Bulan Ramadhan tahun 2020 ini bertepatan dengan PKP yang melarang aktiviti ibadah di masjid atau surau. Walaupun azan dan qiamah dilaungkan oleh bilal, ia hanya dapat dihadiri oleh imam, bilal dan noja bagi solat waktu dan solat terawih. Selain daripada itu, mereka terpaksa mengerjakannya di rumah.
Ketika Ramadhan tanpa COVID-19, kita boleh memilih masjid atau surau untuk solat terawih kerana tertarik dengan bacaan merdu imam, suasana ruang solat yang kondusif dan pihak masjid menyediakan moreh. Kadang kala kita merungut kerana doa yang dibaca terasa amat panjang atau ayat yang dibaca melenguhkan lutut.
Ramadhan ketika PKP ini melenyapkan semua rungutan kerana kita sendiri yang perlu menjadi imam solat kepada keluarga. Maka, mahu atau tidak mahu, imam perlu membuat persediaan awal seperti memastikan hafalan surah-surah lazim yang pendek, menyusun kembali doa-doa yang ma’thur, menyediakan jadual azan dan iqamah serta menguatkan mental untuk menjadi imam terawih selama sebulan.
Minggu-minggu awal menjadi imam terawih mungkin tidak sempurna kerana kerap kali terlupa ayat, bacaan yang salah dan gangguan anak-anak kecil yang diajak bersolat. Keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak lelaki dewasa boleh menggilirkan mereka sebagai imam dan bilal manakala anak-anak perempuan boleh menjadi makmum yang sempurna.
Dari segi bacaan al-quran, memilih ayat-ayat yang pendek sudah memadai namun jika mencuba ayat-ayat yang lebih panjang dan mencabar seperti Al-Kahfi tidaklah menjadi satu kesalahan. Yang penting adalah bacaan yang betul dan tidak terlupa.
Ada juga iman yang terlalu asyik membaca ayat-ayat al-quran yang panjang, langsung tidak sedar menambah rakaat solat terawih dari dua rakaat kepada tiga rakaat. Selepas ditegur, barulah imam tadi membaca ayat yang lebih pendek dan dapat disempurnakan dalam tempoh yang lebih singkat iaitu antara 15 hingga 20 minit.
Mereka yang menjadi imam terawih pada Ramadhan 2020 ini akan mengenang pengalaman tersebut sepanjang hayat. Ia boleh menjadi bahan bual bicara yang dikongsi dengan anak cucu dalam 10 tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment