Kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 46.3 peratus yang terlibat dalam rasuah adalah penjawat awam dan kebanyakannya di bahagian perolehan. Tempoh kajian dari tahun 2014 hingga Jun 2019 juga menunjukkan 53.4 peratus yang ditahan adalah golongan di bawah 40 tahun. Yang mendebarkan adalah sejumlah 22.1 peratus daripada penjawat yang dikaji cenderung menerima rasuah apabila berkuasa.
Rasuah boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Ia boleh jadi sogokan, penyuapan, nepotisme, pilih kasih, penggelapan, penipuan atau pemerasan. Ada yang mahu wang tunai, ganjaran ke luar negara, barang berjenama, tanggungan bayaran bil utiliti, sewa atau minyak kereta, pelacuran, produk harian dan makan percuma.
Punca rasuah adalah sosiobudaya, politik, ekonomi, perundangan dan birokratik. Kita ambil contoh sosiobudaya. Puncanya adalah kerana lemah dalam agama dan pendidikan etika, kurang pendidikan, ketiadaan suasana yang kondusif dalam memerangi tingkah laku korup dan perubahan radikal dalam sistem nilai yang menyebabkan rasuah muncul.
Amalan rasuah di sektor awam boleh dikekang biarpun telah menjadi darah daging sebahagian kecil daripada kakitangan awam yang terlibat. Pelbagai inisiatif yang diambil oleh SPRM, kerajaan negeri mahupun pihak swasta sedikit sebanyak menunjukkan perubahan dalam pemikiran dan tingkah laku penerima rasuah. Pengenalan sistem dan teknologi yang meminggirkan peranan manusia juga turut menyumbang kepada pemencilan ruang untuk rasuah. Impak ketara sistem dan teknologi adalah pengurangan kos operasi, lebih pantas dan lebih cekap.
Di bahagian perolehan, penggunaan sistem dan teknologi membolehkan penilaian tender dibuat secara objektif bagi memilih pembekal yang terbaik berdasarkan maklumat yang diberi. Setiap marklumat ini diberi markah dan jumlah akhir dikumpul untuk dinilai oleh panel pemilih. Dari segi markah, sistem memberi nilai 80 peratus manakala 20 peratus diberi oleh penilai.
Pendekatan ini menutup peluang kepada perasuah untuk mengubah keputusan.
Ketika ini, banyak pendekatan yang melibatkan manusia seperti ceramah kesedaran dan khutbah Jumaat, namun sejauhmana keberkesanannya masih belum dapat dilihat dengan jelas. Jika pendekatan ini diguna pakai tetapi masih belum dapat menyedarkan kakitangn awam, ia menunjukkan perasuah dan penerima rasuah ini tidak takut kepada Tuhan, sama seperti penjudi yang terus berjudi walaupun tahu berjudi adalah ditegah. Ayat 188 dalam Surah A-Baqarah yang bermaksud;
'Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui'.
Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman tidak pun menggerunkan perasuah. Kita pernah membaca di akhbar bahawa seorang ketua pengarah di jabatan kerajaan telah ditangkap, dibicara dan dipenjarakan kerana bertindak meluluskan sejumlah permit kerja pekerja asing kerana didorong sogokan. Dalam kes ini, perasuah telah bebas tetapi penerima rasuah yang dikenakan hukuman. Media juga melaporkan timbalan ketua setiausaha kementerian turut ditangkap dan dibicarakan kerana rasuah.
Menggunakan pendekatan perlukan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Ia harus bermula di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah seterusnya di universiti. Pengenalan Kursus Falsafah dan Isu Semasa serta Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban di universiti merupakan langkah awal dalam usaha ini.
SPRM wajar menggunakan pelbagai pendekatan untuk memerangi rasuah di Malaysia. Menjadikan pendidikan sebagai alat utama adalah pendekatan terbaik untuk mengubah persepsi generasi muda terhadap rasuah. Sudah tentu banyak pihak yang hendak membantu.
No comments:
Post a Comment