Thursday, June 25, 2020

COVID-19: Buka sekolah







Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan pembukaan sekolah menengah pada 24 Jun 2020. Ia dibuka hanya kepada pelajar menengah Tingkatan Lima dan Enam kerana mereka akan menjalani peperiksaan penting pada tahun 2021.

Persediaan ini juga bagi membolehkan pelajar membuat persiapan lebih awal supaya dapat menghadam silibus pelajaran yang tertinggal sebelum ini.

Ketika ini guru-guru mulai ke sekolah masing-masing bagi menyediakan pelbagai keperluan untuk mematuhi SOP di sekolah. Kehadiran guru ke sekolah adalah petunjuk penting dalam keyakinan orang ramai terhadap kawalan wabak COVID-19 di seluruh negara. Hal ini kerana sekolah merupakan tempat tumpuan ramai, kontak rapat yang lebih kerap dan amalan kebersihan yang berbagai-bagai.

Semua tempat di sekolah perlu ditanda dengan garisan berjarak satu meter, notis menjarakkan diri di kantin, dalam kelas dan bilik air, makluman mencuci tangan lebih kerap apabila di kantin serta mengurangkan perhimpunan dan perjumpaan.

Nilai-nilai yang diterapkan kepada pelajar ketika norma baharu ini menjadi penilaian kepada kita semua tentang kaedah pembelajaran yang berkesan untuk mendidik pelajar ketika pandemik penularan wabak penyakit. Kunci kepada kejayaan nilai-nilai ini adalah kepatuhan kepada arahan kepada setiap langkah yang telah disusun di kawasan sekolah.

Ibu bapa juga bertanggungjawab menjaga kebersihan dan memutuskan rantaian penularan dengan sentiasa memakai sungkup muka dan hidung, kerap membersih tangan dan membekalkan anak-anak dengan cecair pembasmi kuman supaya anak-anak dapat mengikut jejak langkah yang sama di sekolah.

Tidak dinafikan terdapat kos tambahan di pihak sekolah bagi menyediakan peralatan selaras dengan SOP, namun kos-kos ini lebih rendah jika dibandingkan dengan kos penjagaan ke atas pelajar yang dijangkiti virus. Lebih baik bersusah-susah ketika menghadapi ancaman wabak ini daripada menanggung kesusahan ketika menjadi mangsa COVID-19 ini.

Andai kata sekolah dikejutkan dengan satu kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar, sudah tentu sekolah akan ditutup selama 14 hari dan sesi persekolahan tidak dapat diteruskan, guru-guru akan terus bekerja dari rumah dan aktiviti kurikulum tidak dapat dilaksanakan.

Tanggungjawab pengetua dan guru besar amat berat ketika ini bagi memastikan semua pelajar dan kakitangan sekolah mengikut SOP yang diberikan. Kegagalan dan kelalaian akan mencetuskan panik dan risau kepada ramai orang.


No comments:

Post a Comment