Thursday, July 04, 2019

Kesepaduan etnik di universiti awam: kajian kes di Universiti Teknikal Malaysia Melaka




Nur Syarah Farhana binti Md Saad, Mishalni A/P Jayavalam, 
Muhammad Muzzamil bin Mohd Rezman, Nurul Izzati binti Zaidi, 
Nur Shafiqah binti Mohd Amran, 
Mohammad Asri bin Ismail, Tong Kang Chun 



1.0 Pengenalan

Kesepaduan etnik merupakan satu elemen yang sangat penting dalam agenda pembangunan negara khasnya bagi negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Menurut Furnival (1965), masyarakat majmuk ditakrifkan sebagai penduduk pelbagai etnik yang tinggal dalam satu kawasan yang sama tetapi mengamalkan agama, bahasa, kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Berdasarkan takrifan tersebut, maka masyarakat Malaysia boleh dirujuk sebagai sebuah masyarakat majmuk kerana terdiri daripada pelbagai etnik iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan puluhan etnik lain. Kepelbagaian ini menjurus kepada pertembungan agama, bahasa dan adat resam yang mana sedikit sebanyak membawa kepada perselisihan jika tidak diurus dengan baik dalam kalangan masyarakat.

Justeru itu, nilai perpaduan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia, tambahan pula Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, budaya dan agama. Nilai ini seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya agar proses pembangunan yang dirancang mencapai matlamat pembangunan. Di antara salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia adalah melalui penerapan elemen perpaduan dalam pendidikan. Sebagai contoh, pelajar diwajibkan mempelajari subjek sejarah tidak kira peringkat menengah mahupun rendah. Dalam pelajaran tersebut, pelajar mempelajari bagaimana kemerdekaan dikecapi melalui perpaduan antara etnik melalui kesepakatan antara Melayu, Cina dan India demi mencapai sebuah negara yang aman dan bebas daripada penjajahan.

Manakala di peringkat universiti awam, subjek teras universiti diperkenalkan iaitu Hubungan Etnik dan Tamadun Islam & Asia (TITAS). Kedua-dua subjek ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan perpaduan terutama kepada masyarakat majmuk di samping membentuk jati diri rakyat Malaysia yang mengamalkan toleransi sebagai teras perpaduan. Subjek ini sangat penting kepada pelajar kerana mereka merupakan generasi yang bakal menerajui kepimpinan negara. Tambahan pula, tinjauan literatur menunjukkan bahawa tahap perpaduan masih berada pada tahap yang rendah (Suzana, 2013; Rusimah, Mohd Ainuddin Iskandar & Salma, 2004; Mohd Ridhuan, 2010). Tahap perpaduan yang rendah ini boleh membawa kesan negatif khasnya kepada pembangunan negara.


1.1 Objektif Kajian

Oleh itu, kajian ini telah memberi penekanan kepada elemen perpaduan dalam kalangan pelajar di universiti awam. Kajian ini menfokuskan responden dalam kalangan pelajar universiti kerana mereka merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan.

Kajian ini hendak mencapai tiga objektif utama iaitu:


1. Mengenal pasti tahap kesepaduan etnik dalam kalangan pelajar di universiti awam.

2. Mengenal pasti faktor-faktor yang menpengaruhi kesepaduan etnik di universiti awam.

3. Mengenal pasti cabaran dan langkah-langkah mengekalkan kesepaduan etnik di universiti awam.


2.0 Sorotan Kajian

Perpaduan dalam masyarakat merupakan salah satu tonggak utama kepada keharmonian dan kemakmuran negara. Malaysia merupakan salah satu negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza. Perpaduan amat dititikberatkan dalam masyarakat Malaysia, justeru perpaduan hendaklah dipupuk dan dibaja agar tidak membawa kepada permusuhan dan peperangan yang dapat membawa kepada kemusnahan. Bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, proeses tersebut perlu bermula dari akar umbinya iaitu golongan belia terutama pelajar di universiti awam yang merupakan golongan pelapis kepada peneraju negara pada masa akan datang. Perpaduan menjadi agenda pendidikan sejak Penyata Razak 1956 bertujuan merapatkan jurang antara pelajar daripada pelbagai etnik demi memupuk semangat perpaduan nasional melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.


3.0 Metodologi Kajian

Tinjauan awal dilakukan bagi mendapat gambaran sebenar keadaan kesepaduan etnik di universiti awam. Antara ciri yang dikaji adalah kumpulan etnik, pergaulan antara etnik, tahap keharmonian kesepaduan etnik, faktor-faktor yang mempengaruhi kesepaduan etnik, cabaran mengekalkan perpaduan etnik dan langkah mengekalkan dan menguatkan kesepaduan etnik.

Pengumpulan data menggunakan borang soal selidik melalui ‘google form’. Sampel kajian terdiri daripada 36 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Dapatan kajian menunjukkan responden etnik Melayu adalah yang paling ramai. Dapatan kajian juga menunjukkan kebanyakan responden bersetuju bahawa pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam persekitaran pembelajaran mereka.


4.0 Hasil Dapatan


4.1 Umur

Majoriti responden adalah dalam kategori umur 17-19 tahun (63.9%), diikuti 20-22 tahun (25%), 23-25 tahun (8.3%) dan selebihnya umur 26 tahun dan ke atas.


4.2 Fakulti

Terdapat lapan fakulti di UTeM di mana semua responden mengambil bahagian dalam kajian ini. Responden dari Fakulti Kejurutreaan Pembuatan didapati lebih dominan di samping responden dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Secara umum responden dalam kajian ini mewakili setiap fakulti di UTeM.


4.3 Etnik

Majoriti respondan terdiri daripada etnik Melayu iaitu sebanyak 83.6% (31), etnik India 5.4% (dua), etnik Cina 2.7% (1) dan lain-lain diwakili 8.1% (tiga).


4.4 Pergaulan Etnik

Daripada soal selidik, dapat dilihat bahawa responden tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan etnik yang berbeza semasa melakukan aktiviti atau tugasan.


4.5 Budaya Rasis Antara Etnik Dalam Kalangan Pelajar

Kebanyakan responden (80.6%) menjawab budaya rasisme dalam kalangan pelajar berada pada tahap rendah berbanding 19.4% yang melihat wujud budaya berkenaan sesama pelajar berbeza etnik.


4.6 Perpaduan Etnik

Responden merasakan perpaduan etnik di UTeM berada dalam keadaan harmoni (87.1%) berbanding mereka yang merasakan perpaduan tidak wujud dan masih dalam keadaan longgar.


4.6 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Perpaduan Etnik di UTeM

Antara faktor-faktor yang mempengaruhi perpaduan di UTeM adalah kerana terdapat program-program yang melibatkan penyertaan pelbagai etnik. Contohnya hari kebudayaan, pesta lilin, karnival, hari perayaan, sukaneka dan aktiviti larian seperti “fun run’. Seterusnya, syarat untuk membentuk ahli kumpulan yang perlu terdiri daripada pelbagai etnik bagi menyiapkan kerja kursus atau pembelajaran di bilik kuliah. Hal ini mewujudkan hubungan yang lebih erat dalam kalangan pelajar yang berlainan latar belakang, agama, adat dan budaya.

Selain itu, penglibatan dalam persatuan yang terbuka kepada semua etnik seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Integriti dan Persatuan Okestra. Pendidikan juga menyumbang kepada perpaduan iaitu tidak mengkelaskan atau mengasingkan bilik kuliah mengikut etnik malah mencampurkan pelajar dalam satu kelas walaupun berbeza latar belakang. Di samping itu, faktor lain yang mempengaruhi perpaduan adalah sukan dan permainan. Hal ini dapat dilihat daripada aktiviti dan pertandingan sukan yang dianjurkan oleh UTeM iaitu peserta yang menyertai sukan tersebut jelas berbilang etnik sama ada menyertai acara individu atau berberpasukan.

Tuntasnya, perpaduan etnik dapat mewujudkan kesepakatan, kesaksamaan dan keharmonian antara pelajar UTeM. Hal ini juga dapat membawa kepada kemajuan negara dari segi pendidikan dan dapat menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang harmoni biarpun mempunyai masyarakat yang berbeza etnik.


5.0 Kesimpulan dan Cadangan

Nilai perpaduan dalam masyarakat pada masa kini semakin lama semakin pudar biarpun pelbagai inisiatif dijalankan bagi memupuk semangat perpaduan dan kesaksamaan dalam kalangan pelajar berbeza etnik terutama generasi muda. Dengan ini, pelbagai langkah dan inisiatif diambil bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar di universti awam.

Antara cabaran yang dihadapi ialah ketidaksefahaman antara pelajar yang mempunyai pendapat yang berbeza berdasarkan latar belakang etnik mereka. Perbezaan dalam aspek adat, agama dan budaya mempengaruhi cara pemikiran seseorang dalam membuat atau menyatakan sesuatu pendapat atau penyelesaian kepada sesuatu masalah. Seterusnya, sikap rasisme yang masih menebal pada sesetengah individu yang disebabkan sikap atau tabiat individu lain yang berlainan agama dan cara hidup. Sikap ini menyebabkan seseorang menghukum dan menyalahkan agama serta memandang serong terhadap seseorang bak kata pepatah ‘hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Selain itu, perbezaan adat, budaya dan cara pergaulan juga merupakan salah satu cabaran dalam mengekalkan dan memupuk semangat perpaduan di antara pelajar. Hal ini kerana terdapat sesetengah pelajar yang suka berada dalam kelompok sendiri yang tidak bercampur dengan orang lain.

Di samping itu, perbezaan bahasa yang digunakan dalam komunikasi. Contohnya, apabila sekumpulan pelajar yang sedang berkomunikasi yang terdiri daripada pelbagai etnik menggunakan bahasa perantaraan masing-masing menyebabkan kumpulan etnik yang berlainan tidak dapat memahami, justeru menyebabkan mereka kurang berkomunikasi. Hal ini menjadikan jurang komunikasi antara ahli kumpulan semakin lebar dan wujud lompong kesaksamaan dan persefahaman antara ahli yang terdiri daripada pelbagai etnik itu.

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengekalkan dan menerapkan semangat perpaduan etnik ialah mewujudkan dan memperbanyakkan aktiviti yang dapat disertai daripada pelbagai latar belakang etnik dan mengadakan program berasaskan perpaduan. Selain itu, pihak universiti boleh menganjurkan program kemasyarakatan dan kesukarelawanan dengan lebih kerap dan konsisten seperti gotong-royong dan program alam sekitar.

Di samping itu, dari segi individu pula, mereka perlu mengambil tahu dan mempelajari budaya dan adat dari etnik lain agar dapat mewujudkan sifat toleransi dan kesefahaman antara etnik. Akhir sekali, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam pertuturan ataupun komunikasi apabila terdapat etnik yang berbeza dalam ahli kumpulan.

Kesimpulannya, perpaduan merupakan suatu nilai yang penting dan perlu diberi perhatian dan keutamaan dalam mencapai keharmonian negara. Setiap pihak perlu bekerja keras dan bekerjasama bagi menjamin keharmonian negara biarpun pelbagai cabaran dan halangan yang datang bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.


Rujukan

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/531690/perpaduan-kaum-penting-untuk-malaysia-jadi-negara-maju-tpm

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/547348/perpaduan-kaum-menyumbang-kepada-kemajuan-negara

http://www.kk.usm.my/index.php/arkib-berita/160-pentingnya-perpaduan-di-kalangan-mahasiswa

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/420021/pertahankan-perpaduan-kaum

https://www.academia.edu/7967819/Kepentingan_Perpaduan_Kaum

https://www.scribd.com/doc/33177276/Perpaduan-Kaum-Di-Malaysia

https://www.slideshare.net/mobile/asrrien79/perpaduan-kaum-55449324

-->

No comments:

Post a Comment