Monday, October 31, 2011

Tiga hari di Brunei 3





Sepanjang sepuluh tahun lalu, perubahan berlaku dengan pantas. Simpang empat di hadapan Masjid Jame’ Asri Hassanal Bolkiah telah digantikan dengan persimpangan bulatan besar. Di bawah bulatan ini dibuat terowong hampir 200 meter. Dulu hanya lampu isyarat, sekarang telah ada terowong. Ini satu pencapaian yang hebat bagi sebuah negara yang komposisi penduduknya adalah kecil. Terowong ini juga membantu melancarkan perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke lapangan terbang di Terunjing Lama dan kawasan perumahan di Lambak Kanan, Berakas, Manggis seterusnya ke Muara.

Cuma satu yang perlu ditambah baik iaitu lampu isyarat di bulatan besar atas laluan terowong. Bulatan besar menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke Gadong, pasar basah Gadong, Beribi dan juga Kiarong. Kemudahan lampu isyarat memudahkan pengguna menguruskan laluan masing-masing dan paling penting ialah mengelakkan kemalangan jalan raya.

Jalan Tutong adalah laluan paling terkenal di Brunei kerana menghubungkan Bandar Seri Begawan dan daerah Tutong. Laluan ini memanjang dan merentasi beberapa kawasan yang baru muncul seperti Bunut, Tanjung Bunut dan Sengkurong. Di persimpangan Sengkurong, kita boleh bergerak terus ke Jerudong Park, kawasan taman permainan yang terkemuka di Brunei. Taman ini pernah mendapat sambutan pada pertengahan tahun 1990-an lalu namun kini tidak lagi. Ada beberapa acara yang masih dibuka sedangkan kawasan ini sangat luas. Ramai pelancong yang pernah mencuba semua jenis permainan pada tahun 1998 sebelum ia ditutup untuk disenggara. Ketika itu semuanya percuma, kini pengunjung perlu membayar jika ingin mencuba beberapa acara.

Kawasan bisnes yang baru muncul ialah Tanjung Bunut yang menempatkan Pasaraya Hua Ho, sebuah gedung membeli-belah terkemuka di Brunei. Kompleks bisnes di sini menjadi pilihan penduduk sekitar kerana baru, lebih menarik dan banyak kemudahan. Antaranya kedai perabot, restoran dan bank. Pendek kata, penduduk sekitar tidak perlu lagi ke bandar Brunei untuk membeli barangan keperluan harian kerana semuanya sudah ada di sini. Kemunculan Tanjung Bunut juga menyaingi Sengkurong dan Bunut yang telah lama dibangunkan. Ia juga selari dengan pertambahan penduduk Brunei yang semakin meningkat.

Jalan raya semakin sesak di Brunei. Sepuluh tahun lalu, kereta di atas jalan raya agak kurang menjadikan perjalanan ke tempat kerja amat lancar. Kakitangan awam yang keluar dari rumah pada pukul tujuh pagi sudah boleh sampai ke pejabat sebelum 7.30 pagi, namun kini keadaan itu sukar sekali. Mereka terpaksa keluar pada pukul 6.30 pagi supaya dapat sampai sebelum pukul tujuh setengah. Kereta semakin banyak kerana harga yang murah dan mudah mendapat pinjaman bank. Kelebihan rakyat Brunei terletak pada harga bahan api yang rendah iaitu sekitar 30 hingga 37 sen seliter (Brunei dolar). Tambahan pula mata wang semakin besar.

Pendidikan di Brunei semakin berkembang. Jika dulu hanya ada Universiti Brunei Darussalam, kini sudah ada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan beberapa buah kolej universiti. Institusi teknikal terkenal di Brunei, Institut Teknologi Brunei juga berpotensi menjadi universiti teknikal pada masa depan. Selain itu ada juga institusi kejururawatan dan teknikal yang lain seperti Sekolah vokasional Nakhoda Ragam, Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah, Kolej Teknikal Sultan Saiful Rijal dan Kolej Kejuteraan Jefri Bolkiah. Satu yang menarik mengenai pendidikan di Brunei ialah kemunculan beberapa buah kolej swasta yang menawarkan pendidikan khusus sebagai pilihan kepada institusi pendidikan awam sedia ada. Antara kolej swasta yang ada ialah Laksamana College of Business, The Brunei Institute of Geomatics dan Kemuda Institute. Terdapat juga pelajar Brunei yang memilih universiti di luar negara sebagai institusi pilihan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kehidupan sosial di Brunei masih dalam skop masyarakat separuh bandar kerana negara ini belum menjadi negara bandar sepenuhnya seperti Singapura. Dianggarkan lebih 70 peratus penduduk Brunei hidup dalam lingkungan perbandaran. Dalam kalangan masyarakat Melayu, pemakaian baju Melayu lengkap ketika majlis perkahwinan, hari kebesaran Islam dan adat istiadat menunjukkan budaya Melayu sangat tebal. Pemandangan begini mungkin tidak begitu banyak di Malaysia, Indonesia atau Singapura. Oleh kerana baju Melayu begitu sinonim, masyarakat Brunei menggelarnya sebagai ‘cara Melayu’. Bagi pakaian wanita Brunei, baju kurung adalah pilihan tradisi. Cuma aneka tudung tidak begitu banyak seperti di Malaysia. Mereka lebih berminat mengenakan warna tudung sedondon dengan baju kurung. Tudungnya pula lebih banyak berbentuk skaf labuh hingga ke bahu berbanding tudung labuh bulat atau segitiga. Dengan pendedahan di majalah dan surat khabar, sedikit demi sedikit kita dapat lihat generasi muda wanita Brunei yang turut mengikut trend tudung kebanyakan artis dari Malaysia.

Di sini kita tidak dapat melihat peminta sedekah jalanan, suatu pencapaian yang hebat bagi sebuah negara kecil seperti Brunei. Keberkesanan agensi kerajaan yang menguruskan kebajikan rakyat sangat memuaskan lebih-lebih lagi pertambahan penduduk sedikit sebanyak membuatkan kakitangan agensi kebajikan tidak menang tangan menguruskan keperluan kebajikan rakyat. Pelbagai agensi yang turut serta dalam kebajikan ini menggunakan pelbagai pendekatan untuk membantu golongan yang miskin dan terpinggir. Peranan media juga sangat berkesan dalam menyalurkan maklumat golongan ini khususnya di daerah terpencil dan sukar dihubungi.

Brunei sebuah negara kecil dengan majoriti penduduk Melayu (66.3 peratus) diikuti Cina (11.2 peratus) dan lain-lain kaum termasuk pribumi dan pekerja asing. Kadar pengangguran hanya 3.7 peratus menggambarkan guna tenaga penuh sememangnya menjadikan Brunei sebuah negara yang tidak ada masalah dengan pekerjaan. Bagi pekerjaan yang melibatkan buruh yang tidak mahir, negara itu mengambil pekerja asing dari Malaysia, Thailand, Indonesia, India dan Pakistan di samping Nepal. Cabaran besar Brunei ialah mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk menyerap modal insan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Kedengaran keluhan dan rintihan daripada graduan yang dikeluarkan oleh universiti tempatan betapa peluang pekerjaan semakin kurang dan persaingan mendapatkan pekerjaan bertambah besar. Sementara peluang pekerjaan menjadi syurga bagi pekerja asing, rakyat sendiri harus bersaing untuk menempatkan diri dalam sektor awam yang menjadi daya tarikan.

Pengalaman memberi ceramah motivasi kepada pelajar dan remaja menjadikan Masjid Kampung Tamoi sebagai kenangan indah. Imam masjid, Haji Daud merupakan seorang qari yang terkenal dan suaranya mengaji sangat indah. Sebelum ini kami pernah melaksanakan beberapa program yang  melibatkan pelajar dan remaja di sekitar kampung air. Masjid ini berhawa dingin sepenuhnya dan luas.

Berhampiran Masjid Kampung Tamoi adalah kawasan bisnes Batu Satu, Jalan Tutong yang pernah menjadi tumpuan suatu ketika dulu. Selepas kawasan Gadong dibangunkan oleh keluarga Haji Abdul Razak, Batu Satu tidak lagi memiliki daya tarikan yang kuat. Jika dulu ada Princess Hotel, kini premis tersebut telah ditukar kepada Le Gallery. Jika dulu ada Soon Lee Supermarket, kini pasar raya itu sudah ditutup, yang tinggal hanya Plaza Athirah sebagai tempat jualan dan tumpuan membeli pakaian dan buku-buku. Kedai makanan tradisi India  seperti roti nan juga sudah ditutup dan beralih tangan, bukan lagi restoran. Bangunan yang menempatkan kakitangan Kementerian Dalam Negeri turut berpindah ke kawasan lain dan jika dinilai secara umum, kawasan Batu Satu tidak banyak menyediakan kemudahan bisnes seperti di Gadong dan Kiulap.

Saingan kepada Gadong ketika ini ialah kawasan bisnes Kuilap yang dibangunkan sebagai kawasan  perniagaan baru. Deretan kedai di sini sentiasa sibuk dengan kereta yang keluar masuk ke premis perniagaan. Sepuluh tahun lalu hanya ada blok bangunan Hua Ho Supermarket, Islamic Development  Bank of Brunei, kedai mainan kanak-kanak dan beberapa buah kedai komputer, kini blok perniagaan di tambah lagi hingga ke belakang dan menghampiri Sungai Gadong. Dulu ada sebuah pasar raya yang bernama ‘Casa Italiana’ namun terpaksa ditutup selepas menghadapi masalah kewangan.

No comments:

Post a Comment