Wednesday, June 14, 2017

Media massa dan alam sekitar







oleh Muhamad Shahreen Sabarani

Media merupakan perantara terpenting dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau mesej, manakala media massa pula adalah alat atau instrumen terpenting yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan dan membentuk sikap masyarakat tentang maklumat yang disampaikan.

Media bukdan sekadar menyampaikan maklumat dan mesej tetapi juga dapat membentuk tasawwur atau pandangan alam manusia.

Media boleh menyebabkan ‘orang yang baik menjadi jahat’ dan juga sebaliknya. Semua ini adalah pengaruh dari media dan rangkain maklumat yang mereka miliki.

Dalam usaha untuk membangun alam ini demi kelangsungan hidup, manusia berkecenderungan untuk menguasai dan mengeksploitasi alam tabii ini secara berlebihan setelah memahami tabii alam dengan menggunakan pemahaman sains dan teknologi yang mereka miliki.

Akibat daripada kerakusan mengeksploitasi alam ini secara berlebihan yang tidak dipandu oleh agama, keseimbangan alam tabii terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Peristiwa pemanasan global, pencemaran alam sekitar, perubahan cuaca, tanah runtuh, banjir kilat, gelombang besar tsunami, hujan asid, gempa bumi dan sebagainya, semua ini menyumbang kepada ketidakstabilan ekosistem yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

Media massa juga mesti berusaha untuk memperkenalkan tokoh ilmuwan (mungkin juga penyelidik), pembuat dasar dan mereka yang aktif dalam pertubuhan  bukan  kerajaan  yang  berwibawa  dan  berautoriti  dalam bidang alam sekitar, bukan golongan populis yang lebih mementingkan populariti.

Isu yang berhubung dengan alam sekitar biasanya lebih bersifat tempatan daripada antarabangsa. Dengan demikian media perlu membawa isu tempatan ini ke tengah masyarakat.

Apa yang berlaku di Barat dan di negara maju mungkin boleh dijadikan iktibar tetapi akhirnya nanti masyarakat tempatan seharusnya bertindak untuk menyelesaikan isu alam sekitar di tempat mereka.

Media seharusnya menggunakan bahasa yang mudah dan dapat difahami  oleh  masyarakat  awam. Istilah  saintifik yang  asing  mungkin lebih tepat tetapi sekiranya masyarakat tidak memahaminya, mesej yang ingin disampaikan mungkin tidak dapat difahami.

Dengan demikian media mesti memahami siapakah khalayak yang ditujukan mesej alam sekitar berkenaan. Media juga perlu menerangkan kepada masyarakat tentang polisi dan dasar kerajaan yang ada tentang alam sekitar, menerangkan dasar mekanisme dalam dasar tersebut yang membolehkan isu alam sekitar diketengahkan kepada khalayak ramai dan memberitahu bahawa ada penguatkuasaan yang bersungguh-sungguh daripada pihak yang berwajib.

Pada pandangan saya, pengguna secara personal perlu meningkatkan kesedaran terhadap isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Hal ini kerana, segala langkah pragmatik dan efisien yang telah dicorak oleh pihak berkenaan akan menjadi sia-sia. Oleh itu, kesedaran mental masyarakat dapat membantu dalam menjayakan motif pihak berkuasa selari dengan usaha yang telah dilakukan.


No comments:

Post a Comment