Enam politeknik di Malaysia telah mendapat pengiktirafan emas dari Asia Pacific Accreditation and Certification Course (APECC). Ia merupakan satu kejayaan terhadap sistem pendidikan negara yang menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras utama pengajaran dan pembelajaran.
Politeknik tersebut adalah Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah.
Politeknik adalah sebahagian daripada rangkaian pendidikan tinggi Malaysia.
Graduan TVET keluaran politeknik menjadi tenaga mahir yang memenuhi pasaran kerja khususnya Revolusi Industri 4.0 ketika ini.
Usaha-usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran politeknik boleh dilihat dua hingga tiga tahun ke belakang. Antaranya ialah pembangunan satu pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan yang diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dan dibantu oleh enam kementerian. Matlamatnya ialah mencapai sasaran meningkatkan peratusan pekerja mahir di Malaysia.
Selain itu, peruntukan RM50 juta sebagai dana terkumpul turut diberikan.
Dalam pada itu, kerjasama pusat kemahiran, politeknik, universiti dan pertubuhan majikan menggalakkan pemajuan pelaksanaan kecemerlangan TVET ini.
Politeknik di Malaysia dilihat menerajui pendidikan teras ini dan mempamerkan kebolehpasaran yang tinggi. Contohnya Politeknik Kota Kinabalu mencatatkan 94.72 peratus (2018). Sambutan terhadap politeknik membantu institusi itu menjadi peneraju TVET Malaysia di peringkat nasional dan serantau.
Transformasi TVET Malaysia dicapai melalui pengiktirafan TVET sebagai teras ketiga
dalam Rancangan Malaysia Kesebelas, peruntukan kepada dana TVET, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, memperkenalkan TVET kepada institusi tahfiz sebagai kemahiran tambahan dan mengutamakan kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti penguasaan bahasa Inggeris.
Pencapaian setakat ini adalah peningkatan kepada 27.2 peratus pekerja mahir (2017), kedudukan kedua dalam prestasi modal insan global di Asia Tenggara (2017) dan peluasan program dwibahasa dan program imersif tinggi iaitu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui peningkatan penggunaan dan penguasaan bahasa itu dalam komuniti sekolah.
Penarafan ini boleh meningkatkan semangat dan mendorong warga politeknik seluruh negara untuk memajukan aliran TVET Malaysia dan menarik lebih ramai lepasan sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia untuk menjadikan politeknik sebagai pilihan pendidikan tertiari mereka.
No comments:
Post a Comment