Kisah dua orang etnik minoriti Cina di Malaysia yang membantah pengajaran tulisan Jawi dalam Bahasa Malaysia Tahun 4 menjadi perhatian umum di media.
Pertama, ahli parlimen dari parti DAP, Lim Lip Eng menyifatkan keputusan itu sebagai menyapu tahi di muka sendiri. Selepas lima jam, beliau memadam ayat berkenaan dan memohon maaf.
Kedua, seorang etnik Cina di Menglembu membaling sepapan telur ke arah pusat khidmat Adun kawasan itu sambil berkata 'DAP khianati kaum Cina' dan 'cuba menghapuskan pendidikan CIna'. Menjelang subuh, lelaki ini kembali rasional dan memohon maaf.
Kedua-dua kes ini mengiringi sentimen etnik minoriti Cina di Malaysia terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia yang merangkumi sekolah vernakular Cina dan Tamil.
Ketika riuh etnik minoriti Cina membantah tulisan Jawi, etnik minoriti India lebih rasional, cuma seorang sahaja yang memprotes iaitu pemimpin politik DAP di sebuah negeri berpulau.
Sejarah pendidikan vernakular di Malaysia berkembang dan bertahan seiring dengan kematangan pelbagai etnik yang membentuk kemakmuran negara. Perkara asas adalah kontrak sosial antara etnik ketika Tanah Melayu hendak mencapai kemerdekaan.
Kandungan kontrak sosial adalah agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kewarganegaraan.
Empat kotrak sosial yang awal diterima oleh etnik bukan Melayu dengan tukar ganti kewarganegaraan yang diingini oleh etnik minoriti Cina dan India. Kontrak sosial ini yang menjamin kewujudan masyarakat Malaysia moden yang bersaing untuk membina kemakmuran.
Sistem pendidikan vernakular masih dikekalkan dan ditambah baik kerana kerajaan Malaysia lebih mempercayai konsep integrasi berbanding asimilasi atau amalgamasi seperti yang diamalkan di Filipina, Thailand atau Indonesia.
Di Indonesia, generasi muda etnik minoriti Cina tidak lagi menguasai bahasa ibunda kerana pendidikan dan budaya Cina pernah dihalang daripada digunakan. Nama Cina juga tidak boleh digunakan dan mesti ditukar ke bahasa Indonesia. Keadaan yang sama berlaku di Thailand iaitu nama-nama Melayu khususnya di Selatan Thailand mesti menggunakan bahasa Siam.
Keadaan tersebut tidak berlaku di Malaysia malah diberi ruang untuk membaiki pendidikan di sekolah venakular etnik minoriti Cina dan India. Gaji bulanan guru di sekolah berkenaan dibayar oleh kerajaan. Dari segi ekonomi, lima nama teratas yang paling kaya harta benda adalah etnik minoriti Cina.
Kedangkalan dalam isu tulisan Jawi ini perlu diatasi dengan rasional. Anak-anak muda yang tidak dapat membaca al-quran besar kemungkinan tidak dapat membaca tulisan Jawi. Bagaimanapun kita mengucapkan tahniah kepada ahli politik veteran DAP yang mengakui belajar tulisan Jawi ketika ditahan ISA. Pengakuan begini sedikit sebanyak membantu meredakan kegelisahan etnik minoriti Cina kerana belajar Jawi tidak membuatnya kurang kecinaan.
No comments:
Post a Comment