Wednesday, August 21, 2019

Perkasa dakwah merentas cabaran







Kesediaan Dr Zakir Naik memohon maaf di atas konflik yang dihadapi beberapa hari lalu sangat menyentuh hati. Orang yang berjiwa besar seperti beliau telah menunjukkan contoh teladan terbaik di samping sifat merendah diri.

Kenyataan beliau itu sudah tentu kesan selepas beberapa jam dipanggil oleh pihak polis. Barangkali pihak berkuasa mahukan beliau memberi tumpuan kepada menambah kefahaman masyarakat Malaysia terhadap Islam sebagai agama kedamaian berbanding melibatkan diri dalam perseteruan politik perkauman yang tidak menguntungkan.

Justeru, kita dapat mengenal pasti ayat yang menunjukkan kecenderungan kenyataan tersebut dalam permohonan maafnya iaitu 'Saya minta maaf kepada semua orang yang merasa terluka berikutan salah faham ini'.

Permohonan maaf ini tidak ada kata nistaan atau dendam malah beliau memetik ayat 13 Surah Al-Hujurat iaitu 'Wahai manusia! Kami menciptakan kamu dari satu pasangan laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu menjadi bangsa dan suku, supaya kamu saling kenal (bukan dengan kamu). Sesungguhnya kamu yang paling dihormati di sisi pandangan Allah Ta'ala adalah orang yang paling saleh dari kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengetahui'.

Beliau juga anti rasisme kerana menyedari rasisme adalah kejahatan dan konsep ini bertentangan dengan dirinya sebagai pendakwah.

Tindakan pantas beliau ini menunjukkan akhlak muslim yang sangat menyentuh hati tatkala lima orang pemimpin politik Malaysia yang berterusan menyerangnya dan tidak menunjukkan rasa kesal.

Dr Zakir Naik merupakan pakar dalam perbandingan agama yang dikenali di seluruh dunia selepas Ahmad Deedat. Kepetahan berucap dan ketajaman lisan dalam merungkai persoalan tiga agama besar- Islam, Kristian dan Hindu seringkali menolak sangkaan buruk bukan Islam yang tidak senang dengan hujah yang diberikan.

Akhirnya, golongan ini menggunakan alasan keselamatan untuk menutup pintu dakwah yang disampaikan.

Dalam setiap ceramah beliau, stadium dan dewan besar menjadi tempat untuk berhujag di samping Peace TV dan saluran di YouTube. Di akhir ceramah, beliau hanya mengutamakan soalan dari bukan Islam yang menjadi kekeliruan seperti kewujudan syurga dan neraka, martabat wanita dalam Islam dan keraguan berkaitan al-quran yang didakwa datang dari Allah SWT.

Semua soalan ini dijawab dengan jelas oleh Dr Zakir Naik. Biasanya beliau akan bertanya kepada  mereka sama ada percaya atau tidak kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Jika ya, beliau akan memimpin kalimah syahadah dan jika tidak beliau akan mendoakan supaya mereka akan terus mempelajari Islam. Kadangkala beliau menghadiahkan senaskah al-quran untuk dibaca tafsirannya.

Dr Zakir Naik boleh memahami lebih mendalam struktur sosial masyarakat Malaysia yang merangkumi sensitiviti etnik, agama, adat tradisi, institusi beraja dan sejarah ketamadunan Melayu. 

Beliau perlu juga memahami bagaimana corak berfikir masyarakat Malaysia yang masih lagi terikat dengan identiti bangsa dan agama. Memahami fabrik sosial sangat penting kepada mana-mana pendakwah yang ingin meneroka medan dakwah di Malaysia dan nusantara.

Kita berharap beliau akan meneruskan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia supaya kefahaman Islam lebih menyerlah seterusnya menjadikan umat Islam negara ini semakin kuat dalam pelbagai bidang kehidupan.

No comments:

Post a Comment