Tuesday, September 17, 2019

Makmurkan Sabah dan Sarawak







Hari ini Malaysia menyambut ulang tahun yang ke-56. Dalam tempoh ini, perkembangan masyarakat Malaysia jauh lebih baik ketika dibandingkan dengan keadaan ketika awal pembentukan negara ini. Banyak kawasan yang telah dibangunkan dan bertukar wajah daripada sebuah kawasan pedalaman, terpinggir dan kurang membangun kepada sebuah bandar yang moden, aktif dan tersusun.

Kepesatan pembangunan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia semakin cepat dan menuju ke arah sebuah negara Malaysia yang maju.

Walaupun pembangunan di Semenanjung Malaysia lebih menyerlah berbanding di Sabah dan Sarawak, pembangunan tersebut lebih banyak tertumpu di kawasan pantai barat berbanding di pantai timur. Namun begitu masyarakat di Semenanjung Malaysia umumnya berkongsi kesejahteraan dan kemakmuran hidup yang sangat baik.

Di Sabah, pembangunan semakin rancak khususnya di Kota Kinabalu dan bandar-bandar utama yang lain. Di Kota Kinabalu, kawasan yang dulunya penuh dengan semak samun dan kawasan terbiar telah didirikan pelbagai jenis bangunan dan kompleks perniagaan yang menjadi nadi kepada kecergasan aktiviti ekonomi dan kemantapan hubungan sosial masyarakat.

Peristiwa pencerobohan kelompok dari Selatan Filipina ke Lahad Datu memberikan inspirasi kepada masyarakat Sabah khasnya dan masyarakat Malaysia umumnya untuk menjadikan kedaulatan wilayah dan kemerdekaan negara sebagai aset yang sangat penting dalam hidup bernegara.

Pembangunan di Sarawak lebih rancak dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang membelah hutan dan meneroka tanah serta menggerakkan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan pedalaman untuk mendapat akses dalam pendidikan dan memberi ruang yang sangat besar kepada pertambahan pendapatan. Laluan di sepanjang lebuh raya ini akan membuka bandar-bandar baharu dan penempatan yang dapat memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Di Sabah, perkhidmatan kereta api masih berjalan tetapi belum dimajukan sepenuhnya. Penduduk di kawasan pedalaman menggunakan jalan raya dan kereta api untuk bergerak ke kawasan bandar. Perbezaan yang ketara adalah penduduk di pedalaman Sabah masih jauh dengan pembangunan infrastruktur yang menghubungkan kampung dengan kampung lain. Malah ada di antara kampung ini belum memiliki kemudahan elektrik dan air yang berkualiti. Namun begitu, pembangunan di kawasan bandar sangat baik, peluang pekerjaan yang banyak dan pendapatan yang lebih baik.

Tumpuan pembangunan infrastruktur harus digandakan ke atas Sabah dan Sarawak supaya kedua-dua negeri ini dapat berkembang dan menikmati manfaat pembangunan. Kawasan bandar dan pedalaman harus dihubungkan antara satu sama lain supaya limpahan pembangunan dapat dialirkan ke pedalaman. Pendekatan ini dapat memberikan banyak manfaat kepada penduduk pedalaman untuk mendapat peluang mengubah hidup, membaiki tahap pendapatan dan menjadikan kualiti hidup lebih baik.


No comments:

Post a Comment