Friday, April 08, 2016

Kuatkan diri








Mengukuhkan sikap positif dan diri memerlukan semangat dan kekuatan diri yang tulen. Pelaksanaan sesuatu sikap yang positif tidak boleh dibuat seolah-olah kita berlakon kerana ia tidak kekal. 

Semangat dan kekuatan diri boleh dicari dan banyak caranya. 

Pertama, mesti ada keinginan, nyatakan keinginan ini dalam doa kita. Jika boleh setiap hari dalam doa-doa selepas solat supaya suatu masa nanti Allah swt akan menerima doa tersebut dan kita akan dapat. 

Kedua, tapis apa yang akan masuk ke dalam pemikiran kita. Kita tentukan apa yang kita mahu tahu, berapa banyak yang kita mahu dan bagaimana kita mahu memberi reaksi terhadap maklumat-maklumat yang ada dalam minda kita. 

Dua cara ini saya fikir dapat mengukuhkan semangat kita untuk mengekalkan sikap positif diri kita.


Wednesday, April 06, 2016

Harapan sia-sia








Motivasi diri tidak cukup sekadar mengubah sikap. 

Langkah seterusnya ialah menentukan cara pengukuhan selepas perubahan sikap iaitu memilih dengan sedar untuk melaksanakan lebih banyak dan kerap perkara-perkara yang positif dan mendorong kepada pencapaian yang boleh diukur. 

Seorang kenalan saya yang baru bersara memilih untuk terus produktif menjadi usahawan yang menjual madu lebah. Beliau boleh memilih untuk berehat di rumah setiap hari tetapi jika itu pilihannya, lama-kelamaan masa hidupnya menjadi tidak produktif. 

Mengamalkan tindakan-tindakan positif sudah pasti membuatkan diri sendiri berasa senang dan selesa. 

Jika kita berterusan memikirkan apa yang patut dibuat dan tidak patut dibuat dan berharap ia akan menjadi kenyataan, selamanya ia tidak akan berlaku.


Tuesday, April 05, 2016

Peniagaan taugeh di Pasar Ipoh







1.0       Pendahuluan

Sektor pertanian merupakan salah satu sumber nadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara kita Hal ini terbukti apabila kerajaan Malaysia melancarkan kempen “Pertanian Adalah Perniagaaan” yang dikawal selia oleh Jabatan Pertanian Malaysia serta bantuan kewangan daripada institusi-institusi kewangan di Malaysia. Perniagaan taugeh ini merupakan salah satu daripada sektor pertanian yang baik untuk diniagakan serta dapat menjanakan pulangan yang baik.

Taugeh merupakan sejenis makanan daripada pencambahan kekacang atau “bean sprout” sama ada daripada kacang hijau (vigna radiata) atau kacang hitam (vigna mungo) yang diimport daripada Thailand atau China. Penghasilan taugeh ini agak mudah dan memerlukan modal permulaan yang agak berpatutan untuk dilaksanakan. Penanaman taugeh ini hanya memerlukan pemerhatian yang berkala serta penyiraman air yang berkala untuk menghasilkan taugeh yang berkualiti. Kesan kepada penghasilan taugeh ini bergantung kepada setiap proses penghasilannya, sebagai contohnya pemilihan lokasi yang betul, bekalan sumber air dan ruang pasaran yang betul dapat menghasikan pulangan yang baik.

Seperti yang kita maklum, taugeh Ipoh merupakan antara taugeh yang baik serta berkualiti di Malaysia. Ini kerana, penghasilan taugeh di Ipoh ini menggunakan sumber air galian yang baik serta bersesuaian dengan pH yag diperlukan untuk penanaman taugeh. Kajian in telah dilakukan di gerai taugeh di Pasar Besar Ipoh Perak kepunyaan Mohamaed Faizul Hakimi yang mewarisi pengusahaan bapanya.

Taugeh ini mempunyai banyak kebaikan seperti sayuran-sayuran yang lain, antara kebaikannya adalah mempunyai vitamin C, mineral, asid amino serta fitokimia. Taugeh yang biasa dijual serta dikomesialkan di Malaysia adalah, taugeh kasar yang diperbuat daripada kacang soya dan taugeh halus yang diperbuat daripada kacang hitam. Dalam kajian ini hanya tertumpu kepada taugeh halus sahaja.


1.1 Skop Kajian

Kajian ini dijalankan di Gerai No 20 Pasar Besar Ipoh Perak.

Nama peniaga:  Mohd Faizul Hakimi

Latar belakang: 22 tahun, pendidikan tertinggi SPM

Mula beroperasi: 1990


1.1       Objektif Kajian

Antara objektif yang terdapat dalam kajian ini adalah untuk mengetahui perniagaan taugeh dari segi cara penanaman dan strategi pemasaran, sumbangan perniagaan taugeh kepada pendapatan keluarga dan mengetahui isu serta cabaran dalam perniagaan taugeh.


2.0       Latar Belakang Perniagaan taugeh

2.1       Cara Penanaman

Untuk menghasilkan taugeh yang berkualiti dan baik, cara penanaman memainkan peranan yang penting untuk menghasilkannya. Bahan mentah yang baik untuk menghasilkan taugeh adalah kacang hitam, kacang hitam ini banyak digunakan dalam penanaman taugeh di Ipoh ini berbanding dengan kacang hijau yang tidak begitu sesuai untuk dijadikan taugeh kerana taugeh daripada kacang hijau  tidak tahan lama berbanding kacang hitam. Pemilihan kacang hitam juga agak penting untuk menghasikan taugeh yang berkualiti, benih kacang mestilah bernas dan bersaiz besar bagi mendapatkan hasil yang baik.

Proses penanaman atau percambahan taugeh ini bermula dengan mendapatkan bekalan kacang hitam. Sesudah itu kacang hitam tadi akan dibasuh hingga benar bersih dan mengasingkan benda asing seperti batu, kacang rosak dan sampah. Seterusnya, benih kacang yang sudah dibasuh tadi direndam dengan larutan hormon pembesaran sontoso selama enam hingga lapan jam. Sesudah selesai dengan proses merendam dengan larutan sontoso tos air redaman tadi dan gaulkan biji benih taugeh dengan siako. Sesudah itu masukan biji benih taugeh ke dalam bekas yang besesuaian dan dibiarkan dengan penyiraman air bekala selama 4-6 hari di dalam bilik yang gelap dan suhu yang rendah. Persekitaran sebergini adalah amat baik untuk pencambahan taugeh. Penyiraman air yang berkala iaitu 2-3 jam sekali. Sesudah cukup hari iaitu 4-6 hari taugeh tadi boleh dipasarkan.

  
2.2       Proses Pengeluaran Taugeh


Menyediakan persekitaran dan lokasi
|
Mendapatkan bahan mentah (kacang hijau / kacang hitam)
|
Mengasingkan benih (benda asing, kacang rosak, batu dan sampah)
|
Membasuh (hingga kacang benar-benar bersih)
|
Merendam (6-8 jam menggunakan larutan hormon jika mahu, 1.5% Sontoso)
|
Mengetos (digaul dengan 1% Siako)
|
Mencambah (4-6 hari dalam bilik yang gelap dan suhu rendah serta tong bersesuaian)
|
Menyiram (2-4 jam sekali)
|
Mengasingkan kulit
|
Membungkus
|
Menjual


Rajah 1: Proses penyiraman air secara moden


2.3       Strategi Pemasaran

Dalam perniagaan taugeh yang dilakukan oleh Mohd Faizul Hakimi, beliau telah menggunakan beberapa pendekatan bertujuan untuk memudahkan urusan dalam perniaggan yang dijalankan oleh beliau.

Antara pendekatan atau strategi yang digunakan ialah menggunakan pengangkutan seperti lori untuk menghantar taugeh ke pasar besar Ipoh, hanya membekalkan taugeh di sekitar kawasan Ipoh sahaja dan bekalan yang di ambil pada hari biasa 4 hingga 5 tong bersamaan 200kg dan pada hari perayaan 8 hingga 9 tong atau bersamaan 400kg.

Beliau menggunakan pengangkutan lori bagi memudahkan urusan beliau setiap hari kerana beliau mampu membawa lebih muatan sekiranya permintaan bertambah pada hari-hari tertentu. Di samping, itu beliau hanya membekalkan taugeh di sekitar kawasan Ipoh. Ini adalah untuk memastikan pasaran beliau di Ipoh tidak terjejas. Ia juga bertujuan untuk memastikan pelanggan mendapat bekalan yang secukupnya. Bekalan yang diambil oleh Faizul pula antara 4 hingga 5 tong pada hari biasa. Bekalan yang diambil telah ditetapkan supaya tidak berlaku lebihan taugeh yang tidak dapat dijual. Ini akan menyebabkan kerugian sekiranya taugeh itu rosak. Pada hari-hari perayaan, bekalan beliau meningkat sehingga 8 hingga 9 tong sehari.
           
2.4       Sumbangan

Sumbangan perniagaan taugeh  ini tidak terhad kepada ekonomi keluarga peniaga tetapi kepada ekonomi negari itu sendiri. Sumbangan perniagaan ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu ekonomi keluaga itu sendiri dan ekonomi sesebuah negari secara tidak langsung. 

Kepada keluarga, perniagaan ini menjadi sumber pendapatan kepada peniaga sekeluarga, sumber kewangan untuk penbelajaan harian sekeluarga serta menjadikan hubungan sesama keluarga lebih baik dan akrab kerana perniagaan ini tidak memerlukan masa yang lama untuk dijual dan ini akan membolehkan peniaga membahagikan masa bersama keluarga.

Kepada negeri pula, perniagaan seperti ini dapat membantu mengeluarkan diri keluarga dan masyarakat sekeliling dari kelompok kemiskinan, dapat meningkatkan pendapatan ekonomi negara dan membantu menaikan sektor ekonomi pertanian, membantu negara dengan menyediakan bantuan kepada peniaga yang mahu memulakan perniagaan dari segi bentuk nasihat dan pengalaman dalam penyediaan tauge dan memenuhi keperluan masyarakat sekeliling.


3.0       Isu dan Cabaran

Dalam peniagaan ini, isu yang timbul serta cabaran dalam perniagaan itu sendiri menjadi penghalang kepada kejayaan sesuatu perniagaan itu. Sekiranya ia dapat diatasi dengan baik maka peniagaan itu dapat membuatkan peniaga itu lebih berjaya dan berpengalaman. Setiap peniagaan haruslah mempunyai cabaran serta isu-isu yang timbul dan ia membuatkan peniaga itu sendiri lebih matang dan berpengalaman untuk menguruskannya.

Dalam penigaan taugeh ini, isu serta cabaran yang dihadapi oleh peniaga tidak begitu hebat seperti perniagaan-perniagaan yang lain, ini kerana peniagaan taugeh ini agak mudah dan memerlukan modal permulaan yang agak rendah berbanding perniagaan lain dalam sektor pertanian ini. Seperti apa yang dikongsikan oleh Mohamed Faizul Hakimi, cabaran yang terbesar yang dihadapi olehnya adalah mendapatkan bekalan taugeh yang bermutu dan berkualiti yang baik. Ini kerana bekalan taugeh ini bergantung kepada keadaan benih kacang hitam, jika kacang hitam itu baik maka proses pencambahan serta proses penghasilan taugeh itu akan menjadi baik dan berkualiti.

Selain daripada itu, pasaran taugeh yang dijual oleh Mohd Faizul Hakimi ini mempunyai pasaran jualan yang terhad, ia hanya terhad kepada peniaga-peniaga makanan serta kepada jualan runcit sahaja. Ini kerana saingan daripada peniaga lain yang mempunyai jaringan peniagaan yang meluas sebagai contohnya kaum bukan bumiputera terutama kaum Cina membekalkan taugeh ini kepada pengusaha restoran-restoran Cina serta membekalkannya kepada hotel-hotel dan menghantar kepada pembekal-pembekal taugeh di sekitar Kuala Lumpur serta Pulau Pinang yang majoritinya kaum Cina. Selain itu, taugeh ini tidak tahan begitu lama apabila terdedah pada suhu atau keadaan yang tidak sesuai. Ia akan menjadi lembik serta menjadi kehitaman dan tidak lagi boleh digunakan.

Setiap cabaran dan isu yang menjadi masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan bijaksana. Antaranya adalah memberitahu pembekal tentang kualiti taugeh yang dibekalkan. Selain itu juga penggunaan taugeh mengikut keperluan sahaja dan tidak mengambil taugeh dgn begitu banyak. Dari segi bantuan yang diterima, antara agensi yang terlibat ialah Tekun dan Bank Pertanian. Bantuan daripada sudut bimbingan dan galakan juga diberikan oleh Jabatan Pertanian untuk memastikan perniagaan yang diceburi ini berjaya dan dapat menghasilkan pulangan.


4.0       Kesimpulan

Kesimpulannya bidang pertanian ini merupakan salah satu ruang serta peluang untuk dijadikan peniagaan yang menjaminkan keuntungan yang banyak. Dengan pelancaran kempen “Pertanian Adalah Peniagaan”, peniagaan di sektor pertanian ini dapat dilaksanakan dengan bantuan-bantuan serta insentif-inseftif yang diberikan oleh kerajaan. Dalam peniagaan taugeh ini, permulaan modal untuk memulakan peniagaan ini tidak begitu besar dan cara penanaman serta penjagaannya amat mudah dan tidak rumit. Perniagaan taugeh ini dapat menbantu mereka yang ingin memulakan perniagaan dengan modal pemulaan yang rendah.


Rujukan

http://www.pertanianperak.gov.my/jpp/index.php/component/content/article/304-   maklumat/tanaman/padi-tanaman-ladang/987-panduan-menanam-tauge

The Star Online. (May 2011). Bean sprout grower reveals secret behind Ipoh’s most popular produce. Retrieved December 2013 from: http://www.thestar.com.my/story.aspx?file=%
2f2011%2f5%2f28% 2fmetroperak% 2f8591132&sec=metroperak



MZ Zainudin, Mohamad Fais Mohamed Zamri, Mohamad Zuhaili Jamaluddin

Monday, April 04, 2016

8 surah pilihan






Penyusun: Umar Mukhtar, Hafizudin Saad
Penerbit: Pustaka Cahaya Kasturi, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.
Muka Surat: 60

Al-quran, jika boleh kita katakan, merupakan penyembuh, penghidup hati yang mati dan pemberi ketenangan kepada jiwa yang gundah. Lapan surah ini iaitu surah al-Kahfi, as-Sajadah, Yasin, ad-Dukhan, ar-Rahman, al-Waqiah, al-Mulk dan al-Insan yang disusun tanpa menafikan peranan surah-surah yang lain kerana setiap surah pilihan ini memiliki kehebatan tersendiri terutama pada pengajaran, kisah teladan dan hikmah yang tidak terhitung banyaknya kepada mereka yang berfikir.

Bukan sedikit para sarjana mengamalkan surah-surah lazim in sekali pun sebahagian hadis fadilatnya berstatus dhaif. Namun mereka menganggapnya sekadar silibus kehidupan dan jadual peningkatan iman yang dengan membaca, meneliti dan mengamalkan ajaran al-quran, mereka memperoleh berkat dan manfaat yang tidak terhitung.

Fadilat dan hikmah setiap surah disertakan dalil seperti mana dalam surah al-Kahfi, terdapat sepuluh fadilat kepada pembacanya. Antaranya ialah daripada Abu Said al-Khudri  bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi (pada) hari Jumaat akan diterangkan baginya nur (cahaya) antara dua hari Jumaat”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Saturday, April 02, 2016

Kesedaran kesihatan dari perspektif etnik







1.0       Pendahuluan

Masalah kesihatan di Malaysia kini mengalami revolusi. Jika dahulu kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat galian dan vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah yang mana masyarakat mengalami masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan.

Di Malaysia, menurut kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghadapi masalah kesihatan dan 60 peratus daripadanya ialah dari etnik Melayu, Cina dan India. Antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah masalah kesihatan antara tiga etnik yang disebutkan tadi ialah, berat badan berlebihan, genetik (penyakit keturunan), gaya hidup dan diet tidak seimbang, pengambilan alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara berterusan atau berjadual.

Penyakit yang wujud dalam masyarakat sekarang adalah kerana manusia itu sendiri tidak mengikut peraturan yang telah disusun oleh Allah swt dan tidak mengikut sunnah yang telah diajar oleh Rasulullah saw. Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia itu sendiri kerana tidak menjaga keseimbangan dalam kehidupan mereka. Keseimbangan adalah penting untuk kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan dan kealpaan inilah menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Seperti mana yang termaktub dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang mana Allah mengingatkan kita hambanya bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat daripada perbuatan tersebut.

Justeru itu, kajian yang telah dilakukan ini meninjau bagaimana sejarah pengambilan makanan tiga etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India memberi kesan kepada budaya pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan hari ini. Selain itu, kajian turut mengkaji melihat bagaimana corak pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan masyarakat masa kini kesan daripada pengaruh budaya dan perkembangan sains dan teknologi yang menghasilkan makanan dengan kuantiti yang banyak seperti makanan segera dan cara penggayaan hidup yang tidak sihat.

Seterusnya wujud berbagai-bagai jenis makanan segera (moden) seperti piza, burger dan ayam goreng yang begitu popular dalam kalangan masyarakat kini. Di samping munculnya berbagai-bagai jenis makanan ringan dengan pelbagai perisa dan perasa yang juga menimbulkan tanda tanya adakah makanan ini akan menjejaskan tahap kesihatan dan sejauh mana pula ia diterima oleh masyarakat kini. Persoalan ini menyebabkan kajian yang lebih lanjut perlu dilakukan berhubung dengan pengambilan makanan segera serta bagaimana ia mempengaruhi corak pengambilan makanan tradisi antara tiga etnik ini. Juga terdapat cabaran tentang bagaimana menguatkuasakan ajaran agama antara tiga etnik ini di dalam penghasilan makanan moden hari ini. Sebagai contoh etnik Melayu, adakah ketulenan budaya Islam dalam soal pengambilan makanan ini akan tergugat dengan cabaran moden yang timbul pada hari ini.

1.1       Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan, mengenal pasti kesan daripada tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan, mengenal pasti faktor-faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan dan mencadangkan langkah-langkah kesedaran etnik terhadap amalan gaya hidup sihat.

1.2       Kepentingan Kajian

Kajian dijalankan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di Malaysia tentang pentingnya kesihatan. Hal ini kerana kesihatan adalah salah satu aspek penting yang mempengaruhi rutin harian dan kehidupan kita. Seterusnya untuk mengetahui tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan melalui cara-cara etnik utama menjaga kesihatan mereka. Oleh itu, semua etnik dapat muhasabah diri serta meningkatkan lagi penjagaan kesihatan. Hal ini kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap kesihatan sangat membimbangkan.

Kajian ini juga mencari faktor-faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan dapat dikenal pasti melalui kajian ini. Oleh yang demikian, masyarakat dapat mengetahui faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesihatan sekali gus dapat meningkatkan lagi penjagaan kesihatan.  Akhir sekali kajian ini dapat memberi panduan dalam langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran etnik terhadap amalan gaya hidup sihat. Beberapa langkah dapat dikenal pasti untuk meningkatkan kesedaran etnik terhadap kesihatan. Oleh itu, masyarakat dapat mengenal pasti dan mengamalkan langkah-langkah tersebut.


2.0       Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan soal selidik dan temu bual sebagai kaedah untuk mendapatkan maklumat dan data. Pemilihan responden telah dilakukan secara rawak bagi mendapatkan taburan secara menyeluruh. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 30 responden. Hasil soal selidik dikumpul untuk mendapatkan pandangan responden dan juga digunakan sebagai data dalam kajian. Manakala temu bual dilakukan ke atas tiga responden yang berbeza etnik di UTeM. Soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu latar belakang responden, aras kesedaran diri terhadap kesihatan, kesan daripada mengamalkan gaya hidup yang sihat dan langkah-langkah yang sesuai untuk meningkatkan aras kesedaran kesihatan etnik.

Seterusnya kajian turut melaksanakan pemerhatian terhadap bilangan anggota masyarakat yang beriadah pada waktu petang dan latar belakang etnik telah direkodkan mengikut etnik. Kaedah ini dilakukan di Stadium Tun Fatimah dan di gerai-gerai makanan di Melaka.


3.0       Hasil Kajian


Rajah 1: Peratusan etnik yang mengambil berat terhadap kesihatan

Merujuk kepada Rajah 1, tahap kesedaran etnik Cina terhadap kesihatan mempunyai peratusan yang paling tinggi iaitu 45% dan diikuti oleh etnik Melayu dengan peratusan 34% dan etnik India 15 %. Rajah ini menunjukkan bahawa etnik Cina lebih mementingkan kesihatan berbanding etnik lain.


Rajah 2: Peratusan etnik yang keluar beriadah pada waktu petang

Rajah 2 di atas menunjukkan bilangan peratusan etnik yang keluar beriadah pada waktu petang. Etnik Cina merupakan etnik yang majoriti keluar beriadah dengan peratusan 63% dan diikuti oleh etnik Melayu dengan peratusan 21% dan etnik India, 11% dan lain-lain sebanyak 5%.


Rajah 3: Bilangan ahli keluarga responden dari setiap etnik yang menghidap penyakit kronik

Rajah 3 mendapati etnik India merupakan etnik yang paling banyak menghidap penyakit kronik akibat mengabaikan aspek kesihatan dalam diri masing-masing. Seterusnya diikuti oleh etnik Melayu dan paling kurang bilangan penghidap penyakit kronik adalah Cina. Hal ini dapat dibincangkan dengan temu bual beberapa responden.


4.0       Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kajian ini telah membincangkan aras kesedaran tiga etnik utama di Malaysia (Melayu, Cina, India) terhadap kesihatan sekali gus dapat  menjawab objektif dalam kajian ini. Kajian juga dapat mengenal pasti kesan-kesan daripada tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan. Dengan adanya kesedaran ini dalam diri setiap individu, kesihatan boleh ditingkatkan dan penyakit boleh dijauhi. Hasil kajian menunjukkan etnik Cina sangat mengutamakan kesihatan diikuti dengan Melayu dan seterusnya India. Ketiga tiga etnik utama (Melayu, Cina dan India) mempunyai gaya hidup yang berbeza dalam penjagaan kesihatan sekali gus memberikan tahap kesihatan yang berbeza.

Kajian ini menyarankan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai tahap atau keadaan yang mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit. Langkah-langkah proaktif harus dilakukan untuk mencegah penyakit seperti mempromosikan dimensi kesihatan yang positif dan menjurus ke arah kesejahteraan hidup, kempen anti merokok, anti alkohol dan anti dadah. Kerajaan juga boleh menyiarkan tentang pentingnya kesihatan di media massa seperti menyiarkan iklan tentang bahaya dan kesan kepada perokok agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rokok.


Rujukan

Ahmad Ridzwan Mohd N., Nor Azila A., Norliah K., Mahadi A. H., Shahrulanuar M., Ismail I., Radzuan N., Ali Hafizar Mohd R. (2015). Falsafah Sains & Teknologi.  Melaka: Penerbit UTeM.  

Sareswati a/p Balakrishnan, Peranan Kerajaan dalam Mempertingkatkan Taraf Kesihatan Masyarakat, 2010. Diakses dari http://kesihatansemua.blogspot.my/2010/09/peranan-kerajaan-dalam-mempertingkatkan.html.

Titas UKM, Amalan Kesihatan Berdasarkan Etnik, 2014. Diakses dari   titasukm613.blogspot.my/2013/04/amalan-kesihatan-berdasarkan-etnik.html?m=1.

Mohamad Zahir Zainudin, Pengaruh Tamadun Luar Dalam Kehidupan Masyarakat Melayu, 2015. Diakses dari http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/03/pengaruh-tamadun-luar-dalam-kehidupan.html


Friday, April 01, 2016

Makanan tradisional etnik di Malaysia







1.0       Pengenalan

Makanan tradisional adalah makanan dan minuman yang biasa dimakan oleh masyarakat tertentu dengan cita rasa khas yang diterima oleh masyarakat tersebut. Bagi masyarakat Malaysia umumnya amat diyakini khasiat, aneka makanan tradisional seperti karipap, nasi lemak, roti canai dan sebagainya. Di samping berkhasiat, makanan tradisional juga mengandung segi positif yang lain seperti bahan-bahan yang bervitamin, bergizi tinggi, serat, murah dan mudah didapat, sesuai dengan selera masyarakat sehingga diyakini mempunyai potensi yang baik sebagai makanan.

Dengan beragam dan bervariasinya bahan dasar, maka dapat dihasilkan bermacam-macam jenis makanan tradisional yang sedemikian rupa sehingga menjadi makanan yang lazat dan gizi seimbang. Demikian juga cara pembuatannya dilakukan dengan beragam dan bervariasi seperti membakar/memanggang, pengasapan, pemepesan, pengukusan, menggoreng dan menumis.

Makanan tradisional dipengaruhi oleh kebiasaan makan masyarakat dan menyatu di dalam sistem sosial budaya berbagai-bagai golongan etnik dan kaum di daerah-daerah. Makanan tersebut disukai kerana rasa, tekstur dan aromanya sesuai dengan seleranya. Demikian juga dengan kebiasaan makan khas daerah umumnya tidak mudah berubah, walaupun anggota etnik bersangkutan pindah ke daerah lain. 

Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang istimewa kerana dihuni oleh masyarakat yang berbilang etnik. Etnik Melayu, Cina dan India merupakan etnik utama di Malaysia. Selain itu, Malaysia juga mempunyai kira kira 80 kaum etnik lain seperti Baba Nyonya, Kadazandusun dan Iban. Etnik Melayu merupakan kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 57 peratus penduduk negara ini. Orang Melayu adalah beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan Melayu. Orang Melayu terkenal dengan sifat lemah lembut, sopan santun dan peramah serta mempunyai kemahiran kesenian yang tinggi. Penduduk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi. Oleh yang demikian, pelbagai budaya yang berbeza dari setiap etnik akan saling mempengaruhi dan seterusnya menghasilkan gabungan variasi budaya Malaysia yang unik.

Terdapat banyak aspek dalam mewujudkan kepelbagaian budaya antaranya cara pemakanan, sambutan perayaan, pemakaian tradisional dan banyak lagi. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kaum di Malaysia ini mempunyai sejarah tentang makanan tradisional kaum masing-masing. Pada hari ini, makanan juga memberi impakyang besar dalam mewujudkan variasi etnik di Malaysia. Sebagai contoh, roti canai, nasi lemak, lontong, tosei, capati serta yong tau fu bukan hanya di makan oleh etnik Melayu, Cina dan India sahaja malahan semua makanan ini dimakan oleh sesiapa sahaja tidak terkecuali bangsa asing yang datang berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan mahupun melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Bagi menjayakan kajian ini, empat orang responden telah dipilih secara rawak yang terdiri daripada etnik luar dari Malaysia bagi mengenal pasti pandangan mereka tentang makanan tradisional di Malaysia. Objektif kajian ini terbahagi kepada tiga iaitu mengetahui makanan tradisional setiap etnik, mengetahui penerimaan makanan tradisional sesuatu etnik kepada etnik lain serta mempromosikan makanan tradisional sesuatu etnik kepada etnik lain.

Kepentingan kajian ini adalah untuk mengetahui makanan tradisional mengikut etnik dan penerimaan makanan tradisional sesuatu etnik terhadap etnik yang lain serta daya tarikan setiap makanan tradisional mengikut etnik. Selain itu, untuk mengetahui apakah makanan tradisional etnik lain yang datang dari luar Malaysia.


2.0       Sorotan Kajian

Perpaduan merupakan aset yang penting kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati di Malaysia. Menurut kajian Institut Penyelidikan Belia Malaysia, masyarakat pada hari ini tidak lagi menampilkan ciri-ciri perkauman yang melampau dalam aspek-aspek kehidupan mereka. Ini adalah petanda yang positif bagi masa depan sebuah negara yang berbilang kaum di Malaysia serta mencerminkan penerimaan mereka yang baik tanpa prejudis terhadap kaum-kaum yang berada di Malaysia.

Sikap masyarakat pada hari ini juga mampu menambah baik masa depan ekonomi negara, dengan ini tentulah akan dapat mengekalkan keharmonian di antara kaum. Berdasarkan kajian ini, ia juga dapat membuktikan bahawa majoriti menyatakan keadaan ekonomi semakin baik jika perpaduan terjalin antara masyarakat di Malaysia. Dengan melihat kembali sejarah dan pengalaman negara ini, masalah ekonomi dapat memberi kesan kepada kewujudan jurang antara kaum dan jika tidak dapat dibendung akan dapat mencetuskan rasa cemburu sehingga membawa kepada permusuhan antara kaum.

Pada hari ini juga, kita dapat melihat sesuatu kaum menjual atau membeli makanan yang bukan dari kaum mereka sendiri. Sebagai contoh, kaum Cina membeli nasi lemak atau asam laksa, manakala kaum Melayu menjual yong tau foo, roti canai, roti nan, tosai dan sebagainya.

Makanan tradisional sangat digemari oleh masyarakat yang kaya dengan pelbagai adat dan budaya serta mempunyai pelbagai makanan mengikut kaum di Malaysia. Makanan tradisional terbahagi kepada makanan basah dan makanan kering. Antara makanan basah ialah nasi lemak, capati dan yong tau foo. Manakala makanan kering ialah dodol, karipap dan bahulu. Makanan tradisional ini semakin digemari hingga ke peringkat antarabangsa. Industri makanan tradisional ini hendaklah dimajukan agar mempelbagaikan produk makanan yang sedia ada. Hal ini akan menyebabkan pelanggan tertarik kepada kepelbagaian produk makanan yang disediakan.

Contoh makanan orang Melayu yang sering kali menjadi sambutan dari pelbagai kaum adalah nasi lemak. Ia bukan sahaja digemari oleh pelbagai kaum, bahkan dapat memberi kesan kesepaduan kaum di Malaysia. Nasi lemak sering kali dihidang pada waktu pagi tetapi pada masa kini ia dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Bagi kaum India, putu mayam ialah sejenis makanan manis yang kerap dimakan ketika sarapan pagi ataupun sebagai snek. Makanan ini juga digemari oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Nasi ayam adalah makanan yang dipelopori oleh kaum Cina. Makanan ini telah diminati oleh semua rakyat Malaysia kerana rasa ayam yang telah dikukus dengan rempah yang sebati.

Perayaan utama yang disambut oleh setiap kaum di Malaysia akan menghidangkan makanan tradisional mengikut kaum tersendiri. Ketika perayaan mereka akan berkunjung ke rumah dan dihidangkan dengan makanan tradisional. Dalam masa yang sama, perhubungan antara kaum atau bangsa dapat dieratkan. Perhubungan yang jitu di antara kaum akan menghasilkan keharmonian dan perpaduan di Malaysia. Semua ini akan terus menjadi ikon atau identiti sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.


3.0       Metodologi Kajian

Kaedah dan cara kajian ini dijalankan ialah melalui pemerhatian terhadap etnik di sekeliling, melalui temu bual secara langsung kepada individu berbeza etnik latar belakang dan hasil yang telah diperolehi dokumentasikan sebagai laporan hasil kajian.

Reka bentuk kajian dalam kajian ini antaranya ialah pendekatan kajian, kaedah persampelan, cara pengumpulan data, teknik memproses dan menganalisis data serta penulisan laporan. Reka bentuk kajian kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui kaedah tinjauan. Dalam kajian ini, tinjauan dibuat di sekitar kawasan terpilih di Melaka untuk mendapatkan pandangan beberapa responden tentang hal-hal berkaitan dengan makanan tradisional menikut kaum.

Manakala reka bentuk kajian kualitatif yang digunakan ialah kajian etnografi dan kajian sejarah. Dalam kajian kes, kajian etnografi digunakan bagi mengkaji ciri-ciri makanan tradisional etnik di Malaysia. Kajian sejarah pula digunakan bagi mengkaji rekod dan penulisan lampau antaranya dapatan daripada jurnal untuk dikaitkan dalam kajian berkenaan makan tradisional etnik di Malaysia. 

Ketika melakukan tinjauan, tiga soalan kaji selidik telah dikemukakan kepada responden. Sampel terdiri daripada empat responden dari pelbagai etnik yang datang dari luar negara telah dipilih secara rawak bagi menjayakan tinjauan ini. Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak berstruktur. Data-data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS.


4.0       Hasil Kajian

Hasil daripada kajian melalui temu bual, responden pertama bernama Abdul Rahman Bakri berumur 23 tahun dan berasal dari negara Yaman serta berketurunan Arab. Menurut responden, makanan tradisional di Yaman adalah asidah dan kabsa. Asidah diperbuat daripada campuran gula merah dan tepung gandum yang memiliki rasa manis melekit dengan sedikit aroma rempah dan dihidangkan bersama lelehan mentega. Kebiasaannya asida dinikmati dengan teh manis atau kopi. Manakala bagi kabsa pula, ia adalah nasi yang berlaukkan daging atau ayam yang dimasak menggunakan rempah ratus. Menurut respondan, makanan yang menjadi kegemaran beliau di Malaysia adalah nasi goreng daging dan putu piring kerana rasa yang sedap dan manis serta mempunyai rasa dan rupa yang seakan-akan sama dengan makanan di negara asalnya.

Seterusnya untuk respondan kedua, beliau bernama Muhammad Khalid berumur 21 tahun dan berasal dari negara Sudan serta berketurunan Arab (Sudanese). Berdasarkan temu bual bersama respondan, wekah dan kisrah menjadi makanan tradisional bagi penduduk di negara Sudan. Wekah adalah campuran kacang bendi dan bawang putih yang dikisar sehingga hancur dan kebiasaannya dimakan bersama roti manakala kisrah pula adalah sejenis roti yang diuli dan diadun lembut yang mempunyai rupa seperti roti naan. Sementara itu, dapatan daripada respondan, makanan yang menjadi kegemaran beliau di Malaysia adalah nasi goreng sotong.

Selain itu, respondan ketiga bernama Abu Bakar berumur 23 tahun dan berasal dari Chad, Arab Saudi serta berketurunan Afrika. Menurut responden, makanan tradisional di Chad adalah sejenis sate kambing yang dihidangkan bersama kuah kacang kuda yang dikisar sehingga hancur dan juga roti. Makanan yang menjadi kegemaran respondan di Malaysia adalah nasi ayam merah.

Masakan Arab ditakrifkan sebagai pelbagai masakan serantau di dunia Arab yang menjangkau dari Maghribi dan Tunisia ke Yaman dan Somalia serta menggabungkan Levant, Mesir dan yang lain. Ia juga dipengaruhi ke suatu tahap oleh masakan Turki, Afghanistan, Iran, India, Barbar dan budaya-budaya lain rantau itu sebelum Arabisasi kebudayaan dibawa oleh orang Arab mengikut salasilah sewaktu penaklukan Arab Islam. Terdahulunya, orang Arab dari Semenanjung Arab banyak bergantung dengan diet kurma, gandum, barli, nasi dan daging, dengan sedikit kepelbagaian, dengan penekanan pada yogurt, seperti labneh (لبنة) (yogurt tanpa lemak mentega). Apabila kaum Semitik asli mula mengembara, sama juga dengan cita rasa dan ramuan yang digemari mereka.

Banyak daripada rempah yang digunakan dalam masakan Semenanjung Arab juga menyerupai jenis yang ditekankan dalam masakan India. Hal ini merupakan akibat perdangangan yang bergerak rancak di antara kedua-dua rantau dan juga samanya dengan keadaan kini di negara-negara yang kaya dengan minyak yang mana banyak para pekerja Asia Selatan bekerja di negara Teluk Arab.

Responden keempat bernama Ahmad Sayid bin Suparlan berumur 42 tahun serta berasal dari Ponorogo, Indonesia. Beliau adalah dari etnik Jawa. Makanan tradisional bagi etnik Jawa ialah rawon dan bakso. Rawon adalah daging atau ayam yang direbus sehingga lembut dan dimasak bersama isi buah kepayang serta dikisar bersama rempah ratus yang menghasilkan warna kehitaman manakala bakso adalah sup yang mengandungi bebola daging yang disajikan bersama mi kuning dan bihun. Makanan yang menjadi kegemaran respondan di Malaysia adalah nasi lemak.

Masakan Indonesia adalah salah satu tradisi kuliner yang paling kaya di dunia dan penuh dengan cita rasa yang kuat. Kekayaan jenis masakannya merupakan cermin keberagaman budaya dan tradisi nusantara yang terdiri dari sekitar 6.000 pulau berpenghuni dan menempati peranan penting dalam budaya nasional Indonesia secara umum. Hampir seluruh masakan Indonesia kaya dengan bumbu berasal dari rempah-rempah seperti kemiri, cabai, temu kunci, lengkuas, jahe, kencur, kunyit, kelapa dan gula aren dengan diikuti penggunaan teknik-teknik memasak menurut bahan, dan tradisi-adat yang terdapat pula pengaruh melalui perdagangan yang berasal seperti dari India, Cina, Timur Tengah, dan Eropah.

Pada dasarnya tidak ada satu bentuk tunggal “masakan Indonesia” tetapi lebih kepada, keanekaragaman masakan daerah yang dipengaruhi secara lokal oleh kebudayaan Indonesia serta pengaruh asing. Sebagai contoh, beras yang diolah menjadi nasi putih, ketupat atau lontong (beras yang dikukus) sebagai makanan pokok bagi majoriti penduduk Indonesia, namun untuk bahagian Timur lebih umum dikonsumsi sagu, jagung, ubi kayu dan ubi jalar. Bentuk penyajian umum sebagian besar makanan Indonesia terdiri daripada makanan pokok dengan lauk-pauk berupa daging, ikan atau sayur di sisi piring.


5.0       Kesimpulan

Kebanyakan etnik yang ada di Malaysia yang pada asalnya bukanlah etnik asal negara ini tetapi datang secara hijrah disebabkan sebab-sebab tertentu tahu mengenai makanan tradisional etnik di negara kita. Namun begitu, mereka tidak dapat menjelaskan dengan lebih terperinci sesuatu makanan itu berasal dari etnik mana kerana kurang pendedahan berkenaan makanan tradisional mengikut etnik. Terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini antaranya dunia hari ini sudah terdapat pelbagai jenis makanan segera dan makanan baru yang berbagai-bagai bentuk dan warna sehingga menyebabkan kurangnya tarikan terhadap makanan tradisional. Selain itu, kebanyakan masyarakat sekarang terlalu sibuk dengan kerja sehingga kurangnya masa untuk menyediakan sendiri makanan tradisional etnik di rumah dan selalunya mereka memutuskan untuk membeli makanan diluar.

Oleh hal yang demikian, generasi akan datang tidak akan dapat mempelajari cara penyediaan makanan tradisional etnik mereka sendiri dan mereka tidak dapat lagi menikmati keenakan makanan tradisional etnik mereka sendiri yang bukan sahaja kaya dengan zat dan khasiat tetapi mempunyai rasa yang tiada tolak bandingnya jika dinilai dengan makanan segara yang semakin hari semakin popular. Menerusi kajian ini, terdapat terlalu banyak makanan tradisional etnik yang ada tidak kira dalam negara kita mahupun bagi etnik di luar negara. Namun begitu, setiap satu makanan tradisioanal tersebut mempunyai keunikan dan rasa yang tersendiri.


MZ Zainudin, Azizan Tahir