Friday, June 09, 2017

Perkahwinan campur







oleh Muhamad Fahmi Jamil


Berdasarkan artikel ini, salah satu kebaikan perkahwinan campur ialah dapat mengukuhkan ajaran Islam.

Sebagai contohnya, apabila anda berkahwin dengan pasangan yang baru memeluk Islam (mualaf), ia akan membuatkan bilangan masyarakat Islam di dunia bertambah banyak.

Ia juga mungkin akan menarik keluarga pada pasangan yang belum memeluk Islam tadi untuk memeluk Islam kerana terpaut dengan keindahan Islam.

Namun, salah satu keburukannya ialah kadang-kadang terjadi konflik sekiranya pasangan tidak dapat mengadaptasi perbezaan budaya, di tambah pula dengan tiadanya tolak ansur antara kedua-dua belah pihak.

Pegangan agama juga mudah goyah disebabkan terikut-ikut budaya asing yang lebih terbuka.

Setelah menelaah kemaslahatan dan implikasi perkahwinan campur ini, saya berasa tidak setuju untuk melaksanakan perkahwinan ini kerana akibat buruknya lebih banyak daripada kepentingannya.

Salah satu daripada kesan buruk perkahwinan campur ialah masalah hak penjagaan anak-anak (hadanah). Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya semasa masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.

Namun persoalannya, adakah si suami rela meninggalkan anaknya bersama ibu mereka di luar negara sedangkan si suami tidak begitu yakin dengan akidah bekas isterinya?

Si isteri mungkin akan kembali kepada agama asal dan anak-anak juga mungkin terikut-ikut dengan fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini si bapa sanggup 'melarikan' atau 'menculik' anak sendiri untuk dibawa pulang ke tanah air.

Jika si isteri telah murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami adalah tepat tetapi itu pun selepas mahkamah memastikan bahawa segala bukti tentang dakwaan murtad adalah benar. Ini berdasarkan kepada Seksyen 83 yang menyebut bahawa hak penjagaan seorang wanita akan hilang apabila wanita itu murtad dan kembali kepada agama asal mereka sama ada Hindu, Buddha, Kristian atau lain.

Sebagai kesimpulannya, perkahwinan campur akan menjadi satu masalah yang amat rumit jika isteri atau suami mualaf serta anak-anak tidak dididik dengan ajaran agama dengan baik.

Oleh itu, persediaan rohani dan jasmani perlu begitu kukuh jika benar-benar ingin untuk berkahwin campur.

Saya juga berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika boleh, hal ini hendaklah dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak, keluarga, masyarakat bahkan negara. Hal ini kerana masih ramai wanita tempatan yang mampu memberikan detik kebahagiaan kepada kita.

Post a Comment