Rindu seorang anak remaja lelaki
kepada bapanya tidak boleh dihalang oleh sesiapa. Oleh kerana rindu, si anak
mengambil keputusan memaklumkan dirinya diculik dengan harapan si bapa akan
pulang ke rumah untuk melihatnya.
Kisah remaja ini menjadi perhatian
di China kerana beliau tidak mahu lagi berenggang dengan ayah.
Jiwa anak-anak sangat halus dan
sensitif. Mereka mudah tersinggung jika tidak mendapat kasih sayang ibu atau
bapa. Keadaannya lebih parah apabila ibu bapa berpisah atau dipelihara oleh
orang lain. Justeru, ada anak-anak yang tidak mahu berenggang dengan ibu bapa
walaupun telah meningkat usia belasan tahun.
Membina jiwa kanak-kanak yang kuat
dan kental menjadi satu kemestian jika ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka
berdikari.
Kita pernah mendengar atau membaca
perihal Saidina Ali bin Abi Talib r.a yang memberi penyelesaian kepada
pembinaan kerektor anak-anak yang hebat. Beliau merumuskan kaedah membesarkan
anak-anak seperti berikut.
Peringkat umur tujuh tahun pertama
iaitu dari 0 hingga 7 tahun, ibu bapa melayan anak umpama raja. Peringkat ini
perlukan kesabaran ibu bapa. Ibu bapa boleh menjadi contoh kepada perkembangan
mental dan fizikal anak-anak melalui perbuatan atau tingkah laku yang mudah.
Antaranya ialah menyahut penggilannya setiap kali dipanggil walaupun kita
sibuk. Jika kita memanggilnya, sudah pasti mereka juga akan menyahut penggilan
kita di mana sahaja berada. Andai kata kita menggosok-gosok dan menepuk-nepuk
badan mereka ketika hendak tidur, mereka juga akan menggosok atau mengurut
badan kita ketika letih dan lelah. Begitu juga ketika kita menahan marah kerana
tidak tahan dengan tingkah laku dan tindakan aktif mereka, tidak mustahil
mereka juga akan bersabar dan bercakap lunak semasa memberi teguran.
Perkembangan mental, emosi dan
spiritual anak-anak ketika peringkat umur ini sedang aktif berkembang. Apabila
kita berusaha memberi belaian dan perhatian kepada mereka, sikap dan nilai
mereka terhadap kehidupan akan lebih cenderung kepada memberi bahagia dan
menjadi lebih bertanggungjawab. Justeru, apabila kita melayan anak-anak seperti
raja, mereka juga akan melayan ibu bapa seperti raja.
Peringkat kedua ialah umur 8 hingga
14 tahun. Ketika ini anak-anak wajar dilayan seperti orang tawanan iaitu diberi
tanggungjawab dan mengingatkan mereka keperluan terhadap kewajipan seorang
muslim. Ibadah khusus yang disuruh agama kita minta mereka laksanakan tanpa
berlengah seperti solat lima waktu sehari, menutup aurat dan menjaga pergaulan.
Semasa umur ini juga mereka sudah boleh diberi peringatan, ganjaran dan hukuman
kerana berupaya mengaitkan kejayaan atau kegagalan dengan implikasi sesuatu
tindakan.Contohnya, jika mereka belajar menghafal surah Ya Sin dengan baik,
mereka akan diberi hadiah sebagai galakan, Peringkat umur ini sudah dapat
memahami hadiah dan akan berusaha menghafal Ya Sin sehingga lancar.
Peringkat ketiga lebih mencabar
kerana ketika usia 15 hingga 21 tahun, anak-anak adalah sahabat kita. Peranan
ibu bapa ketika ini ialah sebagai pemegang “steering kereta” iaitu mengemudi
kehidupan mereka. Perubahan fizikal, mental, emosi dan spiritual berlaku sangat
pesat ketika ini. Nilai-nilai dewasa seperti penghargaan, penghormatan dan
tanggungjawab semakin terserlah dan peranan ibu atau bapa adalah memastikan
anak-anak bersedia dengan pelbagai cabaran hidup.
Apakah kualiti yang kita mahu dalam
jiwa anak-anak yang menjadikan mereka kuat?
Pertama, jadi contoh.
Penglihatan anak-anak selalu
tertumpu kepada ibu bapa. Contoh utama kekuatan diri datangnya dari ibu bapa.
Berikan kesempatan dan peluang kepada mereka untuk keluar daripada zon selesa.
Latih dan uji kekuatan hati mereka dalam pelbagai aktiviti yang bersesuaian
supaya mereka berani mengambil risiko dan sedia menerima kegagalan.
Kedua, semai budaya dan warisan
keluarga.
Lakukan sesuatu perlukan matlamat.
Budaya dan adat tradisi keluarga biasanya menjadi asas kepada apa yang
didipercayai. Apabila kita menyemai sifat bangga dalam diri anak-anak, kita
sedang menyemai warisan hebat kepada bangsa dan negara.
Mendidik anak-anak tentang latar
belakang dan dari mana asal usulnya memberikan asas kepada mereka untuk berani
dan membuat tindakan yang betul.
Ketiga, bina keyakinan dan
kepercayaan.
Keibubapaan yang stabil ialah dapat
membina dan mengembangkan keyakinan dalam diri anak-anak. keyakinan perlukan
keazaman yang berakar umbi daripada kepercayaan yang mendalam tentang apa yang
betul dan apa yang salah.
Membina jiwa kental dalam diri
anak-anak perlukan ibu bapa yang lebih dekat dengan mereka. Jika ibu bapa duduk
berjauhan ketika anak-anak ini membesar, sudah tentu mereka tidak dapat melihat
model yang ada di hadapan mereka itu.
No comments:
Post a Comment