Monday, December 24, 2007

Chronicle Of Malaysia: 1957-2007: Fifty Years Of Headline News

Penyunting: Philip Mathews
Penerbit: Editions Didier Millet
Pengulas: Azman Anuar


Buku Chronicle of Malaysia ini merakamkan peristiwa penting mengenai kisah masyarakat, politik, ekonomi, teknologi, sukan dan kebudayaan yang mencetuskan kenangan silam bagi rakyat Malaysia.

Malah tidak salah jika dikatakan buku ini memberitahu cerita sebenar mengenai Malaysia dari sebelum merdeka hingga 31 Ogos 2007.

Melalui paparan sejarah penuh dramatik di Malaysia, buku ini seolah-olah membawa pembaca mengimbau peristiwa yang berlaku sepanjang 50 tahun lalu.

Susun letak halaman buku ini disesuaikan untuk memudahkan pembacaan dan mengikut pendekatan gaya surat khabar.

Buku ini disusun secara kronologi dengan purata lapan muka surat dikhaskan bagi memuatkan peristiwa setiap tahun. Setiap liputan tahun berkenaan itu diberi ulasan mengenai peristiwa utamanya.

Tema setiap tahun dipaparkan dengan peristiwa besar mengenai politik dan ekonomi menjadi sajian wajib. Bagaimanapun tumpuan utama buku ini sudah tentu pada bahagian kisah-kisah rakyat Malaysia yang mencipta sejarah dalam sukan, fesyen, muzik, seni, seni bina, gaya hidup, bencana, jenayah dan masalah sosial.

Membuat buku yang merakam peristiwa 50 tahun negara ini bukan mudah. Bayangkan pasukan penyelidik buku Chronicle of Malaysia ini terpaksa membelek lebih daripada 18,000 laporan berita surat khabar tempatan untuk dimasukkan ke dalam buku ini.

Kita perlu diingatkan bahawa majalah tempatan atau luar negara, sama ada yang masih diedar atau tidak lagi wujud sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi sebagai bahan sumber.

Untuk memastikan bidang buku ini menyeluruh, banyak gambar dan ilustrasi dikumpul dari pelbagai sumber termasuk koleksi sumber luar negara atau persendirian.

Di Malaysia kebanyakan sumber bahan diambil dari arkib Utusan, The Star, The New Straits Times, Bernama, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Penerangan dan Filem Negara.

Oleh sebab itu, kita akan dapat membaca banyak kisah di sebalik tuntutan kemerdekaan, darurat, konfrontasi, bahkan mencoretkan kisah gosip P. Ramlee, Rose Chan dan Sudirman.

Kisah jenayah terhebat dalam tempoh lima dekad itu turut menjadi fokus. Barangkali ada yang ingin mengimbas kisah Mona Fendy, Botak Chin dan ‘Bentong Kali’ atau Kalimuthu.

Dalam sukan, kita diajak mengimbau laporan akhbar tentang kejayaan negara merangkul Piala Thomas dan kegemilangan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.

Bersandarkan pada laporan surat khabar tempatan, maka pembaca bagaikan dibawa mengenang peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun berkenaan.

Kita dapat membaca laporan berserta gambarnya sekali. Jadi boleh dikatakan apa yang menjadi kisah utama di muka depan akhbar-akhbar arus perdana ketika kejadian tertentu terjadi, dipaparkan semula di dalam buku ini.

Buku ini menceritakan kisah sebenar dan merakam gambar dramatik peristiwa yang terpahat selama 50 tahun Malaysia merdeka.

Dengan 384 halaman berita muka depan akhbar, lebih daripada 2,400 laporan berita sepanjang 50 tahun serta lebih 1,200 ilustrasi termasuk 30 kartun Lat, sudah tentu kita berasa asyik membelek satu demi satu helaian buku ini.

Buku ini juga cuba mengetengahkan lebih 200 tempat berlaku kejadian sepanjang lima dekad itu.

Dengan gambar dan ilustrasi dari pelbagai sumber termasuk koleksi individu tempatan dan luar negara, kita terpukau untuk menatap foto yang mungkin jarang kita temui di mana-mana buku.

[Utusan Online]

Sunday, December 23, 2007

Melapor dan menilai penyelidikan kualitatif

Dalam kajian kualitatif, tidak ada format yang tetap dan standard untuk menulis laporan kerana kandungannya bergantung kepada minat pembaca dan tujuan penyelidikan dilakukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor menyumbang kepada proses penulisan laporan ini.

Pertama, tidak ada masa khusus untuk tamat dan memulakan penulisan. Kedua, data yang banyak perlu dipilih dan dipecahkan kepada kategori, tema atau teori. Ketiga, tidak ada format khusus untuk menulis laporan. Bagaimanapun laporan yang telah siap boleh disampaikan dalam bentuk lisan, bergambar atau tulisan.

Menulis laporan melibatkan langkah-langkah berikut:

1. Mengenal pasti audiens atau pembaca untuk menentukan apa yang perlu dimasukkan ke dalam laporan, bahagian yang wajar diberi perhatian dan tahap kesukaran yang perlu disediakan. Kehendak audiens dapat membantu penyelidik menstruktur kandungan laporan dan merancang perubahan jika perlu.



2. Menentukan fokus kerana ianya ditentukan oleh audiens, tujuan kajian dan ekstrak yang didapati semasa menganalisis data. Fokus ini boleh jadi pada bentuk laporan, metodologi atau analisis hasil dapatan.


3. Merangka laporan di mana sebelum menulis laporan, semua data berkaitan mesti disemak dan disusun. Langkah-langkah berkenaan ialah kumpulkan data dan kenal pasti matlamat audiens; tentukan tema kajian; dan menulis draf yang pertama.

Menulis laporan kualitatif memerlukan tumpuan diberikan kepada kandungan kajian. Perkara-perkara penting persoalan kajian, metodologi dan hasil dapatan, analisis dan membuat kesimpulan. Sekiranya kualiti kajian berkenaan baik, ianya boleh diterbitkan sebagai sebuah buku.

Bogdan dan Biklen memberi beberapa cadangan bagi meningkatkan kemahiran menulis laporan kualitatif seperti menggunakan nada yang aktif (nyatakan secara terus-terang), menggunakan kamus dan thesaurus, banyak membaca artikel dan buku berkaitan kajian kualitatif, mengkaji kaedah penulis-penulis berkenaan membentangkan data, membuat sesi soal-jawab, menyusun ayat dan mengatur format laporan mereka.

Saturday, December 22, 2007

Membawa pembangunan di selatan Thailand

Jambatan baru yang merentangi Bukit Bunga, Jeli ke Ban Buketa, Narathiwat hanyalah sepanjang 120 meter merentangi Sungai Golok. Dibuka secara rasmi pada 21 Disember 2007 yang lalu, akan memberi senario baru kepada pembangunan di selatan Thailand yang disifatkan sama keadaannya seperti negeri Kelantan pada tahun 1960-an.

Dua implikasi besar yang dijangka akan berubah ialah pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan hubungan dua hala di antara masyarakat yang berkongsi bahasa, budaya dan agama ini.

Kesempatan yang diberikan kepada orang ramai untuk melihat dan meninjau jambatan ini memberi peluang kepada penyelidik untuk merasai sendiri suasana segar udara Sungai Golok yang memisahkan kedua-dua negara.

Di sebelah Malaysia, orang ramai diminta untuk meletakkan kenderaan di simpang tiga berhadapan dengan pusat kawalan kastam, imigresen dan polis serta terpaksa berjalan hampir 500 meter untuk sampai ke muka jambatan. Di tengah-tegah jambatan ini terdapat dua garisan kuning yang menandakan pemisahan sempadan.

Di sebelah Malaysia, dari jauh lagi dapat melihat penempatan masyarakat Melayu Islam yang membentuk sebuah kampung yang kelihatan dhaif di pinggir Sungai Golok. Terdapat sebuah surau yang kelihatan uzur. Kampung ini juga ada beberapa buah kedai runcit untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Oleh kerana pos sempadan hanya akan dikuatkuasakan operasinya pada pukul 7.00 malam, penyelidik dapat berjalan ke bahagian kampung ini tanpa ada halangan biarpun pihak tentera mula meletakkan kawat berduri dan merancang membuat hadangan. Dua buah trak tentera sibuk memunggahkan barang-barang bagi membina kawalan di samping beberapa orang anggota tentera melihat pergerakan orang ramai yang keluar dan masuk.

Sementelahan orang ramai dari Malaysia mula berjalan dan memenuhi perkarangan jambatan, masyarakat Melayu di Ban Buketa dengan kenderaan kereta, pick-up dan motosikal berpendaftaran Thailand bebas keluar masuk dan diletakkan di tepi jambatan. Ternyata pembukaan jambatan ini memberi nafas baru kepada mereka untuk merasai keamanan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Ketika meninjau di sekitar jambatan, kedengaran azan Asar dilaungkan dari surau yang uzur tadi. Uzur kerana tiga alat pembesar suara yang dipasangkan di luar surau hanyalah diletakkan pada tiang besi setinggi tiang elektrik di tepi jalan raya yang biasa kita lihat. Infrastruktur pula tidak ubah seperti rumah kampung yang dibesarkan. Dalamnya pun agak kusam dan kelam.

Ketika berjalan-jalan, saya sempat juga bertanya kepada lima orang kanak-kanak yang sedang membaiki sebuah basikal buruk.

"Semuo ni dudok mano?"

"Buketa," jawab salah seorang daripada mereka.

Saya bertanya lagi, "Sika sapo ni?"

Yang lain pula menjawab, "Saya."

Sambil membelek dan memegang basikal, saya bertanya lagi.

"Mu boleh kecek Sie ko?"

Kanak-kanak yang tua sekali dan berbaju kuning hanya mengangguk.

Hajat ingin menghulurkan wang RM10, tapi tidak kesampaian kerana kumpulan kanak-kanak ini terus berpatah balik ke tengah jambatan.

Perbezaan negara tidak mampu memisahkan bahasa, budaya apatah lagi agama masyarakat Melayu serumpun. Walaupun di sebelah Malaysia tidak ada perkampungan yang hampir dengan jambatan ini, di Ban Buketa terdapat sebuah perkampungan Melayu yang mungkin dapat memecahkan kesunyian di pusat kawalan yang bakal dibina, Kompleks Imigresen (CIQ) Bukit Bunga yang bernilai RM37.2 juta. Kompleks ini bakal menempatkan pejabat empat tingkat yang memuatkan Jabatan Imigresen, Kastam, Polis, Kesihatan, Perhutanan dan Jabatan Haiwan.

Kedhaifan yang jelas dapat dilihat dan dirasai di sebelah Buketa amat mengharukan kerana tidak banyak pembangunan di sini. Anak-anak muda yang bermotosikal tidak bercakap siam sebaliknya bertutur bahasa Melayu dialek Kelantan. Sosiobudaya masyarakat di sini tidak dapat dilunturkan oleh gerakan asimilasi kerajaan Thailand yang memaksa penggunaan bahasa siam dan dominasi agama buddha.

Ketika berbincang dengan seorang intelektual dari Kelantan yang memahami benar masalah kemiskinan dan penentangan selatan Thailand, saya maklum betapa kekerasan akan dibalas dengan kekerasan. Tindakan bekas perdana menteri, Thaksin yang membunuh hampir 78 orang penunjuk perasaan dalam peristiwa Tak Bai tidak akan membawa keamanan kerana pendekatan yang digunakan adalah salah.

Kenyataan YAB Perdana Menteri sewaktu merasmikan jambatan ini diharap akan merubah sosioekonomi masyarakat Buketa dan di sekitarnya supaya seiring dengan kemajuan di Kelantan. Program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bakal mencetus perubahan di Kelantan khususnya dan limpahan pembangunan ini juga diharap akan dibawa ke kawasan penempatan masyarakat Melayu Islam di Narathiwat.

Selain pembangunan fizikal, masyarakat Melayu Malaysia juga dapat memberi kepakaran mereka dalam pembangunan modal insan kerana tidak ada bezanya dari segi bahasa, budaya dan agama penduduk setempat. Kursus intensif kaedah belajar, peluang-peluang belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia ataupun kursus-kursus kemahiran boleh diteroka di sini.

Walaupun miskin, masyarakat di sini gigih berusaha dan berniaga. Tidak ada halangan bagi pengusaha Malaysia untuk meluaskan jaringan perniagaan dan rakan niaga yang mana ada sesetengah bidang, teknologi mereka sangat berkesan seperti pertanian.

Sekolah-sekolah yang berkemampuan dapat membiayai kemasukan pelajar dari Narathiwat seterusnya menjadikan mereka sebagai ejen perubahan di dalam masyarakat supaya tahap kemiskinan dapat dikurangkan, kefahaman agama dipertingkatkan dan keamanan dapat dikembalikan. Menjadikan pendidikan sebagai ejen perubahan sosial di dalam masyarakat adalah stretagi tepat untuk melonjakkan pembangunan.

Pembinaan jambatan ini yang dikenal pasti di bawah Strategi Pembangunan Bersama kawasan sempadan yang dimulakan pada 2004 adalah pendorong kepada perubahan masyarakat miskin melalui limpahan ECER.

Kita ingin melihat masyarakat Melayu di Narathiwat akan lebih maju, menikmati pembangunan yang sepatutnya telah lama mereka nikmati dan tidak dipinggirkan oleh kerajaan Thailand. Pada masa yang sama kita tentu tidak mahu melihat masyarakat Islam di sini terus diburu dan dibunuh oleh askar Thailand yang curiga dengan perkembangan dakwah Islam.

Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa ini adalah harapan kepada masyarakat Melayu Islam di selatan Thailand untuk merasai kemajuan setelah dipinggirkan beberapa dekad oleh kerajaan Thailand kerana diskriminasi kaum dan agama.

Masjid Jeli yang selesa

Dengan kos pembinaan sebanyak RM1.25 juta, Masjid Jeli yang baru seminggu siap kini menerima jemaah solat Jumaat yang pertama. Kehadiran YAB Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan orang ramai menjadikan ruang solat masjid ini sesak dengan jemaah.

Ketika memberi ucapan ringkas selepas menunaikan solat Jumaat, ahli parlimen Jeli yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan bagi merealisasikan pembinaan masjid berkenaan. Masjid yang asalnya kecil kini tersergam indah di persimpangan lampu isyarat dan bertentangan dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli.

Hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang nampak segak dengan seragam polis. Di lengan baju kanan beliau ada lambang pasukan yang bertulis "KOMANDO" yang pada setiap masa beliau sentiasa diiring dan diperhatikan oleh seorang pengawal peribadi. Untuk bergambar sekalipun, keizinan harus diminta daripada seorang lagi pengawal peribadi beliau yang tidak boleh berenggang dengannya.

Ada sekali seorang pengunjung pameran berjalan laju menuju di sebelah lagi tempat pameran dan berjalan rapat di belakang beliau, sepantas kilat seorang lagi pengawal peribadinya meluru hampir kepada pengunjung tadi untuk bertindak. Nasib baik tidak ada apa-apa yang buruk berlaku.

Keramahan Tan Sri Musa agak jelas apabila beliau tidak menolak untuk bergambar dengan pengarah UiTM Kelantan dan beberapa orang kakitangan Kolej Polytech Mara Kelantan yang sedondon berbaju merah jambu.

Masjid Jeli yang kubahnya bersalut warna kuning emas dan dinding luar berwarna coklat perang, dapat memuatkan jemaah hampir 2,000 orang pada satu-satu masa.

Permaidani biru tua yang menyelimuti ruang solat juga masih "berbau kedai."

Selesai makan tengah hari, YAB Perdana Menteri dan rombongan dibawa untuk melihat pameran pendidikan yang menempatkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Di bahagian IPTA, institusi yang mengambil bahagian ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mana Naib Canselornya sendiri yang hadir, agak lama juga YAB Perdana Menteri berada di gerai UMK, seterusnya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang membawa model kampus Kubang Kerian, Universiti Teknologi Mara Kelantan yang diwakili oleh pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Hussin yang saya sempat bertanya khabar dengan beliau. Lain-lain IPTA ialah Universiti Malaya cawangan Nilam Puri dan Kolej Komuniti.

Bahagian IPTS, penyertaannya adalah dari institusi sama ada yang mempunyai kampus tetap di Kelantan ataupun kampus cawangan. Antaranya ialah Kolej Islam Sains danTeknologi (KIST) yang menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma, Kolej Universiti TwinTech, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Open University bersama orang kuatnya Datuk Nik (saya juga sempat bertanya khabar dengan beliau), Kolej Polytech Mara Kelantan dan
Kolej Teknologi Darulnaim iaitu kolej bersekutu dengan Universiti Teknologi Malaysia yang menawarkan program-program pengajian kejuteraan, pengurusan dan akan menambah beberapa kursus lagi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor dan beberapa buah universiti dari luar negara.

Kehadiran YAB Perdana Menteri untuk melihat dan bertanya khabar mengenai kemajuan pendidikan di Kelantan amat bermakna kerana Kelantan juga tidak ketinggalan dalam memberi peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat. Selain daripada dapat mengurangkan kadar buta huruf, pendidikan juga dapat membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

Pembangunan di Jeli agak ketara sejak beberapa tahun lalu dan yang terkini ialah pembinaan kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan. Kini kampus sementera universiti awam ke-19 itu masih berselerakan di merata tempat khususnya di Pengkalan Chepa. Taman Bendahara adalah penempatan sementara mahasiswa UMK dan baru-baru ini turut ditenggelami air banjir paras lutut kerana kedudukannya sangat hampir dengan sungai. Biarpun di tebing sungai tersebut ditambak dengan pasir, penambahan isipadu air tidak mampu ditanggung oleh sungai yang kecil ini setelah air dari sungai utama dilepaskan.

Kampus tetap yang dibina di Jeli adalah pelengkap kepada institusi pendidikan yang lain seperti Makrab Rendah Sains Mara Jeli dan Politeknik Jeli yang masih dalam pembinaan. Pameran untuk mengenengahkan institusi awam dan swasta sempena kehadiran YAB Perdana Menteri ke Masjid Jeli selepas merasmikan jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa pada sebelah paginya bagi memperlihatkan kemajuan yang ada di sini.

Kedudukan Jeli yang jauhnya dua jam perjalanan dari Kota Bharu amat terganggu dengan keadaan jalan raya yang berlopak dan berlubang. Keadaan jalan raya yang sempit juga menyukarkan pemandu untuk memotong kerana pemandu di Kelantan secara umumnya suka memandu perlahan di lorong sebelah kanan, keadaan yang sama seperti jalan raya di Brunei. Dalam erti kata lain, pemandu tidak dapat membezakan di antara memandu sebelah kiri jika tidak memotong dengan memecut laju di sebelah kanan untuk memotong.

Keadaan jalan raya yang berlopak bukan sahaja mengganggu kelancaran malah mengundang bahaya kepada pemandu yang tidak biasa dengan jalan ini. Tidak banyak usaha yang dibuat bagi membaiki keadaan jalan yang rosak ini kerana pihak berkuasa barangkali ingin memberi mesej kepada YAB Perdana Menteri untuk merasai sendiri gegaran kenderaannya ketika berada di atas jalan raya di Jeli.

Walaupun ada penanda kon di tempat berlubang ini, ia tidak banyak membantu pengguna jalan raya kerana sikap memandu laju dan tidak berhati-hati. Terdapat tiga kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta dan kereta-motosikal berlaku di sepanjang perjalanan pulang penyelidik ke Kota Bharu.

Keadaan kenderaan yang bergerak dengan perlahan dan tersusun menyebabkan masa yang sepatutnya sampai ke Kota Bharu telah mengambil masa lebih daripada tiga jam.

Pengucapan awam (3)







Analisis audiens

Dalam proses komunikasi khususnya pengucapan awam, audiens dianggap sebagai penerima. Terdapat pelbagai jenis audiens dalam satu-satu masa, antaranya ialah:

-syok sendiri
-dengar apa yang hendak didengar
-cetek pengetahuan
-kaki bangkang
-menilai dengan tergesa-gesa
-dengar dengan lisan sahaja
-pura-pura dengar
-kaki salin
-mudah diganggu
-aktif dan proaktif

Untuk mengenali audiens, perucap boleh mendapatkan maklumat melalui:

-Bertanya secara langsung kepada audiens
-Maklumat daripada organisasi tempat kerja
-Merujuk laporan yang lepas-lepas
-Bertanya kepada pegawai yang mengendalikan kursus atau latihan untuk audiens
-Melalui pemerhatian

Aspek-aspek yang boleh diambil kira semasa mengenali latar belakang audiens ialah:

-umur
-gender
-asal-usul
-pekerjaan
-status sosial
-pendidikan
-etnik
-pegangan agama

Sikap audiens terhadap topik

Perucap harus sentiasa menyesuaikan kandungan ucapan dengan sikap audiens terhadap diri dan topik yang akan disampaikan. Audiens mungkin mempunyai sikap yang positif, neutral atau negatif terhadap perucap dan topik.

1. Audiens yang ada sikap positif

-gunakan tarikan berasaskan emosi untuk mengukuhkan sokongan.
-nilai-nilai utama ialah perpaduan, kemanusiaan, keperluan asas, emosi asas seperti takut, kasihan, sayang dan benci.
-cuba dapatkan komitmen secara umum dan berikan alternatif khusus untuk bertindak.

2. Audiens yang ada sikap neutral

-tumpukan pada faktor-faktor yang dapat menarik minat audiens seperti perkaitan maklumat dengan keadaan tempatan dan masalah audiens seterusnya membentuk perasaan simpati, empati dan keinsafan mengenai situasi yang dihadapi oleh audiens.
-nyatakan dan jelaskan pegangan dan pandangan kepada audiens. Maklumat yang dapat menaikkan kredibiliti perucap juga perlu disampaikan dengan kemungkinan pegangan dan pandangan tadi dapat dijadikan contoh atau teladan.
-belai dengan kaedah psikologi dan gabungkan faktor-faktor tarikan yang berasaskan logik dan emosi untuk memenangi hati audiens.

3. Audiens yang ada sikap negatif

-matlamat yang sederhana dan munasabah mengenai penyampaian.
-sampaikan maklumat dan fakta-fakta seberapa adil dengan mengenengahkan seberapa banyak titik persamaan sama ada pegangan, pandangan atau pendapat.
-tumpuan khusus kepada pembentukan kredibiliti perucap dengan anggapan bahawa audiens harus nampak jelas kejujuran, kelayakan, kemahiran, kewibawaan dan boleh dipercayai terhadap perucap.
Prinsip komunikasi lisan
Wujudkan kemesraan di awal setiap perhubungan yang dijalin. Kemesraan menghasilkan rasa selesa an seronok di pihak perucap dan audiens.

Hindar dan ketepikan halangan fizikal dan psikologikal semasa berinteraksi. Halangan fizikal ialah benda-benda atau jarak yang memisahkan perucap dan audiens. Halangan psikologikal ialah aspek-aspek yang mana pemikiran mempengaruhi tanggapan dan menyukarkan penjalinan hubungan yang berkesan. Sedar bahawa setiap manusia dahagakan belaian sama ada fizikal ataupun psikologikal.

1. Belaian fizikal

-jJarak yang sesuai dan mesra
-jabat tangan dengan erat sambil memandang ke muka dan berikan senyuman
-memegang dan menepuk bahu
-memandang dengan bermakna bila bercakap atau mendengar

2. Belaian psikologikal

-berikan pujian yang jujur
-mulakan perbualan dengan sesuatu yang positif dan menyenangkan
-anggap setiap persoalan atau permasalahan orang lain sebagai penting
-berikan perhatian yang sepenuhnya

Bercakap "Dengan" dan bukannya "Kepada' audiens.

1. Dengan

-nada berbual
-wujud kesamarataan antara perucap dan audiens
-nampak kemesraan
-kurang atau tidak formal
-persembahan dua hala
-banyak gunakan 'kita'

2. Kepada

-nada berucap atau mengarah
-wWujud jurang di antara perucap dan audiens
-kurang mesra
-penyampaian yang formal
-persembahan satu hala
-banyak menggunakan 'saya'

Kaedah berhubung dengan orang lain mencerminkan sahsiah perucap. Audines akan lebih yakin dan mempercayai perucap apabila dapat berinteraksi dengan yakin dan berkesan. Oleh itu, perucap harus mempunyai kemahiran untuk berinteraksi dengan biak dan berkesan agar dapat menggambarkan kewibawaan yang positif dan meyakinkan.

Cara mengekalkan minat audiens

Minat audiens terhadap ucapan bergantung kepada rangsangan yang diterima. Di antara kaedah mengekal dan menambah minat audiens ialah:

a. Unsur kegiatan atau pergerakan dalam persembahan. Ianya boleh jadi dalam bentuk fizikal, pemerihalan atau psikologikal.

b. Persembahan yang berdarakan realiti. Isi penyampaian perlu dikaitkan dengan realiti hidup sebenar yang dialami oleh audiens, bukannya bercorak hipotetikal atau teoritikal.

c. Ambil kira faktor kedekatan (proximity). Beri penekanan pada perkara atau isu yang hampir dengan audiens seperti kesihatan, anak-anak, isteri, rumah, harta dan hobi.

d. Menyelitkan unsur kelaziman (familiarity). Unsur kelaziman ialah perkara-perkara yang dikenali atau mudah difahami oleh audiens. Perucap yang bijak akan memberi penjelasan secara mudah konsep yang sukar dan kompleks.

e. Menggunakan unsur kelainan (novelty) seperti penggunaan alat bantu mengajar (ABM), cara persembahan yang menarik, contoh dan ilustrasi yang unik serta ceria yang memberi kesedaran dan cabaran.

f. Ada unsur 'suspen' yang menyebabkan pendengar tertanya-tanya dan mendengar dengan teliti hingga ke akhir ucapan.

g. Memasukkan unsur konflik yang dapat merangsang selera audiens seperti pertelagahan, pergeseran, berita angin dan isu-isu semasa.

h. Menyelitkan unsur-unsur lucu dan menggembirakan tetapi tidaklah mengganggu objektif penyampaian.

i. Menekankan keperluan audiens melalui komunikasi dua hala seperti bertanyakan soalan, minta pendapat dan idea, mengemukakan ulasan dan minta penjelasan.

j. Mengekalkan dinamisme dalam persembahan dengan memasukkan unsur-unsur emosi yang dapat menaikkan semangat audiens.

k. Merangsang seberapa kerap idea audiens iaitu deria rasa, sentuh, hidu, penglihatan dan pendengaran.

Sembilan teknik melibatkan pendengar
Drama
-semasa sesi pembukaan seperti masalah, cerita atau soalan.
-unsur-unsur dramatik seperti berhenti sejenak, mengbah nada suara dan emosi.

Komunikasi mata

-pandang semua pendengar dengan teliti (3-6 saat)
-nilai minat pendengar melalui persetujuan, bosan atau bermasalah

Pergerakan

-gunakan sepenuhnya ruang untuk bergerak
-sentiasa bergerak ke arah audiens terutama di awal dan akhir persembahan

Alat bantu mengajar (ABM)

-guna pelbagai alat bantu mengajar seperti overhead projektor, carta, flipchart
-libatkan penglibatan audiens serta merta

Menyoal


-retorik - soalan-soalan mudah tanpa perlukan jawapan
- contoh: Berapa ramai anak muda yang menjadi mangsa bila pengedar dadah
dibiarkan bebas?
Permainan
-bermain untuk bermesra dengan audiens dan juga beri hadiah kepada yang berjaya.

Timbulkan minat

-gunakan contoh, cerita dan silap mata
Demonstrasi
-untuk tunjuk setiap langkah secara terperinci bagi menambahkan kefahaman audines
Humor
-mulai ucapan dengan sesuatu yang menarik minat dan jenaka yang tidak keterlaluan.

Persembahan berkesan

Ada sempat strategi yang boleh digunakan oleh perucap bagi meningkatkan keberkesanan ketika membuat persembahan di hadapan khalayak.

1. Strategi kaedah komunikasi

Penyampaian maklumat boleh dijalankan secara interpersonal, kumpulan kecil, kumpulan besar atau umum (mass). Setiap kaedah mempunyai keistimewaan, kekuatan dan kelemahan masing-masing. Ada masanya kita menggunakan satu atau dua kaedah sekali gus. Lazimnya kita mungkin dapat mengawal keadaan dan membolehkan kita membuat pilihan tentang kaedah komunikasi yang hendak digunakan.

2. Strategi matlamat komunikasi

Matlamat yang gagal dan tidak jelas membentuk kegagalan kegiatan komunikasi. Perucap wajar membentuk objektif utama komunikasi sama ada hendak mengajar, memberi penerangan, nasihat, peringatan, membujuk, mengerak, menyedar, mengubah tingkah laku dan sebagainya.

3. Strategi peranan dalam komunikasi

Dalam proses komunikasi, perucap mungkin berperanan sebagai fasilitator, guru, penasihat, kawan, doktor atau pakar. Komunikator yang baik sering terpaksa memainkan beberapa peranan semasa berinteraksi dan yang penting, apakah peranan yang ingin dimainkan dalam proses komunikasi tersebut? Tegasnya, perucap harus berupaya untuk bertukar peranan iaitu cekap dan fleksibel.

4. Strategi retorika dalam komunikasi

a) Strategi idea

-pemilihan ideologi dan pendirian (keras, sederhana atau lembut)

b) Strategi perhubungan

- cari titik persamaan di antara perucap dan audiens
- tahap persamaan mempengaruhi tarikan interpersonal dan pihak-pihak yang berinteraksi
- perucap perlu mempunyai sifat empati yang tinggi

c) Strategi bentuk

- lebih kepada penysunan kandungan maklumat yang hendak disampaikan.
- susunan maklumat dibuat mengikut:

Urutan masa (kronologi)
Geografi (ruang, kawasan, daerah, negeri)
Sebab, akibat dan kesan
Masalah dan kaedah penyelesaian
Umum – khusus (deduktif)
Khusus – umum (induktif)
Pro dan kontra
Topik demi topik
Mudah-kompleks

d) Strategi bahasa

-bahasa perlu sesuai dengan ciri-ciri audiens
-penggunaan bahasa yang tidak sesuai boleh menyebabkan audiens menutup pintu mental daripada mendengar
-contoh: bahasa daerah, bahasa Inggeris atau istilah yang kompleks

Menyampaikan ucapan
Manuskrip
-Baca terus dripada teks
-Perkataan demi perkataan
-Memerlukan ketepatan bahasa, ayat dan masa
-Tujuan:

Merakam
Mantapkan kenyatan-kenyataan umum
Sediakan salinan kepada pihak media
Memilih penggunaan bahasa yang tepat
Menepati masa
Sebagai dokumen
Contoh: khutbah, laporan daripada penyelia, perutusan
Hafal
-Jarang digunakan
-Biasanya ringkas dan mudah (10-15 minit)
-Ingat mesej penting bukannya perkataan demi perkataan
-Contoh: ceramah, sesi penerangan
-Kelebihannya ialah dapat tumpu pada gerakan
-Kelemahannya ialah risiko terlupa dan tidak bebas mengeluarkan idea sendiri

Impromptu

-Spontan (tanpa persediaan)
-Tidak perlu yang sempurna, cukup sekadar beberapa perkataan seperti memberi ulasan, pendapat dan pandangan
-Kelebihannya ialah ucapan yang mudah, ringkas, lebih ikhlas, tidak perlu persediaan yang rapi dan dapat baiki kemahiran berucap

Extemporaneous

-Ada persediaan dan perancangan
-Menggunakan nota ringkas dan rangka kasar ucapan (outline)
-Kelebihannya:

Boleh mengawal bahasa, topik dan masa
Boleh membuat sebarang perubahan semasa ucapan disampaikan
Boleh disesuaikan dengan pelbagai keadaan
Bebas membentuk kontak mata dan pergerakan
Spontan dan secara langsung

Pengawalan suara

1. Volume

-Pastikan sesuai dengan suasana sekitar, zaiz dan tahap kebisingan

Terlalu kuat -------- memekak
Terlalu perlahan ---tidak difahami

2. Pitch

-Nada tinggi dan rendah
Terlalu cepat --- pitch tingi
Terlalu perlahan --- pitch rendah
-Tentukan watak perucap seperti serius, sedih, suka, marah atau main-main
-Boleh dipelbagaikan

3. Kelajuan (Rate)

-Setiap masyarakat mempunyai kelajuan bercakap yang berbeza-beza

Amerika Syarikat ------- 120-150 ppm
Jepun ---------------------- 180 ppm
Cina ------------------------ 160 ppm

-Lambat ---- penerangan untuk perkara yang kompleks dan sukar difahami
-Cepat ------ maklumat umum
-Bergantung kepada:

Mood
Komposisi audiens (sedikit atau ramai)
Persekitaran (panas, sejuk, hujan)
Tokoh-tokoh: Franklin Roosevelt (110 ppm)
J.F Keneddy (180 ppm)
Martin l. King (92-145 ppm)

4. Henti (Pause)

-Masa untuk berhenti, meneruskan ucapan, tarikh dan hembus nafas
-Memerlukan latihan dan kemahiran bercakap
-Elakkan bunyi 'eh...uh...er...a..'

Monday, December 17, 2007

Bantu penguasaan membaca murid tahun 1

Tajuk: Modul Asas Membaca Tahun 1
Pengarang: Muhammad Saiful Haq Hussin
Terbit: 2007
Penerbit: Persatuan Psikolinguistik Malaysia dan Jabatan Bahasa Melayu, FBMK, UPM
Pengulas: Saadah Jaffar


Buku ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan trend pengajaran dan pembelajaran asas membaca tahun 1. Tumpuan perbincangan adalah pada pelaksanaannya dalam bilik darjah yang kebanyakannya meliputi konsep pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk menguasai asas bacaan.

Penghasilan buku ini adalah hasil pengalaman pengarang yang mengajar bacaan dalam bahasa Malaysia pada peringkat tahun 1 di sekolah kebangsaan selama enam tahun berturut-turut. Proses pengendalian pengajaran dan pembelajaran berasaskan modul ini dibuat dari satu peringkat ke satu peringkat. Pembahagian yang dibuat secara berperingkat-peringkat itu adalah melalui proses pengenalan bahagian huruf (prabacaan), suku kata terbuka (KV), perkataan, frasa dan ayat.

Dengan pengalaman mengajar dimantapkan lagi usaha mengkaji dan menyelidik selama lebih kurang sepuluh tahun dan menekuni bidang berkenaan pada peringkat diploma sehingga ijazah kedoktoran, dicurahkan dalam buku ini.

Pengarang buku ini berpandangan bahawa penguasaan asas bacaan bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun 1, kadang-kala akan menerima gangguan daripada gejala-gejala dialek yang turut mempengaruhi pembelajaran bahasa Melayu mereka.

Hal ini terjadi apabila murid-murid tahun 1 tidak cekap merencanakan peta kognitif mereka. Akibat daripada ketidakcekapan itu, gerak balas yang dihasilkan oleh murid tahun 1 tidak menepati kehendak-kehendak penguasaan asas bacaan dalam bahasa Melayu. Hasil gerak balas murid tahun 1 mungkin menampakkan ciri-ciri penyimpangan dari aspek fonologi dan penyebutan dalam bahasa Malaysia.

Kerangka teori

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran asas membaca bahasa Melayu ini, pengarang menggunakan kerangka teori berasaskan Teori Behaviorisme Bertujuan yang diasaskan oleh Edward Chase Tolman (1886-1959). Teori ini ialah teori pembelajaran psikolinguistik yang tergolong dalam keluarga teori kognitif. Rasional Teori Behaviorisme Bertujuan digunakan dalam penulisan ini kerana Teori Behaviorisme Bertujuan mengutarakan empat hipotesis, iaitu Diskriminasi Desakan, Pembelajaran Terpendam, Jangkaan-jangkaan Bidang dan Mod Bidang Kognisi.

Pengarang buku ini membincangkan bahawa aspek berkaitan trend penguasaan asas bacaan murid tahun 1 banyak dipengaruhi oleh desakan dengan gerak balas yang teratur. Sebagai contoh, modul di dalam buku ini dibina oleh pengarang bertujuan membantu murid tahun 1 untuk memenuhi desakan faktor sosial atau psikologi mereka bagi membolehkan mereka merencanakan peta kognitif mereka secara cekap. Hal ini mengakibatkan perilaku yang lebih kongruen dan sekali gus menjelaskan matlamat yang ingin dicapai oleh mereka.

Proses pemelajaran yang dilalui oleh murid tahun 1 secara terancang dan sistematik telah mempengaruhi persekitaran bacaan asas murid tahun 1 tersebut. Hal ini terbukti dengan kebolehan membaca yang dikuasai oleh mereka. Oleh yang demikian, penguasaan asas bacaan berlaku dalam kalangan murid yang mempraktikkan amalan psikolinguistik semasa mempelajari bacaan asas dalam bahasa Melayu.

Kehadiran buku ini di pasaran dijangka akan dapat membantu para pembaca dan golongan pendidik yang berminat untuk mendekati trend dan cabaran bagi menguasai dan menangani kepelbagaian masalah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat tahun 1.

Kandungan di dalam buku ini boleh membantu pembaca bagi menambahkan penguasaan kemahiran membaca asas murid tahun 1 dan meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran bacaan asas. Buku ini juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi ibu bapa muda yang teringin untuk mengetahui beberapa permasalahan dari segi teknik pendekatan, kaedah dan cara terbaik untuk membolehkan anak-anak mereka yang masih pada peringkat awal penguasaan bacaan asas bahasa Melayu.

[Utusan Online]

Sunday, December 16, 2007

Analisis data

Pengumpulan data dan analisis data adalah aktiviti spontan dalam kajian kualitatif. Analisis bermula dengan temuduga pertama, pemerhatian awal dan kali pertama dokumen dilihat.

Bogdan dan Biklen menyifatkan analisis data sebagai proses yang sistematik untuk mencari dan menguruskan teknik pengumpulan data. Proses-proses analisis data ialah dapatkan data, uruskan data tersebut, pecahkan data kepada unit kecil, sintesiskan, kenal pasti bahagian yang penting dan persembahkan kepada orang lain yang menjadi sasaran.

Terdapat berbagai-bagai cara untuk menganalisis data, bagaimanapun dua bentuk sahaja yang jelas iaitu, pertama; analisis seiring dengan pengumpulan data. Kaedah ini kerap digunakan oleh penyelidik yang berpengalaman. Kedua, mengumpulkan data sebelum memulakan analisis.

Secara umum terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh penyelidik untuk menganalisis data seperti:

1. Mengecilkan skop kajian supaya lebih jelas untuk membuat analisis akhir.
2. Menentukan bentuk kajian seperti kajian kes, sejarah hidup dan sebagainya.
3. Sentiasa bertanya soalan dan dapatkan maklumat atau maklum balas daripada pemerhatian yang dibuat.
4. Dapatkan maklum balas tentang idea sedia ada bagi membentuk toeri yang formal.
5. Ingatkan diri tentang apa yang telah dilakukan bagi mendapatkan maklumat baru untuk menghubungkan dapatan sedia ada dengan maklum balas pemerhatian.
6. Sentiasa mencari maklumat ketika di lapangan bagi meningkatkan kualiti analisis.

Sebagai penyelidik, membuat analisis memerlukan beberapa kekuatan. Yang penting ialah tidak takut membuat spekulasi kerana spekulasi memberi idea dan menjadikan kajian lebih produktif. Tetapi spekulasi harus dikawal oleh data yang sedia ada. Maklumat yang ada harus sentiasa dipantau supaya ianya selari dengan objektif kajian dan sentiasa dalam keadaan terkini.

Didik kanak-kanak kenal bahaya

Sukar mengikis pandangan serong masyarakat terhadap kepentingan pendidikan seks kepada golongan muda biarpun senario dunia hari ini memerlukan pendekatan itu.

Dibelenggu sikap tabu, menyebabkan sebahagian besar golongan muda mudah hanyut atau menjadi mangsa kejam penjenayah.Biarpun isu ini diakui sensitif dan sukar diterima masyarakat dengan alasan melanggar norma budaya, kepentingannya wajar dilihat dalam pelbagai aspek. Antaranya, daripada aspek keselamatan, kepentingan awam dan pembelajaran ilmu.

Bagaimanapun, kewajaran mengajar pendidikan seks di sekolah harus ditangani dengan baik mengikut lunas masyarakat, agama dan menekankan aspek sensitiviti budaya agar tidak menimbulkan prejudis.

Pengerusi Majlis Guru Bimbingan Kuala Lumpur, Meon Hassan, berkata pengenalan pendidikan seks wajar ditekankan kepada pelajar supaya mereka tahu tahap batas pergaulan dengan rakan sebaya dan yang berlawanan jantina.

Bagaimanapun, pembelajaran itu harus dilakukan dengan aspek betul tanpa menimbulkan tanggapan ‘lain’ di kalangan pelajar sekali gus tidak memburukkan lagi keadaan.

“Dalam senario dunia hari ini, saya kira pendidikan itu wajar ditekankan supaya pelajar tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan orang lain terhadap diri mereka. Bagaimanapun, skop pembelajaran perlu dilakukan secara sopan supaya pelajar tahu mereka sebenarnya sedang belajar bukan untuk tujuan lain.

“Guru pula disarankan lebih terbuka menjawab persoalan pelajar kerana maklumat betul akan membantu pelajar menangani perubahan diri dan fizikal serta pelbagai persoalan baru yang mungkin timbul,” katanya.

Walaupun pendidikan seks masih belum ditekankan secara meluas, pada 2005 Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif merangka draf Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan bagi membimbing golongan muda mengenai pendidikan seksual.

Draf berkenaan mengandungi enam teras meliputi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran diri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

Golongan sasaran adalah pelajar prasekolah seawal usia empat hingga enam tahun, pelajar berusia tujuh hingga sembilan tahun yang dikategorikan sebagai Tahap 2, awal remaja 10 hingga 12 tahun (Tahap 3), remaja 13 hingga 18 tahun (Tahap 4) dan 19 tahun ke atas meliputi mahasiswa, ibu bapa serta warga emas (Tahap 5).

Bagaimanapun, pendidikan seksualiti tidak akan menjadi satu mata pelajaran khusus tetapi pengisiannya dimasukkan dalam subjek lain seperti Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Selepas lima tahun, draf berkenaan akan diperbaharui dalam aspek kurikulum, mempertingkat kemudahan di sekolah dan mengemaskini latihan guru. Tindakan untuk menjadikannya sebagai subjek khas juga akan ipertimbangkan.

Mengaitkannya dengan keperluan masa kini, Meon berkata, penekanan sedia ada memang bermanfaat namun perlu dipertingkatkan supaya pelajar lebih memahami dan tidak hanya memperoleh informasi asas semata-mata.

“Sekarang ini tiada penekanan khusus melainkan dalam beberapa subjek tertentu. Itupun dilaksanakan atas inisiatif guru sendiri dan penerangannya secara asas. Dalam keadaan itu, saya percaya pelajar sukar mendapat maklumat jelas dan lengkap sekali gus menyebabkan mereka cuba mencari daripada sumber lain.

“Keadaan ini lebih berbahaya kerana mereka mungkin memperoleh maklumat salah. Bukankah lebih elok kalau mereka memperolehnya daripada guru dengan penerangan lebih terang dan jelas kerana ada lebih penekanan,” kata Meon.

Bagaimanapun, kebanyakan budaya masyarakat dunia sukar menerima mengenai pendidikan seksualiti sekali gus boleh menyekat perkembangan maklumat kepada golongan muda.

India misalnya mengharamkan pendidikan seks di sekolah dengan alasan bertentangan dengan budaya masyarakat negara itu sekali gus menjadikan beberapa negerinya mempunyai statistik teratas HIV/Aids di dunia.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, berpendapat cara paling berkesan untuk mengelakkan diri menjadi mangsa ialah dengan mendidik kanak-kanak dari peringkat awal.

“Menjadi tanggungjawab utama ibu bapa mendidik anak-anak supaya dapat menjauhi situasi yang boleh menyebabkan mereka terjerumus seterusnya menjadi mangsa jenayah seksual. Ibu bapa perlu peka mengenai pendidikan seks agar mereka boleh memberi penerangan kepada anak-anak kerana tanggapan pendidikan seks perkara yang memalukan, perlu diubah.

“Kanak-kanak perlu didedahkan soal jenayah seksual kerana ini membabitkan masa depan mereka. Berterus teranglah kerana ibu bapa individu paling hampir dan sesuai mendekati anak mereka,” katanya.

Mengenai kesukaran ibu bapa memberi pendidikan awal mengenai seks kepada anak dengan pelbagai alasan, Meon berkata ibu bapa sebenarnya golongan terbaik memikul tanggungjawab itu. “Masalahnya, sebahagian besar masyarakat atau ibu bapa tidak bersikap terbuka apabila ada anak bertanya menyebabkan persoalan itu tergantung.

“Apabila tidak mendapat jawapan, anak mungkin tidak berpuas hati dan menganggap tindakan itu betul sedangkan ia salah.

“Apabila ini berlaku, siapakah harus dipersalahkan? Ibu bapa atau masyarakat akan menuding jari kepada guru, sekali gus lebih merumitkan keadaan,” katanya sambil menambah penyelesaian boleh dilaksanakan bukan dengan cara pertelingkahan tetapi kerana tanggungjawab.

“Dalam hal ini, saya berpendapat bukan guru saja memainkan peranan penting tapi semua pihak. Jangan lepaskan tanggungjawab kepada sesuatu pihak sehaja.

“Pengenalan terhadap pendidikan seks juga boleh membantu asalkan dilakukan dengan betul dan bagi mendidik selain membuat pemantauan terhadap penggunaan media massa dan Internet.

“Pada pendapat saya, ia tidak salah selain masyarakat juga lebih bersikap terbuka demi kebaikan bersama,” katanya.

Guru di Johor, Suspa Abdul Hamid, berkata usaha memperkenalkan pendidikan seks perlu relevan dengan kehendak perkembangan golongan muda hari ini. Menurutnya, walaupun dinamakan pendidikan seks, tidak seharusnya ia diisi dengan perkara luar batasan tetapi lebih terarah kepada keperluan informasi seperti menyediakan asas kepada golongan muda mengenai perhubungan lelaki dan wanita, perubahan bentuk badan, emosi, sistem reproduktif, hubungan seks, kehamilan, cegah hamil, pengguguran dan penyakit kelamin.

“Pada pendapat saya, pelajar hari ini perlu tahu mengenai pendidikan seks tapi cara pembelajarannya perlu berlapik, atas fakta pembelajaran dan ilmu. Ia bukan untuk suka-suka tapi soal pendidikan.

“Generasi hari ini tidak seperti dulu, sikap mereka sangat terbuka dan sukar dijangka. Bayangkan kalau tidak ada mekanisme diambil bagi membantu mereka, apa bakal berlaku dalam kelompok sosial golongan ini?

“Semua pihak harus bersikap terbuka dan membantu golongan muda ini mengharungi cetusan emosi dan rasa ingin tahu mereka. Biar caranya tampak janggal asalkan maklumatnya bermanfaat,” katanya.

[Harian Metro Online]

Saturday, December 15, 2007

Prestasi lebih baik jika tidak berjaga malam

Pelajar yang berjaga malam untuk mengulangkaji pelajaran didapati memperoleh gred lebih rendah berbanding sebaliknya, demikian satu kajian terbaru.

Tinjauan ke atas 120 pelajar kolej seni di Universiti St. Lawrence menunjukkan, pelajar yang tidak pernah mengulangkaji pelajaran pada waktu malam mempunyai gred yang lebih tinggi berbanding yang berjaga sepanjang malam.

Kajian turut menunjukkan, secara purata, pelajar yang tidak mengulangkaji pelajaran waktu malam memiliki nilai gred 3.1 berbanding pelajar yang berjaga hanya mempunyai nilai gred sebanyak 2.9 sahaja.

Menurut seorang pembantu profesor, Pamela Thacher berkata, kajian yang dibuat mendapati tiada sesiapa yang mampu berfikir serta memberikan tumpuan lebih baik sekiranya berjaga hingga ke jam 4 pagi, namun ramai yang berpendapat mereka boleh tetapi sebenarnya tidak.

Beliau turut mendapati kajian yang sama dijalankan oleh ahli psikologi klinikal menunjukkan keputusan yang sama dengan tinjauan yang dilakukannya.

[Utusan Online]

Thursday, December 13, 2007

Kuat bekerja

"Rahsia paling besar dalam hidup ialah ianya tidak ada rahsia apa pun. Apa sahaja yang ada, anda mampu capai jika anda mahu berusaha." -Oprah Winfrey

Definisi mudah untuk kuat bekerja ialah cabaran-cabaran yang ada bagi mencapai kejayaan.

Kenapa cabaran penting? Kenapa tidak melakukan yang senang sahaja?

Kebanyakan orang lebih suka melakukan yang senang dan mengelak membuat kerja yang susah atau sukar. Peluang-peluang untuk berjaya dalam hidup akan dipenuhi oleh mereka yang melihatnya sebagai mudah. Lebih sukar cabaran biasanya tidak ramai yang akan bersaing, justeru menjadikan peluang untuk meraih kejayaan lebih banyak bagi mereka yang bersemangat waja.

Suatu masa dahulu terdapat sebuah lombong emas yang dalamnya dua batu jauh ke dalam bumi di Afrika. Ia memerlukan berpuluh-puluh juta ringgit untuk mengalinya kerana di dalam bumi itu terdapat lombong emas paling mahal dan menguntungkan. para pelombong yang terlibat berusaha menghadapi setiap cabaran dengan bekerja keras, sehinggalah usaha mereka berjaya.

Cabaran yang besar dikaitkan dengan hasil yang besar. Kadangkala kita mendapat nasib yang baik dan senang mendapat kejayaan tetapi apakah kita dapat mempertahankan kejayaan tersebut, atau secara kebetulan?

Adakah kita berupaya mengulangi kejayaan tersebut? Apabila kita dapati orang lain mengetahui bagaimana kita mencapai kejayaan, tiba-tiba di sekitar kita penuh dengan persaingan.

Apabila kita mendisiplinkan diri bagi melakukan sesuatu usaha yang sangat sukar, kita dapat melepasi keputusan yang dinafikan oleh orang lain. Kesediaan melakukan sesuatu yang sukar umpama memiliki kunci kepada bilik khas harta karun.

Satu perkara yang sangat menarik tentang kuat bekerja ialah ia mempunyai makna yang sangat luas. Tidak kira bidang yang kita ceburi, konsep kuat bekerja boleh digunakan untuk meraih hasil dalam jangka masa panjang tanpa mengira bidang pengkhususan.

Saya menggunakan falsafah yang sama bagi membina bisnes pembangunan diri ini. Saya melakukan banyak perkara yang sukar. Cuba mencari topik yang besesuaian dengan pembaca, menyelidik minat dan mencari daya penarik melalui pembacaan dan penyelidikan. Saya menulis artikel dan memberi idea yang terbaik dengan percuma, saya melancarkan bisnes ini pada Oktober tahun lepas dan melakukannya sepenuh masa tanpa bayaran.

Dalam pada itu, saya menyertai pasukan latihan yang terlibat memberi kursus kepada pelbagai jabatan. Di sini saya membina kemahiran bercakap dan mengendalikan kelompok kecil. Pada masa yang sama, saya sedang melengkapkan sijil amalan kerja kelompok dengan sebuah institusi pengajian tinggi awam sementara membuat analisis bagi tesis sarjana saya.

Semuanya memerlukan usaha dan barangkali saya perlukan setahun lagi untuk memasuki bisnes yang mencabar.

Saya mengambil inisiatif yang sama untuk menulis sebuah buku. Ia kerja yang susah. tetapi saya mahukan sebuah buku yang orang masih membacanya walaupun telah lima tahun berlalu. menulis buku jenis ini sepuluh kali ganda lebih susah.

Kuat bekerja hasilnya berbaloi. Apabila seseorang bertanya apa yang akan terhasil selepas itu, usaha kita sebelum itu telah pun berjaya. Lebih besar semangat kita bekerja, lebih besar ganjaran berada di dalam genggaman. Lebih dalam kita menggali, lebih banyak potensi untuk berjumpa dengan kejayaan.

Menjaga kesejahteraan adalah kuat bekerja. Mengekalkan hubungan persahabatan adalah kuat bekerja. Menetapkan matlamat, membuat perancangan dan berusaha merealisasikan impian adalah kuat bekerja. Malah gembira adalah hasil daripada kuat bekerja yang datang daripada harga diri yang tinggi.

Kuat bekerja beriringan dengan penerimaan. Satu perkara yang kita mesti terima ialah ada sesetengah bidang di dalam hidup kita yang tidak boleh tunduk kepada apa-apa perkara kecuali kuat bekerja. Barangkali kita tidak bernasib baik dalam persahabatan, dan satu cara untuk menghadapinya ialah lakukan apa sahaja yang dapat mengelakkannya daripada berlaku.

Barangkali kita mahu meningkatkan pendapatan. Kita harus menerima hakikat bahawa satu jalan yang dapat merealisasikannya ialah kuat bekerja.

Kehidupan kita akan mencapai tahap kehidupan yang baru apabila berhenti daripada mengelak berhadapan dengan sifat kuat bekerja ini dan menyerah kepada cara berfikir begitu. Jadikan sifat kuat bekerja sebagai rakan, bukannya musuh. Apabila kita sedang menapak ke puncak kejayaan, barulah kita sedar betapa kuat bekerja adalah teman kejayaan kita yang sangat hebat.