Tuesday, June 02, 2020

COVID-19: Online learning





Pembelajaran dalam talian (online learning) amat ketara ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia termasuk di Malaysia. Institusi pengajian turut terkesan sehingga memaksa pelajar, guru dan pensyarah menggunakan pendekatan ini dalam sesi pengajaran mereka.

Banyak syarikat teknologi maklumat dan perisian menawarkan program pembelajaran mereka bagi kegunaan pelajar. Google menawarkan Google Meet, Microsoft menawarkan Team dan Cisco menawarkan webex.

Dalam dunia bisnes, Alibaba telah lama menawarkan perisian DingTalk untuk kegunaan syarikat itu manakala Zoom menjadi terkenal dalam sekelip mata apabila banyak universiti menggunakan platform itu untuk berinteraksi dengan pelajar.

Facebook turut memperkenalkan konferens video selain meningkatkan keupayaan WhatsApp supaya lebih ramai pengguna boleh berbincang secara bersemuka.

Keberkesanan pembelajaran dalam talian masih tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana ia dikira masih baru dalam kebanyakan institusi pendidikan. Walaupun terdapat institusi yang mempraktikkan kaedah pembelajaran ini, ia dalam skala kecil dan tidak menyeluruh.

Bagi sekolah rendah, peranan ibu bapa amat penting kerana mereka mengawal operasi komputer. Guru harus berhubung dengan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak menggunakan aplikasi Google Classroom atau Zoom. Ketika ibu bapa berada di rumah, proses pembelajaran dapat berjalan lancar namun apabila ibu bapa mula bekerja, anak-anak tidak lagi dapat mengakses pembelajaran.

Di sinilah wujudnya kelemahan pembelajaran dalam talian khususnya di sekolah rendah. Minat belajar anak-anak terbantut apabila tidak dapat mengakses kerja-kerja rumah yang disalurkan melalui Google Classroom.

Mereka cenderung enggan melakukan kerja rumah atau tugasan yang diberi seperti latihan, hafazan atau menyiapkan kuiz kerana proses pembelajaran tidak dipantau oleh guru. Tidak ramai ibu bapa yang dapat memantau tugasan anak-anak mereka kerana kesuntukan masa atau tidak lagi berminat berbuat demikian.

Di universiti, pelajar lebih bersedia dengan aplikasi pembelajaran dalam talian ini. Mereka boleh memuat turun aplikasi webex, Zoom, Team atau apa sahaja aplikasi yang diminta oleh pensyarah. Proses pembelajaran berlangsung dalam tempoh dua jam dengan sesi soal jawab dan perbincangan yang lebih ringkas.

Bagi pelajar yang tinggal di kawasan bandar dan memiliki akses Internet, ia tidak menghalang mereka untuk terus menggunakan pembelajaran dalam talian. Namun pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar, mereka perlu mencari alternatif untuk mendapatkan talian komunikasi.

Selain itu, pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada data Internet tentu tidak dapat menghadiri sesi pembelajaran lebih kerap kerana penggunaan data yang banyak menyebabkan mereka perlu berbelanja lebih untuk menambah data. Sudah pasti ada pelajar yang tertinggal maklumat penting dan gagal menyiapkan tugasan yang diberi.

Di sini, kreativiti pensyarah sangat penting supaya setiap pelajar memahami kuliah dan menyelesaikan tugasan yang diberi.

Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi melanjutkan sesi pembelajaran sehingga Disember 2020 sudah tentu memberi implikasi kepada pensyarah dan pelajar. Namun, tumpuan harus diberikan kepada penyelesaian terhadap isu-isu pelajar seperti akses kepada Internet kerana tanpa Internet, proses pembelajaran dalam talian akan tergendala.

No comments:

Post a Comment