Sunday, September 29, 2019

Pengalaman hafal surah Al-Kahfi







Kita dituntut membaca surah Al-Kahfi. Hadis Rasulullah saw tentang tuntutan ini berkaitan menghindari fitnah Dajjal.

Dari Abu Darda’, bahawasanya Nabi saw bersabda, "Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah Al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal". (Riwayat Muslim)

Kelebihan lain adalah mendapat cahaya yang menerangi pembacanya. Ia berdasarkan dua hadis berikut.

"Sesiapa membaca Al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Ka’bah)". (Riwayat Ad-Darimi)

“Sesiapa membaca Al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya selama waktu antara Jumaat yang satu ke Jumaat berikutnya". (Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Saya telah lama mendengar hadis-hadis ini termasuk saranan daripada penceramah dari pelbagai tempat sama ada di kuliah agama ataupun melalui kuliah di media sosial seperti YouTube. Awalnya, saya tidak begitu ambil kisah saranan-saranan ini.

Lagipun saya bukanlah orang yang banyak menghafal surah-surah dalam Al-Quran, hanya beberapa surah pendek ayat-ayat lazim untuk dibaca ketika dalam solat.

Persepsi dan tindakan saya mula berubah semasa sedang belajar di peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Perubahan ini berlaku apabila saya kerap berada di hadapan komputer bagi mencari bahan-bahan bacaan berkaitan tesis saya. Semasa mencari dan membaca artikel yang ada, saya mendengar banyak kuliah berkaitan peristiwa akhir zaman yang disampaikan oleh Sheikh Imran Hosein, Mufti Menk, Ustaz Samsuri Haji Ahmad Haji Ahmad dan beberapa orang ulama dari Indonesia seperti Ustaz Zulkifli Muhammad Ali dan Ustaz Khalid Basalmah.

Rata-ratanya menerangkan keperluan membaca sepuluh ayat awal surah Al-Kahfi kerana kehadiran Dajjal yang dikatakan semakin hampir berlaku. Huraian mereka sangat panjang lebar dan mempengaruhi pemikiran saya untuk melakukan sesuatu dengan surah Al-Kahfi ini.

Di sinilah permulaan saya menghafal sepuluh ayat pertama surah Al-Kahfi. Ketika itu saya berusia 40 tahun, sangat sukar menghafal walaupun satu ayat.

Bermacam-macam teknik saya gunakan untuk mengingat. Antaranya menghafal tiga hingga lima perkataan, menyalin kembali ayat, membaca dengan lantang, baca berulang-ulang kali setiap kali menaiki kereta dan mengulang kembali selepas setiap kali solat.

Semua pendekatan ini telah membantu saya menghafal sepuluh ayat yang pertama. Bagi mengukuhkan ingatan, saya merakam kembali bacaan surah Al-Kahfi oleh Sheikh Mishary Rashid untuk saya dengar dan baiki bacaan.

Setiap hari saya berusaha untuk menambah satu baris ayat. Setiap masa terluang saya gunakan untuk membaca kembali ayat-ayat yang telah dihafal. Masa paling baik adalah selepas solat subuh setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu. Biasanya setiap sesi bacaan ini mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk 40 hingga 60 ayat.

Semangat dan iltizam saya semakin bertambah untuk menghafal seluruh surah Al-Kahfi ini selepas merasai pengalaman baru menghafal. Setiap hari ayat hafalan saya semakin bertambah dan dalam tempoh setahun, saya dapat menghafal sehingga 110 ayat.

Pencapaian ini sangat bermakna kepada saya kerana ia memberi kepuasan dan sebagai tanda kasih dan sayang Allah swt kepada orang yang mahu menghafal Al-Quran.

Selain usaha menghafal, saya juga mengambil remedi homeopati buatan sendiri, Brain Active bagi menambah daya ingatan. Pengambilan secara berterusan dua kali sehari ini membantu sel-sel otak saya menyerap setiap ayat yang dihafal dengan pantas dan kekal lama. Sel-sel otak yang cergas ini membantu saya mengekalkan hafalan 110 ayat surah Al-Kahfi sehingga kini.

Selepas berjaya menguasai surah Al-Kahfi, saya mula menghafal surah-surah yang digalakkan membaca seperti Al-Mulk, As-Sajadah dan Al-Walqiah.

Walaupun umur telah lebih 40-an, peluang menghafal surah-surah utama dalam Al-Quran masih boleh diusahakan. Banyak kaedah untuk menghafal dan kita boleh pilih yang serasi dengan keadaan masa dan tabiat hidup kita. Orang bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang dengan caranya, yang bekerja syif malam dengan caranya juga dan yang kerja 'freelance' juga dengan caranya. Bagi yang tidak bekerja dan menganggur, ia adalah masa terbaik untuk memulakan hafalan Al-Quran yang tertangguh.

Di samping itu, menjaga pemakanan dan mencari remedi yang dapat meningkatkan kecergasan sel-sel otak dan tubuh badan. Mujahadah dan doa dapat mengekalkan usaha kita untuk menghafal 110 ayat dalam surah Al-Kahfi ini, insya Allah.


No comments:

Post a Comment