Tuesday, June 06, 2017

Sihat sebelum sakit







"Melaksanakan kerja tidak cukup dengan semangat tetapi perlukan kekuatan dalaman. Apabila tahap kesihatan mula berkurangan, kekuatan fizikal dan kekuatan jiwa amat berbeza. Kesakitan jiwa lebih ketara kerana ia tidak nampak".

Inilah luahan hati seorang rakan saya selepas mengalami serangan angin ahmar pada awal tahun ini.

Beliau merupakan seorang usahawan yang aktif, kerap memberi pandangan dan mengambil berat perkembangan rakan-rakan yang lain. Namun, kehidupannya mula berubah selepas terlantar di hospital.

Keadaannya lebih serius apabila tidak dapat mengingati nama rakan-rakannya. Berat badannya juga sudah turun dan langkah kaki semakin perlahan. Suatu ketika dulu beliau suka bertanya khabar dan berjenaka untuk menghidupakan suasana perbincangan, namun keadaannya sudah berubah.

Dalam hidup kita, usia yang meningkat saban tahun perlukan perhatian yang lebih banyak terhadap keadaan kesihatan. Ketika usia mencecah 40 tahun, di sinilah bermulanya era pelbagai jenis penyakit.

Jika masa mudanya dipenuhi dengan aktiviti kecergasan, keadaan kesihatan mungkin lebih baik apabila melangkah usia 40-an. Jika sebaliknya, mungkin berulang-alik ke hospital.

Amat penting bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas keadaan jantung, buah pinggang, hati dan darah. Penyakit yang berkait dengan jantung kerap kali menyebabkan ramai orang mati tiba-tiba. Jantung yang sihat perlukan penjagaan yang menyeluruh dari segi pemakanan, aktiviti fizikal dan kesihatan mental yang baik.

Menjaga kesihatan bermula dengan kesedaran untuk hidup lebih lama dan bebas daripada penyakit kronik. Melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti sukan dapat mengekalkan tahap kecergasan jika dilakukan secara tetap dan berkala.

Katakan permainan yang menarik adalah badminton. Jika dilakukan secara tetap seminggu tiga kali, tahap kecergasan diri akan kekal sehingga usia mencecah 50 tahun.

Kesihatan yang baik dapat dilihat apabila bermain badminton dalam tempoh yang lama, tidak tercungap-cungap semasa bermain set pertama dan berupaya memukul bulu tangkis dengan kemas dan berkesan.

Tidak syak lagi, memiliki kesihatan yang baik adalah emas kehidupan. Marilah kita tingkatkan azam dan tekad untuk mengekalkan tahap kecergasan diri dan bebas daripada penyakit kronik. Teruskan usaha dan pelaburan dalam meningkatkan kesedaran diri untuk memiliki sebuah kehidupan yang sejahtera dan selesa.

Kesihatan yang baik bermula dari diri kita sendiri.


No comments:

Post a Comment