Laporan media berkaitan kemiskinan yang dihadapi
lima buah keluarga yang mendiami sebuah rumah di Pendang, Kedah amat
mengejutkan kita. Di dalam rumah tersebut terdapat 32 orang yang tinggal berhimpit-himpit
antara satu sama lain.
Kenapa keadaan ini boleh berlaku?
Kemiskinan merupakan satu simptom kepada kelemahan
dalam pengurusan komuniti. Maksudnya
ialah, komuniti gagal memastikan ahli dalam kumpulan mereka mendapat pembelaan
untuk mengubah keadaan hidup yang dihadapi. Dalam kes ini, komuniti setempat
tidak dapat membantu keluarga ini mungkin kerana komuniti juga berhadapan
dengan situasi yang serupa. Perubahan tidak dapat dilakukan kerana secara
keseluruhan keadaan hidup komuniti hampir sama sepertimana yang dihadapi oleh
keluarga berkenaan.
Manakala pemimpin komuniti tidak mendapat maklumat sebenar
berkaitan keadaan hidup lima keluarga berkenaan. Barangkali
pemimpin-pemimpin tersebut tidak memiliki strategi yang berkesan untuk
mendapatkan maklumat berkaitan keadaan hidup kelompok yang dikategorikan
sebagai miskin dalam lingkungan mereka. Barangkali juga pemimpin-pemimpin
itu tidak dapat memberikan masa mereka menjenguk keadaan hidup sebahagian
daripada kelompok masyarakat kurang bernasib baik.
Banyak agensi kerajaan yang sedia ada tidak menang
tangan mencari masyarakat miskin di Kedah apatah lagi di kawasan luar bandar dan
terpencil. Mungkin juga kegagalan dalam melaksanakan tugas yang diberikan
sehinggakan ada kelompok yang tercicir daripada sasaran. Justeru, di sinilah
pentingnya peranan media untuk menyiarkan masalah yang dihadapi oleh keluarga
berkenaan. Kita lihat sebaik sahaja kisah ini disiarkan media, muncullah wakil
dari organisasi kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan yang menunjukkan
kecaknaan mereka membantu ahli-ahli keluarga di rumah berkenaan. Nampaknya
laporan media sangat berkesan untuk mengenengahkan isu-isu kemiskinan yang
dihadapi oleh sebahagian daripada masyarakat kita.
Apa yang berlaku di Pendang, Kedah itu menunjukkan
bahawa pendidikan tidak menjadi keutamaan kepada sebahagian daripada komuniti
miskin untuk mengubah keadaan hidup sedia ada. Pada awal abad ke-20, kita
dapati salah satu strategi yang diguna pakai oleh banyak negara yang baru merdeka
ialah menggunakan pendidikan sebagai batu loncatan untuk memajukan negara
dengan memperkasa rakyat mereka. Malaysia adalah antara negara yang
memperuntukkan banyak wang bagi membangunkan sektor pendidikan dari peringkat
prasekolah sehingga ke universiti. Malahan pada hari ini mereka yang hendak
melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran turut diberi peluang
berbuat demikian melalui pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan
sendiri. Manakala sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dalam keadaan dhaif
telah diberi peruntukan naik taraf supaya para pelajar dapat mengikuti pelajaran
mereka dalam keadaan selesa.
Ada sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil di
Perak iaitu sekolah yang tidak jauh dari kawasan rehat dan rawat Sungai Perak
yang suatu masa dulu sangat dhaif keadaannya telah menjadi lebih baik, cantik
dan menarik apabila kerajaan membuat keputusan untuk membantu infrastruktur
sekolah itu.
Kadar kemiskinan di Malaysia berada pada kadar 0.6 peratus
yang menunjukkan kepada kita bahawa kemiskinan adalah satu keadaan hidup yang
boleh diubah. Berbanding keadaan masyarakat kita sebaik sahaja kita merdeka
dahulu, kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk Malaysia berada di
sekitar 40 hingga 50 peratus. Maksudnya ialah rata-rata rakyat Malaysia pada
masa tersebut berada dalam kelompok miskin. Namun pembangunan negara yang
mengambil kira pendidikan sebagai satu strategi intervensi kerajaan, kadar
kemiskinan tersebut berkurangan dari semasa ke semasa sehinggalah sekarang. Bagaimanapun
dalam pada itu masih juga terdapat golongan yang terpinggir dan terpisah dari
arus pembangunan yang menyebabkan mereka tidak mendapat peluang kepada akses perubahan
hidup ini.
Barangkali ada faktor-faktor yang menyebabkan
kenapa keadaan ini berlaku seperti budaya hidup yang melingkari keluarga berkenaan dari satu
generasi ke satu generasi. Budaya hidup yang dimaksudkan ialah set pemikiran
yang menerima keadaan hidup miskin tidak dapat diubah. Jika mereka hidup
sebagai seorang petani ataupun penoreh getah, set pemikiran yang wujud pada
diri mereka adalah kehidupan sebagai petani atau penoreh getah tersebut tidak
dapat ditukar. Justeru, pemikiran begini menyebabkan ibu bapa tidak mengambil
inisiatif ataupun berusaha menghantar anak-anak ke sekolah untuk mendapat
pendidikan. Mereka lebih cenderung mengajak anak-anak pergi ke sawah atau ke
kebun getah untuk membantu mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang diwarisi. Akhirnya
anak-anak membesar tanpa mendapat peluang pendidikan yang sememangnya
disediakan oleh kerajaan disebabkan oleh set pemikiran yang kurang produktif
disebabkan budaya hidup yang telah lama berakar umbi.
Dalam kes kemiskinan di Pendang, Kedah ini, peranan
ahli-ahli dalam komuniti sangat penting. Seseorang yang berpengaruh ataupun
memiliki kesedaran untuk mengubah keadaan hidup keluarga seharusnya bertindak
segera dengan menawarkan peluang pekerjaan dan juga mengubah tempat kediaman
mereka supaya keadaan hidup tersebut tidak mengganggu keinginan mereka untuk
membuat perubahan. Anak-anak yang ramai
perlu diberi peluang ke sekolah supaya masa hadapan diri dan keluarga
mereka dapat berubah. Kerajaan negeri juga perlu melakukan proses intervensi
kepada penghuni dewasa melalui aktiviti sara diri yang dapat menjana
pendapatan. Mereka juga perlu didedahkan dengan persekitaran yang lebih positif
seperti bergaul dengan masyarakat sekitar dan juga sedia menerima lawatan dari
pemimpin-pemimpin masyarakat yang ingin membantu mereka.
Pusat pembangunan komuniti yang boleh kita contohi
adalah yang berlaku Indonesia. Di sesetengah kawasan, pemimpin komuniti
bersama-sama komuniti bertindak membantu ahli-ahli mereka yang miskin melalui
program-program keusahawanan yang dicetuskan oleh ahli-ahli dalam komuniti
sendiri. Antara program keusahawanan adalah kraftangan yang mana bahan-bahan
untuk membuat kraftangan ini diambil daripada barang-barang terbuang yang
dikitar semula. Seterusnya mereka ini dibimbing untuk menghasilkan produk
kraftangan yang menarik dan hasil kraftangan ini dipasarkan di kawasan-kawasan
yang berpotensi mendapat sambutan. Semua ini dilakukan oleh komuniti
setempat berdasarkan kepercayaan bahawa komuniti yang bertanggungjawab membuat
perubahan hidup kepada ahli-ahli yang miskin dan terpinggir.
Namun di Malaysia, usaha-usaha seperti ini banyak
di pertanggungjawabkan kepada kerajaan di pelbagai agensi sosial dan kebajikan.
Peranan komuniti tidak begitu ketara kerana kita tidak didedahkan dengan konsep
pembangunan komuniti yang bertanggungjawab. Di sinilah peranan pemikir-pemikir
dalam kerajaan untuk membuat perubahan dalam membangunkan negara kita melalui
pembangunan komuniti. Walaupun kita agak berjaya dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan
tetapi kita masih gagal untuk menggerakkan ahli-ahli komuniti memiliki
kesedaran untuk membantu komuniti setempat supaya kelompok miskin yang ada
dalam komuniti itu dapat dibantu dan dikeluarkan daripada kemiskinan hidup.
Kita perlu lebih ramai orang untuk melibatkan diri
dalam pembangunan komuniti yang mengambil peduli apa yang sedang dihadapi oleh
komuniti sendiri. Jika perlu kerajaan boleh menggerakkan latihan kepada pemimpin-pemimpin
komuniti tentang bagaimana hendak mengenal pasti kelompok miskin dan perlukan
bantuan. Latihan ini melibatkan agensi bantuan sosial yang bertugas membantu
kumpulan sasar membuat saraan hidup sendiri dengan sedikit bantuan awal.
Melalui gandingan tenaga, kelompok miskin yang dikenal pasti berupaya dikeluarkan
dari kemiskinan.
No comments:
Post a Comment