Monday, July 08, 2019

Big Bowl Ice Kota Laksamana, Melaka






Muhammad Fahmi bin Mohd Faran, Muhammad Nurakmal bin Zaidi, 
Darwisy Hakim bin Aref Hakim, Muhammad Izzat Irham bin Ibrahim, 
Nik Mohamad Zulhakimin bin Mohd Noor 


1.0 Pengenalan

Big Bowl Ice merupakan sebuah bisnes yang terkenal di Jonker Street Melaka. Perusahaan Big Bowl Ice ini diasaskan oleh CK Goh ketika berusia 23 tahun. Cawangan pertama Big Bowl Ice adalah di Lorong Bukit Cina, Melaka. Kini, cawangan Big Bowl Ice semakin bertambah dan menjadi tempat tumpuan.

Big Bowl Ice adalah kedai yang pakar dalam bisnes makanan pencuci mulut ais. Kedai ini menawarkan lebih daripada 100 jenis produk ais malah menggunakan buah-buahan segar dan kacang masak sebagai topping utama dalam menu. Pemprosesan makanan dari buah-buahan, memilih bahan makanan dan proses memasak dilakukan sendiri oleh pekerja.

Selain itu, kedai ini juga menyediakan jeli, puding, minuman, makanan ringan, wafel dan sebagainya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbagai-bagai cita rasa. Sebagai pertimbangan keperluan kesihatan, kedai ini menggunakan bahan makanan yang berkualiti (dengan Halal, SGS, GMP dan HACCP yang diiktiraf).

Terdapat dua jenis ais utama iaitu Snow Ice & Shaved Ice. Saiz mangkuk pencuci mulut ais adalah dari 1X hingga 30X (dikenali sebagai salah satu ais terbesar di dunia) yang sesuai untuk individu, keluarga dan rakan-rakan. Big Bowl Ice 30X dihidangkan menggunakan porselin biru dan putih dan disajikan dengan ais yang diukir seperti gunung kecil dan sirap gula perang, dicampur dengan lima jenis buah-buahan yang segar.


1.1 Objektif Kajian

Objektif pertama adalah mengetahui latar belakang Big Bowl Ice Kota Laksamana, Melaka.

Objektif kedua adalah mengetahui keunikan dan keistimewaan Big Bowl Ice Kota Laksamana, Melaka.

Objektif ketiga adalah mengenal pasti cabaran dan strategi dalam mempromosikan Big Bowl Ice Kota Laksamana, Melaka


1.2 Lokasi Kajian

Bisnes ini terletak di nombor 11, Jalan Kota Laksamana 1/2, Taman Kota Laksamana, Melaka iaitu di kawasan yang terkenal dengan sejarah seperti bangunan A’Famosa dan tempat pelancongan yang menarik seperti Menara Taming Sari dan Jonker Street Night Market.

Sepanjang jalan ke Big Bowl Ice ini terdapat banyak bangunan yang menarik perhatian terutamanya Christ Church Bandar Hilir, Melaka kerana gereja ini dibina sekitar tahun 1753 dan merupakan testimoni kepada seni reka bentuk Belanda yang tulen. Dengan kemudahan sistem jalan raya yang ada, tidak menjadi masalah bagi kedai ini untuk menjadi salah satu tempat tarikan pelancong yang datang ke Melaka untuk merasai hidangan yang sangat sedap.


2.0 Sorotan Kajian

Kajian ini mengenai perusahaan Big Bowl Ice yang telah banyak dikaji oleh penyelidik sebelumnya. Bisnes ini amat penting bagi masyarakat setempat khususnya makanan yang disediakan adalah halal dan menarik minat pelancong untuk merasai keenakan ais krim. Hal ini kerana cuaca yang panas di Malaysia amat menarik minat pelanggan untuk merasai hidangan yang sejuk seperti campuran buah-buahan ais krim.

Dari segi bentuk makanan, hidangan atau menu yang dijual adalah sesuai dengan harga yang dipasarkan. Justeru, konsep pemakanan yang dijual di Big Bowl Ice ini ialah hidangan penutup yang merupakan sebahagian daripada standard makanan Barat. Pada umumnya hidangan penutup disajikan pada akhir makan malam dan berasa manis walaupun kadang-kadang memiliki rasa yang kuat seperti keju dan susu.

Bisnes ini menggunakan strategi perkembangan yang agresif dan bercadang meneroka peluang di Indonesia. Melalui status bisnes yang digelar cafe-dessertshop, kedai ini menggunakan peralatan moden untuk menyediakan hidangan penutup dalam tempoh yang singkat.


3.0 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Catatan nota lapangan yang dibuat semasa pemerhatian banyak membantu proses penganalisisan data manakala temubual yang dilakukan pula dapat mengesan data yang tidak dapat diperhatikan semasa sesi pemerhatian. Pendekatan kualitatif bersifat deskriptif tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal serta lebih kepada penghuraian makna terhadap kajian sejarah perusahaan Big Bowl Ice ini.


3.1 Instrumen Kajian

Pemerhatian Mendalam

Semasa pemerhatian dijalankan, amalan dan tingkah laku responden kajian termasuk perkataan yang dikeluarkan dicatat atau dirakamkan. Semua butiran temubual antara pengkaji dan responden telah dirakamkan dengan alat perakam audio. Selain mencatat secara umum isi perbualan, pengkaji juga mencatatkan gaya percakapan, nada suara, pergerakan mata dan mimik muka bagi tujuan meneroka isi hati dan perasaan responden. Langkah ini amat penting dilakukan dalam kajian berbentuk kualitatif bagi mendapatkan gambaran holistik dan tepat mengenai maksud jawapan yang diberikan responden.


Temubual

Data-data telah diperolehi melalui kaedah temubual secara langsung dengan responden. Temubual ini telah mendapat maklumat latar belakang responden, hala tuju bisnes dan aspirasi terhadap bisnesnya. Temubual bersemuka berkemungkinan adalah kaedah pengumpulan data yang sangat bermakna walaupun ia mengambil masa yang lebih panjang tetapi dapat beramah mesra dengan responden sebagai sebahagian daripada proses penerokaan.


4.0 Hasil Kajian dan Perbincangan


4.1 Latar Belakang Big Bowl Ice

Kedai Big Bowl Ice ditubuhkan pada tahun 2012. Pada awalnya, bisnes ini bermula di Taiwan dan dibawa masuk ke Malaysia. Selain Malaysia, Big Bowl Ice ini terdapat di Thailand, Vietnam dan Singapura. Daripada temubual, responden ingin meluaskan bisnes ini ke Indonesia kerana negara itu masih belum mempunyai cawangan. Di Malaysia, bisnes ini berkembang di Melaka, Johor dan Kuala Lumpur. Di Melaka, cawangan Big Bowl Ice telah dibuka di Kota Laksamana, Taman Merdeka Permai, Batu Berendam dan Kompleks Perniagaan MITC Perdana.


4.2 Kedudukan dan Strategi Meningkatkan Keuntungan Big Bowl Ice

Di Melaka, tempat yang strategik dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan bisnes ini adalah di Kota Laksamana. Lokasi ini merupakan tumpuan pelancong untuk melihat tempat-tempat bersejarah di Melaka. Hal ini dapat menarik pelancong untuk mencuba menu yang terdapat di Big Bowl Ice. Daripada pemerhatian yang dijalankan, kedai ini dibuka berhampiran dengan jalan utama dan mempunyai tempat letak kereta yang bersesuaian. Keadaan ini memudahkan pelanggan untuk berhenti dan tidak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Dari segi pemasaran, responden menggunakan media sosial untuk memperkenalkan Big Bowl Ice. Sebagai contoh, beliau mengunakan facebook untuk menyebarkan menu-menu baru kepada pelanggan tempatan mahupun pelancong yang datang ke Melaka. Selain itu, responden juga menggunakan instagram untuk mengiklankan harga promosi Big Bowl Ice. Akhbar juga menjadi medium pemasaran responden bagi menarik perhatian pelanggan yang kurang arif dengan media sosial.


4.3 Keunikan Big Bowl Ice

Big Bowl Ice mempunyai pelbagai rasa mengikut spesifikasi makanan. Ais yang digunakan untuk membuat makanan sejuk merupakan ais yang berbeza-beza rasa mengikut spesifikasi sesuatu jenis makanan. Antara menu yang popular ialah Milk Snow Ice with Mangoes+Ice Cream. Aisnya dibuat menggunakan resepi istimewa dan disaluti buah mangga di bahagian tepi ais krim yang dicampur dengan susu dan dihiasi warna menarik yang dapat menarik selera pelanggan. Selain itu, terdapat ais krim Choc Snow Ice yang merupakan ais krim berperisa coklat. Ais krim ini disaluti dengan buah pisang dan biskut.


4.4 Cabaran Masa Hadapan Big Bowl Ice

Cabaran utama yang dihadapi bisnes ini adalah strategi perkembangan ke luar negara. Persaingan dalam penyediaan makanan di Malaysia semakin sengit berbanding masa lalu.

Cabaran lain adalah pesaingan antara kedai-kedai makanan yang berdekatan. Big Bowl Ice di Kota Laksamana merupakan lokasi yang mempunyai banyak pesaing kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancong.

Cabaran seterusnya adalah perkhidmatan layanan kepada pelanggan. Layanan pekerja di Big Bowl Ice boleh berubah pada bila-bila masa disebabkan oleh sikap dan kerenah pelanggan. Justeru, pengurusan kedai kerapkali memberi kursus dan kesedaran terhadap kepentingan memberi layanan kepada pelanggan dengan mengamalkan konsep dan teknik melayan pelanggan yang berkesan.


5.0 Kesimpulan

Keistimewaan yang dimiliki Big Bowl Ice adalah hidangan yang mewah dengan harga yang berpatutan dan suasana dalaman restoran Big Bowl Ice yang membuatkan pelanggan teruja. Strategi pemasaran yang dilakukan secara tidak langsung membawa impak positif kepada Big Bowl Ice untuk berkembang ke peringkat lebih jauh.


Rujukan

https://www.youtube.com/watch?v=3G0Tb42LqPo https://www.facebook.com/BigBowlTheCityOfIce/) https://www.facebook.com/BBI.KotaLaksamana/)
https://saji.my/big-bowl-ice-melaka/ https://www.slideshare.net/echizen94/kertas-kerja-perniagaan-lm-2025 u https://www.scribd.com/doc/37128314/contoh-kertas-kerja-rancangan-perniagaan -Catering https://www.researchgate.net/publication/283479198_Bab_4_Kaedah_Kajian https://www.irfankhairi.com/blog/perniagaan/cabaran-yang-dihadapi-oleh-usaha wan-dan-cara-mengatasinya/ https://www.sunahsukasakura.com/2019/01/sejukkan-tekak-di-big-bowl-ice-tama n.html


No comments:

Post a Comment