Friday, June 12, 2020

COVID-19: SOP raya





Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2020 lebih bermakna apabila kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri. Kesempatan ini diambil untuk balik ke kampung berjumpa saudara-mara, mengunjungi rakan dan sahabat serta menziarah kubur.

Lebuh raya dan jalan raya semakin riuh dengan deruman enjin kenderaan yang bertambah banyak khususnya hari Jumaat hingga Ahad kerana orang ramai lebih cepat sampai ke destinasi masing-masing.

Biarpun kemeriahan sambutan dan ziarah raya tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini, ia tetap disambut tetapi mengikut norma baharu seperti jarak satu meter dan kerap mencuci tangan. Pemakaian penutup hidup dan mulut berdasarkan keperluan dan keyakinan.

Selepas hampir dua minggu 1 Syawal, sudah tentu tidak banyak makanan yang tinggal. Laksa, mee rebus dan ketupat tidak lagi dijumpai dengan mudah tetapi kuih-muih masih lagi banyak. Dalam masa ini, juadah hari raya tidak lagi penting kerana pertemuan sosial dan ziarah adalah lebih bernilai untuk bertanya khabar.

Sesi lain adalah bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan keluarga dan anak-beranak.

Duit raya masih menjadi keutamaan kanak-kanak. Lebi hbanyak ziarah, lebih banyak duit raya yang mereka dapat. Ada yang bercita-cita membeli helikopter kawalan jauh jika dapat mengumpul banyak duit raya kerana ingin membelinya seperti mana rakan-rakan yang lain. Ada yang mahu menambah simpanan supaya dapat tunaikan janji.

Bagi anak-anak yang masih kecil, ibu bapa berperanan besar menyimpan duit raya anak-anak supaya dapat digunakan pada masa yang betul seperti membeli buku-buku kegemaran atau membuka akaun SSPN untuk pendidikan masa hadapan.

Keyakinan kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri menjadi kayu ukur kepada usaha dan kempen berterusan menghadapi pandemik COVID-19 ini. Ia juga disumbangkan oleh kepatuhan orang ramai dengan SOP yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak dijangkiti virus korona.

Kepatuhan ini kerana kesedaran orang ramai terhadap bahaya virus ini jika menjangkiti mereka. Kesnya juga akan berpanjangan seperti dikuarantin selama 14 hari, semua kontak akan diperiksa dan trauma kepada orang sekeliling.

Peringatan kerajaan terhadap kepentingan mengikut SOP ketika berziarah hari raya telah membantu masyarakat memutuskan rantaian COVID-19 di seluruh negara. Ia juga sebagai norma baharu yang dapat mengekang penularan wabak COVID-19 yang lebih pantas.

No comments:

Post a Comment