Monday, June 08, 2020

COVID-19: Kali pertama lihat mangsa COVID-19





Saya merancang keluar dari Brunei dua minggu selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh. Ia menjadi peristiwa penting dalam hidup saya kerana melihat sendiri prosedur menangani orang yang dijangkiti COVID-19.

 

27 Mac 2020, di Terminal Feri Serasa, Muara, saya menunggu feri ke Labuan bersama dua orang rakan. Kami duduk di kawasan awam dan masing-masing buat kerja sendiri.

 

Sambil menunggu dan duduk di kerusi, saya membaca maklumat yang terdapat dalam WhatsApp. Salah satu daripadanya berkaitan penerbangan khas rakyat Malaysia dari Brunei yang diuruskan Kedutaan Malaysia di Bandar Seri Begawan.

 

Saya tidak beri perhatian kepada informasi ini kerana beranggapan tidak ada keperluan lagi pun akan ke Labuan sebentar lagi.

 

Saya melihat sebuah van putih yang tiba di bahagian hadapan kawasan menunggu di laluan pejalan kaki  yang dibawa seorang lelaki dan bersama rakannya. Kedua-duanya memakai pakaian pelindung diri yang lengkap, menunggu di van dan sekali-sekala berbual-bual dengan dua tiga orang kakitangan terminal.

 

Saya tergerak untuk ke bilik air tanpa mengetahui ketibaan mangsa COVID-19 dan akan melalui kawasan tersebut. Selepas keluar dari bilik air, saya tidak dibenarkan melintas laluan ke tempat duduk.

 

Selang tidak lama kemudian, muncul seorang remaja perempuan etnik Cina bersama beg pakaian terus menuju ke arah van putih tadi. Wajahnya nampak serius sambil menggenggam telefon bimbit. Beliau tidak bercakap apa-apa walaupun dengan petugas kesihatan yang mengiringinya. Sekali-sekala beliau membaca informasi di telefonnya.

 

Sebaik sahaja remaja berkenaan duduk di bahagian belakang dalam van, begnya diletakkan di bonet van, pintu ditutup dan mereka terus beredar.

 

Terdapat beberapa orang petugas kesihatan yang turut memakai pakaian pelindung diri sepanjang proses transportasi ini.

 

Berdasarkan proses penjagaan dan kawalan yang ketat, saya syak remaja berkenaan ada kaitan dengan COVID-19 yang sedang memuncak ketika itu. Kawalan yang dikenakan bukan biasa-biasa malah mematuhi standard operasi dalam kes virus ini.

 

Ada satu peristiwa penting untuk saya ingat.

 

Ketika semua penumpang diminta berbaris masuk ke kaunter imigresen bagi urusan pelepasan, saya segera mengenakan sarung tangan dan penutup mulut dan hidung. Berbaris bersama dan menunggu giliran untuk dicop keluar.

 

Apabila tiba di kaunter, petugas berkenaan bertanya, ’Ada kebenaran keluar negeri oleh Jabatan Perdana Menteri Brunei?’

 

Saya menjawab, ‘Tidak’. Saya jawab begitu kerana bukannya warganegara Brunei dan akan keluar dan tidak akan kembali lagi ke Brunei.

 

Prosedur begini amat diperlukan ketika keluar dari Brunei. Kakitangan berkenaan meminta saya menunggu sekejap untuk beliau mendapatkan pengesahan proses yang selanjutnya. Selang beberapa minit, seorang pegawai imigresen yang berpakaian biasa keluar dari biliknya dan menuju ke arah saya. Beliau memaklumkan saya perlu membatalkan permit cuti sabatikal dan membuat permohonan keluar negara dari Jabatan Perdana Menteri Brunei.

 

Penerangannya membuatkan saya agak emosional kerana tiket feri dan kapal terbang telah dibeli. Namun saya terima penerangannya dengan senang hati.

 

Oleh kerana hal ini, saya membatalkan rancangan untuk pulang ke Kuala Lumpur melalui Labuan. Sambil duduk-duduk memikirkan tindakan seterusnya, saya melihat kredit di telefon yang tinggal beberapa sen sahaja lagi.

 

Dalam hati saya berkata, ‘Siapa lagi yang hendak diberitahu?’

 

Pada ketika itu, dua tiga orang kakitangan awam yang lalu di hadapan saya tidak pun menegur atau bertanya apa-apa, mungkin kerana mereka faham keadaan saya ketika itu.

 

Tidak ada lagi feri yang akan ke Labuan kerana operasi feri yang terhad pada Isnin, Rabu dan Sabtu sahaja.

 

Saya memutuskan untuk memberitahu rakan di universiti supaya datang ambil. Beliau juga terkejut tetapi bergegas datang mengambil saya yang sedang ‘jem’ memikirkan tindakan seterusnya.

 

Gagal ke Labuan pada hari yang dirancang rupanya berganti dengan rancangan yang lebih baik.

 

 

Keesokan harinya, saya menguruskan pembatalan permit kerja di Jabatan Imigresen. Hari Sabtu adalah hari bekerja penuh di Brunei. Urusan ini mengambil masa lebih lama kerana banyak kaunter yang ditutup disebabkan kakitangan mengamalkan konsep bekerja dari rumah (BDR). Justeru, saluran lain digunakan untuk memastikan pembatalan permit kerja dapat dilakukan. Sebelum jam 1 tengah hari, saya beredar dari bangunan tersebut dengan senang hati.

 

Sebelah petangnya, kira-kira jam 3, saya bersama-sama rakan dari Brunei telah pergi ke Temburong. Inilah kali pertama saya merasa Jambatan Temburong sebelum pulang ke KLIA.

 

Saya memang berhajat untuk melihat pemandangan laut dari atas jambatan ini. Laluan ke Temburong mengambil masa antara 20 hingga 30 minit sahaja berbanding melalui Limbang iaitu sekitar dua jam. Jambatan ini dibuka sebaik sahaja kerajaan Malaysia memutuskan pelaksanaan PKP dari 18 Mac 2020. Jambatan Temburong dibuka pada 17 Mac 2020 dari jam 6 pagi hingga 10 malam namun kemudiannya disingkatkan kepada 6 petang sahaja.

 

Sepanjang perjalanan itu, saya bertukar-tukar mesej dengan kakitangan Kedutaan Malaysia untuk mengikuti penerbangan khas membawa pulang rakyat Malaysia dari Brunei. Saya berurusan dengan Encik Riduan, kakitangan kedutaan yang meminta nama penuh, nombor pasport, nombor telefon dan institusi pekerjaan. Permohonan awal saya ditolak kerana bilangan penumpang yang diperlukan tidak ramai. Notis penolakan ini dihantar melalui e-mel, yang pada awalnya saya tidak sedar.

 

Hampir waktu maghrib baharulah saya mendapat pengesahan nama yang saya diterima sebagai salah seorang penumpang yang akan dibawa pulang ke Malaysia. Kakitangan kedutaan meminta saya mengisi maklumat di pautan yang diberi. Rupanya pautan ini adalah permohonan khas kepada Jabatan Perdana Menteri Brunei untuk keluar dari Brunei.

 

Menjelang pukul 7 malam, saya telah menerima kelulusan berkenaan dan bersedia untuk belayar.

 

Keesokan hari, Ahad, saya berada di lapangan terbang bersama-sama kakitangan Kedutaan Malaysia dan para penumpang yang diterima menaiki penerbangan khas itu. Jumlah kami sekitar 27 orang. Setiap orang diberikan sarapan pagi dan dibekalkan cecair pembasmi kuman.

 

Bagi kenang-kenangan, kami bergambar beramai-ramai sebagai hadiah kepada usaha yang dilakukan untuk keluar dari Brunei ketika semua laluan utama ditutup kerana COVID-19.

 

Jam 12.15 tengah hari, saya tiba di KLIA, mengambil teksi dan terus ke Melaka.

 

Kisah ini memberi kesan kepada saya iaitu perancangan Allah adalah yang terbaik walaupun kita telah berusaha membuat perancangan yang rapi dan paling baik. Sesuatu yang hilang daripada kita, Insya Allah akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuk kebaikan kita juga.


 

 

 

No comments:

Post a Comment