Perkembangan infrastruktur sukan dan rekreasi di Brunei semakin baik dari setahun ke setahun. Padang bola sepak dan balapan telah dinaik taraf, kemas dan menarik. Kawasan padang diselenggara secara teratur.
Ada sesetengah kawasan ini menempatkan pavilion bagi memudahkan pengguna berehat atau jika datang berkelompok mereka boleh beriadah bersama-sama. Kerajaan Brunei menggiatkan dan membanyakkan kawasan sukan dan rekreasi ini supaya lebih ramai masyarakat negara itu dapat bersenam bagi mengurangkan berat badan, mencegah penyakit dan mensejahterakan kehidupan sosial.
Dalam satu laporan, kadar kegemukan dalam kalangan dewasa Brunei adalah tinggi dengan tujuh daripada sepuluh orang adalah obes (2016 Brunei National Survey on Risk Factors on Non-Communicable Diseases). Jika tidak dikawal, trend ini akan memburukkan kesihatan dan mengancam nyawa kerana melibatkan kanser, jantung dan kencing manis.
Galakan bersenam ini harus bermula sejak kecil supaya dapat membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan menjadi sumber manusia yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Pertambahan kawasan sukan dan rekreasi ini seiring dengan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk mengimbangkan kehidupan bekerja dan berkeluarga.
Kempen kesihatan dan aktiviti hujung minggu turut dipopularkan khususnya di Bandar Seri Begawan yang melibatkan orang kenamaan dan pegawai kerajaan yang turut sama menyertai rekreasi biarpun ada kalanya mereka sibuk dengan urusan tugas.
No comments:
Post a Comment