Dua puluh tahun lalu, seorang anak muda yang bercita-cita tinggi dalam hidup telah merantau ke negara orang untuk mengubah hidup diri dan keluarga, membantu pendidikan adik-adiknya dan merancang keluarga sendiri. Di negara orang, beliau berkenalan dengan rakan-rakan baru dan mereka bersama-sama membangunkan sebuah perniagaan berkaitan latihan dan pendidikan.
Di peringkat awal, operasi perniagaan diusahakan melalui sumbangan derma, infaq dan hibah supaya anak muda ini dapat bekerja dengan baik. Ada rakannya yang menyediakan rumah sewa dan menyewakan kereta supaya beliau dapat melakukan aktiviti pemasaran dan mengurus perjalanan syarikat.
Hidup sebagai usahawan memang mencabar dan melelahkan kerana tidak banyak masa untuk berehat apatah lagi bercuti. Beliau bekerja setiap masa dan berusaha sebaik mungkin kerana merasakan amanah yang diberikan sangat berat dan perlu dilaksanakan. Beliau juga memperkenalkan produk latihan kepada agensi kerajaan, swasta dan program 'Summer Camp' pada masa cuti sekolah.
Jatuh dan bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan menjadi kebiasaan. Tidak mustahil dalam tempoh enam bulan seorang usahawan boleh menjadi kaya-raya namun dalam tempoh enam bulan juga boleh menjadi muflis dan papa-kedana.
Anak muda ini berkorban masa, wang dan tenaga hampir dua tahun untuk membina perniagaan yang diusahakan bersama-sama. Sedikit demi sedikit beliau mengumpul modal, menggajikan pekerja dan membuka cawangan perniagaan.
Perniagaan yang semakin berkembang itu rupanya menimbulkan minat seorang rakan strategik. Minatnya adalah memasukkan ahli keluarganya sebagai pekerja di syarikat itu tanpa memiliki kelayakan dalam pendidikan.
Rakannya itu mengasak dengan menyediakan kontrak baru melalui rakan-rakan lain dengan menjadikan permit kerja sebagai umpan. Tanpa sebarang perbincangan atau musyawarah, kontrak itu diberi kepadanya selepas makan malam, itupun ditunjukkan di dalam sebuah kereta ketika hendak pulang ke rumah. Selepas meneliti kontrak yang diberi, anak muda ini sangat kecewa dan tidak dapat melelapkan mata. Ia menjadi igauan kerana banyak kandungan kontrak yang di luar jangkaan.
Lalu beliau mengambil keputusan melepaskan semua usaha perniagaan tersebut dan mengembalikan operasi syarikat kepada rakan-rakannya.
'Biarkan saja mereka yang menguruskannya', kata-kata kecewa seorang anak muda yang sanggup berkorban masa untuk membina perniagaan dengan amanah wang derma dan infaq. Beliau tidak lagi peduli apa yang berlaku kepada perjalanan syarikat itu.
Kekecewaannya tidak dapat ditanggung-tanggung dan dizahirkan dengan kata-kata. Setiap pagi, selepas solat subuh, beliau bermenung memikirkan sikap dan pelakuan rakan-rakannya yang membahasakan diri 'ana' dan 'enta' serta berusrah setiap minggu.
Beliau sering memikirkan perkara tersebut sehingga muncul anggapan sama ada peristiwa itu merupakan rahmat atau bala daripada Allah SWT. Kesan psikologinya juga jelas iaitu beliau cepat marah, wajah yang bungkam dan tidak lagi percaya kepada orang di sekeliling.
Namun, amalan membaca dua lembar al-quran setiap hari memberi kekuatan kepadanya untuk berhadapan dengan pengalaman yang menyakitkan itu. Ayat-ayat al-quran meruntun hati dan mencetuskan motivasi untuk beliau bertahan dan bangkit daripada kekecewaan. Antaranya ayat berikut:
‘Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa’. (Surah Thaha ayat 132)
Beliau juga tidak putus-putus berdoa supaya diberi jalan keluar dan tidak lagi memikirkan masalah yang sedang dialami itu.
Salah satu keputusan yang diambilnya ialah melupakan semua kejadian yang menimpanya dan kembali tanah air sendiri dan memulakan langkah hidup yang baru. Perlahan-lahan beliau mengumpul kekuatan semangat dan membetulkan kembali cara fikir iaitu meneruskan pengajian ke peringkat paling tinggi.
Kini, selepas melalui tempoh masa yang panjang, beliau menarik nafas dalam-dalam dan bersyukur kerana Allah SWT telah menunjukkan laluan hidup yang sangat jelas di penghujung jalan. Pengajaran hidup anak muda ini dapat dirumuskan dalam tiga perkara.
Pertama, niat yang ikhlas untuk bekerja kerana Allah SWT. Niat seperti ini membuang jauh-jauh keinginan duniawi yang meruntun hati dan cenderung kepada keuntungan wang ringgit. Bekerja kerana Allah SWT mengundang kasih sayang-Nya yang tidak ada sempadan. Tatkala bersedih hati kerana dilayan seperti sampah, akhirnya beliau berdiri lebih tinggi daripada orang yang merendah-rendahkannya dahulu.
Kedua, jadikan al-quran sebagai santapan rohani. Beliau membaca dua lembar al-quran setiap hari beserta terjemahan supaya hati dan fikirannya dituntun oleh panduan ilahi yang menaungi keseluruhan masa dan hidupnya.
Ketiga, doa tanpa henti supaya Allah SWT memandu kehidupannya, menukar yang buruk kepada yang lebih baik dan memberkati apa juga tindakannya.
Terapi jiwa berteraskan al-quran sangat berkesan ketika berhadapan dengan cabaran hidup. Individu yang tertekan dan kecewa wajar menjadikan al-quran sebagai santapan jiwa setiap hari sama ada melalui pembacaan, pendengaran atau mentadabbur ayat-ayat pilihan supaya hubungan hati dengan Allah SWT sentiasa bertaut.
Tidak rugi orang yang menjadikan al-quran sebagai penyuluh hidupnya.
No comments:
Post a Comment