Friday, July 05, 2019

Agama Sikh: satu sorotan






Dalveen Kaur a/p Amarjit Singh, Muna Salsabila binti Mohd Taha, 
Nur Syahin binti Rospi, Anis Nabilah binti Abdul Rahman, 
Khairunnajwa binti Nazzil Saifuddin, Deepanrajh a/l Ganesan 


1.0 Pengenalan

Rakyat Malaysia terkenal dengan kaum yang pelbagai bangsa, budaya dan agama. Keadaan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik kerana dapat menyatupadukan dan mengharmonikan kepelbagaian dan perbezaan etnik. Perbezaan antara rakyat Malaysia tidak menjejaskan mereka untuk terus bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain. Perkara ini dianggap menjadi kebiasaan memandangkan Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih daripada 60 tahun.

Setelah enam dekad kejayaan Malaysia mengekalkan kemerdekaan dan hidup dengan harmoni, majoriti masyarakat Malaysia tidak mengenali dengan begitu dalam budaya etnik minoriti seperti Sikh. Tidakkah kita tahu bahawa Malaysia disenaraikan sebagai negara keenam yang paling banyak populasi Sikh. Walaupun populasi mereka yang ramai di Malaysia namun kesedaran terhadap budaya mereka masih cetek.


2.0 Perayaan

2.1 Hari Vasakhi

Hari Vasakhi merupakan salah satu perayaan utama kaum Sikh. Sambutan Vaisakhi yang jatuh pada 14 April setiap tahun menandakan permulaan musim menuai mengikut kalender masyarakat Punjabi Sikh. Walaupun tidak ada cuti umum bagi perayaan ini, penjawat awam dalam kalangan masyarakat Punjabi Sikh dibenarkan megambil cuti tanpa rekod bagi menghormati sambutan perayaan yang bermakna ini.

Perayaan ini menggabungkan unsur-unsur keagamaan dan kebudayaan sekali gus disambut bagi meraikan kelahiran Khalsa Panth oleh Guru Gobind Singh yang telah wujud semenjak tahun 1699.

Etnik Sikh telah berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1870-an melalui proses migrasi dan telah bermastautin di Malaysia lebih kurang 150 tahun. Salah satu penempatan pertama Sikh di Malaysia adalah di bandar bersejarah Taiping.

Budaya masyarakat Sikh ini termasuklah ibadah ‘langar’ atau ‘dapur’ iaitu menghidang dan memberi makanan percuma kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan dan latar belakang. ‘Langar’ disediakan di setiap Gurdwara (rumah ibadat masyarakat Sikh). Di Malaysia terdapat sebanyak 135 buah Gurdwara.

Hari Vaisakhi merupakan satu lagi perayaan di Malaysia yang melambangkan keistimewaan serta keharmonian penduduk berbilang etnik dan agama.

Pada 29 April 2017, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Punjabi Malaysia telah menganjurkan MyVaisakhi Fest 2017 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) bagi meraikan kaum minoriti di Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik seperti tarian tradisional dan persembahan muzik, persembahan Bangra, kesenian budaya Punjabi dan sebagainya. Melalui sambutan ini, ia sekali gus dapat menjadi landasan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan memahami adat budaya kaum Sikh dengan lebih dekat lagi.


3.0 Pakaian Tradisional

3.1 Lelaki

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau line.

3.2 Perempuan

Bagi perempuan etnik Sikh, mereka mengenakan pakaian salwar kameez atau baju Punjabi. Terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar serta tudung kepala yang sesuai warnanya.


4.0 Serban/Dastar

Masyarakat penganut Sikh atau Punjabi turut memakai serban tetapi dalam bentuk lebih tebal, lonjong dan seragam bentuknya. Kain serban dipakai sepanjang lima meter. Serban dalam kalangan penganut Sikh amat berkait rapat dengan kepercayaan dan wajib dipakai. Penganut Sikh dilarang memotong rambut dan memakai serban agama agar rambut yang panjang mudah diurus tetapi kaum perempuan tidak perlu memakai serban.


5.0 Makanan Tradisional

5.1 Roti Canai

Roti canai atau roti jenis leper yang berbentuk bulat ini merupakan satu makanan kegemaran di Malaysia. Sering kali dimakan bersama dengan teh tarik atau teh ais. Biasanya dihidangkan dengan kuah dal atau parpu atau kari dengan sambal ikan bilis.

Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu di belakang roti adalah hasil dari tingkah laku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti. Ada juga menyatakan perkataan canai dibelakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni ‘Channal’. Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakan berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Malaysia.

Roti canai di India dan Singapura lebih dikenali sebagai roti pratha. Rupa roti pratha dengan roti canai adalah sama dan bentuknya masih lagi bulat.

5.2 Tandoori

Tandoori adalah masakan orang Punjabi iaitu di antara India dan Pakistan tetapi sekarang ia merupakan masakan yang terkenal di peringkat antarabangsa. Contohnya Ayam Tandoori. Ia diperbuat daripada halia, bawang putih, jintan putih, garam masala dan cili merah. Ia merupakan masakan yang pedas. Masyarakat Punjabi juga mencampurkan kunyit ke atas ayam tersebut supaya ayam yang telah masak berwarna kuning kemerahan. Ia dimasak di dalam oven yang bersuhu tinggi.


6.0 Kepercayaan, Ibadat dan Adat/Tradisi

Sikhisme adalah salah satu agama terbesar di dunia. Agama ini berkembang terutamanya pada abad ke-16 dan ke-17 di India. Kata Sikhisme berasal dari kata Sikh yang bermaksud ‘murid’ atau ‘pelajar’. Agama Sikh menunjukan terdapat perpaduan antara ajaran Hindu dan Islam Sufi (Tashawwuf Falsafi).

Kepercayaan-kepercayaan utama dalam Sikhisme adalah:

i. Percaya dalam satu Tuhan yang pantheistik. Kalimat pembuka dalam naskah-naskah Sikh hanya sepanjang dua kata dan mencerminkan kepercayaan dasar seluruh umat yang taat pada ajaran-ajaran dalam Sikhisme: Ek Onkar (Satu Tuhan).

ii. Ajaran Sepuluh Guru Sikh (serta para cendekiawan Muslim dan Hindu yang diterima) dapat ditemukan dalam Guru Granth Sahib.


Berkaitan dengan konsep ketuhanan, definisi terbaik yang dapat diberikan oleh orang-orang Sikh adalah konsep ‘Mul Mantra’. Konsep ini menjadi landasan fundamental agama Sikh yang terkandung dalam bahagian permulaan kitab suci agama Sikh iaitu Sri Guru Granth Shahib.

Dalam kitab Sri Guru Granth Shahib volum 1, pasal 1 ayat 1 disebutkan istilah ‘Japoji Mul Mantra’. Ayat tersebut berbunyi ‘Hanya ada Allah Tuhan Yang Esa’. Tuhan itu disebut Dadru, ‘Sang Pencipta’ atau ‘Dia yang terbebas dari rasa takut dan rasa kebencian’, ‘Dia Yang Kekal’, ‘Dia yang tidak dilahirkan’. Agama Sikh ini secara tegas menyatakan diri sebagai agama monotheisme. Tuhan Yang Maha Kuasa yang tidak nampak wujudnya itu disebut ‘Ek Omkara’, sedangkan Tuhan yang nampak wujudnya disebut ‘Omkara’.

Guru Granth Shahib memberikan nama-nama yang pelbagai kepada entiti Tuhan ini (Omkara), atau yang disebut dengan ‘Kartar’ (Sang Pencipta), ‘Akal’ (Yang Abadi), ‘Satyanama’ (Yang Maha Suci), ‘Shahib’ (Tuhan), ‘Parvadigar’ (Sang Pemelihara), ‘Rahim’ (Sang Pengasih), ‘Karim’ (Yang Mulia). Tuhan juga mempunyai gelaran lain yang disebut dengan ‘Wahe Guru’ yang berarti satu Tuhan yang sejati.

Guru Nanak sangat dipengaruhi oleh ajaran Kabir. Tidak menghairankan, apabila membaca ‘Sri Guru Granth Sha-hib’, terdapat beberapa bab yang mengandungi untaian ‘Do has’ dari Sant Kabir. ‘Dukh mein sumren sab kare, Sukh mein kare na koi. Joi sukh mein sumren kare, to dukh kahe hoi’. Ertinya, setiap orang akan ingat kepada Tuhannya tatkala ia berada dalam masalah, tetapi tidak seorang pun yang mengingati-Nya tatkala berada dalam keadaan senang dan bahagia. Seseorang yang mampu mengingati Tuhan tatkala berada dalam keadaan senang dan bahagia, bagaimana mungkin ia akan terlibat dalam masalah’.

Agama Sikh tidak banyak upacara ibadat. Ibadat yang paling utama adalah semadi dalam rangka mengingat Tuhan untuk menyucikan rohani dari pengaruh-pengaruh yang menjauhkan manusia dari Tuhan.

Di samping itu, mereka mengenal sujud dan menyanyi di kuil tetapi zikir adalah ritual utama. Menurut mereka, kewajipan tertinggi adalah menyebut nama Tuhan Yang Maha Esa secara berterusan. Nama Tuhan Yang Murni itu adalah kekuatan yang akan membantu manusia sehingga harus selalu diingat dan diucapkan setiap saat sampai jiwa terserap ke dalam cahaya ketuhanan.

Nama Tuhan yang Murni diwujudkan dalam bentuk jamaah yang oleh mereka disebut dengan Khalsa Panth (Jalan Yang Murni). Orang yang sudah menempuh jalan ini sudah menjadi anggotanya melalui sakramen atau baptis akan memperoleh status sebagai ‘orang yang suci murni’.

Tidak semua etnik Sikh mengakui dan menerima upacara sakramen dalam bentuk pembaptisan ini. Mereka menganggap bahwa baptis atau sakramen bukan ajaran Nanak. Mereka tetap mengutamakan semadi dan ketenteraman jiwa dalam ibadat. Mereka disebut Sahajdharis atau ‘orang yang hidup tenteram’.

Selain itu, etnik Sikh juga menjadikan tradisi menyikat rambut dua kali sehari dan membaca serta menyanyikan syair-syair yang terdapat dalam kitab suci mereka setiap hari sebagai ibadat. Bagi mereka yang tergabung dalam golongan Khalsa Panth, berperang adalah juga ibadat. Sebab itu, tidak aneh apabila setiap mereka melakukan aksi-aksi kekerasan dan kekuatan yang terdiri daripada barisan ketenteraan.

Ibadat-ibadat Hindu jelas ditolak semuanya oleh Nanak tetapi ibadat-ibadat Islam juga tidak ada yang ditetapkannya sebagai ibadat kaum Sikh. Jalan semadi dan zikir yang diutamakannya untuk menyembah Tuhan adalah merupakan jalan mistik yang paling popular dalam semua agama.

Adat istiadat bermula sejak kelahiran sehingga kematian penganut Sikh. Pemberian hadiah merupakan amalan biasa untuk menyambut kelahiran bayi. Pemberian nama merupakan upacara penting dan ia dikenali sebagai Naamkaran. Di sini bayi yang baru lahir itu akan diberikan nama selepas Granthi membaca Ardas. Kemudian kitab mereka Sri Guru Granth Sahib akan dibuka secara rambang. Bayi itu akan dinamakan mengikut huruf pertama dalam muka surat itu. Nama akhir untuk penganut Sikh adalah sama dan berbeza hanya mengikut jantina iaitu Singh bagi lelaki manakala perempuan dipanggil Kaur. Singh bermaksud ‘Singa’ dan Kaur pula bermaksud ‘Puteri’.

Apabila seseorang remaja lelaki mencapai umur sebelas hingga enam belas tahun dia akan melalui satu upacara pemakaian serban. Upacara yang dipanggil Dastar Bandhni biasanya dilakukan oleh para agama Sikh dipanggil Granthi atau ketua masyarakat. Bagi seorang Sikh, perkahwinan adalah suci dan mereka percaya pada sistem monogami. Dalam agama mereka, penceraian adalah mustahil dan tidak dibenarkan. Walaupun begitu, perceraian masih boleh dilakukan di mahkamah sivil.


Ajaran Nanak tentang Manusia

Guru Nanak mengajarkan bahawa seluruh umat manusia adalah satu. Orang dimuliakan bukan atas dasar anggota kasta atau kepercayaan melainkan kerana ia adalah ‘manusia’. Oleh sebab itu, Nanak sangat menentang ajaran tentang kasta, lebih-lebih ajaran tentang adanya manusia ‘najis’ yang haram di sentuh.

Nanak meletakkan dasar bagi pengangkatan martabat manusia dalam kalangan masyarakat Hindu bukan atas dasar kasta, upacara-upacara singkat seperti mantra-mantra, keajaiban-keajaiban, misteri-misteri tetapi atas dasar kudrat dan kecenderungan manusia itu sendiri. ‘Tidak ada gunanya itu kasta dan kelahiran: pergilah dan tanyakan pada mereka yang mengetahui kebenaran. Darjat seseorang ditentukan oleh amal kebajikannya’.

Nanak sangat mementingkan aspek moral manusia. Menurutnya, manusia harus hidup dengan mengutamakan kesempurnaan moral kerana nilai manusia terletak pada tinggi rendahnya moral itu.


Ajaran Nanak tentang Alam

Nanak mengajarkan bahwa alam semesta ini adalah ciptaan Tuhan dan tidak abadi. Yang kekal dan abadi hanya Tuhan kerana Tuhan adalah Realiti Mutlak. Nanak, juga manusia lain, adalah hamba Tuhan. Tuhan adalah Yang Maha Kuasa, menguasai segala-galanya. Kalau manusia beranggapan bahawa ia bebas melakukan kehendaknya, maka ia tidak akan dapat menikmati kebahagiaan yang sejati. Dengan kudrat dan iradat Tuhan seluruh alam ini terjadi dan melalui Hukum Tuhan alam ini menjalani kehidupannya. Tidak ada sesuatu yang terjadi di luar kehendak dan hukum Tuhan.

Bukan itu sahaja, kepercayaan dalam agama Sikh tentang hidup setelah mati rupanya ajarannya sama dengan Islam. Adapun perbezaan yang menjadi dasar di dalam ajaran agama Sikh dengan agama Islam adalah tidak adanya kepercayaan di dalam agama Sikh tentang hari akhir. Mereka masih mempercayai nirwana yang diajarkan oleh agama Hindu Brahmana.


7.0 Gurdwara

Rumah ibadat umat Sikh yakni gurdwara dibuat daripada emas. Nama gurdwara emas tersebut adalah Sri Harmandir Sahib yang dibuat oleh Guru Ram Das pada tahun 1577.

Tempat ibadat Sikh disebut gurdwara atau ‘gerbang menuju Guru’. Gurdwara ini terletak di sebuah kolam besar bernama Amritsar yang terletak di wilayah Majha, Punjab. Majha juga dikenali sebagai sungai Bari kerana terletak antara Sungai Ravi dan Sungai Beas. Majha sendiri terletak di jantung daerah Punjab kuno terdiri daripada Gurdaspur, Batala dan Tam Taran Sahib serta Amritsar.

Gurdwara Emas Amritsar sangat unik dibandingkan dengan rumah ibadah lainnya kerana menyimpan Granth Sahib, kitab suci agama Sikh. Kuil Emas Amritsar juga tidak hanya dimiliki penganut Sikh kerana Kuil Emas Amritsar merupakan tempat suci yang terbuka bagi semua agama. Ini dibuktikan dengan simbol adanya pintu yang selalu terbuka di empat sisinya.

Air yang mengelilingi Mandir Hari ini dianggap sebagai kolam suci yang dikenal sebagai Sarovar Amrit (Pool of Nectar).


8.0 Kesimpulan

Dari pembahasan di atas mengenai agama Sikh, dapat disimpulkan bahawa agama Sikh didirikan oleh Guru Nanak (1469-1539). Kepercayaan Sikh, atau lebih dikenal dengan nama ‘Khlasa’ atau ‘yang murni’ berasal dari agama Hindu, muncul dalam tahun 1699 M. Sikh bererti murid dan Sikha bererti murid atau pengikut Sikh.

Dalam agama ini ada sepuluh guru Sikh yang sangat berpengaruh dan berperanan penting serta berbagai-bagai peperangan terdapat dalam sejarah perkembangan agama Sikh. Selain itu, mereka diwajibkan mengamalkan 5K yang dicetuskan oleh guru kesepuluh, Gobind Singh sebagai lambang dari Sikh serta adat istiadat mereka yang unik yang membezakan bangsa India lainnya.

Kitab suci Sikh yaitu Adi Granth atau disebut juga “Sri Granth Sahib” dan Dasam Granth. Ritual yang dilakukan melalui jalan mistik ialah zikir atau semadi. Menurut mereka, kewajiban tertinggi adalah menyebut nama Tuhan Yang Maha Esa secara terus menerus.


Rujukan

http://makanantanchekchan.blogspot.com/ http://budayapakaiandimalaysia.blogspot.com/2010/08/pakaian-sikhpunjabi.html http://warnawarniohmalaysiaku.blogspot.com/p/agama-sikh-dan-perayaan.html http://asiasamachar.com/2017/04/12/hari-vaisakhi-perayaan-masyarakat-sikh/ https://belajaragamadunia.wordpress.com/2013/05/19/agama-sik

No comments:

Post a Comment