Selepas 20 tahun, saya kembali ke Brunei untuk cuti sabatikal di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) yang terletak di Bandar Seri Begawan, tidak jauh dari Gadong Mall dan pasar Gadong.
Brunei adalah piihan ketiga selepas Amerika Syarikat dan Australia. Saya tidak dapat ke Amerika Syarikat kerana tidak mendapat maklum balas daripada seorang profesor yang pernah saya kenali. Beliau adalah pakar dalam bidang dasar sosial dan teori model pembangunan sosial yang dikemukakannya sering menjadi rujukan pelajar doktor falsafah termasuk saya sendiri.
Memikirkan Australia, kos hidup yang tinggi mungkin menjadi beban berpanjangan untuk keluarga.
Oleh itu saya memilih Brunei dengan harapan dapat membuat perbandingan yang lebih mendalam berkenaan aspek dasar sosial di negara itu. Ia juga memperkaya maklumat dasar sosial di tiga negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia. Saya juga bercadang melanjutkan penyelidikan dan memahami pelaksanaan dasar sosial di negara-negara lain Asia Tenggara.
Bagaimana mencari tempat untuk menjalani cuti sabatikal di Brunei?
Antara Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, saya cenderung memilih Universiti Islam Sultan Sharif Ali kerana penyelidikan saya berkaitan ekonomi. Saya mengemelkan hasrat tersebut beserta curriculum vitae kepada dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam. Agak lama juga saya menunggu maklum balas berkenaan.
Dalam emel berkenaan beliau memaklumkan permohonan saya telah diberi perhatian dan dibawa ke dalam mesyuarat untuk pertimbangan. Saya dapat merasakan ia adalah perkembangan positif dan tidak lama kemudian, dalam tempoh tiga bulan, saya menerima emel memaklumkan telah diterima untuk menjalani cuti sabatikal.
Saya memilih untuk membuat penyelidikan ke atas impak skim bantuan sosial di Brunei kerana ingin melihat sejauh mana bantuan yang diterima telah mengubah tahap hidup mereka. Pada masa yang sama, saya juga ingin menghasilkan sebuah buku yang membandingkan impak skim bantuan ini di Indonesia dan Malaysia.
Bagi mengurus dan membimbing penyelidikan saya, pihak universiti melantik seorang penyelaras yang akan memudah cara dan membantu pelaksanaan penyelidikan tersebut. Universiti juga sangat mengambil berat kebajikan dan memastikan perjalanan cuti sabatikal saya akan mencapai objektif.
Cuti sabatikal bermaksud tempoh waktu yang pendek, biasanya setahun atau kurang daripadanya yang mana seseorang tidak melaporkan kehadiran dengan majikannya kerana urusan belajar, berehat atau lawatan tetapi masih bekerja dengan majikan dengan peruntukan gaji penuh atau sebahagian daripadanya.
Ketika cuti sabatikal, gaji masih dibayar seperti biasa dan ditambah dengan elaun rumah, elaun buku dan elaun cuti sabatikal (sekali sahaja). Oleh kerana ketika ini pertukaan mata wang ringgit Malaysia dan dolar Brunei sangat tinggi ($1dolar=RM3), saya perlu berhemah ketika berbelanja dan mengikut keperluan.
Pengurusan makan dan minum juga perlu berhemah kerana kedua-duanya menjadi perbelanjaan paling besar di sini. Katakan saya memesan sepinggan mee goreng seafood, harganya adalah $4. Jika didarab dengan tiga, 4 x 3, harganya mencecah RM12, suatu jumlah yang besar. Saya tidak boleh selalu membuat perbandingan seperti ini kerana mewujudkan persepsi negatif terhadap pengurusan wang. Jadi, ‘yang perlu diutamakan, yang tidak penting dikemudiankan’.
Oleh kerana saya tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak, saya memuat turun aplikasi ehailing iaitu Dart, sama seperti Grab, yang membantu saya bergerak dari satu tempat ke tempat sekitar Bandar Seri Begawan ini. Dart memilih warna kuning sebagai warna korporat.
Kali pertama menggunakan perkhidmatan ini, saya bergerak dari Traders Inn ke Unissa dengan bayaran $5 sehala. Jarak perjalanan lebih kurang dari sepuluh minit tetapi memuaskan.
Pemandu pertama bernama Hadi, orang muda yang juga lepasan pertama Unissa. Beliau memperoleh sekitar tiga hingga empat ratus ringgit seminggu sebagai pemandu Dart. Saya tidak pasti apakah pekerjaannya yang lain.
Pemandu kedua , Mohamad Syafiq, lepasan UCSI Kuala Lumpur dalam bidang bioteknologi. Namun beliau masih mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajiannya. Malang sekali beliau mengambil kursus yang kurang popular dan sukar mendapat pekerjaan ketika ini khususnya di sektor awam. Saya bertanya kepadanya kenapa tidak menyambung pelajaran ke peringkat sarjana, namun jawapannya agak mengejutkan. Beliau berkata ibu bapa tidak menggalakkannya belajar ke peringkat lebih tinggi kerana sukar mendapat pekerjaan. Maksudnya, mereka yang berpendidikan lebih rendah akan lebih mudah mendapat pekerjaan ketika ini.
Jawapan beliau membuatkan dahi saya sedikit berkerut kerana saya mempunyai idea lain berkaitan pengajian lepas ijazah. Sebelum melangkah keluar, saya memberitahunya supaya meneruskan pengajian dan tidak berlengah lagi kerana masa hadapan adalah untuk orang yang berpendidikan tinggi. Saya tidak tahu bagaimana reaksinya ketika itu tetapi saya yakin pandangan saya membuatkan hati dan fikirannya bergetar-getar.
Pemandu lain adalah Qawiy dan Aziz, juga orang muda yang sedang mengintai kerja di sektor awam.
Di Unissa, saya disediakan sebuah bilik yang sangat sesuai untuk mentelaah dan menulis penyelidikan saya nanti. Di samping itu, saya juga berkongsi pengalaman sebagai pengurus editorial Journal of Human Capital Development (JHCD), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggunakan platform Online Journal System (OJS) bagi meningkatkan keberadaan jurnal dalam dunia penyelidikan dan penerbitan global. Pihak penerbit Unissa juga bercadang mengadakan bengkel peningkatan kefahaman OJS ini.
Selepas hampir seminggu di Brunei, saya melihat banyak perubahan fizikal yang berlaku sekitar kawasan Gadong, Kiulap, Kiarong, Tanjung Bunut dan Sengkurong.
Pertambahan kawasan bisnes selari dengan pertambahan penduduk Brunei yang semakin mencabar khususnya menyediakan peluang pekerjaan di sektor swasta dan industri. Pertumbuhan fizikal perlu selari dengan pemerkasaan sosial supaya isu dan konflik masyarakat dapat ditangani dengan baik.
No comments:
Post a Comment