Wednesday, July 24, 2019

Rancakkan pembangunan sempadan







Keadaan sempadan Brunei-Malaysia di Tedungan telah banyak berubah. Ia tidak bermaksud sempadan kedua-dua buah negara telah berubah tetapi pembangunan di kawasan sekitar yang telah berubah.

Dua puluh tahun lalu, sebaik sahaja melimpasi sempadan Kuala Lurah di Brunei, kita akan melihat deretan gerai makanan dan minuman di sebelah kiri pintu pagar sempadan dengan payung ‘Tiger’, ‘Heineken’ dan ‘Carlsberg’. Di sebelah kanan ada juga gerai yang serupa di samping beberapa buah gerai makanan orang Islam.

Di atas bukit sebelah kanan, terdapat sebuah surau untuk orang ramai bersolat. Saya juga pernah beberapa kali menunaikan solat di situ. Namun, hari ini bangunan surau berkenaan ditinggalkan kosong dan dipagari rumput dan lalang yang tumbuh tinggi. Yang kelihatan hanya bumbung surau.

Di bahagian bawah bukit berdekatan surau terdapat tiga atau empat buah rumah penduduk yang sekarang ini telah dirobohkan, cuma tinggal sebuah rumah betul-betul bersempadan dengan pagar kompleks ICQS Tedungan, Sarawak.

Pada masa itu, untuk ke Limbang kita boleh naik kereta penambang yang mengenakan bayaran lima ringgit seorang. Terdapat lima atau enam buah kereta penambang yang diusahakan orang tempatan. Perkhidmatan bas dari Limbang ke Tedungan amat jarang dan telah dihentikan. Perkhidmatan utama sekarang ialah teksi yang mengenakan bayaran sebayak RM40 sehala.

Perubahan ketara ialah pembinaan kompleks ICQS Tedungan yang lebih besar dan selesa. Terdapat kuarters, kafetaria, surau dan bilik air untuk kemudahan petugas dan orang ramai. Sebelum kompleks ini dibina, pas lawatan dicop oleh kakitangan imigresen yang berada dalam sebuah pondok kecil.

Kawasan gerai makan yang terletak bersebelahan pintu sempadan telah dikosongkan dan kawasan itu telah digantikan dengan pondok panas menunggu teksi. Setiap pagi pemandu teksi akan menunggu pelancong, pelawat atau penduduk yang mahu ke Limbang bermula jam 7 pagi. Walau bagaimanapun keadaan pondok panas ini kelihatan uzur dan kurang terurus apabila kerusi panjang yang telah patah tidak dibaiki. Kadangkala terdapat dua atau tiga buah motosikal diletakkan di situ.

Beberapa meter dari pondok panas ini terdapat laluan jalan raya yang berlopak di sana sini dan masih belum dibaiki. Namun terdapat usaha dari Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk menurap kembali jalan itu sebagai usaha meningkatkan imej negara.

Kompleks ICQS Tedungan ini memberikan perkhidmatan yang lebih selesa, pantas dan mesra. Pengguna tidak perlu turun dari kenderaan dan bagi pejalan kaki, terdapat laluan dan kaunter khas untuk mereka.

Kali pertama ke Limbang, saya tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan kenderaan ke sana. Lalu saya membuat keputusan bermalam di surau kuarters ICQS yang luas. Di sebelah surau terdapat kafeteria dan bilik air lelaki dan perempuan. Mungkin kerana bangunan surau terletak di kawasan yang banyak burung, di pintu masuk surau terdapat tompokan tahi burung dan tahi cicak manakala di bilik air, keadaannya kurang bersih dengan tahi burung bersepah di sana sini. Kemudahan yang disediakan sangat baik tetapi kerja-kerja senggaraan tidak dilaksanakan. Keadaan kaferetia masih kosong dan belum digunakan.

Keadaan dalam surau sangat lengkap. Terdapat karpet, mikrofon, kipas angin dan ruang solat wanita. Mungkin kerana tidak ramai yang bersolat di sini, urusan membersihkan karpet kurang diberi perhatian. Saya perlu berhati-hati ketika melangkah ke saf hadapan bagi mengelak terpijak tahi cicak. Untuk solat maghrib dan isyak, saya berjemaah dengan seorang kakitangan kastam yang istiqamah menghidupkan waktu solat di surau berkenaan.

Tidak jauh dari pagar kompleks ICQS, di kiri jalan didirikan kedai makan yang lebih baik. Disediakan juga tandas awam dan kawasan parkir yang lebih luas. Kebanyakan peniaga di gerai ini menyediakan makanan untuk orang bukan Islam di samping terdapat papan iklan ‘Tiger’ dan ‘Carlsberg’ di hadapan kedai. Kedai runcit juga menjual minuman keras dan sejuk dalam satu peti ais.

Ada satu keadaan yang memusykilkan saya ialah orang ramai khususnya golongan pencen dan warga emas yang selalu masuk ke sebuah kedai di situ. Mereka masuk, mengambil kertas dan menulis sesuatu lalu diserahkan kepada petugas kaunter.

Di sebelah kanan jalan terdapat papan tanda ‘Pasar Tani’ iaitu deretan penjual makanan berasaskan panggang dan kuih tradisional. Kepak ayam, tongkeng ayam, hati buyah dan sosej boleh dikatakan dijual oleh hampir semua peniaga. Ada juga yang membuka kedai makan pada sebelah malam. Jualan di kawasan ini semuanya halal.

Sepanjang laluan ke Limbang, bilangan rumah dirasakan semakin banyak. Di sesetengah kawasan terdapat surau dan gereja sebelah-menyebelah yang melambangkan kawasan itu terdapat penganut Islam dan kristian. Ada juga sebuah kuil buddha yang telah lama dibina, mungkin 20 tahun lepas walaupun tidak ada penduduk berketurunan Cina di situ.

Penduduk juga menikmati bekalan air bersih melalui sambungan paip dan bekalan elektrik biarpun ke kawasan kampung pedalaman. Keunikan nama kampung ini melambangkan kelompok etnik seperti Bisayak dan Melayu. Terdapat sebuah kampung yang bernama Kampung Agong Tua.

Pembangunan juga semakin bertambah khususnya pembinaan Penjara Limbang yang dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk untuk membuka gerai makanan, jualan bahan keperluan dapur dan pendidikan. Kuarters penjara yang menempatkan kakitangan penjara dapat menjadi pemangkin kepada transformasi minda penduduk sekitar laluan ke Limbang ini untuk meneroka ilmu pendidikan yang lebih besar.

Sekolah rendah dan menengah juga semakin banyak. Anak-anak kampung dari kawasan pedalaman tinggal di asrama sekolah dan dapat memberi perhatian kepada pembelajaran mereka. Akses jalan raya yang lebih luas sehingga ke kawasan kelapa sawit dan kayu balak memberi peluang kepada penduduk hulu untuk melihat pembangunan dalam konteks dan perspektif berbeza daripada persekitaran hidup sedia ada.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, laluan jalan raya dari Tedungan ke pekan Limbang sudah pasti lebih rancak kerana semakin banyak rumah yang dibina, pertambahan penduduk dan aktiviti perniagaan rentas sempadan yang semakin aktif.


No comments:

Post a Comment