Sunday, June 11, 2017

Peranan ilmu dalam membangun masyarakat bertamadunan








oleh Akhmal Irfan Abd Razak


Artikel yang telah saya pilih ini membincangkan mengenai fungsi ilmu untuk membangkitkan tamadun dalam kemasyarakatan. Artikel ini dikarang pada 28 April 2014 oleh Butik Tudung Labuh Muslimah.

Artikel ini mengandungi maklumat positif yang boleh diambil iktibar. Antara kandungan positif yang diperoleh ialah ilmu dapat dijadikan sebagai asas kemakmuran.

Hal ini kerana dengan adanya ilmu, hidup manusia akan menjadi lebih teratur. Jika kita imbas kembali sejarah Islam di mana, setelah hadirnya Islam yang mementingkan ilmu pengetahuan telah mengubah mentaliti masyarakat Arab ketika itu. Kehidupan mereka semakin aman dan tiada pertelingkahan.

Selain itu, ilmu berfungsi sebagai pembina akidah. Ilmu dapat membina akidah yang betul yang yang dapat menjamin kebahagiaannya di dunia dan akhirat. Contohnya, al-quran dan hadis dijadikan sebagi sumber rujukan yang utama dalam membina akidah yang mantap.

Di samping itu, kebaikannya ialah ilmu juga dijadikan sebagai panduan dalam beramal yang benar.

Sebagai orang Islam, amal ini merupakan tujuan hidup seseorang manusia untuk menyembah tuhannya, tetapi ilmu diletakkan sebagai tunjang dahulu sebelum beramal. Apabila melakukan amal tanpa ilmu, maka ianya akan jadi sia-sia. Oleh itu, ilmu sebagai penyempurna amal seseorang.

Seterusnya, ilmu mampu untuk menjana akhlak yang mulia. Hal ini kerana tahap ilmu yang hakiki akan merasakan bahawa dirinya tidak mempunyai apa-apa. Perasaan ini akan membuatkan seseorang itu akan merendah diri dengan ilmunya lalu akan menaikkan nilai adabnya.

Saya bersetuju dengan isi kandungan artikel ini kerana peranan ilmu terlalu banyak dapat mempengaruhi sesuatu pihak. Kebanyakan ilmu sama ada ilmu dunia dan akhirat datang daripada tamadun Islam. Hal ini dapat dilihat daripada Kerajaan Abbasiyah.

Mereka digelar zaman keemasan Tamadun Islam kerana perkembangan ilmu pengetahuan sangat memberangsangkan pada zaman itu. Ilmu-ilmu yang dijumpai oleh tokoh-tokoh terkenal dapat memudahkan masyarakat pada zaman itu dan juga sekarang. Oleh itu, pandangan yang diutarakan oleh penulis artikel ini sangat saya setuju.

Kesimpulannya, ilmu merupakan perkara yang amat penting kerana dunia dan akhirat memerlukan ilmu untuk berjaya. Mahasiswa pada zaman sekarang haruslah memperjuangkan ilmu dan teknologi yang dihasilkan oleh tokoh terdahulu supaya ilmu itu tidak ditelan zaman.

Kita hendaklah menjaga warisan dari tokoh terdahulu dan tidak sewenang-wenangnya membiarkan ilmu mereka ditiru oleh orang barat yang mengakui bahawa ilmu dijumpai oleh mereka. Kita juga mestilah bersatu di bawah satu matlamat bagi mendaulatkan Islam di bawah satu panji berlatarbelakangkan konsep Islamiah dalam kehidupan. Oleh itu, peranan ilmu inilah yang akan menjadi pelita sebagai garis panduan kita menuju Allah swt.

Post a Comment