Tuesday, June 13, 2017

Kebaikan sukan kepada negara







oleh Wan Mohamad Tasnim Wan Ismail


Artikel yang saya ingin ulaskan adalah berkenaan tentang kebaikan sukan kepada negara yang disunting dari sumber Bernama. Berdasarkan artikel ini, penulis telah menyatakan bahawa sukan merupakan satu lapangan yang merangkumi semua aktiviti kecerdasan dan kemahiran dalam sesuatu permainan.

Kini, sukan boleh dijadikan sebagai hiasan di dada akhbar di samping mengharumkan nama negara apabila seseorang atlet itu berjaya menjuarai sesuatu kejohanan.

Namun, ada segelintir pihak yang kurang memberi perhatian terhadap sukan malahan menganggap ia merupakan sesuatu yang tidak berfaedah kerana banyak menghabiskan wang belanja.

Setelah membaca serta meneliti artikel ini, saya bersetuju dengan tajuk artikel ini. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui aktiviti sukan, negara kita boleh melahirkan para atlet yang menjadi tumpuan mata dunia.

Sebagai contoh, kita dapat melihat kejayaan ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David yang terkenal dengan kejayaannya yang berjaya mempertahankan beberapa kejohanan yang berprestij di samping mempertahankan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia dalam jangka masa yang panjang.

Di samping itu, kita juga boleh mencontohi usaha serta ketabahan para atlet yang sanggup mengharungi pelbagai ujian untuk mengecapi cita-cita mereka. Misalnya, pengorbanan permata dunia berbasikal iaitu Azizulhasni Awang yang sanggup mengorbankan masanya dengan ahli keluarga serta pengajiannya untuk menjalani latihan insentif di Melbourne, Australia sehingga berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam sukan yang begitu berprestij di dunia iaitu Sukan Olimpik di London.

Lebih manis, pengorbanan yang dilakukan oleh beliau juga telah menjadikannya sebagai juara dalam acara berbasikal keirin dunia yang diadakan pada baru-baru ini.

Selain itu, peningkatan ekonomi negara juga semakin bagus telah menyebabkan saya bersetuju dengan artikel ini. Hal ini ini kerana pengaliran wang dari seluruh negara- ke Malaysia menyebabkan pertukaran wang asing yang seterusnya memberi kelebihan kepada kita. Contohnya, negara mampu mengaut keuntungan yang lumayan melalui penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Konklusinya, sukan bukan sahaja boleh dijadikan sebagai medan untuk berperang dalam mempamerkan skil-skil permainan dan kebolehan individual dalam acara masing-masing tetapi ia juga boleh menjadi platform untuk menghasilkan pelbagai faedah serta manfaatnya. 

Oleh sebab itu, wajarlah semua masyarakat di Malaysia mengambil berat terhadap pembagunan sukan dan perkembangannya agar negara dapat melahirkan atlet yang lebih berkualiti serta menjadi tumpuan di dunia . Oleh itu, sahutlah cabaran dan seruan kerajaan bagi menjayakan dan meningkatkan taraf sukan negara ke tahap yang paling optimum.


Post a Comment