1.0 Pendahuluan
Masalah kesihatan di Malaysia kini mengalami
revolusi. Jika dahulu kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat
galian dan vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah yang mana masyarakat
mengalami masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya
berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan.
Di Malaysia, menurut kaji selidik Kesihatan
dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia
menghadapi masalah kesihatan dan 60 peratus daripadanya ialah dari etnik
Melayu, Cina dan India. Antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah
masalah kesihatan antara tiga etnik yang disebutkan tadi ialah, berat badan
berlebihan, genetik (penyakit keturunan), gaya hidup dan diet tidak seimbang,
pengambilan alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara
berterusan atau berjadual.
Penyakit yang wujud dalam masyarakat sekarang
adalah kerana manusia itu sendiri tidak mengikut peraturan yang telah disusun
oleh Allah swt dan tidak mengikut sunnah yang telah diajar oleh Rasulullah saw.
Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia itu sendiri kerana tidak
menjaga keseimbangan dalam kehidupan mereka. Keseimbangan adalah penting untuk
kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan dan
kealpaan inilah menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Seperti mana
yang termaktub dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang mana Allah mengingatkan kita
hambanya bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan
manusia itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat
daripada perbuatan tersebut.
Justeru itu, kajian yang telah dilakukan ini
meninjau bagaimana sejarah pengambilan makanan tiga etnik utama di Malaysia
iaitu Melayu, Cina dan India memberi kesan kepada budaya pengambilan makanan
dan penjagaan kesihatan hari ini. Selain itu, kajian turut mengkaji melihat
bagaimana corak pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan masyarakat masa
kini kesan daripada pengaruh budaya dan perkembangan sains dan teknologi yang
menghasilkan makanan dengan kuantiti yang banyak seperti makanan segera dan
cara penggayaan hidup yang tidak sihat.
Seterusnya wujud berbagai-bagai jenis makanan
segera (moden) seperti piza, burger dan ayam goreng yang begitu popular dalam
kalangan masyarakat kini. Di samping munculnya berbagai-bagai jenis makanan
ringan dengan pelbagai perisa dan perasa yang juga menimbulkan tanda tanya
adakah makanan ini akan menjejaskan tahap kesihatan dan sejauh mana pula ia
diterima oleh masyarakat kini. Persoalan ini menyebabkan kajian yang lebih
lanjut perlu dilakukan berhubung dengan pengambilan makanan segera serta
bagaimana ia mempengaruhi corak pengambilan makanan tradisi antara tiga etnik
ini. Juga terdapat cabaran tentang bagaimana menguatkuasakan ajaran agama
antara tiga etnik ini di dalam penghasilan makanan moden hari ini. Sebagai
contoh etnik Melayu, adakah ketulenan budaya Islam dalam soal pengambilan
makanan ini akan tergugat dengan cabaran moden yang timbul pada hari ini.
1.1 Objektif Kajian
Objektif kajian ini ialah
mengetahui tahap kesedaran etnik terhadap
kesihatan, mengenal pasti kesan daripada tahap kesedaran etnik terhadap
kesihatan, mengenal pasti faktor-faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan dan
mencadangkan langkah-langkah kesedaran etnik terhadap amalan gaya hidup sihat.
1.2 Kepentingan Kajian
Kajian dijalankan untuk memberi pendedahan
kepada masyarakat di Malaysia tentang pentingnya kesihatan. Hal ini kerana
kesihatan adalah salah satu aspek penting yang mempengaruhi rutin harian dan
kehidupan kita. Seterusnya untuk mengetahui tahap kesedaran etnik terhadap
kesihatan melalui cara-cara etnik utama menjaga kesihatan mereka. Oleh itu,
semua etnik dapat muhasabah diri serta meningkatkan lagi penjagaan kesihatan.
Hal ini kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap kesihatan sangat
membimbangkan.
Kajian ini juga mencari faktor-faktor lain
yang mempengaruhi tahap kesihatan dapat dikenal pasti melalui kajian ini. Oleh
yang demikian, masyarakat dapat mengetahui faktor-faktor lain yang mempengaruhi
kesihatan sekali gus dapat meningkatkan lagi penjagaan kesihatan. Akhir sekali kajian
ini dapat memberi panduan dalam langkah-langkah
untuk meningkatkan kesedaran etnik terhadap amalan gaya hidup sihat. Beberapa
langkah dapat dikenal pasti untuk meningkatkan kesedaran etnik terhadap
kesihatan. Oleh itu, masyarakat dapat mengenal pasti dan mengamalkan
langkah-langkah tersebut.
2.0 Metodologi
Kajian
Kajian ini menggunakan soal selidik dan temu bual
sebagai kaedah untuk mendapatkan maklumat dan data. Pemilihan responden telah
dilakukan secara rawak bagi mendapatkan taburan secara menyeluruh. Borang soal
selidik telah diedarkan kepada 30 responden. Hasil soal selidik dikumpul untuk
mendapatkan pandangan responden dan juga digunakan sebagai data dalam kajian. Manakala
temu bual dilakukan ke atas tiga responden yang berbeza etnik di UTeM. Soal
selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu latar belakang responden, aras
kesedaran diri terhadap kesihatan, kesan daripada mengamalkan gaya hidup yang
sihat dan langkah-langkah yang sesuai untuk meningkatkan aras kesedaran
kesihatan etnik.
Seterusnya kajian turut melaksanakan pemerhatian
terhadap bilangan anggota masyarakat yang beriadah pada waktu petang dan latar belakang
etnik telah direkodkan mengikut etnik. Kaedah ini dilakukan di Stadium Tun
Fatimah dan di gerai-gerai makanan di Melaka.
3.0 Hasil Kajian
Rajah 1: Peratusan etnik yang mengambil berat terhadap kesihatan
Merujuk kepada Rajah 1, tahap kesedaran etnik
Cina terhadap kesihatan mempunyai peratusan yang paling tinggi iaitu 45% dan
diikuti oleh etnik Melayu dengan peratusan 34% dan etnik India 15 %. Rajah ini
menunjukkan bahawa etnik Cina lebih mementingkan kesihatan berbanding etnik
lain.
Rajah 2: Peratusan etnik yang keluar beriadah
pada waktu petang
Rajah 2 di atas menunjukkan bilangan peratusan
etnik yang keluar beriadah pada waktu petang. Etnik Cina merupakan etnik yang
majoriti keluar beriadah dengan peratusan 63% dan diikuti oleh etnik Melayu
dengan peratusan 21% dan etnik India, 11% dan lain-lain sebanyak 5%.
Rajah 3: Bilangan ahli keluarga responden dari
setiap etnik yang menghidap penyakit kronik
Rajah 3 mendapati etnik India merupakan etnik yang
paling banyak menghidap penyakit kronik akibat mengabaikan aspek kesihatan
dalam diri masing-masing. Seterusnya diikuti oleh etnik Melayu dan paling
kurang bilangan penghidap penyakit kronik adalah Cina. Hal ini dapat
dibincangkan dengan temu bual beberapa responden.
4.0 Kesimpulan
Secara keseluruhannya, kajian ini telah
membincangkan aras kesedaran tiga etnik utama di Malaysia (Melayu, Cina, India)
terhadap kesihatan sekali gus dapat menjawab
objektif dalam kajian ini. Kajian juga dapat mengenal pasti kesan-kesan
daripada tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan. Dengan adanya kesedaran ini
dalam diri setiap individu, kesihatan boleh ditingkatkan dan penyakit boleh
dijauhi. Hasil kajian menunjukkan etnik Cina sangat mengutamakan kesihatan
diikuti dengan Melayu dan seterusnya India. Ketiga tiga etnik utama (Melayu,
Cina dan India) mempunyai gaya hidup yang berbeza dalam penjagaan kesihatan
sekali gus memberikan tahap kesihatan yang berbeza.
Kajian ini menyarankan Badan Kesihatan Sedunia
(WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai tahap atau keadaan yang mana seseorang
individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental
dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit. Langkah-langkah proaktif
harus dilakukan untuk mencegah penyakit seperti mempromosikan dimensi kesihatan
yang positif dan menjurus ke arah kesejahteraan hidup, kempen anti
merokok, anti alkohol dan anti dadah. Kerajaan juga boleh menyiarkan tentang
pentingnya kesihatan di media massa seperti menyiarkan iklan tentang bahaya dan
kesan kepada perokok agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
bahaya rokok.
Rujukan
Ahmad Ridzwan Mohd N., Nor Azila A., Norliah
K., Mahadi A. H., Shahrulanuar M., Ismail I., Radzuan N., Ali Hafizar Mohd R. (2015).
Falsafah Sains & Teknologi. Melaka:
Penerbit UTeM.
Sareswati a/p Balakrishnan, Peranan Kerajaan
dalam Mempertingkatkan Taraf Kesihatan Masyarakat, 2010. Diakses dari http://kesihatansemua.blogspot.my/2010/09/peranan-kerajaan-dalam-mempertingkatkan.html.
Titas UKM, Amalan Kesihatan Berdasarkan Etnik,
2014. Diakses dari titasukm613.blogspot.my/2013/04/amalan-kesihatan-berdasarkan-etnik.html?m=1.
Mohamad Zahir Zainudin, Pengaruh Tamadun Luar
Dalam Kehidupan Masyarakat Melayu, 2015. Diakses dari http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/03/pengaruh-tamadun-luar-dalam-kehidupan.html
No comments:
Post a Comment