Kebenaran membuka gerai makan dan restoran disambut baik oleh pengusaha makanan seperti pekebun sayur, pembekal barang dan pelanggan. Ia memberi keyakinan kepada orang ramai untuk kembali mendapatkan makanan dan minuman mereka di premis makanan kegemaran.
Sebelum ini kerajaan mengekalkan setiap meja hanya kepada dua pelanggan, namun arahan ini dibatalkan selepas wujud keyakinan terhadap komitmen orang ramai untuk mengikut SOP di restoran dan gerai makan seluruh negara. Perkara yang diutamakan ialah menjarakkan diri ketika dalam kumpulan besar dan kerap mencuci tangan.
Pelanggan yang lebih ramai bererti lebih banyak keperluan yang dipenuhi dan digandakan. Kuantiti masakan dan minuman bertambah, pembelian barang mentah meningkat dan operasi pengangkutan kembali lancar. Rantaian ini akan meningkatkan kapasiti guna tenaga di sektor peruncitan dan perkhidmatan dengan pengeluar dan pembekal akan meningkatkan keupayaan pengeluaran mereka.
Sekiranya pelanggan bertambah ramai keluar rumah untuk makan tanpa bimbang dengan peraturan-peraturan sedia ada, ekonomi negara akan pulih lebih cepat.
Antara norma baru dalam gerai makan dan restoran adalah menulis nama, nombor telefon dan suhu badan.
Pemakaian pelitup hidung dan mulut tidak wajib namun digalakkan supaya pelanggan sentiasa sensitif dengan persekitaran mereka.
Pelanggan yang mencatatkan butiran diri dapat membantu diri dan orang lain jika didapati positif COVID-19 kerana pihak berkuasa akan mencari semua pelanggan yang disyaki ada kontak dengan pelanggan berkenaan.
Inisiatif ini bukannya untuk suka-suka atau syok sendiri sebaliknya mampu menyelamatkan nyawa. Oleh itu, maklumat yang betul amat penting. Menulis latar belakang yang tepat dapat membantu pihak berkuasa memberi rawatan awal kepada pelanggan tanpa menunggu masa lebih lama untuk dicari.
Kegagalan memberi maklumat betul boleh dianggap sebagai penipuan dan didakwa. Justeru, gerai makan dan restoran bertanggungjawab memastikan pelanggan memberi maklumat yang tepat dan jelas.
No comments:
Post a Comment