Thursday, November 26, 2015

Sifat pemurah dihargai







Orang Malaysia bersifat pemurah. Daripada 145 negara yang disenaraikan dal am Charity Aid Foundation (CAF) World Giving Index 2015, Malaysia berada dalam kedudukan ke-10 dengan 52 mata.

Indeks CAF diukur berdasarkan pendermaan wang, masa untuk aktiviti kesukarelawanan dan membantu orang yang tidak dikenali.

Berdasarkan skor ini, orang Malaysia lebih cenderung membantu orang yang tidak dikenali dengan memperoleh skor tertinggi berbanding dua ciri yang lain.

Masyarakat Myanmar merupakan orang paling baik hati. Mereka bersedia membantu orang lain dan cenderung memberi derma wang ringgit. Amalan ini mungkin ada kait-mengait dengan galakan memberi yang terdapat dalam ajaran agama Buddha.

Pelbagai budaya, etnik dan agama menjadikan Malaysia sebuah negara yang subur untuk menderma. Banyak faktor yang menyumbang kepada amalan ini dalam masyarakat seperti suruhan agama, nilai-nilai kekeluargaan dan galakan kerajaan.

Agama Islam contohnya amat menuntut umatnya yang berkemampuan mengambil berat hal ehwal orang lain. Hadis yang mahsyur dalam perkara ini sering diulang-ulang baca supaya dapat mengingatkan mereka tentang tanggungjawab membantu saudaranya yang dalam kesusahan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah saw, baginda bersabda: Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang Muslim, Allah akan menutup (aurat dan keaibannya) di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Sesuatu kaum (kelompok manusia) tidaklah berkumpul di satu rumah (masjid) daripada rumah-rumah Allah, sambil membaca Al-Quran, saling memperbetulkan bacaan dan memahami kandungannya, kecuali as-Sakinah (satu makhluk Allah Ta’ala yang padanya terdapat rahmat dan ketenangan, serta ditemani oleh para malaikat) akan turun kepada mereka dan mereka diselubungi oleh rahmat. Mereka juga dilingkungi oleh para malaikat, serta disebut dan dipuji oleh Allah di kalanagan (para malaikat) yang ada di sisi-Nya. Sesiapa yang diperlahankan oleh amalannya (kerana amalannya sedikit), dia tidak akan dipercepatkan oleh keturunannya (keturunannya tidak akan mengangkat darjatnya).” Hadis riwayat Muslim.

Agama Buddha juga menganjurkan sifat mengasihi orang lain dan menolong mengatasi kesukaran hidup. 

Kebanyakan keluarga di Malaysia mempunyai ikatan dengan tradisi nilai budaya kaum masing-masing. Orang Melayu banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai dan budaya agama Islam, justeru nilai-nilai keluarga seperti adab sopan dan akhlak sering menjadi teladan generasi muda.

Kerajaan Malaysia turut memberi galakan kesukarelawanan ini. Agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan sentiasa memberi galakan dan bantuan kewangan untuk golongan muda khususnya terlibat dalam aktiviti ini.



No comments:

Post a Comment