kelu


mati muda
pemutus nikmat
perangkatan yang singkat
hidup biar beringat
mungkin esok yang dekat
kita pula yang berangkat


zahir zainudin, bukit beruang, 29 oktober 2018


Wednesday, October 24, 2018

Parti akan hilang, idealisme akan kekal







The United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu sedang berhadapan dengan kemerosotan pengaruh selepas dua pemimpin besar parti itu sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah kerana salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah. Bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak didakwa 25 pertuduhan manakala presiden sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dikenakan 45 pertuduhan. Walaupun bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin menyifatkan tuduhan-tuduhan itu bermotif politik, pertuduhan yang banyak seperti itu hanya akan menyibukkan kedua-duanya dengan ‘kerja’ turun dan naik mahkamah.

Lama-kelamaan ahli parti dan orang ramai akan melupakan kedua-duanya sekali dan UMNO terpaksa berhempas-pulas memulihkan keyakinan orang ramai terhadap parti itu dalam tempoh yang lebih panjang. Pada masa yang sama, ahli UMNO mulai mengumumkan mereka keluar parti sebaik sahaja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasat penerima wang 1MDB. Ahli UMNO ini termasuk Datuk Seri Mustapha Mohamed, ahli parlimen Jeli. Datuk Mas Ermieyati, ahli parlimen Alor Gajah awal-awal lagi mengumumkan keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pengekalan golongan ‘otai’ yang terus menguasai kepimpinan UMNO.

Seseorang pemimpin wajar mendapat kepercayaan rakyat. Pemimpin juga harus berusaha bagi memastikan kepercayaan itu akan berterusan dan boleh diharap untuk membawa perubahand an kemajuan. Pemimpin yang menukar kepercayaan rakyat dengan mencari kesempatan menggunakan wang kerajaan untuk kepentingan peribadi dan keluarga, menyalah guna kuasa dan menjadikan kuasa sebagai hak milik peribadi, suatu hari akan merasai semua amanah yang diberi akan ditarik balik. Rakyat hilang kepercayaan dan marah dengan kepercayaan yang diberi itu.

Keadaan yang berlaku ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, presiden UMNO bukan sekadar ‘tersilap membayar wang kredit’ sebaliknya lebih daripada itu. Dalam pertuduhan yang didedahkan kepada umum, wujud syarikat-syarikat yang bersembunyi di sebalik tawaran kontrak dan bisnes. Muncul juga nama-nama individu yang kita tidak pernah dengar untuk menawarkan jutaan ringgit sebagai imbalan terhadap projek dan kontrak yang ditawarkan.

Bagaimanapun, semua pihak berharap pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO akan melalui proses perbicaraan yang adil dan telus supaya keadilan yang diimpikan dalam kerajaan era ‘Malaysia Baharu’ dapat dijelmakan.

Semasa berkuasa, mereka bercakap di hadapan rakyat tentang nilai-nilai kejujuran, bersungguh-sungguh menunjukkan inisiatif membasmi rasuah dan salah guna kuasa, memecat rakan yang tidak sehaluan dan menyelogankan ‘rakyat didahulukan’, namun di belakang rakyat mereka sedang berserakah dengan skandal bilion ringgit, mencipta kekayaan bersama peniaga yang tidak tahu halal dan haram serta memenuhi selera diri yang tidak ada sempadan merentasi beg tangan ribuan ringgit sebuah dan mendandan rambut dengan harga yang mahal.

Kerdipan wang dan kuasa menggamit orang yang lemah iman untuk meraih pelbagai ruang dan peluang yang ada di hadapan mata. Bukan ribuan malah jutaan ringgit untuk diambil melalui projek yang tidak diketahui manfaat kepada negara.

Kesan penyelewengan amanah ini dirasai rakyat di semua peringkat. Harga barang semakin mahal, gaji statik dan tidak ada wang yang tinggal menyebabkan rakyat marah dan berang. Kebangkitan ini tidak dapat dihalang dan episod kerajaan rakyat berakhir sebagai sejarah hitam negara.

Komunikasi teknologi menguasai saluran perhubungan rakyat Malaysia menentukan jatuh bangun sebuah kerajaan. Jika kerajaan yang berusia 61 tahun boleh dijatuhkan, inikan pula yang berusia lima atau sepuluh tahun. Kehidupan rakyat perlu dijaga, kualiti hidup dan kemajuan diri perlu seiring dengan keupayaan pendapatan supaya keadilan sosial dapat diwujudkan.

Tun Dr Mahathir berkata UMNO sudah mati. Masyarakat Melayu perlu melihat realiti mereka dalam dunia masa hadapan yang penuh dengan cabaran. Hak keistimewaan dan kelebihan yang ada pada mereka boleh berubah jika tidak mengambil tahu apa yang sedang dilakukan oleh musuh-musuh yang melihat masyarakat itu berpecah. UMNO akan mati apabila parti itu sudah hilang sokongan dan idealisme perjuangan. Namun ia akan hidup apabila kembali menilai kesombongan dan keangkuhan yang menyebabkan rakyat Malaysia menolak mereka dan mulai melangkah untuk berubah.

-->

Monday, October 22, 2018

Kaedah baru bentuk keadilan sosial di Malaysia







Komitmen kerajaan Malaysia untuk menambahkan pendapatan rakyat amat dialu-alukan. Ia dizahirkan melalui kaedah baru bagi mengukur pendapatan. Ukuran ini tidak lagi melihat pembangunan mengikut pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar semata-mata sebagaimana diamalkan sebelum ini. Kaedah ini memberi tumpuan kepada peningkatan kuasa membeli rakyat supaya jurang perbezaan pendapatan dapat dikurangkan khususnya antara miskin dan kaya.

Perubahan yang menarik ialah peningkatan pendapatan berdasarkan kelas sosial. Ia bermaksud sesiapa sahaja yang digolongkan dalam kelas sosial di bawah paras kemiskinan boleh diberi bantuan. Sebelum ini banyak usaha dilakukan berasaskan kaum namun kaedah terbaru ini dapat menghilangkan prejudis kaum. Perubahan paradigma ini dapat menyelesaikan masalah kelompok tertinggal khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak serta golongan terpinggir seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan kanak-kanak. Secara langsung, pendekatan ini dapat mengurangkan peratusan kemiskinan secara drastik dan mengangkat lebih ramai rakyat Malaysia ke dalam kelompok berpendapatan menengah.

Kejayaan idea ini bergantung sepenuhnya pada jentera kerajaan yang digerakkan oleh pelbagai agensi. Sekiranya ia dilaksanakan dengan betul, keadilan sosial akan lebih mudah dicapai. Jika tidak, peruntukan yang diberikan tidak dapat disempurnakan dan tercicir di pertengahan pelaksanaan.

Seterusnya, setiap program yang diberi peruntukan dinilai keberkesanan dan impaknya supaya kelompok sasar mendapat manfaat, penyampaian program yang cekap dan memastikan setiap sen mencapai sasaran maksimum. Kekurangan penilaian impak ini menyebabkan tidak ada tindakan susulan yang mana menyukarkan pembuat polisi untuk menilai dan merangka program-program susulan pada masa hadapan. Ia juga tidak dapat memberi maklumat yang tepat tentang aspek yang perlu diberi perhatian supaya masalah yang telah berlaku tidak akan berulang.

Keadialan sosial yang hendak dicapai ini juga diharap dapat memusnahkan kitaran ganas yang berlaku dari generasi ke generasi supaya tidak lagi wujud kelompok miskin dan teripinggir sama ada di bandar ataupun luar bandar.

Harapan kita terletak kepada agensi pelaksana yang perlu memikirkan kaedah terbaik sistem penyampaian supaya setiap orang dari pelbagai kaum dapat membina kehidupan yang lebih baik. Jika hal ini dapat direalisasikan, suatu hari nanti negara Malaysia ini dapat menjadi model kepada program pembangunan dan keadilan sosial di seluruh dunia.


Friday, October 12, 2018

Sikap wakil rakyat undang kritikan






Akibat meninggikan suara ketika 'berbincang' dengan penduduk Kampung Pulau Nibong, Batu Berendam, Melaka, seorang wakil rakyat digelar 'YB Samseng', gelaran yang memberi imej negatif kepada kerajaan Pakatan Harapan Melaka. Ketua Menteri, Adly Zahari terpaksa mengeluarkan kenyataan memohon maaf sebagai tindakan balas meredakan kemarahan orang ramai khususnya netizen.

Wakil berkenaan, Norhizam Hassan Baktee merupakan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu apabila mengalahkan calon Barisan Nasional dan PAS. Beliau juga adalah timbalan pengerusi parti DAP Melaka. Pernah menjadi pemandu van kilang, Norhizam mendapat pendidikan tertinggi di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Tidak sukar mencari klip video yang tular, cukup dengan menaip 'yb samseng', berbagai-bagai jenis tajuk klip video yang keluar di YouTube.

Antara bahasa yang digunakan beliau adalah 'saya tak nak bercakap dengan orang tak sekolah', 'saya ni siapa', 'saya tak terima', 'orang pergi ke masjid, jalan kaki pun boleh', 'no...no...no', 'saya tak terima', 'awak orang kampung, gunakan jalan kampung' dan 'tutup ... tutup ... tutup'.

Ketika seorang penduduk kampung menunjukkan surat jemputan dari Japerun bertarikh 7 Oktober 2018, wakil rakyat berkenaan mengatakan beliau tidak nampak tarikh berkenaan. 

Selepas itu beliau mengeluarkan perkataan 'saya tak nak bercakap dengan orang tak sekolah'. Akhirnya penduduk berkenaan berkata 'YB, kalau orang tak sekolah itu adat'.

Gaya beliau bercakap juga mempamerkan kuasa yang ada padanya iaitu meninggikan suara, memasukkan sebelah tangan ke dalam poket seluar ketika bercakap dan berwajah seolah-olah mahu bergaduh.

Kebanyakan klip video yang membidas tindakan wakil rakyat itu menyentuh berkenaan cara beliau mengurus 'perbincangan' berkenaan. Antara tajuk yang dimuat naik adalah 'Video penuh kontroversi YB DAP bersikap kurang ajar', 'YB 'gangster' DAP yb Norhizam Hassan part 1' (ada sambungan part 2), 'yb Melaka dikatakan gangster' dan 'yb gangster'.

Ada klip video yang dimuat naik menjadikan gelanggang gusti sebagai latar belakang melibatkan beberapa orang politik negara seperti Mat Sabu, LGE dan Norhizam sendiri. Menggunakan tajuk 'yb Melaka gangster mengamuk viral parodi', perlawanan gusti ini dimenangi oleh Mat Sabu manakala Norhizam ditolak keluar lebih awal.

Episod wakil rakyat dan exco kerajaan Pakatan Harapan Melaka ini menarik perhatian orang ramai khususnya mengenai sikap dan kemahiran berunding dengan masyarakat awam. Imej pemimpin politik Melaka terjejas sama sekali dan menimbulkan persoalan dari segi keupayaan profesional pemimpin yang dipilih.

Kritikan yang diberi kepada Norhizam dibalas dengan kata-kata sindiran olehnya iaitu 'saya tidak perlu takut kepada mereka netizen yang pada saya mulut longkang ini ... saya tidak perlu takut' yang disiarkan oleh saluran MelakaKini. Beliau juga bertegas bahawa 'kalau saya lembik mana mungkin saya boleh jadi wakil rakyat'.

Klip video ini boleh menjadi kajian kes untuk banyak perkara seperti kemahiran komunikasi, berunding, pengurusan emosi, budi bahasa, kawal kemarahan, bahasa badan dan sebagainya. Di universiti, kita boleh jadikan ia sebagai elemen pengajaran dalam kaedah memilih pemimpin yang prihatin kerana sikap dan tindakan wakil rakyat itu sangat mengecewakan.

Sunday, September 23, 2018

Menyingkap perjalanan 1MDB






Selepas 25 pertuduhan dikenakan ke atas bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, barulah rakyat Malaysia dapat mengetahui kisah yang berlaku di sebalik 1MDB, sebuah kes kleptokrasi yang paling besar dalam sejarah dunia.

Sebanyak RM2.9 bilion wang kerajaan Malaysia yang patut digunakan untuk pembangunan negara telah diseleweng dengan cermat dan dicairkan dengan pembelian pelbagai barang mewah untuk kepentingan peribadi. Kalaulah tidak kerana ada seorang dua yang berani mendedahkan perkara ini, sehingga sekarang bekas perdana menteri ini tidak dapat didakwa.

Kes ini membuka mata ramai orang untuk berfikir bahawa politik begitu berkuasa untuk memperkaya pemimpin dan keluarga mereka.

Pertuduhan terhadap Najib Razak juga menjawab persoalan orang ramai terhadap sifat ‘pemurah’ beliau ketika berkempen dalam pilihan raya umum ke-13 lalu. Setiap kali turun berkempen memberi ceramah kepada kumpulan sasar khususnya masyarakat Felda, nelayan dan petani (atau kata lain orang kampung), beliau mengumumkan sejumlah jutaan peruntukan kepada mereka.

Maka, bersoraklah mereka. Kelompok yang tidak mendapat habuan hanya dapat melihat dan menelan air liur sambil berdoa semoga giliran mereka akan datang juga.

Persoalan ketika itu adalah ‘dari mana Najib Razak mendapat wang yang banyak ini?’ Rakyat yang berpendapatan sederhana pula menerima habuan melalui kenaikan gaji, bonus, bantuan sara hidup dan pengurangan harga barang terpilih.

Namun, peruntukan jutaan ringgit ini dikatakan dari 1MDB kerana ‘mana ada orang yang mahu menderma berbilion ringgit’. 

Tuduhan yang banyak memberi kesukaran kepada Najib Razak untuk melepaskan diri. Penglibatan pegawai-pegawai bank di Singapura dalam kes 1MDB telah pun selesai. Pegawai yang terlibat telah menerima hukuman masing-masing, cuma di Malaysia yang belum ada sebarang hukuman sama ada penasihat, konsultan atau lembaga pengarah syarikat itu.

Barangkali selepas Najib Razak menerima hukuman nanti, mereka yang terlibat sudah pasti tidak dapat tidur nyenyak lagi.

Mahkamah Malaysia akan mengadili tindakan Najib Razak. Perdana menteri, Tun Dr Mahathir menyatakan semua dokumen telah disiapkan termasuk surat-surat bertandangan Najib untuk dibawa ke mahkamah.

Membawa Najib Razak ke mahkamah perlukan kekuatan politik dan moral. Jika tidak, pasukan penyiasat tidak dapat bergerak apabila memikirkan bekas perdana menteri yang didakwa. Era Malaysia Baharu ini, keazaman membanteras rasuah dan salah guna kuasa nampaknya sangat keras dan kerajaan mahu menghukum pesalah rasuah dengan segera.

Risiko dan cabaran seorang ahli politik sangat besar. Sebarang keputusan dan tindakan akan memberi kesan kepada orang ramai. Sebaik-baiknya ahli politik membawa kemakmuran kepada negara, keharmonian dalam masyarakat dan ketenteraman hidup.

Mempelajari seni berpolitik amat perlu kepada sesiapa sahaja yang ingin melibatkan diri dalam dunia politik biarpun di peringkat daerah. Antara kemahiran yang perlu ada adalah komunikasi, berunding, mengurus bakat, kewangan dan konflik. Semua kemahiran ini akan berkembang dan kukuh melalui proses pengkayaan pengalaman dan peluasan jaringan sosial memandangkan perjalann sebagai ahli politik akan mengambil masa.

Masa yang panjang menjadikan jiwa politik lebih kental dan kuat terhadap kritikan dan seteru. Kematangan hidup sebagai ahli politik dapat dikecapi apabila seseorang ahli politik dapat menguasai seni komunikasi dan kemahiran bekerja.

Mungkin jiwa Najib Razak begitu kuat untuk berhadapan dengan tuduhan salah guna kuasa memandangkan beliau telah lama berkecimpung dalam arena politik.

Wednesday, September 19, 2018

Merungkai pemikiran bangsa-agama








Di Amerika Syarikat, penentang-penentang undang-undang Islam ataupun syariah berpendapat undang-undang Islam sangat tidak menepati budaya masyarakat Barat. Bagi mereka, syariah yang meliputi banyak aspek kehidupan masyarakat Islam termasuklah kewajipan beragama dan pengurusan kewangan adalah tidak sesuai dengan hak-hak asasi manusia.

Mereka berfikir Islam amat konservatif kerana cenderung kepada berkhatan dalam kelompok wanita. Ada juga yang berpendapat Islam akan merosakkan hubungan masyarakat melalui keganasan yang dicetuskan oleh kelompok ekstremis dalam agama itu.

Manakala di Malaysia, kelompok kecil masyarakat Islam bersama dengan pertubuhan bukan Islam bersama-sama mendesak kerajaan menghentikan hukuman sebat untuk semua jenayah termasuklah yang berada di bawah undang-undang syariah. Mereka beranggapan hukuman sebat adalah tidak berperikemanusiaan kerana ia meninggalkan kesan masa panjang kepada fizikal, mental dan emosi pelaku.

Malah ada yang menggesa supaya kerajaan persekutuan membuat sesuatu terhadap enekmen hukuman syariah. Salah seorang daripada mereka adalah Honey Tan dari Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) menyeru Peguam Negara menyemak semula undang-undang syariah bagi memastikan tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sejak kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu, suara-suara golongan Islam liberal dan bukan Islam lebih banyak mendominasi media sosial. Mereka mendesak peraturan dan amalan masyarakat Islam berpandukan al-quran dan sunnah dikaji dan diubah supaya sesuai dengan kehendak mereka dengan alasan hak asasi manusia. Takrifan hak asasi manusia juga perlu mengikut kehendak mereka.

Suara dan pandangan mereka juga disokong oleh ahli akademik Islam yang muncul dari celah-celah kejahilan masyarakat Islam sendiri, dibayangi oleh gelaran doktor falsafah atau profesor yang tidak sekadar menyelesai masalah tetapi merumitkan kefahaman masyarakat Islam. Antara cadangannya ialah memasukkan bukan Islam sebagai ahli dalam Jabatan Kefahaman Islam Malaysia untuk membantu meningkatkan kefahaman Islam di Malaysia.

Kita masih berada dalam pertembungan pemikiran pasca Barisan Nasional yang mewatakkan Melayu dan Islam sebagai subjek dominan, mengenepikan elemen luar Melayu dan memerangkap pemikiran umat Melayu untuk berkembang mekar. Justeru kita dapati banyak kelompok yang menonjolkan diri untuk memperjuangkan prinsip masing-masing dengan harapan bakal mempengaruhi perjalanan pemikiran masyarakat Malaysia.

Namun, hakikatnya, perangkap pemikiran bangsa-agama ini masih jauh untuk dirungkai kerana telah berakar umbi selama 60 tahun lepas.

Thursday, September 13, 2018

Keselamatan di pusat cucian layan diri






Kasih sayang bukan hanya ditunjukkan kepada manusia malah kepada haiwan dan tumbuhan. Justeru, berlaku baik kepada haiwan tidak jauh beza dengan berlaku baik kepada manusia sesuai dengan hak untuk hidup haiwan berkenaan.

Tindakan seorang pengguna pusat cuci pakaian layan diri yang memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab. Barangkali motif pelaku berkenaan untuk membuat lawak jenaka, namun perbuatannya menyebabkan kematian pada haiwan yang tidak pun mendatangkan masalah kepadanya.

Akibat tindakan tanpa perikemanusiaan dan belas ihsan, pemuda berkenaan sedang diburu oleh polis. Kita yakin dalam tempoh yang singkat, pelaku dan rakannya akan ditahan oleh polis kerana wajah mereka telah dapat dirakam dalam premis berkenaan.

Berkaitan dengan pusat cuci pakaian layan diri ini juga, beberapa hari lalu sebuah klip video berkenaan kejadian rompakan ke atas seorang pengguna perkhidmatan itu menjadi perhatian ramai.

Tidak perlu menunggu lama, penjenayah berkenaan diserahkan kepada polis oleh ibunya sendiri.

Permintaan terhadap khidmat cucian pakaian layan diri mendapat sambutan ramai. Di bandar-bandar besar, usahawan yang menceburi bidang ini berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan mereka yang cekap dan meyakinkan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah sambungan internet percuma, taman permainan kanak-kanak, kiosk minuman dan kemudahan tempat duduk. Di Pantai Balok, sebuah pucat cucian pakaian ini menyediakan kafe untuk pengguna pusat itu memesan minuman.

Tidak lama dulu sebuah pusat cucian pakaian di Muar meletakkan tanda “mesra Muslim” untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kehalalan produk pencuci dan jaminan mesin masuh dan pengering tidak dicemari bahan-bahan yang tidak halal.

Pelbagai lagi strategi yang digunakan oleh usahawan-usahawan ini untuk menarik pelanggan menggunakan premis mereka.

Di sebalik keghairahan mencari pelanggan, aspek keselamatan mesti diberi keutamaan. Jika tidak, pengguna memilih masa yang selamat untuk datang mencuci dan mengering pakaian mereka.

Meletakkan kamera litar tertutup adalah langkah terbaik namun pengguna akan berasa lebih selamat jika terdapat penjaga yang mengawal keselamatan premis. Adalah lebih baik jika pengusaha pucat cuci pakaian ini menggunakan khidmat pengawal keselamatan bagi tempoh tengah malam hingga ke pagi supaya pengguna yang mahu menggunakan mesin berasa lebih selamat dan yakin.

Tidak perlu menggunakan pengawal keselamatan selama 12 jam atau 24 jam, cukup hanya enam atau tujuh jam supaya pengguna tidak risau dengan keselamatan diri mereka.

Mengehadkan tempoh masa operasi sehingga jam 12 tengah malam dilihat kurang praktikal kerana mengundak kesesakan di premis khususnya pada waktu luar pejabat.

Namun begitu, banyak lagi strategi yang boleh difikirkan oleh usahawan perkhidmatan ini seperti memilih lokasi berdekatan bali polis, bersebelahan kedai 24 jam atau restoran, premis yang hampir dengan jalan raya dan memasang sistem penggera yang disambungkan terus ke balai polis.

Selama ini kita tidak pernah risau dengan kehadiran begitu banyak pucat cuci pakaian layan diri ini. Namun, sejak dua tiga kes yang melibatkan jenayah dan kecelaruan mental, pengguna mula memikirkan keselamatan mereka dan mula membuat penyesuaian masa supaya ia tidak berulang dan terkena kepada diri mereka sendiri.

Monday, September 03, 2018

Intervensi pendidikan membasmi kemiskinan







Kemiskinan di sesetengah negeri pantai timur Semenanjung Malaysia sering menghiasi media massa. Baru-baru ini sebuah keluarga yang melibatkan tiga orang adik-beradik umur 13, 11 dan 9 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan di sekolah kerana ibu bapa tidak berupaya menampung kos pengajian mereka. Maksud kos pengajian di sini ialah perkara ini tidak mampu menyediakan uniform sekolah, kos menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah, perbelanjaan makan dan minum, pembelian buku dan peralatan-peralatan pelajaran untuk meringankan bebanan.

Ibu menjual nasi lemak dan ayah bekerja menoreh getah dengan pendapatan RM500 ringgit sebulan. Kita percaya kes ini bukanlah satu-satunya kes dalam kalangan keluarga miskin yang menyebabkan anak-anak tidak bersekolah tetapi banyak lagi kes yang hampir sama melibatkan kemiskinan.

Keluarga Miskin sering kali terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan yang menjerat kehidupan mereka. Jika si ayah bekerja sebagai penoreh getah, anak-anak juga cenderung menjadi penoreh getah kerana kitaran ganas meletakkan keinginan untuk berubah pada tahap yang sangat rendah. Kitaran ini mewujudkan pemikiran was-was terhadap perubahan hidup yang lebih baik kerana persekitaran miskin yang membisikkan kepada mereka bahawa perubahan hidup tidak akan berlaku dan mereka kekal dengan kehidupan sedia ada.

Bagi mengubah kitaran ganas, sesuatu tindakan perlu dilakukan terhadap kitaran tersebut. Dua ejen yang paling berpengaruh untuk memecahkan kitaran ini adalah komuniti dan kerajaan. Kedua-duanya mempunyai peranan langsung untuk meleraikan kitaran ganas dalam keluarga supaya generasi yang seterusnya bebas daripada kongkongan kemiskinan dan kemelaratan hidup.

Peranan komuniti mungkin kurang besar tetapi amat penting. Caranya ialah melaporkan keluarga miskin kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Keprihatinan komuniti ini menjadi langkah awal meleraikan kitaran ganas. Individu yang terdekat dengan keluarga berkenaan boleh memaklumkan ketua kampung untuk memanjangkan keadaan hidup mereka kepada pihak berkuasa atau media supaya akan ada tindakan susulan. Biasanya di Malaysia, apabila terdapat kes-kes kemiskinan yang dipaparkan di media, bantuan lebih cepat diberikan oleh pelbagai pihak khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Selain komuniti kampung, peranan komuniti awam juga sangat berkesan. Maksud komuniti awam ialah masyarakat umum yang prihatin dengan kemiskinan keluarga akan mula bertindak memberi bantuan. Contoh keprihatinan masyarakat awam ialah terdapat syarikat ataupun organisasi yang menawarkan perkhidmatan mereka untuk membantu keluarga seperti menawarkan khidmat membaiki rumah, membekal barangan keperluan harian, membayar yuran persekolahan ataupun memberi pekerjaan kepada ahli keluarga. Peranan komuniti awam seperti ini kurang popular dalam masyarakat kita kerana budaya membantu belum lagi menjadi sebahagian daripada lumrah dalam masyarakat.

Kerajaan berperanan besar membantu meleraikan kitaran ganas dengan menawarkan bantuan elaun bulanan, pembiayaan bayaran yuran persekolahan atau mengecualikan bayaran perkhidmatan kesihatan yang boleh menjadi contoh bagaimana kemiskinan boleh dihentikan. Namun peranan terbesar kerajaan adalah memberikan pendidikan kerana kebaikan hidup ataupun perubahan hidup boleh berlaku dalam tempoh yang lebih pendek melalui pendidikan.

Antara inisiatif ini adalah kerajaan boleh menyediakan insentif pendidikan melalui penawaran biasiswa atau menghantar anak-anak dari kalangan keluarga miskin ke pusat-pusat latihan kemahiran supaya mereka mendapat kemahiran baru dan perspektif baru tentang kehidupan mereka

Menjadikan pendidikan sebagai instrumen utama melerai kitaran ganas telah diguna pakai oleh banyak negara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun. Sesebuah keluarga miskin dapat mengubah status hidup mereka kepada keluarga yang lebih baik dan terkeluar daripada perangkap kemiskinan. Kerajaan dan komuniti boleh mencari jalan untuk berganding bahu membantu keluarga miskin keluar daripada kehidupan miskin mereka dengan memastikan anak-anak muda dalam keluarga berkenaan mendapat pendidikan asas dan peluang-peluang pendidikan kemahiran supaya mereka dapat mengubah kehidupan sedia ada.

Friday, August 03, 2018

Intervensi dalam kemiskinan








Laporan media berkaitan kemiskinan yang dihadapi lima buah keluarga yang mendiami sebuah rumah di Pendang, Kedah amat mengejutkan kita. Di dalam rumah tersebut terdapat 32 orang yang tinggal berhimpit-himpit antara satu sama lain.

Kenapa keadaan ini boleh berlaku?

Kemiskinan merupakan satu simptom kepada kelemahan dalam  pengurusan komuniti.  Maksudnya ialah, komuniti gagal memastikan ahli dalam kumpulan mereka mendapat pembelaan untuk mengubah keadaan hidup yang dihadapi. Dalam kes ini, komuniti setempat tidak dapat membantu keluarga ini mungkin kerana komuniti juga berhadapan dengan situasi yang serupa. Perubahan tidak dapat dilakukan kerana secara keseluruhan keadaan hidup komuniti hampir sama sepertimana yang dihadapi oleh keluarga berkenaan.

Manakala pemimpin komuniti tidak mendapat maklumat sebenar berkaitan keadaan hidup lima keluarga  berkenaan. Barangkali pemimpin-pemimpin tersebut tidak memiliki strategi yang berkesan untuk mendapatkan maklumat berkaitan keadaan hidup kelompok yang dikategorikan sebagai miskin dalam lingkungan mereka. Barangkali juga pemimpin-pemimpin  itu tidak dapat memberikan masa mereka menjenguk keadaan hidup sebahagian daripada kelompok masyarakat kurang bernasib baik.

Banyak agensi kerajaan yang sedia ada tidak menang tangan mencari masyarakat miskin di Kedah apatah lagi di kawasan luar bandar dan terpencil. Mungkin juga kegagalan dalam melaksanakan tugas yang diberikan sehinggakan ada kelompok yang tercicir daripada sasaran. Justeru, di sinilah pentingnya peranan media untuk menyiarkan masalah yang dihadapi oleh keluarga berkenaan. Kita lihat sebaik sahaja kisah ini disiarkan media, muncullah wakil dari organisasi kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan yang menunjukkan kecaknaan mereka membantu ahli-ahli keluarga di rumah berkenaan. Nampaknya laporan media sangat berkesan untuk mengenengahkan isu-isu kemiskinan yang dihadapi oleh sebahagian daripada masyarakat kita.

Apa yang berlaku di Pendang, Kedah itu menunjukkan bahawa pendidikan tidak menjadi keutamaan kepada sebahagian daripada komuniti miskin untuk mengubah keadaan hidup sedia ada. Pada awal abad ke-20, kita dapati salah satu strategi yang diguna pakai oleh banyak negara yang baru merdeka ialah menggunakan pendidikan sebagai batu loncatan untuk memajukan negara dengan memperkasa rakyat mereka. Malaysia adalah antara negara yang memperuntukkan banyak wang bagi membangunkan sektor pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga ke universiti. Malahan pada hari ini mereka yang hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran turut diberi peluang berbuat demikian melalui pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan sendiri. Manakala sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dalam keadaan dhaif telah diberi peruntukan naik taraf supaya para pelajar dapat mengikuti pelajaran mereka dalam keadaan selesa.

Ada sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil di Perak iaitu sekolah yang tidak jauh dari kawasan rehat dan rawat Sungai Perak yang suatu masa dulu sangat dhaif keadaannya telah menjadi lebih baik, cantik dan menarik apabila kerajaan membuat keputusan untuk membantu infrastruktur sekolah itu.

Kadar kemiskinan di Malaysia berada pada kadar 0.6 peratus yang menunjukkan kepada kita bahawa kemiskinan adalah satu keadaan hidup yang boleh diubah. Berbanding keadaan masyarakat kita sebaik sahaja kita merdeka dahulu, kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk Malaysia  berada di sekitar 40 hingga 50 peratus. Maksudnya ialah rata-rata rakyat Malaysia pada masa tersebut berada dalam kelompok miskin. Namun pembangunan negara yang mengambil kira pendidikan sebagai satu strategi intervensi kerajaan, kadar kemiskinan tersebut berkurangan dari semasa ke semasa sehinggalah sekarang. Bagaimanapun dalam pada itu masih juga terdapat golongan yang terpinggir dan terpisah dari arus pembangunan yang menyebabkan mereka tidak mendapat peluang kepada akses perubahan hidup ini.

Barangkali ada faktor-faktor yang menyebabkan kenapa keadaan ini berlaku seperti budaya hidup yang  melingkari keluarga berkenaan dari satu generasi ke satu generasi. Budaya hidup yang dimaksudkan ialah set pemikiran yang menerima keadaan hidup miskin tidak dapat diubah. Jika mereka hidup sebagai seorang petani ataupun penoreh getah, set pemikiran yang wujud pada diri mereka adalah kehidupan sebagai petani atau penoreh getah tersebut tidak dapat ditukar. Justeru, pemikiran begini menyebabkan ibu bapa tidak mengambil inisiatif ataupun berusaha menghantar anak-anak ke sekolah untuk mendapat pendidikan. Mereka lebih cenderung mengajak anak-anak pergi ke sawah atau ke kebun getah untuk membantu mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang diwarisi. Akhirnya anak-anak membesar tanpa mendapat peluang pendidikan yang sememangnya disediakan oleh kerajaan disebabkan oleh set pemikiran yang kurang produktif disebabkan budaya hidup yang telah lama berakar umbi.

Dalam kes kemiskinan di Pendang, Kedah ini, peranan ahli-ahli dalam komuniti sangat penting. Seseorang yang berpengaruh ataupun memiliki kesedaran untuk mengubah keadaan hidup keluarga seharusnya bertindak segera dengan menawarkan peluang pekerjaan dan juga mengubah tempat kediaman mereka supaya keadaan hidup tersebut tidak mengganggu keinginan mereka untuk membuat perubahan. Anak-anak yang ramai  perlu diberi peluang ke sekolah supaya masa hadapan diri dan keluarga mereka dapat berubah. Kerajaan negeri juga perlu melakukan proses intervensi kepada penghuni dewasa melalui aktiviti sara diri yang dapat menjana pendapatan. Mereka juga perlu didedahkan dengan persekitaran yang lebih positif seperti bergaul dengan masyarakat sekitar dan juga sedia menerima lawatan dari pemimpin-pemimpin masyarakat yang ingin membantu mereka.

Pusat pembangunan komuniti yang boleh kita contohi adalah yang berlaku Indonesia. Di sesetengah kawasan, pemimpin komuniti bersama-sama komuniti bertindak membantu ahli-ahli mereka yang miskin melalui program-program keusahawanan yang dicetuskan oleh ahli-ahli dalam komuniti sendiri. Antara program keusahawanan adalah kraftangan yang mana bahan-bahan untuk membuat kraftangan ini diambil daripada barang-barang terbuang yang dikitar semula. Seterusnya mereka ini dibimbing untuk menghasilkan produk kraftangan yang menarik dan hasil kraftangan ini dipasarkan di kawasan-kawasan yang berpotensi mendapat sambutan. Semua ini dilakukan oleh komuniti  setempat berdasarkan kepercayaan bahawa komuniti yang bertanggungjawab membuat perubahan hidup kepada ahli-ahli yang miskin dan terpinggir.

Namun di Malaysia, usaha-usaha seperti ini banyak di pertanggungjawabkan kepada kerajaan di pelbagai agensi sosial dan kebajikan. Peranan komuniti tidak begitu ketara kerana kita tidak didedahkan dengan konsep pembangunan komuniti yang bertanggungjawab. Di sinilah peranan pemikir-pemikir dalam kerajaan untuk membuat perubahan dalam membangunkan negara kita melalui pembangunan komuniti. Walaupun kita agak berjaya dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan tetapi kita masih gagal untuk menggerakkan ahli-ahli komuniti memiliki kesedaran untuk membantu komuniti setempat supaya kelompok miskin yang ada dalam komuniti itu dapat dibantu dan dikeluarkan daripada kemiskinan hidup.

Kita perlu lebih ramai orang untuk melibatkan diri dalam pembangunan komuniti yang mengambil peduli apa yang sedang dihadapi oleh komuniti sendiri. Jika perlu kerajaan boleh menggerakkan latihan kepada pemimpin-pemimpin komuniti tentang bagaimana hendak mengenal pasti kelompok miskin dan perlukan bantuan. Latihan ini melibatkan agensi bantuan sosial yang bertugas membantu kumpulan sasar membuat saraan hidup sendiri dengan sedikit bantuan awal. Melalui gandingan tenaga, kelompok miskin yang dikenal pasti berupaya dikeluarkan dari kemiskinan.


Wednesday, August 01, 2018

Hayat akhbar Utusan








Hayat akhbar Utusan Malaysia di institusi pendidikan di Malaysia berakhir apabila Kementerian Pendidikan melarang akhbar berkenaan diedarkan di sekolah, kolej dan universiti yang berada di bawah kelolaan kementerian itu. Punca utama tindakan ini dilaksanakan adalah kerana akhbar berkenaan kerap memperlekeh usaha-usaha kerajaan Pakatan Harapan. Laporannya juga dilihat berat sebelah dan boleh mencetuskan konflik.

Apakah pula tindakan akhbar itu selepas ini?

Jualan akhbar terbitan berkenaan yang lain seperti Kosmo! juga bakal terkesan. Di universiti awam, Kosmo! dijual pada harga 60 sen senaskah, itu pun masih belum mampu menarik pembeli untuk membeli kerana kandungan berita yang kurang menarik.

Sebagai pemerhati dalam perkembangan politik negara, kita melihat tindak balas kerajaan Pakatan Harapan ini berpunca daripada tindakan akhbar berkenaan yang melaporkan isu-isu sensitif hubungan kaum dan personalitinegatif semasa kempen pilihan raya lalu. Tanpa segan silu dan berselindung, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan pelbagai laporan yang merendah-rendahkan keupayaan pemimpin Pakatan Harapan sehingga menimbulkan kejemuan pembaca.

Sikap dan pengetahuan pembaca telah berubah hari ini. Perubahan ini seiring dengan perkembangan teknologi khususnya media sosial yang lebih pantas dan rasional. Boleh dikatakan majoriti orang dewasa di Malaysia mendapat akses yang mudah dan pantas apabila mendapat pautan pada WhatsApp dan sebagainya.

Laporan yang berat sebelah hanya merendahkan keupayaan pembaca untuk berfikir dan memberi kepercayaan mereka.

Apakah strategi akhbar itu selepas ini?

Di samping jualan yang merudum dan kontrak kerajaan yang berkurangan, mereka harus berfikir lebih banyak supaya empayar yang dibina bersama UMNO akan terus relevan. Barangkali boleh membuka perkhidmatan percetakan di luar negara melalui proksi, menjual saham kepada kerajaan Pakatan Harapan ataupun mengubah corak pemberitaan supaya lebih matang dan bersifat eksklusif iaitu laporan yang membuat pembongkaran isu-isu negara supaya masyarakat dapat menilai urusan pentadbiran negara.

Sepuluh tahun lalu kumpulan Utusan aktif mencetak pelbagai jenis buku namun cetakan buku ilmiah semakin berkurangan sedangkan pasaran buku untuk ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu semakin diperlukan. Tabiat membaca rakyat Malaysia juga semakin baik dan peluang ini boleh digunakan oleh Utusan untuk kembali membanyakkan terbitan ilmiah sehingga ke luar negara.

Kita boleh katakan banyak isu dan konflik antara kaum diambil peduli oleh akhbar Utusan Malaysia namun suasana telah berubah. Mereka juga perlu berubah dalam mengguna pakai pendekatan pelaporan kerana kerajaan baru tidak mahu merencatkan pembangunan masyarakat melalui pertelagahan dan konflik kaum atau agama yang merosakan banyak perancangan.

Tindakan ini menjadi amaran kepada akhbar-akhbar lain untuk menjaga tatasusila laporan masing-masing supaya tidak merosakkan pemikiran pembaca atau mendorong pembaca untuk membuat spekulasi rambang. Sebaik-baiknya gunakan laporan yang berfakta dan beralas.

Kita tidak boleh menafikan sama sekali sumbangan akhbar-akhbar kumpulan Utusan dalam membina masyarakat dan negara khususnya ketika era awal kemerdekaan, menjaga kepentingan dan hak orang Melayu dan mempertahankan isu-isu yang berkaitan Islam di Malaysia. Barangkali corak pemberitaan hari ini telah berubah, seharusnya Utusan memikirkan kaedah terbaik untuk memberi sumbangan kepada negara. Kita tidak mahu melihat akhbar Utusan Malaysia berada di muzium yang menjadi bahan tontonan dan perbincangan yang tidak pernah habis.