Monday, June 15, 2020

COVID-19: Sidang media harian





Di peringkat awal penularan wabak COVID-19, sidang media harian perkembangan wabak ini dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada pukul lima petang. Namun saya belum pernah mendengar ucapannya sehinggalah suatu hari ketika sedang berjalan keluar dari asrama tempat tinggal di universiti.

 

Petang hari itu saya dan rakan telah berjalan di hadapan pos kawalan asrama dan melihat seorang pengawal di situ sedang menonton siaran media di YouTube mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia. Rakan saya membisikkan ke telinga saya memberitahu yang dilihat dan didengar oleh pengawal tadi adalah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

 

Saya menyorot kembali bentuk sidang media yang dilaksanakan setiap hari. Perkara utama yang menarik adalah keyakinan beliau menjawab setiap soalan berdasarkan fakta yang diperoleh.

 

Sidang media harian ini mendapat sambutan setiap hari dan sentiasa menjadi rancangan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia bagi mengetahui perkembangan terkini bilangan kes positif COVID-19. Kandungan pencapaiannya adalah telus, berfakta dan mencakupi pelbagai aspek yang dimahukan oleh orang ramai.

 

Mesej utama ialah duduk di rumah, kerap mencuci tangan dan penjarakan sosial sentiasa diulangi dalam setiap sidang media. Ketiga-tiga pendekatan meresap masuk ke minda separa sedar orang ramai sehingga mendorong perubahan tingkah laku orang Malaysia. Selama sebulan mereka tidak keluar rumah kerana meyakini pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

 

Sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan itu ini dipantau oleh sebuah agensi berita China iaitu China Global TV Netwotk (CGTN) yang menamakan beliau sebagai salah seorang doktor terbaik yang menyampaikan maklumat pandemik COVID-19 di dunia bersama-sama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Ashley Bloomfield dari New Zealand.

 

Penghargaan yang diberikan ini telah melonjakkan populariti beliau dan sidang media itu sendiri. Ia menaikkan lebih ramai penonton dan disiarkan oleh kebanyakan stesen penyiaran di Malaysia.

 

Perbezaan sidang media ini dengan negara-negara serantau sememangnya amat ketara. Di Brunei, sidang media dilakukan oleh Menteri Kesihatan, di Indonesia dilakukan oleh Achmad Yurianto iaitu juru cakap agensi kawalan dan pencegahan penyakit manakala di Singapura ia dilakukan oleh pelbagai menteri.

 

Sidang media harian berperanan memaklumkan perkembangan semasa kes COVID-19 dan bagaimana kerajaan menangani masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment