Di era teknologi maklumat yang berkempang pantas, kaedah mendapatkan ilmu dan mengembangkan ilmu turut berkembang.
Ilmu yang sukar diperolehi suatu masa dulu kini hanya berada di hadapan komputer untuk dipelajari. Buku dan idea daripada puluhan pemimpin, penulis atau pencetus inovasi boleh dipelajari, diakses dan dibahas dari perpustakaan besar dunia termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Pengenalan eBook oleh PNM sangat relevan dalam pengupayaan mendapat maklumat dan menambah minat membaca rakyat Malaysia. Orang ramai tidak lagi perlu ke bangunan PNM di Jalan Tun Razak sebaliknya hanya berada di hadapan komputer atau telefon pintar untuk memilih seterusnya menikmati suasana membaca buku-buku kegemaran mereka.
Sudahnya, pengunjung ke perpustakaan semakin berkurangan khususnya untuk mencari buku.
Teknologi maklumat telah mengubah cara ramai orang mendapatkan maklumat. Pengenalan internet membawa budaya hidup yang baru dan berbeza sama sekali. Tahun 1980-an dahulu, ramai orang yang mahu mendapatkan buku kegemaran mereka atau buku rujukan perlu datang sendiri ke perpustakaan. Pemergian ke gudang ilmu itu perlukan masa dan melibatkan kos seperti minyak kereta atau tambang bas dan teksi.
Suasana seperti itu tidak lagi menjadi biasa hari ini. Mempunyai sebuah komputer dengan sambungan internet sudah cukup untuk membaca kerana perpustakaan sudah berada bersama mereka.
Orang ramai lebih selesa membaca di komputer masing-masing daripada membaca buku kerana simpanan memori komputer mampu menyimpan sehingga puluhan buku berbanding membaca tiga atau empat buah buku.
Langkah PNM memperkenalkan eBook adalah usaha yang sangat menarik walaupun mendapat bantahan penulis yang bimbangkan periuk nasi mereka. Namun kita sedar PNM sudah tentu mempunyai mekanisme untuk menyelesaikannya.
Namun bagi pengguna, inisiatif ini sangat bermakna kerana mereka dapat membaca di mana-mana sahaja dan bila-bila masa. Kepada pembaca, sudah tentu mereka tidak berkira jika dikenakan sedikit bayaran untuk mengakses bahan bacaan. Lagi pun langkah ini dapat menggalakkan budaya membaca rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment