Monday, September 03, 2018

Intervensi pendidikan membasmi kemiskinan







Kemiskinan di sesetengah negeri pantai timur Semenanjung Malaysia sering menghiasi media massa. Baru-baru ini sebuah keluarga yang melibatkan tiga orang adik-beradik umur 13, 11 dan 9 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan di sekolah kerana ibu bapa tidak berupaya menampung kos pengajian mereka. Maksud kos pengajian di sini ialah perkara ini tidak mampu menyediakan uniform sekolah, kos menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah, perbelanjaan makan dan minum, pembelian buku dan peralatan-peralatan pelajaran untuk meringankan bebanan.

Ibu menjual nasi lemak dan ayah bekerja menoreh getah dengan pendapatan RM500 ringgit sebulan. Kita percaya kes ini bukanlah satu-satunya kes dalam kalangan keluarga miskin yang menyebabkan anak-anak tidak bersekolah tetapi banyak lagi kes yang hampir sama melibatkan kemiskinan.

Keluarga Miskin sering kali terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan yang menjerat kehidupan mereka. Jika si ayah bekerja sebagai penoreh getah, anak-anak juga cenderung menjadi penoreh getah kerana kitaran ganas meletakkan keinginan untuk berubah pada tahap yang sangat rendah. Kitaran ini mewujudkan pemikiran was-was terhadap perubahan hidup yang lebih baik kerana persekitaran miskin yang membisikkan kepada mereka bahawa perubahan hidup tidak akan berlaku dan mereka kekal dengan kehidupan sedia ada.

Bagi mengubah kitaran ganas, sesuatu tindakan perlu dilakukan terhadap kitaran tersebut. Dua ejen yang paling berpengaruh untuk memecahkan kitaran ini adalah komuniti dan kerajaan. Kedua-duanya mempunyai peranan langsung untuk meleraikan kitaran ganas dalam keluarga supaya generasi yang seterusnya bebas daripada kongkongan kemiskinan dan kemelaratan hidup.

Peranan komuniti mungkin kurang besar tetapi amat penting. Caranya ialah melaporkan keluarga miskin kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Keprihatinan komuniti ini menjadi langkah awal meleraikan kitaran ganas. Individu yang terdekat dengan keluarga berkenaan boleh memaklumkan ketua kampung untuk memanjangkan keadaan hidup mereka kepada pihak berkuasa atau media supaya akan ada tindakan susulan. Biasanya di Malaysia, apabila terdapat kes-kes kemiskinan yang dipaparkan di media, bantuan lebih cepat diberikan oleh pelbagai pihak khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Selain komuniti kampung, peranan komuniti awam juga sangat berkesan. Maksud komuniti awam ialah masyarakat umum yang prihatin dengan kemiskinan keluarga akan mula bertindak memberi bantuan. Contoh keprihatinan masyarakat awam ialah terdapat syarikat ataupun organisasi yang menawarkan perkhidmatan mereka untuk membantu keluarga seperti menawarkan khidmat membaiki rumah, membekal barangan keperluan harian, membayar yuran persekolahan ataupun memberi pekerjaan kepada ahli keluarga. Peranan komuniti awam seperti ini kurang popular dalam masyarakat kita kerana budaya membantu belum lagi menjadi sebahagian daripada lumrah dalam masyarakat.

Kerajaan berperanan besar membantu meleraikan kitaran ganas dengan menawarkan bantuan elaun bulanan, pembiayaan bayaran yuran persekolahan atau mengecualikan bayaran perkhidmatan kesihatan yang boleh menjadi contoh bagaimana kemiskinan boleh dihentikan. Namun peranan terbesar kerajaan adalah memberikan pendidikan kerana kebaikan hidup ataupun perubahan hidup boleh berlaku dalam tempoh yang lebih pendek melalui pendidikan.

Antara inisiatif ini adalah kerajaan boleh menyediakan insentif pendidikan melalui penawaran biasiswa atau menghantar anak-anak dari kalangan keluarga miskin ke pusat-pusat latihan kemahiran supaya mereka mendapat kemahiran baru dan perspektif baru tentang kehidupan mereka

Menjadikan pendidikan sebagai instrumen utama melerai kitaran ganas telah diguna pakai oleh banyak negara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun. Sesebuah keluarga miskin dapat mengubah status hidup mereka kepada keluarga yang lebih baik dan terkeluar daripada perangkap kemiskinan. Kerajaan dan komuniti boleh mencari jalan untuk berganding bahu membantu keluarga miskin keluar daripada kehidupan miskin mereka dengan memastikan anak-anak muda dalam keluarga berkenaan mendapat pendidikan asas dan peluang-peluang pendidikan kemahiran supaya mereka dapat mengubah kehidupan sedia ada.

No comments:

Post a Comment