1.0
Pengenalan
Mengkaji
sosioekonomi di negara ini, pelbagai perkara yang perlu diketahui. Antaranya
ialah perusahaan makanan. Melalui temu bual yang dijalankan, dapat diketahui kaedah
dan strategi sesebuah perniagaan dilaksanakan. Restoran Pak Putra, salah
sebuah restoran terkenal di bandar Melaka, diusahakan oleh pengusaha yang
berasal dari Pakistan. Walaupun restoran ini tiada misi dan visi yang
tersendiri, namun dari segi impak sosoiekonomi, sememangnya restoran ini
memberi impak positif yang banyak. Antaranya adalah dari aspek pelancongan.
Restoran ini bukan sahaja terkenal di Melaka, namun turut terkenal di seluruh
dunia, hanya dengan menggunakan sebuah aplikasi pelancongan iaitu, Tripadvisor.
Apa
yang dapat dilihat adalah restoran ini secara tidak langsung telah menarik ramai
pelancong dari luar negara dan telah menjadikan restoran ini sebagai salah satu
destinasi makanan pilihan di Melaka. Hal ini dapat memberi impak kepada
ekononomi negara terutamanya kepada Melaka, kerana mereka yang datang membelanjakan
wang mereka untuk makan di restoran ini. Selain itu, kesemua pekerja yang
bekerja di restoran ini amat berdedikasi dan patuh akan arahan yang diberikan.
Ini dapat dilihat melalui cara mereka bekerja yang mana pemilik restoran ini
amat mementingkan ketepatan masa dan kepuasan hati pelanggan. Kesemua pekerja
amat berdisiplin dan tidak menampakkan kemalasan langsung semasa melakukan
pekerjaan. Sikap sebegitu sememangnya harus ditunjukkan dalam sesebuah
pengurusan dalam memastikan sesebuah perusahaan itu berjalan dengan baik dan
tidak mengalami masalah.
2.0 Latar
Belakang
Restoran
Pak Putra merupakan sebuah restoran yang menyediakan makanan yang berasal dari
India Utara dan Pakistan iaitu roti nan dan ayam tandoori. Kedua-dua jenis
makanan ini adalah makan yang popular di negara tersebut. Pemilik Restoran Pak
Putra ini merupakan seorang yang berasal dari Pakistan iaitu Qamar Nadeem. Beliau
mula berhijrah ke Malaysia pada tahun 1998. Pada tahun-tahun berada di sini,
beliau mencuba nasib dengan memohon kerja di dalam sektor penginapan iaitu
hotel. Namun, agak sukar untuk mendapat pekerjaan tersebut kerana beliau baru
sahaja berhijrah ke Malaysia dan statusnya yang masih berada di dalam permit.
Beliau memilih hotel sebagai sasaran pekerjaan di Malaysia kerana beliau
mempunyai pegalaman bekerja di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Pakistan.
Namun beliau tidak bernasib baik kerana tiada hotel yang ingin mengambilnya bekerja.
Beliau beranggapan bahawa di Malaysia ini begitu sukar untuk mendapat kerja,
namun agak senang untuk memperoleh pendapatan yang tinggi dengan cara bekerja
sendiri.
Oleh
yang demikian, beliau membuat keputusan untuk mengenengahkan makanan ruji
negaranya iaitu roti nan. Beliau sendiri tiada pengalaman untuk membuat roti
nan dan tidak tahu cara untuk membuat roti nan tersebut, namun perkara tersebut
tidak menghalang beliau untuk meneruskan perniagaan di sini. Beliau berusaha
mencari seorang yang pakar dalam menyediakan roti nan. Setelah lama mencari,
akhirnya beliau bertemu dengan seorang kenalan yang pakar membuat roti nan
serta ayam tandoori. Kenalan yang beliau temui itu juga berasal dari Pakistan.
Dengan
memperoleh peluang yang cerah, Qamar Nadeem telah mempelajari cara membuat roti
nan dan ayam tandoori dengan bersungguh-sungguh. Beliau mempelajarinya dalam
tempoh beberapa bulan dan akhirnya mahir dalam menghasilkan roti nan tersebut.
Setelah itu, beliau mendapat seorang rakan yang juga berasal dari Pakistan dan
telah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan roti nan ini. Qamar
telah membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai bersaiz kecil sebagai
permulaan perniagaan ini. Beliau memberanikan diri dengan membukanya di Desa
Pandan sekitar tahun 2000 dan perniagaannya bertahan selama setahun lebih.
Setelah itu, beliau berpindah pula ke sebuah medan selera di Jalan P. Ramlee
dan perniagaannya bertambah maju dan lebih baik daripada sebelumnya. Namun,
tidak semua perkara yang dirancang berjalan dengan lancar. Qamar mendapat
tamparan hebat apabila rakan kongsi perniagaannya telah meninggalkannya dalam
keadaan sewaan tapak perniagaan yang semakin meningkat. Beliau telah membuat
keputusan untuk berhijrah ke Melaka kerana negari ini merupakan negeri
pelancongan di Malaysia dan beliau berpendapat bahawa perniagaannya akan lebih
maju.
Pada
tahun 2002, beliau dipertemukan dengan jodohnya, iaitu seorang wanita yang
berbangsa Cina Peranakan. Beliau telah berkahwin dengan wanita tersebut dan
kini telah memperoleh seorang anak. Setelah beberapa bulan berkahwin dan
mencari tempat untuk menjalankan perniagaan roti nan, akhirnya pada April 2003,
beliau telah membuka sebuah kedai roti nan yang terletak di Jalan Kota
Laksamana, berdekatan dengan sebuah hotel bertaraf lima bintang iaitu Hotel
Casa Del Rio dan salah satu kawasan membeli belah cenderamata yang terkenal di
Melaka iaitu Jonker Walk. Beliau telah berbincang dengan isterinya mengenai
nama kedai yang ingin diletakkan dan setelah lama berbincang, akhirnya Pak
Putra dipilih sebagai nama kedai tersebut.
Nama
Pak Putra bukanlah merujuk kepada nama beliau atau sesiapa pun, tetapi mempunyai
maksud yang tersendiri. Putra adalah gelaran yang diberikan kepada anak lelaki
di negara Pakistan dan Pak pula adalah singkatan daripada nama Pakistan. Oleh
yang demikian, maksud Pak Putra merujuk kepada anak Pakistan. Pada mulanya
beliau membuka sebuah kedai sahaja dan mempunyai pekerja seramai empat orang.
Seorang merupakan warganegara Malaysia iaitu wanita dan selebihnya adalah
lelaki warga asing. Tidak lama kemudian bilangan pekerja di Restoran Pak Putra
bertambah kepada 21 orang yang diambih bekerja dari negara Pakistan, India dan
Bangladesh termasuk abang beliau yang bernama Sohail Waseem. Abang beliau telah
berhijrah ke Malaysia bagi membantu meringankan beban beliau dalam mengusahakan
perniagaan ini. Pada asalnya, isteri beliau turut bekerja bersama di restoran
tersebut sebagai juruwang tetapi dia telah membuat keputusan untuk berhenti dan
menjadi suri rumah tangga sepenuhnya. Oleh itu, Qamar telah menjalankan
perniagaan tersebut bersama-sama abangnya tanpa bantuan isterinya lagi.
Setiap
pekerja di restoran tersebut mempunyai kepakaran masing-masing dan Qamar
memberi keutamaan kepada pekerja yang membuat roti nan dan ayam tandoori.
Pekerja di bahagian tersebut telah diajar degan teliti mengenai cara
menghasilkan roti nan dan ayam tandoori yang terbaik, melalui pengalaman beliau
ketika mempelajarinya di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Semakin hari,
perniagaan roti nan dan ayam tandoori ini bertambah maju dan diminati ramai.
Qamar telah mempelbagaikan menu di restoran ini dengan mengenengahkan lagi
menu-menu dari India Utara dan Pakistan yang kebanyakannya menggunakan pelbagai
rempah ratus dan santan dalam menghasilkannya. Bukan itu sahaja, kemajuan
restoran ini turut dilihat melalui perkembangan saiz kedai tersebut. Pada
asalnya Qamar hanya membuka sebuah kedai sahaja, namun hasil perniagaannya yang
maju dan terkenal ini, beliau telah berjaya memperoleh sebuah lagi kedai yang
terletak bersebelahan dengan kedainya dan kini beliau telah mempunyai sebuah
restoran yang besar. Sehingga kini, beliau masih mengekalkan bilangan pekerja
seramai 21 orang dan tidak mahu mengambil lagi tanaga kerja yang lain kerana
pekerja yang beliau miliki kini mempunyai tahap professional yang beliau ingini
dan mereka telah mempunyai pengalaman yang banyak sepanjang bekerja di restoran
Pak Putra ini.
3.0
Objektif Penubuhan
Qamar
Nadeem adalah seorang perantauan di Malaysia. Pada awal kedatangan beliau ke
Malaysia, beliau telah mencuba nasib untuk mencari pekerjaan yang baik untuk
dirinya. Kecekalan yang menguatkan beliau hadirkan diri ke Malaysia telah
merangsang diri untuk hidup berjaya di bumi Malaysia ini. Namun begitu, keinginan
yang diharapkan oleh beliau disentak oleh kesukaran mencari pekerjaan yang
boleh memberi pendapatan lumayan. Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan
pekerjaan, beliau mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan. Beliau
berhasrat membuka sebuah restoran di Selangor.
Berbekalkan
pengalaman bekerja di hotel beliau mencurahkan segala idea dan kewangan untuk
menjayakan hasrat beliau. Malah, beliau sendiri menyatakan bahawa dengan
berniaga mampu memberi pulangan yang lebih banyak. Pada pendapatnya, dengan
berniaga beliau dapat menikmati pendapatan yang lebih baik daripada kerja makan
gaji seperti perantau asing yang lain di Malaysia. Beliau juga berpendapat berniaga
sebagai satu langkah untuk menyara keluarganya. Tambahan pula, beliau ingin
membuka jalan atau lebih memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat
setempat untuk bekerja di restorannya. Malah, ingin membantu rakan dari negara
sendiri mendapatkan pekerjaan. Akhir sekali, beliau bersungguh-sungguh memberi
persaingan yang sihat dalam bidang ini di kawasan tersebut.
Restoran
Pak Putra beroperasi bermula pukul 5.30 petang sehingga pukul 1.00 pagi. Seperti
kebiasaan restoran-restoran lain, Restoran Pak Putra juga mempuyai sistem kerja
yang tersendiri. Sistem kerja yang efektif telah melancarkan suasana restoran
dan membuatkan perjalanan perniaagaan menjadi teratur dan lancar. Pembahagian
kerja daripada pengurus kedai juga menjadi juruwang di kaunter sehingga ke
belakang tabir iaitu yang membersihkan persekitaran restoran dan mencuci
peralatan. Para pekerja akan datang untuk membuat persediaan bermula pukul 4
setengah petang. Mereka semua akan menyediakan segala kelengkapan berniaga
seperti sudah menyiapkan adunan roti nan, memerap ayam tandoori, pinggan dan
peralatan lain yang sudah disediakan sehingga menyusun kerusi dan meja di luar
kawasan restoran.
Seterusnya,
apabila semua sudah disiapkan mereka akan bermula berniaga, namun terlebih
dahulu, Qamar akan memberi taklimat kepada pekerja supaya menjaga imej restoran
dan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Restoran Pak Putra menjual menu
sajian utama mereka iaitu ayam tandoori dan roti nan. Tambahan lagi, terdapat
juga jualan roti canai dan masakan panas. Bagi setiap pekerjaan yang ada di
dalam kedai, setiap satunya dikhususkan kepada seorang pekerja seperti membuat
roti nan, membakar ayam tandoori, membuat air, membuat masakan panas dan
membuat roti canai.
Terdapat
lima orang yang akan mengambil pesanan, tiga orang menghantar dan membantu
bahagian dapur dan dua orang yang mencuci pinggan dan peralatan yang lain.
Kaedah yang dilaksanakan di restoran ini amat membantu. Buktinya,r amai pelanggan
yang datang untuk menikmati sajian di restoran ini. Para pekerja di restoran
ini berdisiplin dan mengikut jadual. Waktu perniagaan restoran ini mengikut
waktu berniaga yang ditetapkan. Malah, keehsanan Qamar yang memberi ruang
pekerjanya berehat wajar dicontohi. Para pekerja mendapat hak untuk kebajikan mereka dan diberi cuti mingguan
pada hari isnin.
4.0
Kekuatan dan Kelemahan Restoran Pak Putra
Restoran
Pak Putra merupakan satu-satunya restoran yang menjual makanan India Utara di sekitar kawasan tersebut. Selain itu,
Restoran Pak Putra berdekatan dengan hotel bertaraf lima bintang iaitu Hotel
Casa del Rio memberi peluang kepada pelancong yang menginap di hotel tersebut
akan menjamu selera di Restoran Pak Putra.
Dari
segi pekerja, bilangan pekerja seramai 21 orang mampu mengawal situasi
terutamanya pada waktu puncak iaitu dari jam 8 malam. Kesemua pekerja di
restoran tersebut telah sebati dengan suasana pelanggan yang tidak putus-putus
berkunjung ke situ. Lokasi Restoran Pak Putra merupakan kekuatan yang amat
besar dimiliki oleh pemilik restoran. Restoran ini berdekatan dengan kawasan
tumpuan orang ramai terutamanya pelancong dari luar dan dalam negara seperti
Jonker Walk dan Kubu A’Famosa.
Tambahan
pula, Restoran Pak Putra turut dikenali melalui satu laman web khas untuk
pelancong, iaitu TripAdvisor Food. Menurut laman web ini, Restoran Pak Putra
berada di kedudukan pertama daripada 148 buah restoran di Melaka. Hal ini
memberi kelebihan kepada restoran ini kerana pengunjung laman sesawang ini
sudah pasti akan mengunjungi restoran ini. Di samping itu, Restoran Pak Putra
mengekalkan keenakan makanan dari India Utara dan Pakistan dengan menggunakan rempah-ratus
dari India.
Namun
begitu, ada beberapa aspek yang boleh ditambah baik. Antaranya ialah masyarakat
tempatan tidak bekerja secara tetap di Restoran Pak Putra. Hal ini kerana,
masalah yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia ialah mereka tidak menganggap
pekerjaan di restoran sebagai pekerjaan utama. Oleh hal yang demikian, pemilik
restoran terpaksa mengambil pekerja dari luar.
Selain
itu, pemilik mengalami masalah mencari pekerja yang mahir dalam pembuatan roti
nan yang profesional. Hal ini menyebabkan pemilik berasa ragu-ragu dalam
pembukaan cawangan baru kerana risau kualiti makanan yang disediakan berubah.
Di
samping itu, kekurangan pekerja kerana ketidakhadiran mereka sedikit-sebanyak
mengganggu kelancaran penyediaan makanan. Hal ini disebabkan, setiap pekerja
mempunyai tugas mereka sendiri seperti membasuh pinggan mangkuk, mengambil
pesanan pelanggan, membuat roti nan dan sebagainya.
5.0
Impak Sosioekonomi kepada Masyarakat Setempat dan Negara
Setiap
perusahaan yang dijalankan akan memberi impak tidak kira baik atau buruk. Dalam
kajian ini, jelas terpampar pelbagai impak positif yang berkaitan dengan
sosioekonomi terutamanya dalam mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum.
Restoran
Pak Putra dikunjungi oleh ramai orang termasuklah orang Melayu, Cina, India dan
warga asing. Oleh itu, restoran ini menjadi kawasan kepada orang ramai untuk
bertemu, berbual-bual dan membuat perbincangan. Para pelanggan juga
berinteraksi dengan pengurus dan pekerja restoran. Oleh itu, mereka akan lebih
mengenali kaum dan budaya lain.
Selain
itu, impak kedua yang dapat dikenal pasti dalam kajian yang dilakukan ini
adalah dari segi pembangunan sekitar. Melalui impak ini, penduduk akan mendapat
faedah daripada pembangunan tersebut. Pembangunan ini secara tidak langsung akan
meningkatkan daya keusahawanan dalam kalangan penduduk sekitar. Oleh yang
demikian, peluang pembangunan di kawasan sekitar yang semakin rancak membangun
akan mempelbagaikan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di sekitar kawasan
tersebut. Keadaan ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk
tempatan dan warga asing yang berdaftar untuk bekerja di negara kita. Seperti
yang kita sedia maklum, pihak kerajaan tidak menyekat langsung kedatangan warga
asing untuk bekerja di negara ini, namun haruslah mempunyai permit yang sah dan
tidak melanggar undang-undang negara.
Selain
itu, impak ketiga yang dapat dilihat melalui perusahaan Restoran Pak Putra ini
adalah menjana pendapatan negara. Apa yang boleh diperkatakan disini adalah
restoran ini secara tidak langsung telah menyumbang sedikit kepada sektor
kewangan negara. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemerhatian dan kajian serta
temu bual yang telah dilakukan terhadap pengusaha restoran tersebut. Seramai 20
orang daripada 21orang pekerja di Restoran Pak Putra merupakan warga asing.
Pendaftaran visa, pasport dan lesen untuk bekerja di negara kita memerlukan
pembayaran. Hasil pendapatan negara dapat dipertingkatkan dengan pendaftaran
tersebut di bawah jabatan imigresen. Selain itu, pendapatan hasil cukai
daripada pelancong asing turut diperolehi. Walaupun perkara ini tidak berhubung
kait dengan Restoran Pak Putra, namun status restoran ini yang semakin popular
telah membuatkan pelancong luar tertarik untuk datang ke Malaysia, khususnya
negeri Melaka bagi mencuba keenakan makanan India Utara dan Pakistan yang
disediakan serta jarang diperoleh di kawasan sekitar restoran ini.
Impak
terakhir yang dapat dilihat melalui perusahaan Restoran Pak Putra ini adalah
dapat mempopularkan kawasan setempat mahupun di sekitar kawasan restoran ini
beroperasi. Kawasan Restoran Pak Putra yang dahulunya kurang dikenali kini
telah menjadi kawasan kunjungan orang ramai setelah terdapatnya restoran ini
dan ditambah pula dengan premis perniagaan yang lain. Tambahan lagi, terdapat
juga hotel bertaraf lima bintang yang berdekatan iaitu Hotel Casa Del Rio.
Secara tidak langsung, populariti kawasan tersebut ditingkatkan.Tambahan lagi, kawasan
membeli-belah cenderamata yang terkenal iaitu Jonker Walk yang telah menjadi
kebiasaan terhadap destinasi tumpuan para pelancong secara kebetulan
berhampiran dengan lokasi Restoran Pak Putra dan ini sekali gus membuatkan
restoran ini semakin popular dan dan kawasan tersebut dikenali ramai. Bukan itu
sahaja, peta lokasi restoran ini yang telah dimuat naik dalam internet dan
sistem GPS juga telah sedikit sebanyak mempopularkan kawasan tersebut apabila
pengunjung dari dalam dan luar negara menggunakannya untuk mencari lokasi
restoran tersebut.
6.0
Permasalahan dan Penyelesaian
Restoran
Pak Putra ditubuhkan pada 2003 April sehingga sekarang. Dalam perjalanan yang
panjang ini terdapat banyak masalah yang dihadapi oleh pemilik restoran dan
pekerja-pekerjanya. Antaranya ialah disebabkan oleh pelanggan, pekerja dan
kewangan. Namun begitu, Qamar tetap mendapat cara penyelesaiannya.
Masalah
yang paling sering berlaku ialah pelanggan yang mengadu makanan lambat sampai
khususnya terdapat ramai pelanggan pada satu-satu masa. Pesanan yang diterima
terlalu banyak. Jadi, terdapat pelanggan yang perlu tunggu selama setengah jam
untuk mendapatkan makanan. Qamar juga
merupakan seorang yang mementingkan kualiti makanan yang dihidangkan, oleh itu
dia selalu memastikan makanannya memenuhi kriterianya. Jadi untuk mengatasi
masalah kelambatan makanan dihidangkan, Qamar telah menambahkan lagi bilangan
pekerjanya yang menyediakan makanan. Beliau juga selalu memaklumkan masa yang
pelanggannya perlu tunggu untuk makanannya sampai. Dengan ini, beliau dapat
memuaskan sebilangan banyak pelanggannya yang datang.
Selain
itu, pelanggan yang menukar tempat duduk sesuka hati merumitkan proses untuk
pekerja menghantar makanan. Seperti yang kita ketahui, nombor meja pelanggan
dicatat ketika mengambil pesanan apabila pelanggan menukar meja sesuka hati
manjadi masalah kepada pelayan untuk menghantar makanan. Terdapat juga pelanggan yang ingin makanan
mereka cepat sampai dan memberi pelbagai alasan yang mereka mengejar masa. Hal
ini menyusahkan pekerja restoran kerana mereka hanya akan menghantar makanan
mengikut urutan yang dihantar oleh pelayan kedai. Untuk menyelesaikan masalah
ini, Qamar selalu mematuhi prinsipnya yang merupakan ‘first come first served’. Beliau juga tidak mengambil tempahan
kerana tidak ingin pelanggannya mengadu apabila melihat pelanggan lain yang
lambat sampai tetapi makanannya sampai dahulu.
Terdapat
juga sebilangan kecil pelanggan yang tidak membayar selepas makan. Walaupun
hanya sebilangan kecil pelanggan yang berbuat demikian, tetapi perkara ini akan
menyebabkan kerugian kepada perniagaan Qamar. Selain itu, pekerja yang tidak
datang bekerja kerana sakit atau mengambil cuti akan menyebabkan masalah kepada
operasi kedai. Hal ini akan menyababkan kekurangan tenaga kerja di kedai. Beliau
telah mengagihkan tugasan setiap pekerja supaya operasi kedai dapat dijalankan dengan
lancar. Keadaan akan menjadi kelam kabut jika terdapat dua hingga tiga orang
pekerja tidak datang bekerja. Untuk mengurangkan masalah sebegini, Qamar
sendiri akan mengutip bayaran dari meja ke meja selepas pelanggan habis makan.
Lazimnya beliau akan berbuat demikian apabila pelanggannya banyak. Dengan cara
ini, beliau dapat mengurangkan bilangan pelanggan yang tidak membayar selepas
makan.
Pekerja
yang telah lama bekerja di sini ingin berhenti kerja kerana masalah keluarga,
mendapat pekerjaan lain yang lebih baik atau ingin menyambung kerja di negara
asal juga menjadi satu masalah untuk Qamar. Beliau terpaksa mencari pekerja
baru untuk mengisi ruang pekerja lama dan perlu mengajar semua perkara dari
asas. Beliau lebih suka mengambil pekerja dari kampungnya (India) kerana
pekerja dari kampungnya lebih mudah memenuhi syarat dan kehendaknyp. Untuk
memastikan pekerjanya sentiasa datang bekerja dan lebih sihat, beliau sentiasa
memastikan kebajikan pekerjannya diutamakan. Kesihatan pekerja dan cuti mereka
sering dirujuk untuk memastikan pekerjanya sentiasa berada dalam keadaan sihat
dan cergas.
Selain
itu, kenaikan harga bahan mentah seperti tepung, minyak, ayam dan gula juga
menjadi suatu masalah kepada Qamar. Kenaikan harga barangan tersebut
menyebabkan kos kasar untuk membuat roti naan dan ayam tandoori meningkat.
Beliau berasa bimbang kerana keuntungannya tidak dapat menampung jumlah
kegunaan kedainya. Jikalau masalah ini berterusan berbulan-bulan, dia terpaksa
menutup kedainya. Walau bagaimanapun, Qamar tetap berfikiran positif dan tidak
berputus asa. Beliau mula membuat promosi untuk kedainya untuk menarik
pelanggan baru dan beliau tetap tidak menaikkan harga makanan yang dijualnya
untuk menjaga hati pelanggan.
7.0
Cadangan dan Potensi Masa Hadapan
Bagi
Restoran Pak Putra ini, Qamar tidak menyasarkan untuk membuka cawangan. Beliau
ingin memajukan perniagaan dan mungkin akan membuka cawangan pada masa depan
jika keadaan mengizinkan. Potensi masa hadapan Restoran Pak Putra ialah ia
boleh menjadi restoran terkemuka di Malaysia memandangkan sekarang Restoran Pak
Putra telah menjadi restoran makanan mendapat paling banyak sokongan di laman
web TripAdvisor. Beliau juga akan memastikan perusahaan makanannya akan terus
maju dan terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelancong luar negara.
Bukan
itu sahaja, beliau telah bercadang untuk menaik taraf restorannya dengan
membaik pulih restorannya. Dengan terlaksananya penambah baikkan terhadap
restoran tersebut, beliau mengharapkan agar restoran tersebut lebih banyak menyediakan
ruang makan untuk para pelanggan. Pada masa ini, kedua-dua bahagian kedai
menggunakan kipas syiling yang biasa. Beliau juga bercadang untuk membuat satu
bahagian tempat makanan yang berhawa dingin. Beliau ingin mewujudkannya kerana
pada pemerhatian beliau, terdapat pelanggan yang mengadu bahawa suasana
persekitaran di kedai tersebut agak panas dan kebanyakan yang mengadu masalah
tersebut adalah pelancong asing. Melalui pengubahsuaian tersebut, beliau
mengharapkan para pelanggan dapat menjamu selera dengan selesa dan ini sekali
gus menarik lebih ramai pelanggan tempatan dan pelancong luar negara untuk
menikmati hidangan roti nan dan ayam tandoori di restoran tersebut.
Dari
segi pekerja pula, beliau tiadak mengehadkan kepada jumlah yang tertentu. Bagi
beliau, sesiapa juga boleh bekerja di restoran tersebut. Beliau juga tidak mengehadkan
kepada warga asing untuk bekerja di situ, seperti apa yang dilihat sekarang,
rata-rata pekerjanya adalah dari negara luar iaitu India, Bangladesh dan
Pakistan. Beliau amat mengharapkan agar terdapat penduduk tempatan yang akan
bekerja di restoran itu. Hal ini kerana tiada seorang pun warga tempatan yang
ingin bekerja di situ dan memandang pekerjaan tersebut amat murah dan
rendah. Bagi beliau, status gaji tidak
penting tetapi pengalaman yang ditimba adalah sangat berguna dan tidak
dinafikan bahawa, ilmu dan pengalaman yang dipelajari itu akan membuatkan
seseorang boleh berjaya dalam apa jua yang dilakukan.
Rujukan
http://food.malaysiamostwanted.com/venues/restoran-pak-putra-naan-tandoori-chicken-taman-laksamana-melaka
(dilihat pada 4 September 2012)
http://www.tripadvisor.com.my/Restaurant_Review-g306997-d877996-Reviews-Pak_Putra_Tandoori_Naan_Restaurant-Melaka_Central_Melaka_District_Melaka_State.html
http://www.bangsarbabe.com/2012/02/pak-putra-naan-and-tandoori.html
Temu bual
bersama pengusaha Restoran Pak Putra, Qamar Nadeem.
MZ Zainudin, Ahmad Haris Ahd Suhaimi, Mong Guo Ren, Teo Kah Chun, Vinesh a/l
Unakrishnan, Abdul Rahim Abdul Hamed
No comments:
Post a Comment