Friday, November 18, 2011

UPSR, Terengganu ada 3 resepi


Terengganu unggul sekali lagi dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010. Sudah sebelas tahun berturut-turut pelajar-pelajar tahun enam yang berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang ini, suatu rekod yang mesti dicemburui oleh negeri-negeri lain. Kegembiraan jelas terbayang di wajah para pelajar dan turut dirai oleh guru dan ibu bapa. Sambil memegang kertas keputusan peperiksaan, ada pelajar yang menitiskan air mata gembira, mengucapkan tahniah sesama sendiri dan memeluk erat rakan-rakan di sekitar mereka.

Terengganu diletakkkan sebagai negeri kedua paling miskin selepas Sabah. Namun kemiskinan ini tidak menghalang para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh, merealisasikan harapan ibu bapa dan guru serta menyemarakkan cita-cita tinggi untuk mengubah masa depan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin turut teruja dengan kejayaan dan pencapaian pelajar dalam UPSR kali ini merumuskan bahawa terdapat nilai-nilai kecemerlangan yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain. Umumnya, meraih kecemerlangan perlukan kerja kuat, masa yang lebih banyak untuk mengulangkaji dan tumpuan khusus kepada teknik menjawab soalan. Dalam kes Terengganu, kita boleh meletakkan kejayaan pelajar kepada tiga faktor utama. Pertama, membangunkan sepenuhnya modal insan. Kedua, meningkatkan sokongan melalui modal sosial dan ketiga, menggerakkan fungsi struktural sebagai pelengkap kepada pencapaian yang cemerlang.

Pelajar adalah modal insan yang diberi perhatian. Mereka didedahkan dengan ciri-ciri kecemerlangan, teknik menjawab soalan dan jati diri yang kental. Pemikiran mereka ditanam dengan jiwa perjuangan supaya tidak mudah kalah untuk bersaing merebut kejayaan. Individu yang menjadi tumpuan ini ditatang sebaik-baiknya supaya tidak mudah alah kepada serangan minda yang melemahkan daya juang.

Ibu bapa dan guru adalah modal sosial yang banyak mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku pelajar. Sokongan lisan dan dorongan jiwa sentiasa memberikan perangsang kepada pelajar untuk mengekalkan usaha mereka. Mungkin ada ibu bapa yang menemani anak ketika belajar sehingga dua tiga jam supaya anak tidak berasa keseorangan. Ada ibu bapa yang tidak berkira dengan wang ringgit apabila menghantar anak-anak ke kelas tuisyen setiap malam. Ada pula yang menghantar anak-anak ke kursus kemahiran belajar supaya dapat menjawab peperiksaan mengikut teknik yang betul. Pendek kata, ibu bapa sanggup bersama-sama dengan anak-anak seolah-olah mereka pula yang akan menduduki peperiksaan. Kesedaran beginilah yang patut ada dalam diri ibu bapa supaya masa depan anak-anak akan terjamin dengan mendapat keputusan yang cemerlang.

Peranan guru sangat penting. Didikan guru membentuk karektor dan cara fikir pelajar. Tentulah kecemerlangan pelajar di Terengganu dipelopori oleh guru-guru yang memiliki cara fikir juara. Guru juga bertungkus lumus memberi pengajaran dan kefahaman supaya pelajar dapat berfikir ketika menjawab peperiksaan, bukannya meminta pelajar menghafal kandungan buku teks. Keupayaan guru mengenal pasti masalah dan keperluan menjadi nadi kepada tindakan ibu bapa untuk mengambil tindakan seterusnya.

Jabatan pelajaran negeri dan kerajaan negeri berfungsi sebagai fungsi struktural iaitu memberi bantuan secukupnya kepada pelajar untuk selesa dengan proses pembelajaran. Bantuan dan sokongan kewangan, tenaga pengajar dan program peneguhan jati diri menjadi ramuan kepada kejayaan pelajar UPSR seluruh Terengganu.

Gabungan modal insan, modal sosial dan fungsi struktural dilihat menjadi faktor kepada kejayaan mengekalkan keputusan yang cemerlang pada tahun ini. Apa yang penting ketika ini ialah mengekalkan usaha yang telah disediakan supaya momentum kejayaan akan terus disambar pada tahun depan. 

Tuesday, November 15, 2011

Mencari penyelesaian masalah


Setiap minggu terdapat sekurang-kurangnya satu isu besar berkaitan masyarakat yang berunsur negatif. Baru-baru ini satu kelompok yang bergerak atas platform hak asasi manusia telah menghebohkan program mereka kepada umum. Ternyata penganjur Seksualiti Merdeka 2011 telah berani mendedahkan kegiatan yang dikatakan telah dimulakan sejak tahun 2008. Mereka berhasrat mengenengahkan isu-isu yang dihadapi oleh kelompok lesbian, biseksual, gay dan pondan untuk mendesak masyarakat menerima amalan songsang dalam kehidupan harian, tempat kerja dan aktiviti yang dianjurkan.

Ketegasan kerajaan menghalang penganjuran ini telah menyelamatkan masyarakat umum daripada dipaksa menerima amalan yang tidak bermoral dan sedang berkembang biak di sebelah barat. Begitu juga penegasan pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin dan individu-individu yang memperjuangkan keharmonian masyarakat telah dapat melumpuhkan seketika minat masyarakat terasing terhadap akhlak yang menyebabkan masyarakat Nabi Nuh a.s dimusnahkan Allah swt.

Minggu ini pula heboh tentang kumpulan kongsi gelap yang bergelar ‘Genki Seven’ yang dikatakan diketuai seorang pemuda Melayu. Keberanian kelompok ini membuat program secara terbuka untuk mencari pengikut sangat menghairankan kerana kenapa begitu mudah orang ramai terjebak dalam kegiatan kongsi gelap ini. Sejauhmana parahnya masyarakat kita untuk hidup dalam suasana harmoni dan beragama? Adakah dengan menganggotai kongsi gelap semua masalah hidup akan selesai? Andai kata semakin ramai golongan muda-mudi memilih kongsi gelap dan kelompok songsang sebagai kelompok sandaran, sedikit demi sedikit masyarakat akan berkembang menjadi sebuah komuniti yang rosak dan senget sebelah. Tidak tahu ke mana hendak dituju dan mendedahkan negara kepada penjajahan bentuk baru khususnya pemikiran dan budaya.

Malaysia telah menjangkau 55 tahun merdeka negara tetapi belum tentu dapat mempertahankan kemerdekaan fikiran, jiwa dan jati diri. Kita masih lagi bergelut dengan bebagai-bagai masalah yang belum menunjukkan kehebatan kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Jika rakyat Tunisia, Mesir dan Libya meraikan kebebasan daripada cengkaman pemimpin negara yang rakus dan sombong, rakyat Malaysia sedang berusaha membebaskan diri daripada memandang rendah bahasa sendiri.

Nasib bahasa Melayu belum tentu akan cemerlang pada masa depan biarpun orang luar mengakui bahasa ini pernah menjadi bahasa perdagangan suatu masa dulu. Bahasa ini jugalah yang menjadi penyatu dan penghubung perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Indonesia.  Kelompok yang ingin meletakkan bahasa Melayu di samping dalam pendidikan negara tentu tidak bepuas hati apabila kerajaan tidak mewajibkan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik di sekolah. Mereka terus mendesak kerajaan untuk melaksanakan dasar ini yang ternyata telah gagal di Indonesia. Apakah yang mereka mahu sebenarnya?

Isu-isu masyarakat akan terus muncul satu demi satu setiap masa. Pelbagai ragam dan cara supaya pemikir-pemikir dan bijak pandai akan teus memberi penyelesaian yang adakalanya sebagai ubat dan ada kalanya sebagai racun. Melihat kepada masalah dan mencari punca kepada masalah adalah mudah tetapi mencari penyelesaian hakiki adalah yang paling susah.

Monday, November 14, 2011

JKM dapati pengasingan pelajar bijak, kurang pandai faktor kecewa





Pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas tercorot dikenal pasti antara punca kanak-kanak berumur antara 10 hingga 18 tahun terbabit jenayah. Ini disebabkan faktor pengaruh negatif rakan sekelas yang boleh mewujudkan persekitaran tidak kondusif untuk pembangunan mental mereka.

(Berita Harian, 14 November 2011)

Ulasan orang ramai dari laman sesawang Berita Harian.

alexandria estrada;
yang mendidik dan mengajar. 2 perkara berbeza. yang mengajar adalah guru di sekolah, yang mendidik adalah ibu bapa di rumah. berapa ramai ibu bapa kejutkan anak2 "nak, bangun solat subuh" dengan "nak, bangun, nak pegi skolah". jgn salahkan sekolah. susur semula kehidupan seharian pelajar.

rakyat malaysia;
sy rs pihak skolah or kementerian pndidikn perlu kaji isu ini,sbb mngikut pngalamn sy masa masih bljr di sekolah dulu,mmg xptt dipinggirkn plajar yg kurang baik kptsn pelajarannye,sbb mereka akn trs trsisih,brcampur dgn rakan sptnye shj,so smp bile2 pun mereka xkn maju.sy ada sorg kwn,dia brada di kelas blkg sdikit dr sy dan rakan2 yg lain..tp skrg dia antara kwn kami yg paling brjaya.apabila kami bljr brkumpulan,dia ikut bljr skali..scara xlgsung mmbantu dia utk ske bljr n akhirnye brjaya..guru perlulah pndai mnilai seseorg pljr itu..smoga remaja2 trutama pljr2 di malaysia trs maju n brjaya..amin..

kamariah;
Setuju. Tumpuan cikgupun kurang dan tidak membina. Sepatutnya mereka perlu dipupuk dan diberi penekanan agar keseimbangan tidak ketara. bila hujung tahun murid udah malas nak pergi sekolah alasan cikgu tidak mengajar dan kerap tiada disekolah. Bagi kelas yang cerdik... cikgu bagi tumpuan untuk persiapan tahun depan.

mohmad shalan bin jasman;
Pengasingan pelajar bijak dengan kurang bijak perlu dilakukan untuk pencapaian prestasi lebih tinggi. Isu sebenar bukan pengasingan tersebut; tetapi sejauh mana para guru dapat berlaku adil kepada pelajar di kelas kurang cemerlang. Sekiranya komitmen dan kesungguhan guru dikedua-kedua posisi tersebut seimbang, saya percaya kita mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang disetiap sekolah. Masalahnya berapa ramai guru yang seronok mengajar murid bodoh berbanding murid pandai?

Soal pengasingan kelas corot bagi pelajar kurang bijak menjadi punca jenayah pelajar terlalu subjektif untuk dibuat rumusan. Soal yang patut ditekankan adalah setakat mana mereka mendapat bimbingan yang betul ke arah menjadikan mereka modal insan yang berkualiti. Isu ini melibatkan semua pihak dan tidak adil meletakkan siatem sekolah sebagai satu-satunya punca. Senangnya hidup ini kalau macam ini cara kita berfikir....


mail;
JKM kena pasti betul punca sebenar kanak-kanak melakukan/terbabit dalam jenayah tidak boleh disalahkan sepenuhnya ke Sekolah.Keluarga kena tahu juga kelakuan anak-anak kerana separuh masa mereka berada dirumah.Bagi saya anak-anak yang melakukan/terbabit dengan jenayah kerana masalah kedudukan kewangan,keluarga dan pengaruh dari media masa seperti filem/internet dan berbagai-bagai pengaruh disekeling

Azman;
sistem pendidikan negara telah 'berjaya' menjelmakan jarak atau 'gap' antara pelajar pandai dan mereka yang kurang bijak dalam pelajaran dan peperiksaan. Keadaan semakin parah dengan pengenalan Sek Berprestasi Tinggi yg sebenarnya menimbulkan 'ego' di kalangan ibu bapa dalam memilih sekolah dan melahirkan pengetua yg tamak mengejar nama dan pangkat dengan menggadaikan nasib pelajar yang kurang pencapaian dalam pelajaran. Selain itu, waktu sekarang terdapat golongan guru yg memilih pekerjaan itu kerana gagal mendapatkan pekerjaan lain, maka mereka seperti ini selalu bersikap sambil lewa dalam mengajar. Pada masa hadapan, ianya bukan saja melahirkan generasi yang berada pada status yg jauh berbeda, tetapi juga menyebabkan sektor2 pekerjaan berasaskan kemahiran seperti pekerjaan kelas kedua di Malaysia. Pengalaman di sekolah rendah anak saya di Sentul, KL menyaksikan tumpuan lebih diberikan kepada kelas murid-murid cerdik pandai dan kurang kepada kelas yg ke bawah dan seterusnya. Anak saya menjadi mangsa gara-gara kesilapan guru yg salah menulis dalam laporan penyata markah sebenar yg diperoleh oleh anak saya, dia diletakkan dalam kelas yg pertengahan walaupun sepatutnya dia masuk dalam kelas 'istimewa' tadi. Guru enggan membetulkan kesilapan markah tersebut - inilah yg saya maksudkan dengan adunan guru yg sambil lewa dan sistem pendidikan sekarang yang menyesakkan.

azrulms;
Rasional pengasingan pelajar mengikut tahap pencapaian akademik adalah bagi memudahkan sesi pengajaran. Pada pandangan saya polemik keterlibatan pelajar dengan jenayah berakar umbi kepada permasalahan keluarga atau lebih tepat dinyatakan sebagai kepincangan ibubapa mendidik anak-anak. Ibubapa yang prihatin akan masa depan anak-anak mereka memberi penekanan kepada penerapan nilai agama dan pencapaian akademik anak-anak mereka seawal usia mereka 5 tahun dan lebih perhatian diberikan semasa anak-anak meningkat remaja. Pertimbangan dangkal dengan menghantar anak-anak ke sekolah dan memberi mereka wang saku sambil mengharapkan usaha mendidik anak-anak mereka terpikul di bahu guru-guru semata-mata. Justeru kelemahan ibubapa mendidik anak-anak menjadi insan terpelajar dengan sahsiah yang wajar, dilihat menyumbang kepada peningkatan indeks keterlibatan pelajar dengan jenayah. Berpaksi kepada kenyataan tersebut, seharusnya penekanan memperkasakan institusi kekeluargaan dan meningkatkan rasa kebertanggangjawaban ibubapa dilihat sebagai mekanisme yang perlu diberi lebih penekanan. Tambahan lagi, mencampuradukkan para pelajar yang komited mengejar cita-cita dengan rakan-rakan sebaya yang berkiblatkan keseronokan semata-mata bukan hanya akan menyukarkan pengajaran lantaran tahap pemikiran yang tidak tara malah mempunyai implikasi para pelajar yang dedikasi yang lebih sedikit bilangannya akan luntur keazaman mereka akibat pengaruh rakan-rakan khalayak yang cenderung berpoya-poya.

yulai julaidi;
Saya tertarik dengan pengasingan pelajar bijak dan pelajar yang mempunyai prestasi yang tidak memuaskan malah memiliki masalah disiplin. Apa yang sedang dihadapi ketika ini dan telah berlaku sejak dahulu lagi, seolah-olah telah menjadi satu tradisi sekian lama. Pihak sekolah mengasingkan kemampuan pelajar mengikut kelas yang tertentu. Jika diperhalusi, kehadiran pelajar yang bermasalah dari aspek pembelajaran dan memiliki masalah disiplin kerap diletakkan di kelas 'belakang'. senario ini berlaku disebabkan bagi mengelakkan nila setitik rosak susu sebelanga. Kepada pihak yang perihatin, kebanyakkan pelajar yang memiliki akademik yang rendah lebih cenderung kepada kemahiran. Bagi menjayakan kecemerlangan institusi pendidikan, seharusnya mata pelajaran berbentuk praktikal diperluaskan di semua lapisan sekolah ibarat alang-alang mandi biar basah. Tidak terkecuali persaingan menjenamakan sekolah berprestasi tinggi dengan ganjaran yang dijanjikan menjadikan pelajar 'pandai' diberikan tumpuan istimewa dalam mana-mana sekolah manakala pelajar 'kurang' pandai menjadi anak tiri. Natijahnya, kurikulum perlu diubah dengan segera. Lain keris lain pedang, lain dulu lain sekarang. Kajian dan program berkesan diperingkat akar umbi perlu dilaksanakan selaras dengan kemampuan pelajar yang berlainan tahap kecerdasan dan kecergasannya. Harap dikongsi bersama.

Saturday, November 12, 2011

Kelebihan Sayyidina Abu Bakar






Sayyidina Abu Bakar As Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling rapat. Semasa baginda SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah SAW. Tidak lama selepas penghijrahan berlaku, Rasulullah SAW mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aisyah. Pernah menjadi kaya, beliau juga dikenang kerana jasanya membebaskan beberapa orang hamba yang beragama Islam daripada tuan yang kafir termasuk Bilal bin Rabah. Abu Bakar juga merupakan salah seorang yang pertama memeluk agama Islam. Ciri-ciri yang ada padanya ialah sifat jujur, berbudi pekerti, adil dan tegas.

Abu Bakar dilahirkan dua tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW. Mendapat gelaran ‘as siddiq’ kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah SAW. Peristiwa yang menyebabkannya mendapat gelaran ini ialah ketika berlaku Israk dan Mi’raj kepada Rasulullah SAW iaitu apabila ramai yang menganggap cerita berkenaan adalah dusta, Sayyidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Menjadi khalifah pertama

Semasa Rasulullah SAW sedang sakit tenat, baginda mengarahkan Sayyidina Abu Bakar mengimamkan solat jemaah. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Sayyidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah yang pertama. Perlantikan in mendapat tentangan daripada kelompok yang mahu melantik Sayyidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Sayyidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah SAW. Golongan Syiah dari keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Abu Bakar. Namun tentangan ini berakhir apabila Sayyidina Ali membai’ah atau memberikan ikrar taat setia kepada Abu Bakar.

Peperangan Islam-Riddah

Masalah mulai timbul apabila Sayyidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Keadaan seperti ini menggugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak Arab yang memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat dan ada pula yang kembali menyembah berhala dan mengikut tradisi lama masing-masing. Golongan ini mendakwa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW dan memandangkan baginda telah wafat, maka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan menganggap telah bebas. Sayyidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja perlu menyatakan taat setia kepada seorang pemimpin malah menjadi sebahagian daripada umat muslimin. Ada antara mereka yang menghina agama Islam dengan mengangkat diri sebagai nabi dan rasul. Salah seorang yang mendakwa diri sebagai nabi ialah Musailamah Al Kazzab yang telah berjaya ditumpaskan oleh Khalid Al Walid dalam satu pertempuran.
Bagi menumpaskan penghinaan ini, Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar Riddah. Inilah permulaan peperangan antara Islam dan Riddah.

Ekspedisi ke utara

Selepas berjaya mengurangkan golongan Riddah, Sayyidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi kerajaan Byzantine (Rom Timur) dan empayar Parsi. Khalid Al Walid berjaya berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen yang digerakkan oleh Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada perang Riddah. Namun hal ini sangat mengelirukan kerana kebanyakan golongan Riddah tinggal di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.
Pengumpulan al quran

Ahli sejarah berpendapat, selepas siri peperangan Islam-Riddah, ramai yang mahir menghafal al quran telah terbunuh. Umar Al Khattab meminta Sayyidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktiviti pengumpulan semula ayat-ayat al quran. Sayyidina Othman kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan berkenaan sebaik sahaja menjadi khalifah.

Kewafatan Sayyidina Abu Bakar

Sayyidina Abu Bakar wafat pada Isnin, Jamadil Awwal tahun 13 Hujrah di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai punca kematian. Pertama, dikatakan kerana keracunan dan kedua, meninggal dunia kerana sebab-sebab yang biasa. Sebelum wafat, beliau menggesa masyarakat Islam menerima Sayyidina Umar Al Khattab sebagai khalifah yang baru. Selepas wafat, beliau disemadikan di sebelah makam Nabi Muhammad di Masjid An Nabawi, Madinah.

Sumbangan Sayyidina Abu Bakar

Walaupun hanya sempat menjadi khalifah selama dua tahun (632-634 Masihi), beliau berperanan besar mengembangkan agama Islam. Antara kejayaannya yang penting ialah menumpaskan golongan Riddah yang murtad dan mengaku sebagai nabi. Beliau juga memulakan usaha pengumpulan al quran dan berjaya meluaskan pengaruh agama Islam.

Hadis-hadis berkaitan kelebihan Sayyidina Abu Bakar

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan Sayyidina Abu Bakar sebagai orang penting dalam permulaan Islam. Antaranya ialah berkaitan Rasulullah SAW memilih Abu Bakar sebagai kekasihnya, menjadi lelaki pertama yang dicintai Rasulullah SAW dan Abu Bakar sebagai tempat rujukan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Pertama, hadis tentang Abu Bakar sebagai kekasih Rasulullah SAW. Daripada Abu Said, katanya, ketika Rasulullah SAW berada di atas mimbar, baginda bersabda, ‘Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya sama ada beliau ingin memilih kemewahan dunia atau diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternyata beliau memilih apa yang ada di sisi Allah.’ Selepas itu Abu Bakar menangis dan berkata, ‘Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku.’ Abu Said berkata, ‘Rasulullah SAW yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘ Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku, akan tetapi beliau merupakan saudaraku dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar antara dua buah rumah untuk Abu Bakar.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua, kisah Abu Bakar yang menjadi lelaki paling dicintai Rasulullah SAW. Daripada Amru bin Al As katanya, ‘Rasulullah SAW mengutus beliau iaitu Abu Bakar untuk menghadapi tentera Zatu As Salasil. Aku bertanya baginda, siapakah orang yang paling dicintai. Rasulullah SAW menjawab , ‘Aisyah.’ Aku bertanya, ‘Siapakah pula dari orang lelaki?’ Baginda menjawab, ‘Ayahnya iaitu Abu Bakar.’ Aku bertanya lagi. Baginda menjawab, ‘Umar.’ Selepas itu Rasulullah SAW membilang nama beberapa orang sahabat yang lain. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga, pengakuan Rasulullah SAW tentang Abu Bakar sebagai tempat rujukan selepas kewafatannya. Daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada ayahnya, bahawa seorang perempuan telah bertanya Rasulullah SAW mengenai sesuatu perkara tetapi Rasulullah SAW menyuruhnya datang pada lain kali. Lalu perempuan itu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah sekiranya aku datang tetapi kamu tiada?’ Ayahku berkata, ‘Perempuan tersebut seolah-olah bermaksud jika baginda wafat.’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Sekiranya aku tiada maka temuilah Abu Bakar.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Sayyidina Abu Bakar diumpamakan seorang yang sangat penting dalam hidup Nabi Muhammad SAW. Beliau memiliki ciri-ciri amanah, setia dan sanggup berjihad, mengorbankan nyawa dan harta demi redha Allah.

Pengaruh Islam semakin luas  apabila Sayyidina Abu Bakar berjaya memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu dalam kalangan kabilah-kabilah. Kebijaksanaan politik Sayyidina Abu Bakar telah membawa perkembangan masyarakat Arab ke arah kesatuan politik dan menjadikan mereka melihat Madinah sebagai ibu kota dan sumber segala kebajikan. Disebabkan itu, harapan mereka tertumpu di situ, berlindung di bawah kekuasaan dan panji-panji tauhid.

Sayyidina Abu Bakar telah banyak menyumbang jasa dalam dakwah Islamiah. Pelbagai perkara yang telah dilakukannya. Biar pun memiliki sifat lemah-lembut, imannya tetap kuat dan kental. Dengan kekuatan iman ini, beliau telah mendorong dunia sehingga panji kebenaran mampu berkibar dan kata-katanya diakui. Sikap dan jasa baiknya itu harus diteladani dan dipraktikkan untuk kemajuan diri sendiri, masyarakat dan negara.

 

Friday, November 11, 2011

Madrasah Ikhwan Muslimin






Yusuf Al Qardhawi menulis buku “Aku dan Al Ikhwan Al Muslimin’ menceritakan pengalamannya bersama pertubuhan itu. Buku ini tebal iaitu 364 muka surat tetapi sarat dengan pengalaman dan kisah-kisah cabaran menjadi anggota Ikhwan Muslimin. Topik yang memberi impak besar kepada saya ialah ‘Pendapatku tentang Ikhwan’ pada muka surat 39. Catatan menariknya berkaitan faedah yang beliau dapat selepas lima tahun menyertai dakwah dan aktiviti Ikhwan.

Terdapat lima faedah besar untuk dirinya yang kita boleh kongsi bersama. Pertama, Ikhwan meluaskan pemikiran tentang Islam sebagai sebuah syariat hidup, bukan bersifat simbolik seperti yang difahami oleh sebahagian besar umat Islam. Kedua, kewajipan amal jama’i (kerja secara kolektif) mengembalikan kemenangan Islam melalui kata-kata, perbuatan, dakwah dan pengorbanan. Seseorang akan lemah apabila bersendirian tetapi kuat apabila beramai-ramai. Allah juga bersama dengan jemaah.

Ketiga, berubah daripada hanya seorang penasihat dan penceramah agama kepada  seorang pendakwah Islam. Beza seorang penceramah dan pendakwah sangat jelas. Penceramah agama mampu melembutkan hati, mengingatkan orang kepada kematian, menggunakan kisah-kisah, hadis-hadis motivasi dan peringatan, sedangkan pendakwah Islam mempunyai misi untuk mencerdaskan fikiran, menyentuh perasaan, menguatkan tekad, meninggikan cita-cita, mengerah tenaga, menghimpun kekuatan, menguatkan ikatan dan mengumpulkan umat Islam untuk mengorbankan segala yang termampu untuk berjuang di jalan Islam.

Keempat, bergabung dengan Ikhwan menjadikan cita-citanya besar dan global. Kehidupan dan masalah tidak berlegar di sekelilingnya malah cita-cita hidupnya adalah berkaitan dengan umat. Impiannya ialah mengusir pemikiran dan sistem serta undang-undang konvensional yang menerapkan pemikiran, sistem hukum Islam yang menggantikan tempatnya. Kelima, membebaskan mahasiswa Al- Azhar daripada terus terasing dalam masyarakat kesan daripada sistem pembelajaran yang tidak menyeluruh. Justeru tidak ada perbezaan antara seorang yang memakai serban dan memakai topi, antara seorang sheikh dan seorang guru.

Madrasah Ikhwan Muslimin telah mengubah pemikiran, sikap dan kehidupan Yusuf Al Qardhawi. Pandangannya terhadap umat menjadikannya sentiasa ghairah dan menunggu-nunggu kemenangan Islam. Usahanya luar biasa dan tidak pernah letih dengan mengajak masyarakat Islam kembali kepada kefahaman Islam yang sahih dan jelas.

Wednesday, November 09, 2011

Hebat dengan ibadah korban




Tahun ini saya menyambut Hari Raya Haji di Surau Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor kerana kemeriahan sambutannya yang berbeza. Jika tahun lepas 20 ekor lembu telah dikorbankan, tahun ini berkurangan. Dua belas ekor sudah memadai kerana kawasan sembelihan semakin kecil disebabkan pembinaan surau tambahan sedang diusahakan. Masyarakat setempat memilih hari kedua untuk majlis korban.

Dua belas ekor bermakna 12 kumpulan. Setiap bahagian berharga RM400 dan lembu-lembunya pun sihat dan segar. Kali ini jawatankuasa korban mendatangkan lembu dari kawasan felda berdekatan supaya urusan pengangkutan dan upah kepada petugas dapat diminimumkam. Sesetengah kawasan, urusan korban perlu mengambil kira upah sembelih dan bayaran kepada petugas menyebabkan harga lembu korban meningkat kepada RM430 untuk satu bahagian.

Majlis korban adalah sebahagian daripada akidah umat Islam yang disambut sejak zaman Rasulullah SAW. Keimanan dan ketaqwaan umat Isalam seluruh dunia dizahirkan melalui sembelihan binatang korban yang terbaik, tidak ada cacat atau sakit. Ketika sembelihan, takbir akan dikumandangkan dengan harapan sembelihan berkenaan akan diganjarkan di akhirat kelak. Setiap tahun umat Islam berlumba-lumba mengadakan majlis ini supaya dapat dijadikan bukti keimanan dan ketaqwaan mereka kelak. Justeru umat Islam akan mencari kawasan lapang, padang sekolah, kawasan surau atau masjid untuk melaksanakan suruhan agama ini.

Dari China hingga benua Afrika, darah daging korban tumpah ke bumi dan menjadi saksi bahawa agama ini akan terus diamalkan dan semakin kuat mengetuk hati-hati manusia yang keras dan jahil dengan falsafah pengorbanan. Di negara kita, kedapatan seorang dua yang begitu lantang memperlekeh dan mengutuk amalan korban ini. Katanya perbuatan ini tidak bertamadun dan suatu kezaliman ke atas binatang. Kepada mereka kita katakan ‘Apakah perasaan anda apabila ada manusia yang sanggup menyembelih manusia lain, apakah yang disembelih itu seperti binatang?’ Itulah yang berlaku ke atas umat Palestin yang saban hari disembelih oleh Yahudi di Israel. Peristiwa paling dahsyat ialah pembunuhan dan penyembelihan di Sabra dan Shatila yang diabadikan oleh Zubir Ali dalam lagunya.

Mayarakat yang bencikan hari raya korban menggunakan internet melalui blog-blog tertentu yang diketahui anti kepada Islam dan masyarakatnya. Penulis-penulis yang terlibat dan pemberi ulasan terhadap artikel-artikel yang disiarkan pada hakikatnya adalah gambaran terhadap keresahan mereka dengan kebangkitan kesedaran beragama Islam. Biar pun sejuta kali mereka menyumpah majlis korban, ia tidak sedikit pun mematah semangat umat Islam untuk terus mencari lembu dan kambing bagi dikorbankan pada tahun depan.

Kerajaan wajar lebih tegas bertindak jika masih ada masyarakat yang mempertikaikan majlis korban ini kerana sesungguhnya Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Ketegasan inilah yang kita nantikan supaya Islam dihormati dan masyarakatnya lebih maju ke hadapan.

Saturday, November 05, 2011

Banjir, PPSMI, warga Iran





Dalam tempoh dua tiga hari ini, banyak isu yang melibatkan masyarakat Malaysia menjadikan kita resah dan gelisah. Pertama, amaran banjir oleh Majlis Keselamatan Negara. Hujan dijangka turun lebih banyak di Perlis dan Kedah, suatu tanda yang jelas harga beras akan naik. Selepas Bangkok menjadi lautan daratan yang memusnahkan bandar, kampung, industri dan hiburan, persediaan kerajaan untuk menghadapi banjir besar tahun ini telah bermula.


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan telah dipanggil untuk diberi penerangan tentang keadaan banjir kali ini. Seterusnya jentera bantuan sedang digerakkan khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti di kawasan pinggir sungai. Sebenarnya lebih banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk berhadapan dengan keadaan banjir ini dan berhadapan dengan mangsa banjir kelak. 


Petugas akan letih dengan operasi bantuan banjir kerana tidak cukup tidur dan makan tidak menentu. Di sebelah siang akan membantu pemindahan, sebelah malam akan berhadapan dengan rungutan mangsa banjir yang tidak selesa di pusat pemindahan banjir. Bukan itu saja, lebih banyak masalah yang muncul sehari demi sehari jika petugas tidak ada kemahiran mengurus konflik. 


Kita biarkan hal banjir ini kerana semua orang sedang mengambil langkah-langkah wajar untuk menghadapinya. 


Kedua, isu sains dan matematik. Ada dua golongan yang sedang bertarung untuk menegakkan pendirian. Satu yang sokong dan satu lagi menentang. Ketegasan Timbalan Perdana Menteri dalam isu ini memihak kepada kelompok yang menentang. Sama ada penyokong dan penentang, kedua-dua kelompok ini tidak pernah menyalahkan orang yang memperkenalkan dasar tersebut. Selepas keyakinan yang singkat terhadap PPSMI, ia menjadi polemik yang tidak sudah selepas dimansuhkan. Ia tidak dimansuhkan serta-merta sebaliknya dibenarkan sehingga 2016 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah.


Kejayaan dalam pendidikan bergantung kepada kepintaran, persekitaran, baka dan sikap pelajar. Pelajar yang lemah boleh berjaya jika dapat dididik dalam bahasa yang mereka fahami.


Ketiga, pengedaran dadah dalam kalangan warganegara Iran semakin meningkat. Kenapa ia berlaku? Jawapan paling senang ialah ada permintaan, jika tidak, masakan begitu ramai yang kena tangkap? Pelajar dan komuniti Iran semakin ramai di Malaysia. Apakah kelompok ini yang menjadi sasaran pengedar dadah? Wallahu a'lam. Apakah kita mahu Malaysia menjadi tersohor kerana ramai yang mengedar dadah? Walaupun hukuman mati untuk pengedar dadah, kenapa masih ramai yang mahu mengedarnya?

 

Friday, November 04, 2011

Strategi dalam dasar membasmi kemiskinan di Malaysia, perspektif sosioekonomi






Selepas beberapa tahun mendapat kemerdekaan dari Britain dalam tahun 1957, Bank Dunia menempatkan Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah. Semenjak itu, negara ini terus menikmati kemakmuran ekonomi. Bermula sebagai negara pengeksport komoditi seperti getah, timah, minyak sawit dan petroleum, kini Malaysia meningkatkan jumlah pendapatan sehingga tujuh peratus sejak tahun 1970 hingga 2000.

Dari 2001 hingga 2010, pembangunan turun dan naik di antara empat hingga lima peratus setahun kerana iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan. Kesan besar peningkatan pendapatan ini ialah pengurangan kadar kemiskinan berbanding dengan separuh penduduk negara yang miskin pada 1970.

Peningkatan per kapita penduduk yang meningkat kepada US$14,700 dalam 2010, menokok daripada US$13,900 pada 2009. Pencapaian ini menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan menengah atas, suatu keadaan yang menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah dialami sejak kerajaan memperkenalkan beberapa dasar yang menyokong usaha ke arah pembasmian kemiskinan dan penyusuan semula masyarakat.

Malaysia adalah sebuah negara yang meraikan masyarakat majmuk dengan penduduk Melayu dan bumiputera membentuk 61.4 peratus, Cina (23.7 peratus) dan India (7.1 peratus). Bagaimanapun, rusuhan kaum yang paling buruk dalam sejarah negara ini telah mengubah strategi dan pendekatan kerajaan untuk memakmurkan ekonomi. Dalam tindakan pantas dan tegas, kerajaan telah merumuskan bahawa dasar ekonomi dan sosial harus mengambil kira pendapatan setiap kaum dan mengagihkan kekayaan yang sama rata kepada semua rakyat.

Usaha-usaha yang berterusan selepas itu telah berjaya membendung jurang perbezaan pendapatan yang ketara dan peningkatan ekuiti Melayu dan bumiputera dapat digandakan. Ketika merdeka, Malaysia mempunyai jumlah penduduk sebanyak 7.4 juta namun pertambahan penduduk semakin pesat sehingga mencecah 27.6 juta orang pada 2010. Peningkatan penduduk bumiputera lebih besar kerana kadar kesuburan kelompok itu lebih tinggi.

Sebelum 1957, kegiatan utama ekonomi rakyat ialah penanaman getah dan pengeluaran timah. Perusahaan lain ialah industri berskala kecil dan sebahagian besarnya berasaskan keluarga. Kerajaan menggalakkan kepelbagaian ekonomi dengan memberi perhatian kepada sektor industri dan perkhidmatan yang memberi pendapatan lebih besar dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Perbandaran yang pesat telah menggalakkan pembukaan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Pada 2005, dianggarkan sebanyak 63 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar berbanding hanya satu perempat  dalam 1957. Walaupun penghijrahan ke bandar lebih pesat pada hari ini, dari segi sejarahnya, masyarakat Melayu dan bumiputera masih dianggap sebagai penduduk luar bandar, manakala kaum Cina lebih ramai di bandar.

Sejak 1970, Malaysia telah merangka strategi pembangunan ekonomi kepada tiga fasa pembangunan jangka panjang iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970–90, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) 1990–2000 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) 2001‐10. Walaupun penekanan dalam dasar pembangunan jangka panjang  ini mempunyai impak ke atas pertumbuhan ekonomi, pembangunan yang dirancang itu telah memberi manfaat kepada semua kaum dan dilihat adil dalam agihan kekayaan ekonomi. Objektif DEB terus dibawa dalam dua dasar seterusnya dengan usaha pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Selepas merdeka, pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dibahagikan kepada empat fasa. Pertama, dari 1957 hingga 1970, iaitu meneruskan tradisi sebagai pengeluar getah dan timah. Kedua, dari 1971 hingga 1990 iaitu langkah menstrukturkan semula ekonomi dan diangap sebagai permulaan pembangunan dalam sejarah malaysia moden.

Ketika ini diperkenalkan Rancangan Malaysia Kedua. Ketiga, dari tahun 1991 hingga 2000 iaitu fasa pertumbuhan yang sukar kerana berlakunya krisis kewangan Asia pengenalan kawalan pertukaran mata wang. Keempat, dari 2001 hingga 2010 dianggap sebagai tempoh persediaan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Iklim ekonomi global dilihat mengganggu rentak Malaysia ke arah status negara maju tersebut.

Dalam jangka masa panjang, kepelbagaian ekonomi menjadi teras utama dalam memacu pembangunan negara bagi mengatasi kebimbangan ekonomi global yang tidak menentu seperti yang sedang berlaku Eropah. Elemen paling penting sebagai pengajaran kepada Malaysia sejak 50 tahun lalu ialah menggubal dasar yang dapat mempelbagaikan sumber pendapatan untuk ekonomi berkembang dan mengambil kira sosio politik masyarakat berbagai-bagai kaum.

Justeru kerajaan memperkenalkan Dasar Penswastaan pada 1983 yang menjadikan negara sebagai perbadanan tunggal bagi menyediakan persekitaran untuk pihak swasta dan korporat memajukan negara. Kesan segera dasar ini ialah hasil cukai kerajaan semakin bertambah dan dapat digunakan untuk menyediakan keperluan asas kapeda penduduk khususnya di luar bandar. Ternyata, perubahan kepimpinan dari Tun Hussein Onn kepada Dr Mahathir menjadi detik penting pembangunan ekonomi Malaysia.


Tuesday, November 01, 2011

Banjir di Bangkok dan peranan Asean





Oleh Karim Raslan


Novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengisahkan sebuah keluarga pesawah menunggu kedatangan hujan dengan sabar, namun akhirnya kecewa kerana ia tidak tiba. Ini mungkin hanya mainan pena Shahnon yang dramatik.

Berkurun lamanya, musim monsun di Asia Tenggara sering dikaitkan dengan kehidupan - menyegarkan dan bermanfaat, malah kedatangan hujan acap kali ditunggu.

Namun, bah yang melanda Bangkok beberapa minggu ini, mengingatkan kita hujan itu tidak selalunya menyegarkan. Sememangnya, pengurusan air yang bagus melalui saliran dan empangan selama ini membawa kemajuan dan kemakmuran wilayah tanah rendah dan jelapang padi di delta sekitar Sungai Chao Praya, Brantas dan Mekong.

Namun, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, pembangunan pesat seperti pembinaan kawasan perumahan, jalan raya dan taman perindustrian di atas tanah pertanian menyebabkan air hujan kehilangan tempat bertakung.

Pada masa sama (dan ihsan pemanasan global) alam sekitar menjadi semakin ekstrem dan tidak menentu. Hujan datang kadangkala terlalu lebat, dan ada kalanya tiada langsung. Ini memeningkan pengkaji cuaca kerana menyukarkan mereka membuat ramalan tepat dan memberi amaran awal.

Banjir di Thailand kini merupakan amaran kepada negara-negara lain di rantau ini. Badai yang melanda hanya selang beberapa minggu setelah banjir dan bencana alam di Filipina dan Jawa, memberi peringatan kepada kita tentang betapa terdedahnya kawasan persisiran yang rendah dan padat kepada ancaman bencana alam. Boleh dikatakan hujan kini, selain membawa rahmat, juga menjadi pembawa maut!

Dalam kita mengadaptasikan diri kepada perubahan ini, kita perlu bertanya adakah pembuat dasar di Asean ini sudah tersilap langkah dalam menangani bencana ini?

Untuk bertahun lamanya, kerajaan di Asean telah mengambil pertumbuhan alam sekitar dan ekonomi sebagai dua agenda eksklusif: hanya satu saja boleh dipilih.

Kita bersama-sama mengutuk hipokrasi negara Barat, yang mengajar negara-negara membangun tentang pembangunan lestari, walhal mereka masih terus melakukan pencemaran alam sekitar.

Secara jujur pada awalnya, saya skeptik tentang gerakan ‘hijau’ menyelamatkan alam sekitar. Saya merasakan perjuangan kumpulan ini tidak mempunyai fokus. Pada pendapat saya ia hanya satu wadah untuk golongan kelas menengah mengurangkan rasa bersalah atau rencana negara maju dan korporasi besar untuk ‘membunuh’ pesaing mereka. Tetapi, kerosakan kepada alam sekitar menyebabkan saya memikirkan semula pandangan itu.

Masyarakat Thai berdebat tentang punca bencana kali ini. Adakah ini kerana sikap berhati-hati mengatasi kemarau di mana air di empangan disimpan dengan banyak tanpa ambil kira taburan hujan yang tinggi di akhir tahun? Atau adakah ini kerana pembangunan di kawasan tanah rendah terlalu mampat? Atau mungkin juga kegagalan untuk mengantisipasi perubahan kepada taburan hujan?

Apa pun sebabnya, tidak dinafikan aktiviti manusia di rantau ini dan juga seantero benua Asia- menebang hutan dan urbanisasi, melumpuhkan benteng pertahanan kita terhadap bencana alam.

Pendek kata, pengurusan alam sekitar yang lemah akan menyebabkan kehancuran ekonomi. Misalnya, kehilangan dianggarkan akibat banjir Thailand ini mencecah 500 bilion baht dan akan memotong anggaran pertumbuhan ekonomi tiga peratus.

Banjir, tanah runtuh, pencemaran udara dan kemarau menjadikan orang biasa- peladang dan nelayan, semakin risau akan perkembangan alam sekitar yang memberi impak langsung kepada punca rezeki mereka.

Ini memperkuatkan lagi perjuangan gerakan ‘hijau’- termasuk di negara autoritarian seperti China. Demonstrasi oleh 12,000 penunjuk perasaan di Dalian Ogos lalu menyebabkan penutupan kilang bahan kimia di bandar perindustrian dan pro-pelabur itu.

Sememangnya, bencana alam merupakan indikator kegagalan sesebuah kerajaan dalam menguruskan khazanah alam, ekosistem dan sumbernya.

Ahli kongres veteran Filipina, Walden Bello pernah berkata- “orang Asia bukan lagi menerima membuta tuli bahawa model ekonomi industri berasaskan eksport tinggi seperti dipromosikan oleh golongan elit Barat adalah model ekonomi yang berjaya. Kini kita dapat melihat model ini telah memusnahkan industri tani, meluaskan jurang pendapatan dan kemiskinan, terutama selepas krisis kewangan Asia- malah ia juga memusnahkan alam sekitar.”

Kita tidak seharusnya duduk diam menanti bencana seperti di Thailand, atau bencana lebih besar datang menimpa, sebelum mengambil tindakan.

(Sinar Harian, 1 November 2011)

Monday, October 31, 2011

Tiga hari di Brunei 3





Sepanjang sepuluh tahun lalu, perubahan berlaku dengan pantas. Simpang empat di hadapan Masjid Jame’ Asri Hassanal Bolkiah telah digantikan dengan persimpangan bulatan besar. Di bawah bulatan ini dibuat terowong hampir 200 meter. Dulu hanya lampu isyarat, sekarang telah ada terowong. Ini satu pencapaian yang hebat bagi sebuah negara yang komposisi penduduknya adalah kecil. Terowong ini juga membantu melancarkan perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke lapangan terbang di Terunjing Lama dan kawasan perumahan di Lambak Kanan, Berakas, Manggis seterusnya ke Muara.

Cuma satu yang perlu ditambah baik iaitu lampu isyarat di bulatan besar atas laluan terowong. Bulatan besar menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke Gadong, pasar basah Gadong, Beribi dan juga Kiarong. Kemudahan lampu isyarat memudahkan pengguna menguruskan laluan masing-masing dan paling penting ialah mengelakkan kemalangan jalan raya.

Jalan Tutong adalah laluan paling terkenal di Brunei kerana menghubungkan Bandar Seri Begawan dan daerah Tutong. Laluan ini memanjang dan merentasi beberapa kawasan yang baru muncul seperti Bunut, Tanjung Bunut dan Sengkurong. Di persimpangan Sengkurong, kita boleh bergerak terus ke Jerudong Park, kawasan taman permainan yang terkemuka di Brunei. Taman ini pernah mendapat sambutan pada pertengahan tahun 1990-an lalu namun kini tidak lagi. Ada beberapa acara yang masih dibuka sedangkan kawasan ini sangat luas. Ramai pelancong yang pernah mencuba semua jenis permainan pada tahun 1998 sebelum ia ditutup untuk disenggara. Ketika itu semuanya percuma, kini pengunjung perlu membayar jika ingin mencuba beberapa acara.

Kawasan bisnes yang baru muncul ialah Tanjung Bunut yang menempatkan Pasaraya Hua Ho, sebuah gedung membeli-belah terkemuka di Brunei. Kompleks bisnes di sini menjadi pilihan penduduk sekitar kerana baru, lebih menarik dan banyak kemudahan. Antaranya kedai perabot, restoran dan bank. Pendek kata, penduduk sekitar tidak perlu lagi ke bandar Brunei untuk membeli barangan keperluan harian kerana semuanya sudah ada di sini. Kemunculan Tanjung Bunut juga menyaingi Sengkurong dan Bunut yang telah lama dibangunkan. Ia juga selari dengan pertambahan penduduk Brunei yang semakin meningkat.

Jalan raya semakin sesak di Brunei. Sepuluh tahun lalu, kereta di atas jalan raya agak kurang menjadikan perjalanan ke tempat kerja amat lancar. Kakitangan awam yang keluar dari rumah pada pukul tujuh pagi sudah boleh sampai ke pejabat sebelum 7.30 pagi, namun kini keadaan itu sukar sekali. Mereka terpaksa keluar pada pukul 6.30 pagi supaya dapat sampai sebelum pukul tujuh setengah. Kereta semakin banyak kerana harga yang murah dan mudah mendapat pinjaman bank. Kelebihan rakyat Brunei terletak pada harga bahan api yang rendah iaitu sekitar 30 hingga 37 sen seliter (Brunei dolar). Tambahan pula mata wang semakin besar.

Pendidikan di Brunei semakin berkembang. Jika dulu hanya ada Universiti Brunei Darussalam, kini sudah ada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan beberapa buah kolej universiti. Institusi teknikal terkenal di Brunei, Institut Teknologi Brunei juga berpotensi menjadi universiti teknikal pada masa depan. Selain itu ada juga institusi kejururawatan dan teknikal yang lain seperti Sekolah vokasional Nakhoda Ragam, Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah, Kolej Teknikal Sultan Saiful Rijal dan Kolej Kejuteraan Jefri Bolkiah. Satu yang menarik mengenai pendidikan di Brunei ialah kemunculan beberapa buah kolej swasta yang menawarkan pendidikan khusus sebagai pilihan kepada institusi pendidikan awam sedia ada. Antara kolej swasta yang ada ialah Laksamana College of Business, The Brunei Institute of Geomatics dan Kemuda Institute. Terdapat juga pelajar Brunei yang memilih universiti di luar negara sebagai institusi pilihan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kehidupan sosial di Brunei masih dalam skop masyarakat separuh bandar kerana negara ini belum menjadi negara bandar sepenuhnya seperti Singapura. Dianggarkan lebih 70 peratus penduduk Brunei hidup dalam lingkungan perbandaran. Dalam kalangan masyarakat Melayu, pemakaian baju Melayu lengkap ketika majlis perkahwinan, hari kebesaran Islam dan adat istiadat menunjukkan budaya Melayu sangat tebal. Pemandangan begini mungkin tidak begitu banyak di Malaysia, Indonesia atau Singapura. Oleh kerana baju Melayu begitu sinonim, masyarakat Brunei menggelarnya sebagai ‘cara Melayu’. Bagi pakaian wanita Brunei, baju kurung adalah pilihan tradisi. Cuma aneka tudung tidak begitu banyak seperti di Malaysia. Mereka lebih berminat mengenakan warna tudung sedondon dengan baju kurung. Tudungnya pula lebih banyak berbentuk skaf labuh hingga ke bahu berbanding tudung labuh bulat atau segitiga. Dengan pendedahan di majalah dan surat khabar, sedikit demi sedikit kita dapat lihat generasi muda wanita Brunei yang turut mengikut trend tudung kebanyakan artis dari Malaysia.

Di sini kita tidak dapat melihat peminta sedekah jalanan, suatu pencapaian yang hebat bagi sebuah negara kecil seperti Brunei. Keberkesanan agensi kerajaan yang menguruskan kebajikan rakyat sangat memuaskan lebih-lebih lagi pertambahan penduduk sedikit sebanyak membuatkan kakitangan agensi kebajikan tidak menang tangan menguruskan keperluan kebajikan rakyat. Pelbagai agensi yang turut serta dalam kebajikan ini menggunakan pelbagai pendekatan untuk membantu golongan yang miskin dan terpinggir. Peranan media juga sangat berkesan dalam menyalurkan maklumat golongan ini khususnya di daerah terpencil dan sukar dihubungi.

Brunei sebuah negara kecil dengan majoriti penduduk Melayu (66.3 peratus) diikuti Cina (11.2 peratus) dan lain-lain kaum termasuk pribumi dan pekerja asing. Kadar pengangguran hanya 3.7 peratus menggambarkan guna tenaga penuh sememangnya menjadikan Brunei sebuah negara yang tidak ada masalah dengan pekerjaan. Bagi pekerjaan yang melibatkan buruh yang tidak mahir, negara itu mengambil pekerja asing dari Malaysia, Thailand, Indonesia, India dan Pakistan di samping Nepal. Cabaran besar Brunei ialah mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk menyerap modal insan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Kedengaran keluhan dan rintihan daripada graduan yang dikeluarkan oleh universiti tempatan betapa peluang pekerjaan semakin kurang dan persaingan mendapatkan pekerjaan bertambah besar. Sementara peluang pekerjaan menjadi syurga bagi pekerja asing, rakyat sendiri harus bersaing untuk menempatkan diri dalam sektor awam yang menjadi daya tarikan.

Pengalaman memberi ceramah motivasi kepada pelajar dan remaja menjadikan Masjid Kampung Tamoi sebagai kenangan indah. Imam masjid, Haji Daud merupakan seorang qari yang terkenal dan suaranya mengaji sangat indah. Sebelum ini kami pernah melaksanakan beberapa program yang  melibatkan pelajar dan remaja di sekitar kampung air. Masjid ini berhawa dingin sepenuhnya dan luas.

Berhampiran Masjid Kampung Tamoi adalah kawasan bisnes Batu Satu, Jalan Tutong yang pernah menjadi tumpuan suatu ketika dulu. Selepas kawasan Gadong dibangunkan oleh keluarga Haji Abdul Razak, Batu Satu tidak lagi memiliki daya tarikan yang kuat. Jika dulu ada Princess Hotel, kini premis tersebut telah ditukar kepada Le Gallery. Jika dulu ada Soon Lee Supermarket, kini pasar raya itu sudah ditutup, yang tinggal hanya Plaza Athirah sebagai tempat jualan dan tumpuan membeli pakaian dan buku-buku. Kedai makanan tradisi India  seperti roti nan juga sudah ditutup dan beralih tangan, bukan lagi restoran. Bangunan yang menempatkan kakitangan Kementerian Dalam Negeri turut berpindah ke kawasan lain dan jika dinilai secara umum, kawasan Batu Satu tidak banyak menyediakan kemudahan bisnes seperti di Gadong dan Kiulap.

Saingan kepada Gadong ketika ini ialah kawasan bisnes Kuilap yang dibangunkan sebagai kawasan  perniagaan baru. Deretan kedai di sini sentiasa sibuk dengan kereta yang keluar masuk ke premis perniagaan. Sepuluh tahun lalu hanya ada blok bangunan Hua Ho Supermarket, Islamic Development  Bank of Brunei, kedai mainan kanak-kanak dan beberapa buah kedai komputer, kini blok perniagaan di tambah lagi hingga ke belakang dan menghampiri Sungai Gadong. Dulu ada sebuah pasar raya yang bernama ‘Casa Italiana’ namun terpaksa ditutup selepas menghadapi masalah kewangan.