Tuesday, July 02, 2019

Penggunaan teknologi dalam pendidikan di universiti awam: kajian kes di Universiti Teknikal Malaysia Melaka








Samuel Marcus Imang Ngau, Ahmad Nizamuddin bin Muhamad,
Muhammad Haziq bin Ahmad Fozi, Mohamad Azhary bin Mohd Asry,
Nur Muizzuddin bin Razali, Syafiq Ikmal bin Shamsuddin,
Amirul Haziq bin Shahrul Riza

1.0 Pengenalan

Penggunaan ICT dalam pembelajaran banyak memberi impak positif kepada mahasiswa di universiti. Teknologi pendidikan merupakan satu proses yang kompleks kerana melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah serta bentuk seterusnya menilai dan mengurus penyelesaian. Teknologi pengajaran boleh bermaksud alat atau bahan yang digunakan untuk tujuan pembelajaran di samping pengajaran pensyarah dan penggunaan ICT bagi memudahkan proses pembelajaran dan dijadikan sebagai bahan rujukan. Secara mudahnya, teknologi pendidikan merujuk kepada proses pengajaran atau alatan yang dapat membantu pensyarah ke arah pencapaian pengajaran yang berkesan. 

Teknologi pembelajaran berfungsi dalam memberi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kepada mahasiswa tentang maklumat berkaitan bidang yang diambil dan maklumat terkini dalam pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, penggunaan teknologi ini dapat menjadikan pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Pensyarah dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan bukan tertumpu kepada teknik pengkuliahan sahaja bahkan dapat meningkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam ICT. Melalui penggunaan peralatan ICT, pensyarah dapat menerangkan kepada mahasiswa dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek. Contohnya, penggunaan internet untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kursus tertentu. Kemahiran menggunakan internet membolehkan pensyarah dan mahasiswa mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisen seterusnya dapat digunakan dalam aktiviti pembelajaran.


2.0 Objektif Kajian

i.   Mengenal pasti faedah-faedah teknologi di dalam pendidikan.

ii.  Mengenal pasti tahap pengetahuan mahasiswa UTeM tentang penggunaan teknologi
     dalam pendidikan.

iii. Menggalakkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan borang soal selidik yang diedarkan kepada responden melalui media sosial. Responden merangkumi fakulti terpilih berdasarkan ciri-ciri yang telah ditentukan.

Kajian yang dijalankan ini berupa kajian tinjauan dan menggunakan soal selidik sepenuhnya. Sampel kajian terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Fokus kajian ialah berkenaan penggunaan teknologi dalam pendidikan dalam kalangan mahasiswa UTeM. Apa yang diberikan fokus ialah mengenai pengetahuan mahasiswa mengenai teknologi yang sedia ada di UTeM.

Melalui pengagihan borang soal selidik ini, 24 orang menjadi responden kajian. Daripada jumlah ini, 22 orang berumur di lingkungan 18-20 tahun diikuti masing-masing seorang yang berumur 21-23 tahun dan 24-26 tahun.

Responden terdiri daripada mahasiswa di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan iaitu tujuh orang manakala Fakulti Kejuruteraan Teknologi dan Maklumat dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik memiliki bilangan yang sama iaitu enam orang setiap fakulti. Fakulti Kejuruteraan Elektrik seramai tiga orang dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal seramai dua orang. Majoriti responden adalah etnik Melayu iaitu 18 orang diikuti dengan Cina, India dan lain-lain yang memiliki bilangan yang sama iaitu dua orang responden.


4.0 Hasil Kajian

4.1 Jenis-jenis Pendidikan

Dalam sistem pendidikan, terdapat banyak inovasi yang cuba dilaksanakan di sekolah atau di institusi pengajian tinggi. Berikut adalah beberapa contoh inovasi teknologi pengajaran yang telah dan sedang dilaksanakan di sekolah atau di institusi pengajian tinggi.


Jadual 1: Jenis dan ciri pendidikan

Pendidikan
Pengajaran tradisional (kapur tutur seperti perbincangan/kuliah/tutorial)
Radio pendidikan
TV pendidikan
Penggunaan overhead projector
Pendidikan jarak jauh
Pengajaran terancang
Pengajaran berpasukan
Kaedah audio-tutorial
Strategi pengajaran kumpulan
Bahan Inspire
Penghasilan modul pengajaran
Penggunaan pelbagai media
Pusat sumber sekolah
Pelaksanaan konsep 5P dalam pengajaran KBSR
Pusat sumber daerah
Pusat kegiatan guru
Pusat sumber pendidikan negeri
Pendekatan sistem dalam pengajaran
Kelab komputer sekolah
Pengajaran berbantu komputer
Pengajaran usaha sama
Kaedah telesidang video
Penggunaan video interaktif
Hipermedia/hiperteks/multimedia


Bagi pandangan terhadap bentuk teknologi yang ingin diterapkan dalam pendidikan di UTeM, responden memberikan padangan seperti berikut.


1. Teknologi prezi kerana lebih mudah menyampaikan maklumat dan dapat menampilkan
    maklumat dengan cara yang menarik dan baik.
2. Mengaplikasikan peranti robot dalam pendidikan anak muda.
3. Wifi dan komputer kerana kesemua mahasiswa perlukan wifi untuk membuka laman
    ULearn dan mencari maklumat bagi memudahkan mereka yang kurang berkemampuan
    atau komputer riba mengalami kerosakan.


4.3 Faedah-faedah Penggunaan Teknologi dalam Pendidikan 


Meningkatkan Kemahiran Mahasiswa

Penggunaan Teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi terkini kerana mereka akan diberikan pendedahan terhadap pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti komputer, projektor, cakera padat, pendrive, perisian, internet dan sebagainya. Semua alat ini mempunyai fungsi dan kegunaanya tersendiri di sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Selain itu, mahasiswa dapat menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT melalui pembelajaran yang sedang berlangsung. Hal ini kerana mereka akan saling berinteraksi berkaitan ilmu yang dipelajari serta bertukar pendapat mengenai keberkesanan menggunakan sistem ICT. Oleh itu, ilmu mahasiswa tentang teknologi dapat ditingkatkan dan dapat membantu masa hadapan mereka.

Menarik Minat untuk Belajar

Penggunaan teknologi juga menarik minat mahasiswa dalam proses pembelajaran di bilik kuliah. Hal ini kerana generasi muda sangat gemar menggunakan teknologi dalam kehidupan seharian seperti komputer dan telefon pintar. Oleh sebab itu, sebagai mahasiswa, mereka perlu peka dengan perkembangan yang sedang berlaku. Penggunaan teknologi dalam pengkuliahan akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih aktif dan menyeronokkan. Justeru, mereka akan tertarik dengan penggunaan slaid yang menarik di samping bunyi-bunyian yang boleh dihasilkan melalui perisian yang canggih.

Menjimatkan Masa Pencarian Maklumat

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran juga boleh menjimatkan masa mahasiswa untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan topik pembelajaran. Melalui kemudahan internet, mahasiswa boleh membuat pencarian di hujung jari sahaja dan maklumat tersebut akan terpapar pada skrin komputer atau gajet teknologi pintar yang lain dalam masa yang singkat. Mereka tidak perlu lagi mencari akhbar lama untuk mengutip maklumat, namun begitu kaedah ini masih boleh digunakan tetapi teknologi yang ada pada masa kini lebih memudahkan serta menjimatkan masa.

Meningkatkan Kecekapan dan Keberkesanan Hasil Pembelajaran

Penggunaan teknologi dapat membantu mahasiswa atau pensyarah untuk membuat persiapan pengajaran dengan lebih cepat dan berkesan. Ia dikuasakan oleh kemudahan teknologi yang dapat memudahkan pencarian maklumat berkaitan topik pembelajaran yang diperlukan. Selain itu, pensyarah juga dapat menyampaikan pembelajaran dengan lebih berkesan kerana melalui penggunaan teknologi sebagai alat bantu mengajar, mahasiswa atau pensyarah boleh menggunakan slaid persembahan, video, flash, visual dan sebagainya ketika proses pembelajaran berlangsung. Kaedah pengajaran ini bukan sahaja menarik, malah mampu memberi penerangan yang lebih jelas.


5.0 Kesimpulan

Pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Teknologi membolehkan pembangunan pendidikan pada abad ke-21 lebih kompetetif dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Malaysia perlu melangkah kehadapan bagi mengantarabangsakan status pendidikannya di peringkat global.


Rujukan

Abdul Rahim Selamat (1989). Teknologi sistem pengajaran. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1991). Laporan Tahun 1991. Bahagian Teknologi Pendidikan. Kuala Lumpur: BTP.
Md. Nordin Monel. (1988). Keberkesanan televisyen pendidikan dalam pendekatan
pengajaran. Kajian latihan praktikum, Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Dahalan Mohd. Ramli & Ismail Zakaria. (1992). Keberkesanan penggunaan
alat bantu mengajar peserta-peserta KPK dalam pengajaran dan pemebelajaran:
Satu tinjauan. Jurnal Guru, 4.
http://cikguwan91.blogspot.com/2015/05/kepentingan-penggunaan-teknologi-dalam.html
https://www.researchgate.net/publication/315456812_kebaikan_dan_keburukan_teknologi_maklumat
https://www.academia.edu/12850980/KEBERKESANAN_PENGGUNAAN_TEKNOLOGI_MULTIMEDIA_DALAM_PEMBELAJARAN_PENDIDIKAN_ISLAM


No comments:

Post a Comment