Friday, June 05, 2020

COVID-19: Masa untuk berkebun





Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pergerakan keluar rumah tanpa sebab menjadi satu kesalahan. Orang ramai mesti berada di rumah masing-masing sepanjang masa bagi mengelak jangkitan wabak COVID-19 dibawa ke rumah mereka. Berada di rumah 24 jam sehari mungkin menjadi rutin harian yang memberi tekanan hidup.

 

Justeru, ramai yang memilih pertanian sebagai aktiviti masa PKP dengan mencari maklumat tentang tanaman sayur di rumah.

 

Bagi kawasan rumah yang agak besar, menanam sayur adalah aktiviti yang mengasyikkan walaupun tidak tumbuh subur. Kali pertama menanam memang mendebarkan kerana banyak perkara yang perlu diambil tahu seperti jenis tanah, kekerapan menyiram dan sukatan air.

 

Banyak laman Facebook yang muncul berkaitan berkebun dan memiliki pengikut yang ramai. Kebanyakan perkongsian berkaitan kaedah menanam sayur di kawasan tanah dan hidroponik. Selain itu teknik penanaman juga semakin popular. Istilah fertigasi dan NFK menjadi perbincangan kerana kos dan kaedah penanaman yang ringkas dan mudah.

 

Tanaman hidroponik hanya perlukan bekas polisterine, sumbu pelita dan air untuk menanam sayur sawi. Ia boleh dibuat sendiri berdasarkan pengalaman mereka yang telah berjaya menghasilkan sawi segar dalam tempoh PKP ini.

 

Laman sesawang CiliBangi mempromosi set lengkap kaedah tanaman fertigasi cili besar di rumah. Syarikat ini juga menunjukkan demonstrasi pemasangan DIY set fertigasi ini supaya ia dapat dilakukan sendiri. Mereka yang mahu mencuba kaedah ini boleh membeli set tersebut yang berharga RM200 hingga RM300 bagi memulakan kebun kecil di halaman rumah.

 

Ada yang memenuhi kawasan halaman di hadapan rumah dengan pelbagai pokok dan sayur yang ditanam di dalam pasu bertingkat. Tanah kosong yang dibiarkan lama tanpa apa-apa hasil sebelum ini telah berubah kepada memberikan bekalan sayur percuma untuk masakan keluarga. Yang diperlukan hanya keinginan dan sokongan daripada rakan-rakan di Facebook.

 

Keasyikan berkebun akan terbalas apabila melihat sayur-sayuran ditanam di dalam pasu atau di batas tanah tumbuh dan membesar. Walaupun hanya dengan dua tiga buah pasu, hasil yang sedikit ini membugarkan hati untuk terus mencari pasu dan mula menanam pelbagai jenis sayur.

 

Penggemar ulam turut mendapat faedah kerana maklumat dari rakan-rakan di media sosial tentang pelbagai jenis pokok yang boleh dijadikan ulam. Ada antara pokok ini yang boleh ditanam di tempat sempit dan membesar dalam tempoh singkat apabila disiram dua kali sehari.

 

Rutin mengambil ulam dalam makanan seharian dapat memastikan kesihatan diri dalam keadaan baik tanpa mengeluarkan kos membeli pelbagai jenis makanan tambahan yang mahal.


No comments:

Post a Comment