Zainudin MZ, Izyan
Noraisyah Darus, Nor Anisa Kamal, Nur Afiqah Radzali, Nurzakiyah Emalda Abdul
Jamal, Nur Diana Shaharudin
1.0 Pengenalan
Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan
untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran,
kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat
sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan
penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di kolam atau
laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi. Terdapat pelbagai jenis sukan dan
kebanyakannya mengorbankan masa, wang, dan keinginan manusia sama ada sebagai
peserta ataupun sebagai penonton.
Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan
generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi
keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan
perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan
kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana'
dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan
masyarakat negara ini di bawah konsep 1Malaysia.
1.1 Objektif Kajian
Pertama, mendapatkan
peratusan tahap kesedaran dalam kalangan pelajar UTeM dan masyarakat luar untuk
bersukan.
Kedua, mengenal pasti
adakah sukan menjadi salah satu instrumen dalam menghidupkan perpaduan pelajar
di UTeM dan masyarakat luar.
Ketiga, mengukur tahap keprihatinan pelajar UTeM
dan masyarakat luar tentang pentingnya bersukan untuk menyatupadukan kaum.
2.0 Sorotan Literatur
Sukan di Malaysia kini semakin giat berkembang.
Perkemangannya selari dengan kemajuan sosioekonomi masyarakat. Seperti negara-negara
lain, Malaysia tidak ketinggalan dalam usahanya untuk membangunkan bidang sukan
sebagai aspek pembangunan sosial untuk kesejahteraan rakyat. Istilah “sukan
untuk semua” melibatkan semua golongan masyarakat, dari kanak-kanak sehingga
warga tua. Aktiviti sukan dilangsungkan secara tidak terlalu formal dan boleh
diadakan dalam bentuk pertandingan. Biasanya penyertaan adalah ramai dan
diselangi oleh aktiviti sosial seperti ucapan dan persembahan.
Aktiviti sukan telah wujud sejak zaman Melayu lama.
Menurut Ungku Aziz, masyarakat Melayu tinggal di tepi-tepi sungai dan di
persisiran pantai. Untuk survival, keluarga Melayu dibesarkan dengan pandai
berenang bagi menyesuaikan kehidupan mereka dengan persekitaran. Mereka juga
belayar di pesisiran pantai.
Jelaslah bahawa, sukan merupakan aktiviti yang telah
dilaksanakan sejak dahulu lagi yang dapat memberi iktibar kepada kita bahawa
bersukan bukan sahaja dapat memberi kesihatan namun dapat juga menyatupadukan
rakyat.
Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama,
keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara
pemain, penyokong, pengurusan dan massa. Walaupun tidak dinafikan sukan juga
menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola
sepak luar negara, namun sering kali kita melihat sukan akan menjadi alat
perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan
termasuk fahaman politik masing-masing.
Di samping itu, dalam sukan badminton, Malaysia
melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988 dan 1990; sejarah yang
masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan negara.
Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak
menjadi alat politik tetapi menjadi alat penghubung keseluruhan warganya. Sukan
sebagai alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai
ruangan termasuk sekolah dan kawasan penempatan.
Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat
tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar
perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri
menyeluruh. Hal ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam
melentur semangat kekitaan. Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekaligus
juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang
wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh
sesuatu etnik terutama dengan penampilan kemajmukan bukan sahaja dari segi
penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu
negara, satu matlamat'.
Sejak perdana menteri memperkenalkan gagasan 1Malaysia,
banyak pihak yang telah berusaha mengemukakan idea untuk menjayakannya.
Antaranya, Kementerian Belia dan Sukan yang memperkenalkan konsep “Satu Belia”
bagi membantu mempercepatkan proses pencapaian gagasan itu dan begitu juga
pihak lain dengan idea masing-masing.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak telah
menyarankan agar masyarakat menggunakan sukan sebagai elemen untuk meningkatkan
kerjasama antara kaum dan agama. Selain itu, sukan sememangnya mampu menjadi
teras untuk menyokong, mengekal dan mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara
ini.
Oleh itu, untuk merealisasikan sukan dapat meningkatkan
perpaduan antara kaum di negara ini, terdapat beberapa aspek yang perlu
diperhalusi demi kebaikan kita bersama iaitu yang pertama ialah masyarakat
perlu berpegang kepada prinsip sukan mampu meningkatkan semangat patriotik
rakyat. Oleh itu, pihak yang sewajarnya perlu melipatgandakan usaha memajukan
bidang sukan teras yang popular contohnya bola sepak, hoki dan badminton yang
dapat menggabungkan pelbagai etnik dan kaum dalam satu sukan.
Pengalaman beberapa negara asing membuktikan bahawa
kejayaan di pentas sukan antarabangsa mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira
latar belakang. Malaysia juga begitu. Semangat patriotik rakyat tanpa mengira
etnik, kaum dan agama jelas apabila pasukan kita menentang pasukan luar dan ia
merupakan satu bentuk perpaduan yang nyata.
Aspek kedua bagi merealisasikan sukan dapat meningkatkan
perpaduan antara kaum adalah sukan massa yang merupakan sukan untuk semua
adalah sukan yang dapat menggalakkan penyertaan masyarakat setempat telah
diperkenalkan kepada masyarakat untuk menjana semangat kebersamaan di kalangan
rakyat yang berbilang kaum.
Aspek ketiga dalam merealisasikan sukan dapat
meningkatkan perpaduan antara kaum ialah pelajar perlu dididik agar memupuk
semangat kesukanan serta menghargai sukan sebagai alat untuk berinteraksi, menjalinkan
perpaduan dan memperluaskan pergaulan antara kaum.
3.0 Hasil Kajian
Secara sepintas lalu, kajian ini merupakan satu kajian
kuantitatif untuk melihat tahap pengetahuan mengenai aktiviti bersukan dalam
kalangan pelajar UTeM dan masyarakat luar. Berdasarkan penyataan “sukan dapat
menyatupadukan kaum”, dapatan kajian menunjukkan rata-rata responden bersetuju
dengan penyataan tersebut. Oleh itu responden akan lebih berminat untuk
bersukan bersama-sama dengan kaum lain.
Selain itu, masih ada lagi segelintir responden yang
masih tidak pernah melibatkan diri dalam aktiviti bersukan. Oleh itu, kegiatan
sukan dalam negara haruslah dipromosikan dengan pelbagai kaedah supaya rakyat
dapat membuka mata mereka dan mengeluarkan segala bakat mereka yang terpendam.
Seterusnya, rata-rata responden hanya melakukan aktiviti
bersukan ketika menyertai program. Jadi, kemudahan seperti taman-taman riadah
harus dipertingkatkan.
4.0 Rumusan dan Cadangan
Berdasarkan kajian yang telah kami dapati, rata-rata
responden menunjukkan bahawa mereka bersetuju dengan penyataan bersukan dapat menyatukan
kaum. Oleh itu, aktiviti bersukan ini haruslah diamalkan oleh seluruh rakyat
Malaysia kerana bukan sahaja dapat mengamalkan gaya hidup sihat tetapi dapat
juga merapatkan hubungan rakyat Malaysia. Tindakan yang sewajarnya boleh
diambil bagi menggalakkan amalan bersukan dalam kalangan pelajar UTeM dan
masyarakat luar.
Justeru, antara beberapa cadangan yang harus diberi
perhatian dan pertimbangan, antaranya pihak yang berkaitan hendaklah mengambil
tindakan seperti menyediakan prasarana untuk menjalankan kempen bersukan dengan
lebih selesa dan meluas, setiap individu haruslah diberi kesedaran secara
mendalam supaya mengambil bahagian dalam aktiviti bersukan, mewujudkan lebih
banyak institusi sukan dan pusat latihan, mengadakan acara-acara kesukanan di
kawasan perumahan, memberi lebih peluang kepada kaum wanita untuk beraksi dalam
bidang sukan dan mengajak ibu bapa melihat sukan sebagai aktiviti sihat.
Rujukan
Sivamurugan Pandian. (2012).
Sukan Alat Perpaduan Di Malaysia. Pulau
Pinang: Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.
Mohd Salleh Aman. (2004). Sukan Dalam Masyarakat Malaysia. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
Merealisasikan Gagasan 1Malaysia melalui Sukan. Utusan Online.
No comments:
Post a Comment