Monday, September 30, 2019

Amal soleh dikenang selamanya







Kemalangan jalan raya di Kilometer 23 Jalan Natir-Mersing, Simpang Renggam, Johor telah mengorbankan tiga jiwa. Ketiga-tiga mereka adalah Sodiq Abu Bakar, Shamjuddin Romani dan Mohd Khairy Abd Jaafar. Kejadian berlaku sekitar pukul 1.40 tengah hari.

Mereka adalah aktivis HALUAN yang kerap terlibat dalam misi kemanusiaan, kebajikan masyarakat dan memberi khidmat pendidikan Islam kepada kanak-kanak dan remaja di dalam dan luar negara. Ketika kejadian, mereka baru sahaja selesai Perkhemahan Kepimpinan HALUAN Negeri Johor.

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik turut menzahirkan rasa sedih dan berduka di atas kemalangan yang berlaku.

Salah seorang mangsa, Sadiq merupakan kenalan saya lebih kurang 12 tahun lalu ketika saya berkhidmat di Kota Bharu, Kelantan. Sifat arwah sangat istimewa antaranya sentiasa bertanya khabar dan beriya-iya memberi bantuan tanpa mengira masa dan tempat. Jika perkara itu sukar, arwah akan cuba melakukannya dengan cara paling baik.

Arwah juga sentiasa kehadapan dalam memberi bantuan sama ada bersifat peribadi atau berkumpulan lebih-lebih lagi yang bersifat Islamik kerana mahu mengejar pahala.

Arwah juga tekun mendalami ilmu-ilmu Islam dan sentiasa mendahulukan ibu dan bapa yang tinggal di rumah, yang pada saya kelihatan agak uzur pada masa itu. Barangkali keadaan rumah semakin baik kerana adik-beradiknya ramai yang telah bekerja dan kembali membantu kedua ibu bapa mereka.

Oleh kerana sifatnya yang sentiasa ingin membantu, saya menghadiahkan baju blazer yang menjadi kenangan saya ketika belajar di universiti dahulu. Satu-satunya baju yang saya bawa ke mana sahaja saya pergi ketika bekerja. Dengan baju itu, saya berharap arwah dapat meningkatkan motivasi bekerja dan keyakinan diri untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Selepas mendengar kemalangan yang meragut nyawa arwah, saya terus teringat sekeping gambar hari pernikahannya. Terasa seolah-olah baru dua tiga hari lalu melihat wajahnya yang gembira. Semoga segala amal dan usahanya untuk dakwah dan tarbiah akan diberi ganjaran dan pahala sebanyak-banyaknya.


لَهُمْ دَارُ السَّلَامِ عِنْدَ رَبِّهِمْ ۖ وَهُوَ وَلِيُّهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Bagi mereka (disediakan) darussalam (syurga) pada sisi Tuhannya dan Dialah pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan. (Al-An’am: 127)



No comments:

Post a Comment