Wednesday, June 03, 2020

COVID-19: Solat Jumaat





Solat Jumaat di seluruh negara dilaksanakan pada 29 Mei 2020. Kebanyakan masjid telah membuka ruang solat masjid kepada orang ramai untuk berjemaah. Namun begitu jumlah yang dibenarkan hanya 40 orang dengan prosedur penjarakan sosial yang ketat.

 

Ada masjid yang jumlah jemaah 12 orang sahaja.

 

Walaupun jumlahnya kecil, ia cukup memberi makna kepada umat Islam yang hampir 10 minggu tidak dapat memiliki solat Jumaat kerana wabak COVID-19.

 

Seorang ahli jemaah bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat yang dilaksanakan secara ringkas dan dipantau oleh pegawai majlis agama.

 

‘Alhamdulillah, dapat solat Jumaat sejak 10 minggu lalu. Hanya 12 orang dan sangat ringkas dengan sekali azan tanpa solat sunat qabliah. Dari azan sampai salam 15 minit je!’

 

Prosedur penjarakan sosial dilaksanakan dengan meletakkan sejadah satu meter antara satu sama lain, memakai penutup mulut dan hidung serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

 

Sejak pelaksanaan PKP di Malaysia iaitu 18 Mac 2020, semua masjid dan rumah ibadat dilarang menjalankan sebarang aktiviti yang melibatkan perkumpulan awam.

 

Di masjid hanya tiga orang dibenarkan untuk solat setiap waktu iaitu imam, bilal dan noja. Biarpun azan dibenarkan, suasana berjemaah tidak lagi dinikmati seperti sebelum itu.

 

Pemakaian penutup muka dan hidung dimestikan. Semburan cecair pembasmi kuman sudah menjadi lumrah manakala pengambilan suhu badan diwajibkan. Prosedur yang dilaksanakan ini mengundang rasa tidak selesa kepada jemaah kerana perlu beratur panjang dan menulis nama serta nombor telefon sebelum dibenarkan masuk.

 

Pihak masjid turut menanggung kos pembelian buku nota, alat tulis dan pen untuk merekodkan kemasukan jemaah ke dalam ruang solat.

 

Masyarakat Islam perlu bersedia dengan kelaziman baru ekoran wabak COVID-19 yang masih berjangkit. Banyak perkara yang dilakukan sebelum ini tanpa ada masalah telah dihalang dengan pelbagai peraturan dan panduan untuk mengekang penularan virus korona yang mudah berjangkit melalui sentuhan dan rembesan mukus akibat bersin, berludah atau batuk.


No comments:

Post a Comment